BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab 1- Semalam Dalam Kenangan


Telefon bimbitku berkali-kali berbunyi. Aku sudah tidak tahan lagi dengan bunyinya lantas mengambil keputusan mematikannya. Aku benar-benar tidak tahu mahu lakukan apa lagi. Sejak peristiwa petang tadi, aku enggan bertegur dengan mama. Aku benar-benar tidak dapat terima apabila aku dimarahi mama di hadapan Ikhwan sedang aku tahu mama sudah punya pilihan bakal tunanganku Jumaat ini. Adakah patut mama kata aku sepertinya mahu menconteng arang ke muka keluarga jika aku bertindak untuk membatalkan majlis tersebut. Aku sudah memaklumkan pihak sekolah bahawa aku bercuti kecemasan esok dan inilah peluangku mengunci diri di dalam bilik.
“ Ain, bukalah pintu ni..” pinta mama sambil mengetuk-ngetuk pintu bilikku. Aku menarik selimut hingga menutupi kepala. Aku benar-benar protes! Aku tahu umurku sudah menjangkau 25 tahun tapi itu tidak bererti aku harus dijodohkan dengan pilihan mereka.
Tiba-tiba pintu terbuka. Aku yakin mama pasti menggunakan kunci pendua. Mama pantas menepuk pahaku.
         “ Ain, mama minta maaf Ain.. Rupanya, Ikhwan itu yang akan jadi tunangan kamu. Mama betul-betul tak ingat mukanya....” pinta mama tiba-tiba membuatkan aku bergegas bangun.
Ikhwan bakal tunanganku?
Aku memandang mama dengan pandangan yang tidak percaya.
“ Abah yang beritahu mama tadi. Menyesal pula bila mama marah kamu dan Ikhwan tadi..” sambung mama dengan muka sedih tapi aku masih terdiam. Bagaikan tidak percaya insan yang aku temui pagi tadi itu yang bakal mendampingi hidupku.
“ Macamana boleh kamu kenal Ikhwan, Ain?” soal mama.
Aku menarik nafas sebelum memulakan cerita.
“ Tadi pagi, Ain terlanggar keretanya mama..”
Belum sempat aku menghabiskan cerita mama sudah berleter panjang. Aku dimarah teruk oleh mama kerana kemalangan kecil. Aku tahu ada kesan bengkak di lututku dan mama mengarahkanku bersiap ke hospital. Aku tidak mampu membantah kerana mama memang benar-benar cerewet soal kesihatan anak-anaknya.
Di hospital itu aku diberi ubat penahan sakit dan ubat sapu untuk meredakan bengkak. Aku keluar dari bilik rawatan dan terpandang Ikhwan sedang duduk di sebelah abah. Abah dan mama segera meminta diri untuk pulang dan meninggalkan aku kepada Ikhwan.
         Ikhwan memandangku dengan pandangan yang sukar kubaca. Dia pantas menarik tanganku dan membawaku ke keretanya. Aku hanya mengikut tanpa membantah. Aku tahu, Ikhwan pasti sedang menahan rasa marah. Mungkin marah kerana aku adalah bakal tunangannya, yang bakal menghancur hidupnya atau entah! Bermacam-macam andaian yang boleh aku gambarkan! Keretanya segera dipandu dan tiba-tiba ia berhenti di sebuah taman. Dia keluar dari kereta dan bersandar. Aku masih terpaku di dalam kereta. Agak lama. Lantas, aku mengambil keputusan mendekatinya.
         “ Saya..”
Ucapanku mati bila pandangannya mula tertumpu padaku. Aku menundukkan wajah. Hilang suara, hilang kekuatan untuk meneruskan kata-kata.
         “ Kenapa tak beritahu saya yang awak cedera pasal kemalangan tadi, Ain?” soalnya sedikit risau. Aku menelan liur. Bagiku, ia Cuma perkara  biasa saja. Namun, aku terasa hati dengan caranya menegurku.
         “ Saya tahu, saya adalah permulaan kisah yang menyusahkan dalam hidup awak. Jadi, baik hentikan saja majlis tu..” jawabku sambil berpeluk tubuh.
         “ Awak nak malukan keluarga kita?” 
         “ Saya tak bersedia, awak tahu tak?” marahku.
         Dia memegang bahuku, memintaku membalas pandangannya.
         “Ain, mungkin ini sudah takdir Ain. Kita ada jodoh pertemuan.. Mungkin ada jodoh lain juga Ain.. Fikirlah secara rasional..” pujuknya perlahan. Aku menolak tangannya.
         “ Saya mungkin akan dikatakan bodoh jika saya menolak awak untuk dijadikan isteri saya Ain..” sambungnya lagi membuatkan aku terdiam. Dia mencapai sesuatu di dalam koceknya dan menyarung sebentuk cincin emas putih ke jari manis kiriku.
         Be my wife, Ain..”
Aku terkejut dengan tindakan spontannya.
         “ Ikhwan, saya tak kenal awak dan awak tak kenal saya. Jangan buat saya begini..” pintaku sambil berusaha melucutkan cincinnya namun dia pantas menghalang. Aku benar-benar rasa ingin menangis.
         “ Sekarang kita dah saling mengenali. Awak bakal tunangan saya dan saya bakal tunangan awak..” usiknya. Hatiku sedikit terusik dengan kenyataannya itu namun aku lebih senang berdiam dan mengalihkan pandangan ke tasik di hadapan. Aku melangkah longlai menuju ke pinggiran tasik yang dipagari pagar besi itu.
         “ Awak datang dengan tiba-tiba Ikhwan..” ucapku tak terluahkan. Aku yakin dia tidak akan mendengarnya. Aku sungguh-sungguh tidak bersedia. Ikhwan datang dengan tiba-tiba dalam hidupku.
         “ Ain.. apa yang membuatkan awak takut akan saya?” soalnya dekat di sisiku. Hatiku pantas berdebar kencang dengan bisikan itu. Aku mencoba untuk tidak menoleh. Aku tahu, jikalau aku menoleh pasti pipiku akan tersentuh bibirnya.
         “ Ikhwan.. jangan buat begitu..” pintaku perlahan.
Dia tertawa nakal.
         “ Awak macam ni, malu-malu, lagilah buat saya makin suka usik awak Ain..” tambahnya.
         Aku menolak tubuhnya geram tapi dia hanya ketawa. Aku menjelingnya.
         “ Awak ada pilihan lain?” soalnya tiba-tiba serius.
         Aku menarik nafas lalu menggeleng perlahan.
         “Kalau ada, mama tidak akan buat keputusan mencarikan jodoh untuk saya..” jawabku perlahan, agak mendatar.
         “ Awak orang yang sentiasa sibuk dan selalu mengejar waktu. Seumur hidup saya, saya tak pernah terfikir untuk mendampingi orang seperti awak. Banyak yang saya takut kalau bersama dengan awak. Saya takut saya tidak dapat memahami prinsip dan cara hidup orang seperti awak. Saya takut nanti saya akan memprotes kerana awak tidak punya banyak waktu dengan saya dan keluarga yang bakal kita bina. Saya takut awak akan duakan saya kerana mengejar harta dan pangkat. Saya takut awak akan pilih orang yang awak sayangi kerana dalam situasi ini kita disatukan atas pilihan keluarga. Saya takut awak akan tinggalkan saya akhirnya. Saya takut Ikhwan... Benar-benar takut..” luahku sayu memandang tepat ke anak matanya. Ikhwan membalas pandanganku. Dapatku rasakan getaran yang pernah kurasakan sewaktu aku mencintai seseorang dahulu.
         “Ain.. Saya pernah rasakan sakitnya kehilangan Ain.. kerana itulah saya nekad biarkan hidup ini ditentukan oleh ibu bapa saya.. tapi Ain, hari ini prinsip saya berubah. Saya mahukan awak Ain.. bukan kerana ia atas pilihan keluarga tapi hati saya tiba-tiba mahukannya..” luahnya sedikit beremosi.
         Aku memejam mata. Cuba menyelami setiap kata-katanya jauh ke dasar hati. Tidakkah terlalu awal Ikhwan memperkatakannya?
         “ Dan.. saya tak akan biarkan rasa takut itu menghantui awak, Ain..” bisiknya di sisiku seraya mengenggam kedua belah tanganku erat.
         Aku membuka mata. Mengetap bibir. Ikhwan.. tahukah kau erti takut yang kurasakan ini?
         Mataku mula berkaca. Aku mencuba untuk tidak menangis kerana aku tidak mahu airmata ini mengalir disebabkan hal ini.

0 ulasan: