BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab 10-semalam dalam kenangan

Lenaku jadinya terganggu apabila terdengar jeritan salah seorang pelajar perempuan. Aku bingkas bangun. Hairan melihat keadaan yang gelap. Aku keluar dari khemah itu, ingin tahu keadaan sebenar. Keadaan di luar dingin. Meremang bulu romaku jadinya. Aku mendekati khemah yang dikerumuni beberapa pelajar.
“ Kenapa?” soalku pada salah seorang pelajarku.
Wajah risau itu melahirkan rasa kurang enak di hatiku.
“ Maya kerasukan..” bisiknya di sisiku.
Hatiku bagai disentap. Serta-merta bulu romaku berdiri. Aku memandang sekeliling yang gelap. Perasaan takut pantas saja menyelinap ke dalam hatiku. Dengan suasana gelap yang hanya diterangi unggun api yang dihidupkan oleh mereka, aku bertambah rasa seram. Aku pasti mendekati Cikgu Laila yang sedang duduk di situ. Aku memaut lengannya sambil memandang wajah-wajah pelajarku yang tergambar perasaan bimbang bercampur takut. Aku cuba berlagak berani, mengawal perasaan. Bermacam-macam gambaran terbayang dalam fikiranku. Aku menenangkan perasaanku dengan bacaan ayat suci yang kuhafal. Semakin lama semakin kuat raungan Maya dari dalam khemah itu. Aku berbalas pandangan dengan Cikgu Laila.
“ Macamana ni Kak?” soalku kepada Cikgu Laila.
Dia mengangkat bahu. Mungkin dia juga tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.
Selang beberapa minit kemudian, keadaan kembali tenang. Aku mengerling jam di tangan sekilas. Sudah menunjukkan ke pukul 8 malam. Aku mengajukan pandangan ke arah khemah yang dikerumuni itu. keluar kelibat Cikgu Othman dan Cikgu Adam. Mereka berdua mendekati kami setelah mengarahkan pelajar-pelajar lain untuk masuk ke dalam khemah berehat kecuali yang ditugaskan bergilir-gilir menjaga khemah. Mereka kemudiannya duduk tidak jauh dari kami.
“ Maya tu lemah semangat..” Cikgu Othman memulakan cerita. Katanya lagi Maya tadi tu cakap besar, itu agaknya yang membuatkan dia diganggu ‘benda’ itu. Aku bukannya tidak percaya akan benda sebegini tapi ia berlaku di hadapanku, makanya aku senang menerima berita itu.
“ Semua dah makan malam?” soalku menukar topik agar suasana tidak tenggelam dengan keadaan yang sayup-sayup sunyi menyeramkan itu.
“ Dah..” jawab Cikgu Laila.
Aku mengetap bibir. Rasa bersalah kerana membiarkan sebahagian aktiviti berlalu tanpaku.
“ Ain belum?” soal Cikgu Laila.
Aku mematikan kata. Perutku saat sebegini memang bernyanyi lagu lapar. Aku benar-benar tidak tahu yang lama benar aku tertidur itu.
“ Tak apalah.. Saya pun belum makan lagi.. Kalau Cikgu Othman dan Cikgu Laila nak berehat, pergilah..” sampuk Cikgu Adam tiba-tiba.
Aku memandangnya sekilas, memberi reaksi spontan atas setiap bicaranya.
“ Nak makan apa?” soal Cikgu Laila.
Dia ketawa kecil.
“ Makanan segera! Pop mie dan makanan dalam tin.. Rasanya, Cikgu Ain pandai sediakan..” sambungnya lagi dalam nada ceria.
Aku menarik muka. Sempat pulak dia menyindir!
“ Okeylah kalau macam tu..” jawab Cikgu Othman.
“Maksudnya, kamu berdualah berjaga untuk malam ni?” soal Cikgu Laila meminta kepastian sekali lagi.
Aku memandang Cikgu Adam, mengharap akan ada jawapan untuk pertanyaan itu kerana dia yang memulakannya. Pandanganku dibalas. Dia mengangguk selamba. Aku merengus. Tidak berpuas hati dengan jawapannya namun aku sembunyikan dari pengetahuan Cikgu Laila.
“ Lagipun, kan Cikgu Ain dah tidur tadi. Gerenti boleh tahan berjaga sampai pagi.. kan Cikgu?” sambungnya selamba.
Aku tersenyum sinis seraya mengangguk. Aku tidak punya pilihan lain melainkan terpaksa mengiakan.
“ Okeylah kalau macam tu. Kami berehat saja..”  sahut Cikgu Othman pulak.
Cikgu Laila pun sudah mengangkat punggung, menuruti langkah Cikgu Othman meninggalkan aku sendiri dengan Cikgu Adam.
         Aku melepaskan keluhan berat. Memeluk lutut dan membiarkan daguku di atasnya. Cikgu Adam beralih duduk di sebelahku. Keadaan menjadi hening, sunyi dan bisu.
         “ Kata lapar..” ucapnya membuka bicara.
Aku mati kata. Tidak berniat mahu membalas bicaranya. Aku bersahaja berlalu menuju ke meja yang  menyimpan segala makanan. Aku mengambil setin ayam kari segera dan memanaskannya menggunakan tempat khas. Aku menuangkan dua cawan pop mie dengan air panas lalu menyediakan dua gelas minuman. Dengan teragak-agak aku berpaling memandang Cikgu Adam. Berharap dia akan datang mendekatiku untuk makan malam bersama. Bagaikan mengerti, dia melangkah. Dia mengajakku menikmati makan malam di atas batu besar, berhampiran anak sungai tempatku duduk pagi tadi. Tanpa banyak bicara, aku menurut. Kami makan tanpa banyak bicara. Dengan hanya ditemani cahaya bulan yang agak terang malam itu, kami menikmati makanan segera tanpa rungutan. Biasalah. Kalau sudah di hutan, bagaimana mahu makan masakan istimewa?      Keadaan yang bisu itu melahirkan suasana janggal antara aku dan Cikgu Adam. Sesekali aku dan dia berbalas pandang tanpa bicara. Keadaan itu berpanjangan sehingga makan malam berlalu. Entah mengapa, ia amat asing bagiku.  Dia cepat-cepat mengemas bekas kami makan dan hanya membiarkan aku termangu di atas batu itu. Dia meninggalkan aku untuk beberapa ketika sebelum kembali semula duduk di sebelahku. Sekali lagi suasana bisu menguasai keadaan.
Mengapa Adam? Hatiku tertanya-tanya jadinya.
Pandangan Cikgu Adam yang tiba-tiba itu melahirkan rasa teka-teki di benakku. Sesekali dia meraup wajah. Sesekali juga dia mengeluh. Beratkah perkara yang membebankannya saat ini?
“ Kaki dah okey?” tanyanya mematikan suasana bisu antara kami.
Aku sekadar mengangguk. Tidak berniat mahu menjawab dengan suara.
“ Benarkah apa yang saya dengar Cikgu Ain?” soalnya tiba-tiba dalam nada serius.
Aku menelan liur.
Apa yang dia dengar?
Namun pertanyaannya itu kubiarkan sepi tanpa jawapan. Lama dia memandangku, mengharap akan ada jawapan.
“ Apakah pertanyaan ini berkaitan dengan perubahan Cikgu Adam hari ini?” tanyaku pulak, bermain tarik tali.
Dia mengangguk, membuatkan aku terdiam tanpa suara. Kenyataan apa yang ingin dia tahu dariku sebenarnya?
“ Cikgu akan berkahwin secepat ini?” tanyanya lagi.
Aku tersentak. Tidak menyangka Cikgu Adam akan bertanya padaku mengenai soalan yang amat peribadi bagiku. Lantaran itu, aku diam.
“ Ain..” panggilnya, menghilangkan suasana formal bila kalimah cikgu tidak lagi disebutnya. Terasa amat dekat bila dia begitu.
Aku menggigit bibir. Masih berkira-kira mahu menjawab pertanyaan itu. Sudahnya aku hanya menunduk. Membiarkan pertanyaan itu berlalu begitu saja.
Dia kudengar mengeluh. Aku mendongak. Memandangnya.
“ Ya..” jawabku ringkas walau amat ketara janggalnya. Hatiku semakin tertanya-tanya maksud pertanyaannya yang sebenar.
“ Secepat ini?” soalnya lagi memandang  tepat kepadaku.
Aku semakin tidak mengerti dengan keadaan ini.
“ Kenapa pulak cepat?” soalku tidak berpuas hati.
Dia berdiri. Berpeluk tubuh, membelakangiku. Kemudian dia berpaling, menghulur tangan meminta aku berdiri. Aku menyambut tangannya dan berdiri di sebelahnya. Fikiranku masih menerawang memikirkan maksud pertanyaannya. Bagaimana dia boleh tahu sedangkan aku hanya memberi kad undangan kepada Kak Liah saja. Aku tidak berniat mahu menghebohkan soal perkahwinanku kepada seluruh warga sekolah kerana aku yakin setelah berkahwin nanti, pasti Ikhwan tidak akan membenarkan aku bekerja lagi memandangkan dia pernah menyuarakan hasrat sebegitu sebelum ini.
“ Cikgu Adam.. Saya tanya ni..” soalku setelah agak lama soalan itu dibiar tidak berjawab.
Dia hanya tersenyum. Senyuman yang entah ikhlas entah tidak. Semakin pelik dengan perubahan tingkahnya. Jangan-jangan dia kena sampuk? Serta-merta aku menjadi seram. Meremang bulu dengan tiba-tiba.
“ Awak ingat saya kena sampuk?” tanyanya seakan-akan faham dengan apa yang bermain dalam fikiranku.
“ Agaknya.. sebab makin pelik..” jawabku selamba. Kalau terasa hati, terasalah. Aku tidak tahu lagi bagaimana mahu menuturkan ayat yang tidak menghiris perasaannya.
Anehnya, dia ketawa. Semakin lama semakin galak. Tingkahnya membuatkan aku semakin kalut dan tidak tentu arah. Pantas saja aku memukul lengannya agar ia tidak terus-terusan begitu.
“ Janganlah macam ini. Awak menakutkan sayalah..” marahku padanya.
Dia mengerling sekilas. Mengalih pandangan kemudian ke arah anak sungai.
“ Kenapa pulak nak takut?”
“Perangai macam orang tak siuman.. Dahlah tengah-tengah hutan..” sambungku lagi dalam nada sedikit keras.
Dia tersenyum nakal. Aku membalas dengan jelingan marah.
“ Awak rasa saat ini saya siuman atau tak?” soalnya selamba mengusik.
Aku menjengilkan mata. Amat tidak menyangka dia akan bertanya soalan yang menakutkan aku itu.
“ Manalah saya tahu..” jawabku seolah-olah merajuk.
Dia tersengih. Membangkitkan rasa geram di hatiku.
“ Nak takut kenapa? Normallah saya macam ni..” jawabnya selamba.
Aku mencebik bibir.
“ Normal apa? Mereng adalah..” lalu aku ketawa nakal.
Dia mencubit pipiku dengan kuat. Aku menepis tangannya dan mengaduh sakit.
“ Ingat teddy bear ke?” marahku.
Dia ketawa nakal.
“ Kalau teddy bear, dah lama saya peluk.. Saya gigit dan semualah yang menzahirkan rasa geram saya pada awak..” balasnya berani.
Aku menjelingnya. Malas menjawab usikannya yang semakin menjadi-jadi itu.
“ Awak nak tak ronda-ronda hutan malam ni?” cadangnya tiba-tiba.
Aku mengerutkan dahi. Cadangan jenis apa tu?
“ Tak salah soalan ke?” tanyaku sinis.
Dia menggeleng.
“ Gelaplah..” aduku pulak.
Dia tersengih. Menunjukkan baris giginya yang tersusun rapi, putih dan cantik.
“ Takut ke?” perlinya.
Aku mengetap bibir kerana geram dengan perliannya itu.
“ Saya tak nak susahkan keluarga saya kalau apa-apa terjadi pada saya..” jawabku agak keras.
Dia mempamer wajah selamba. Mengeluh dan menarik nafas yang dalam.
“ Apapun yang terjadi, yang awak lalui bersama saya, itu bermakna awak adalah tanggungjawab saya, Ain..” tuturnya penuh emosi.
Aku menggigit bibir. Melarikan pandangan dari menatap wajahnya. Kata-katanya kali ini semakin menyentuh hatiku. Bukankah sudah pernah aku katakan, aku tidak inginkan dia menyentuh hatiku? Tahukah dia, dia hanya akan membuatkan jalan hidupku semakin sukar? Fahamkah dia bahawa apa yang hadir nanti bersifat sementara sedangkan aku akan memikul tanggungjawab yang berat, memegang status seorang isteri kepada seseorang yang sudah mula bertapak dalam hatiku? Bukankah sudah tertutup pintu hatiku setelah satu hati membukanya? Tidakkah Adam terlewat?
“ Kenapa diam Ain?”
Aku bungkam. Melahirkan suasana hening. Aku melabuhkan punggung semula di atas batu itu setelah merasa penat berdiri dan penat dengan setiap pertanyaan Cikgu Adam.
“ Saya tidak ada jawapan untuk pernyataan itu Cikgu Adam..” sahutku perlahan.
Dia mengambil tempat duduk di sebelahku.
“ Tapi kenapa?” tanyanya bagai orang bodoh.
Aku jadi hairan. Kenapa dengan tiba-tiba saja Adam bersikap begini? Memaksa aku berbicara sesuatu yang berkaitan dengan hati dan perasaan.
“ Apa yang cuba awak sampaikan Adam?” soalku tidak berpuas hati.
“ Saya Cuma nak kita kongsi cerita. Tidak lebih dari itu..”
Jawapannya yang bersahaja itu serta-merta merobohkan semua tanggapanku padanya selama ini. Aku menjadi lega kerana tertanya anggapanku itu salah. Adam tidak punya maksud apa-apa padaku.
“ okeylah.. awak nak tahu apa?”
Aku mengalah.
Biarlah. Sebagai topik yang mungkin akan melewatkan waktu hingga ke pagi.
“ Dia pilihan awak?”
Aku menggeleng.
“ Kenapa?” soalnya sedikit hairan.
Aku mengangkat bahu. Dia mempamer muka tidak berpuas hati dengan jawapanku itu.
“ Pilihan keluarga..” akuiku kemudian.
Dia mengangguk-angguk.
“ Antara pilihan hati dan pilihan keluarga, awak akan utamakan pilihan siapa?” tanyanya serius.
Aku mengangkat kening.
“ Dilema ke?” usikku seraya ketawa nakal.
Dia menjelingku tajam. Mungkin terasa dengan usikanku itu.
“ Saya akan pilih pilihan keluargalah..”
“Kenapa?”
“ Awak suka soal saya dengan perkataan kenapa ni kenapa?” balasku. Hairan sangat hatiku kerana dia lebih banyak bertanya soalan yang memerlukan sebab.
Dia ketawa kecil.
“ Awak yakin bahagia?”
“ Tak cuba lagi manalah saya tahu..” selamba saja aku menjawab.
“ Tak takut dia akan tinggalkan awak?”
Aku tersentak. Soalan itu terlalu sensitif bagiku.
“ Sama ada dia berniat begitu atau tidak, setiap yang bernyawa pasti akan saling meninggalkan..” jawabku beremosi. Saja aku menjawab dengan cara begitu berharap dia tidak akan bertanya soalan yang lebih menyentuh hatiku. Biarlah. Kalau suatu hari nanti Ikhwan terpaksa pergi, aku tidak akan menghalang. Sekurang-kurangnya dia pernah singgah ke dalam hidupku dan memberiku kenangan.
“ Kalau awak berniat nak racuni fikiran saya, awak tak akan menang. Melainkan dia sendiri menghancurkan hati ini pada saat saya rasakan dia akan memberikan kebahagiaan, pada saat mimpi-mimpi indah saya musnah di penghujung lena..” sambungku, tegas tanpa penjelasan lanjut. Lalu bicara antara kami berakhir tanpa noktah.

0 ulasan: