BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 19 Januari 2011

bab 29-semalam dalam kenangan


Bunyi suara yang kedengaran berbisik hadir dalam pendengaranku. Kepalaku rasa amat sakit dan seakan-akan mahu pecah. Seluruh tubuhku rasa sakit dan sesekali terasa kejang di bahagian kaki. Mataku masih belum mahu terbuka. Terasa amat berat meski berulangkali kumencuba. Lemah seluruh tubuhku rasanya. Kedinginan bilik itu mencucuk hingga ke tulang.
Aku tahu aku bukan di dalam kereta yang kupandu kerana kali terakhir, aku dirempuh sebuah kereta Patrol.
“ Ain.. sudah sedar?” bisik seseorang di sebelahku.
Aku kenal pada suara itu. Aku tahu suara itu. Aku sedar itu suara mama yang kedengarannya berbaur risau. Aku sudah membuatkan orang di sisiku sedih. Aku dengan kebodohanku telah menyusahkan orang-orang yang kusayang. Walaupun hatiku saat ini sudah hancur, tapi aku kesal dengan sikapku sendiri. Lantaran itu, hatiku menjadi sayu dalam kesamaran waktu.
Gugur lagi airmata ini.
Aku berusaha membuka kelopak mataku. Pandanganku berpinar-pinar dan kepalaku pening.
“ Janganlah paksa diri..” suara abah pula kedengaran.
Namun, aku masih jua lagi berdegil. Bukan kerana aku memang degil tapi aku ingin melihat wajah-wajah yang kusayang ada di saat aku memerlukannya. Satu persatu wajah yang ada di sekelilingku, kupandang sepi. Dari abah, mama, umi, bapa dan pandanganku jatuh pada Sarah.
Aku menunduk. TUHAN.. tidakkah terlalu berat rasa ini untukku tanggung sendirian?
Tanganku disentuh lalu digenggam erat. Aku melihat gerangan yang memberikan rasa kasih padaku itu.
Sarah!
Aku mengetap bibir. Tidak tahu apa kata yang harus aku luahkan. Hatiku pedih, sedih bukan kerana Sarah tapi kerana Adam tidak ada saat ini.
“ Sarah itu kakak ipar kamu Ain.. Gambar yang kamu lihat itu gambar arwah abang Adam. Adam Almahdi..” khabar umi tanpa senyuman.
Aku terkejut kecil. Terasa betapa besarnya bodohku kerana terburu-buru membuat keputusan.
Tidakkah aku bodoh?
Rasa bersalah menebal di hatiku. Aku memandang wajah umi yang ternyata ada garis duka di situ.
“ Maafkan Ain..” pintaku sendu bersama linangan airmata. Bukan kerana aku ingin meraih simpati tapi kerana aku benar-benar bersalah. Aku telah menyusahkan semua orang dan aku juga telah melukakan hati-hati mereka. Yang pasti, aku juga telah melukakan sekeping hati suamiku kerana kejahilanku sendiri.
Hatiku tertanya-tanya... Di mana Adam?
“ Sudahlah.. apapun terjadi kali ini, jangan buat keputusan sendiri..” nasihat mama sambil mengucup dahiku.
Aku menunduk. Menahan getar dalam hati. Aku tidak peduli kalau kali ini keluarga mertuaku mahu dingin denganku tapi aku inginkan kemaafan dari Adam.
Itu yang penting!
“ Sarah.. saya minta maaf..” pintaku perlahan sambil membalas genggaman tangan Sarah.
Sarah mengangguk, tersenyum mesra padaku. Nyata kakak iparku itu tidak menaruh dendam ataupun terasa hati dengan kebiadabanku tadi.
“ Sudahlah.. jangan menangis lagi..” pujuknya sambil mengesat airmataku.
Aku membisu seribu bahasa. Keluargaku dan keluarga mertuaku sudah berkira-kira mahu pergi meninggalkan aku dan Sarah setelah bersalaman denganku. Mujurlah diakhir, umi memelukku. Takut juga kalau dipulaukan keluarga sendiri.
“ Maafkan Ain, umi..” pintaku pada umi sebelum dia berlalu.
Aku memandang Sarah yang masih lagi setia di sisiku. Pandanganku berubah sepi kemudian.
Lama kami begitu.
“ Hargailah Adam, Ain..”
Aku terdiam. Tidak menjawab dan tidak jua menyahut. Aku tahu Sarah ikhlas berkata begitu.
“ Adam Almahdi dan Adam Alshahdi itu adik-beradik kembar yang memang cukup rapat. Kalau pun muka mereka berdua nampak benar-benar seiras tapi ada bezanya, Ain..” Sarah sudah memulakan cerita.
Aku mendengar dengan tekun tanpa menyampuk. Sesekali aku memain jemariku kerana gelisah sudah menapak di jiwaku.
“ 3 tahun kami kecapi bahagia tapi akhirnya dia diragut maut kerana barah. Hancur luluh hati saya saat tahu saya akan kehilangan dia Ain.. Mahdi seorang yang penyayang. Dia bertanggungjawab dan memang menawan hati. Tingkahnya banyak diwarisi Adam tapi saya tidak pernah menganggap Adam bayangan Mahdi.. Dia terlalu istimewa di sini..” ucapnya beremosi sambil menunjuk-nunjuk ke dadanya.
“ Di hati saya..” sayu suaranya terdengar.
Aku memandang tepat ke wajah Sarah. Suara yang sudah berubah mendatar itu yang membuat aku begitu.
“ Saya hanya sebatang kera saja. Mahdi mengahwini saya ketika dia temui saya di kampung. Syarikat bapa mereka, saya yang kendalikan sekarang kerana dulu, saya ada belajar selok-belok perniagaan sewaktu arwah masih ada.. saya belajar banyak perkara dan dia juga mengajar banyak perkara seolah-olah dia tahu suatu hari nanti dia akan meninggalkan saya.. jauh meninggalkan saya..”
Aku menelan liur. Betapa dalamnya kasih Sarah pada abang Mahdi dan betapa bersalahnya aku kerana membuatkan dia membuka cerita duka yang telah lama disimpannya.
“ Kita memang mencintai Adam, Ain.. tapi bukan Adam yang sama..” sambungnya bersahaja dalam nada usikan. Meskipun begitu, usikannya kedengaran sedikit canggung kerana tidak ada tawa terbit dari bibirku. Bukan kerana aku cemburu tapi kerana aku terasa terpukul dengan usikan yang sebenarnya lebih kepada sindiran itu.
“ Hargailah apa yang kita miliki.. sebelum terlambat..” perlahan-lahan dia menuturkannya seraya menepuk-nepuk lembut tanganku.
Aku mengangguk perlahan.
Kejadian ini memberiku banyak pengajaran. Akibat kebodohanku sendiri, aku menanggung rasa sakit yang bukan kepalang.
Tiba-tiba saja aku rasa pening-pening lagi. Kemudian berubah mual.
“ Kenapa Ain?” soal kakak iparku risau.
Aku mengerutkan dahi sambil menekan perutku.
“ Nak muntah.. tapi perut kosong..” aduku terkilan. Tiba-tiba saja aku berubah mood dan enggan bersuara lanjut.
Tapi kakak iparku itu hanya tersenyum.
“ Nak jadi mummy, memanglah begitu..”
Aku tersentak. Tidak terkata lagi.
Aku bakal menjadi mummy?
Aku memandang Sarah atau lebih hormat lagi Kak Sarah dengan pandangan yang tidak percaya. Tapi, bila dia membalas pandanganku dengan mengangguk, aku sudah tidak terkata lagi. Ini bererti Adam akan menjadi ayah.
Aku tersenyum sendiri.
“ Jaga diri elok-elok..” pesannya.
Aku mengangguk. Tapi masih berfikir-fikir, bersediakah sudah aku menjadi ibu kepada anak-anak Adam?
Pintu bilik dikuak. Wajah Adam menjelma.
Aku memandang kepadanya sekilas lalu menunduk bila sinar mata itu ada sinar kecewa.  Aku terasa hati dengan semua itu tapi aku tidak boleh begitu. Aku yang memulakan semuanya dan akulah yang harus menjernihkannya kembali. Walaupun aku tahu Adam sudah berjauh hati tapi aku tidak peduli. Walaupun aku harus menjatuhkan harga diriku memujuknya, meskipun aku harus meruntuhkan semua egoku ataupun terpaksa mengemis belas kasih pada suamiku sendiri!

0 ulasan: