BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab13-semalam dalam kenangan

Ain,

Kalau dunia terlalu besar untuk saya bertapak, benarkan saja saya bertapak di sekeping hatimu. Kalaupun hati itu masih luka, benarkan saja saya yang merawatnya. Sapulah airmata yang gugur. Raihlah bahagia. Tangan yang ada ini akan selalu ada untuk Ain genggam di saat kekuatan Ain hilang, di saat Ain perlukan rasa lapang. Saya tahu saya tidak layak untuk memberi nikmat bahagia kerana nikmat itu milik Tuhan..namun, bersamalah kita mengorak langkah mencari erti bahagia itu di alam perkahwinan kita. Saya tidak berharap Ain akan mendahului langkah saya kerana saya takut Ain akan tersesat. Saya tidak mahu menjadi petunjuk jalan bahagia kerana saya takut kita tersalah arah. Bersedialah berjalan di sisi ini agar jalan bahgia itu kita temui bersama.. setiap dari kita berhak kecapinya. Percayalah Ain, airmata bukanlah lagi erti duka..
Sayang,
Adam.

Sekeping warkah yang aku temui di dalam kocek cara melayu berwarna putih yang dipakai Adam semasa nikah tadi, kubaca dengan linangan airmata. Bersungguhkah Adam akan diriku ini? Bilakah dia menulisnya? Lama aku termangu di atas sofa di dalam bilik pengantinku itu. Aku menyandarkan kepala. Menggenggam erat kepingan warkah itu. Aku memejam mata. Mencari makna yang akan menghuraikan pelbagai pertanyaan yang bermain di benakku di balik pandangan yang gelap itu.
Aku mendengar pintu dikuak. Aku yakin itu Adam makanya aku lebih senang tidak membuka mata. Perlukah aku huraikan pertanyaan yang bermacam-macam ini sedangkan aku sendiri tidak bersedia menuturkannya namun jika terus berdiam aku sendiri terasa amat tersiksa? Aku terasa tanganku digenggam. Deruan nafasnya kedengaran dekat di sebelahku. Sungguhpun begitu, aku masih enggan membuka mata. Aku ingin lari dari rasa kurang selesa ini. Aku ingin dia mengerti apa yang aku rasakan saat ini, aku tiada rasa kepastian terhadapnya. Perlukah aku persoalkan soal kejujuran sedang aku sendiri rasa sangsi dengan kejujuranku?
“ Ain..” panggilnya perlahan.
Aku membuka mata. Mengalihkan pandangan ke wajah bersih di hadapanku itu. Aku selalu berharap akan ada rasa getar setiap kali melihat wajah itu. Namun, wajah itu menghadirkan rasa tenang saat panahan matanya masuk ke anak mataku.
Dia mengambil perlahan kertas yang ada dalam genggamanku. Lama dia meneliti pena hasil tulisan tangannya. Kemudian pandangannya bertaut dengan pandanganku.
“ Tak nak bahaskannya?” soalnya bersahaja.
Aku menggeleng seraya mengetap bibir. Seharusnya aku bersyukur kerana Allah utuskan Adam ini untuk menjadi penyelamat dalam hidupku. Apa lagi yang kutunggu dan harap?
Aku memeluknya. Erat. Seolah-olah esok aku akan kehilangannya. Mungkin dia hairan dengan tindakanku yang tiba-tiba itu tapi aku tidak peduli. Aku ingin dia tahu bahawa aku masih merasa takut. Aku ingin dia menuntunku keluar dari rasa takut ini. Aku ingin dia membawaku ke alam bahagia yang hadir tanpa rasa duka. Tahukah Adam apa yang ada dalam hatiku ini?
“ Kenapa ni?” soalnya prihatin. Mungkin dia tertanya-tanya dengan tingkahku begitu.
Dia cuba untuk merenggangkan pelukan. Mungkin ingin mencari perhatianku.
“ Salah ke kita peluk?” soalku dalam nada rajuk. Aku sengaja berkata begitu kerana aku mahu dia tahu yang saat ini aku memerlukannya. Aku mahu kekuatan darinya. Aku takut untuk meniti hari esok. Aku takut aku akan berubah hati. Aku takut aku akan kalah dengan kata hatiku lagi. Esok kami sekeluarga akan bertemu dengan keluarga Ikhwan. Mempertikaikan sebab kejadian hari ini. Lantaran itu aku mahu Adam memberiku kekuatan. Bukan kerana aku hipokrit atau pentingkan diri sendiri tanpa aku bersungguh-sungguh mencari tempatku berpaut dan bersandar.
“ Siapa kata salah? Kan dah jadi kepunyaan Ain..” sahutnya dalam nada mengusik. Sayangnya, usikannya terbiar begitu saja. Aku tidak ada sebarang mood untuk menjawab usikannya itu kerana rasa yang kualami saat ini. Mungkin sedar akan kejanggalan suasana itu makanya dia diam sahaja. Bukan niatku untuk membuatnya terluka atau tidak menghargai apa yang sudah dilakukannya tapi aku ingin menyedarkan diriku bahawa aku telah menjadi kepunyaan seseorang. Yang mana setiap dosa dan pahalaku akan dipersoalkan jika aku enggan mentaatinya.
“ Dah solat tak ni?”
Aku menggeleng.
“ Kenapa?”
Aku melepaskan pelukan. Merona wajahku saat itu kerana jawapanku itu yang mempengaruhinya. Adam memandangku agak lama menanti jawapan untuk kuluahkan.
“ ‘Cuti’..” sahutku antara dengar atau tidak.
Dia menggaris senyuman nakal. Kemudian ketawa. Tawa yang kedengaran amat nakal dipendengaranku. Perasan diri sedang dipersenda, aku menghadiahkannya cubitan di tangannya. Dia mengaduh sakit. Namun, tawanya masih bersisa.
“ Rugilah...” luahnya kecewa dalam gurauan. Mengerti akan maksudnya itu, aku mempamer wajah bersahaja sedangkan dalam hati hanya Allah saja yang tahu betapa malunya aku.
“ Padan muka..”
Adam menjengilkan matanya. Mungkin tidak menyangka aku akan berkata begitu.
“ Dosa tau cakap macam tu pada abang..” jawabnya dalam rajuk.
Aku ketawa manja. Dia mencubit pipiku dengan kuat. Aku menepis tangannya kerana terasa perih dengan cubitannya itu.
“ Ingat teddy bear ke?” rajukku seraya menggosok-gosok pipiku yang jadi mangsa cubitannya.
Dia sekadar tersenyum.
“ Ingat teddy bear ke?” ajuknya lagi. Mengusik.
Aku memukul dadanya. Dia cuba mengelak namun pukulanku mengena. Aku ketawa lagi dengan kemenanganku.
“ Seksanya..”
         Aku mencebikkan bibir.
Padan muka! Beranilah lagi kacau.
Dia meraih kedua belah tanganku. Digenggamnya erat seakan-akan enggan dilepaskan. Dia menghadiahkan ciuman di pipiku, bekas cubitannya yang nampak merah. Aku menundukkan wajah. Terasa panas wajahku dengan tindakannya yang spontan dan romantik itu.
“ Dah tak sakitkan?” soalnya perlahan dalam bisikan dekat di hatiku.
Aku menggeleng seakan-akan terpukau dengan sapaan mahupun renungan matanya itu. Rasa sakit itu hilang. Hilang bersama perasaanku saat ini. Mampukah aku memberinya kesempatan menghadirkan rasa indah dalam hidup? Dia yang datang secara tiba-tiba. Pada saat aku belum bersedia dengan kehadirannya. Mahukah hatiku ini memberi peluang sedangkan aku bukannya dengan mudah memaafkan dan melupakan peristiwa yang merobek hatiku dengan sadis. Sangat sakit rasanya dilukai. Pedih rasanya tertipu. Gila rasanya merawat duka lantas berbaloikah Adam menghulur tangan membawaku pergi dari kucurangan kisah duka ini? Aku sendiri tidak bersedia membuka hati. Aku sendiri tidak pasti mengapa Adam lakukan semua ini. Semuanya aku tidak tahu. Waraskah aku menerima kehadiran seseorang sebagai pendamping hidup yang entah kenal entah tidak ini? Mahukah aku memberi peluang kepadanya sedangkan perasaannya saat menikahiku aku sendiri tidak tahu. Bukan aku tidak mahu menolak atau membatalkan saja perkahwinan ini tapi maruah keluargaku di tanganku. Kalau kuluah, aku akan mati emak. Kalauku telan aku akan mati bapak. Adilkah jika aku pentingkan diri sedangkan berbakti kepada kedua ibubapa itu penting? Tapi mengapa harus mengorbankan perasaan kita Adam?
“ Kenapa selamatkan kita?” soalku perlahan sambil merenungnya dalam. Aku sudah tidak mampu bertahan dengan persoalan yang membelenggu perasaanku.
Lama Adam diam. Namun pandangan mataku dibalasnya. Menghadirkan rasa serba-salah kerana mengutarakannya pertanyaan itu.
“ Kenapa ada di sini waktu kita dinikahkan?” sambungku lagi bila dia masih enggan menjawab. Meskipun wajahnya sudah berubah tegang, aku tidak peduli. Biarlah aku luahkan pada hari pertama aku memegang status isterinya kerana aku ingin membina hubungan semula.
“ Pentingkah untuk jawab semua soalan itu Ain?” dia bertanya dalam nada suara serius.
Aku menarik nafas. Aku perlu berterus-terang.
“ Perlu Adam.. kerana semuanya akan merubah apa yang saya fikirkan..”
“ Tak cukupkah apa yang saya lakukan?” tanyanya mengguris hatiku.
“ Saya tak minta awak selesaikan masalah saya..” suaraku menjadi mendatar. Aku terasa hati. Seolah-olah Adam menganggap aku menarik dia untuk menggenggam bebanku.
“ Bukan itu maksud saya..”
Aku menahan airmata. Tahukah Adam hatiku semakin terluka dengan jawapan yang bersahaja itu?
“ Apapun jua maksud awak, saya buat satu kesimpulan. Saya memberi awak beban..”
Dia menarik tanganku. Entah mahu memujuk atau sekadar menarik perhatianku kerana aku sudah tidak tahan lagi memandangnya.
“ Kan dulu dah pernah confess?”
Aku mengerut dahi. Dia mengaku apa?
“ Bila?” soalku seolah-olah tertarik dengan kenyataan itu.
Dia tersenyum. Nampak ikhlas dan tenang.
“ Pada hari pertama kita berjumpa di sekolah..”
Aku memutar ingatan.
Hah? Waktu dalam kelas?
“ Itu tak romantiklah!” jawabku.
Dia ketawa.
“ Janganlah sedih.. Dahlah sedih tu buat saya kecewa sangat..” pujuknya sambil menarik aku dalam pelukannya.
“ Kenapa?”
Dia mencuit hidungku.
“ Dulu membebel kenapa asyik tanya soalan kenapa..”
“Suka hatilah..” jawabku seraya menjelingnya.
Dia menarik muka. Mempamer muka rajuk yang nampak sangat keanak-anakan.
“ Dahlah tak panggil abang.. kena marah lagi..”
Aku menekup mulut menahan ketawa.
“ Kalaupun belum bersedia beri hati, abang tak kisah Ain.. selagi abang tahu abang mampu laksanakan tanggungjawab, itu masih memadai..”
Aku mati kutu. Hilang suara, hilang bicara, kelu jadinya.
Bukankah sudahku katakan, jangan menabur janji kerana aku takut mendengar.

0 ulasan: