BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab3-semalam dalam kenangan

Rumahku kedengaran sedikit hingar-bingar. Banyak saudara-mara mula datang berkunjung ke rumah untuk meraikan majlis pertunanganku yang akan berlangsung esok. Banyak khemah sudah didirikan. Lebih kurang 6 buah khemah. Sayangnya, fikiranku tidak tertumpu di situ. Bukan memikirkan hakikat yang bakal aku tempuhi esok, tetapi karenah Ikhwan yang tiba-tiba diam. Sejak peristiwa siang tadi, Ikhwan sekalipun tidak menghubungiku. Entahlah. Sama ada Ikhwan mula berpatah arang dengan sikapku yang ketara kurang matang atau entah. Bermacam-macam andaian yang boleh aku fikirkan. Yang pastinya, semua andaian yang buruk bermain di mindaku. Bukannya aku tidak mahu bertolak ansur dengannya tapi aku keliru dengan rasa hatiku. Ini tidak bererti aku tidak bijak membuat pilihan ataupun keputusan untuk diriku sendiri tapi semuanya yang terjadi berlaku dengan tiba-tiba dan datangnya serta-merta.
“ Ain..” panggil abang Haikal, abang kesayanganku ketika pintu dikuak perlahan.
Aku yang sedang duduk dibirai katil memandangnya. Aku mengisyaratkannya masuk. Dia duduk di sebelahku. Melihat sinar matanya yang redup, hatiku berkocak. Mula berubah sayu. Aku mengetap bibir. Bertahan dengan airmata yang sudah mula bertakung di kelopak mataku.
“ Ain.. Kalau rasa hendak nangis, nangislah Ain.. itu tidak bererti kita kalah Ain..” pujuk abang seolah-olah mengerti apa yang bermain di hatiku saat ini. Saat mendengar ucapannya itu, aku menangis semahuku di hadapannya.
“ Kenapa mesti Ain, bang?” soalku dalam suara yang kedengaran serak.
Kudengar abang Haikal mengeluh. Aku bukan berniat supaya abang merasa beban yang kurasakan saat ini tapi aku tiada tempat mengadu. Sejak kecil, abang lebih banyak tempatku mengadu masalah dan abang Haikalku inilah yang lebih banyak mengalah dan mempertahanku.
“ Kali ini abang tak dapat defend Ain lagi..” pujuk abang Haikal.
Aku sekadar mengangguk. Aku teringat kata-katanya semalam. Kata abang, jodoh dari orang tua itu adalah jodoh yang terbaik kerana mereka melihat dengan mata, dengan hati dan dengan iman sedangkan anak muda hanya melihat dengan mata. Kerana kata-katanya yang berbaur pujukan itulah aku tenangkan hati untuk menerima hakikat aku dijodohkan.
Aku terasa jemari abang mengelap bekas airmata yang jatuh ke pipiku. Senyumannya menghadirkan rasa tenang di hatiku. Lama kami diam sehinggalah abang memulakan bicara semula.
“ Esok jari manis ni akan disarung..” usiknya sambil memegang tangan kiriku.
Aku sekadar tersengih. Aku hairan mengapa abang Haikal belum mahu beristeri lagi. Mungkin kesilapan masa lalunya mencintai tunangnya yang curang itu menjadi penghalang atau entah. Aku tidak mahu bertanya lagi. Aku tidak mahu membuka lembaran lukanya kerana aku tahu abang memang cukup tabah menghadapi segala rintangan. Aku tahu. Rasa sabar yang dipunyainya itu adalah kesabaran yang ada pada abah. Entah, kenapa aku tidak punya rasa itu. Aku lebih senang memberontak walaupun aku tahu rasa protesku itu bersifat kebudak-budakan.
“ Dahlah.. tidur.. okey?” suruhnya seraya mencium dahiku.
Aku tersenyum. Sayu. Mungkin selepas ini aku akan ada masa bersama dengan abang lagi?

Pagi itu aku dibangunkan awal oleh mama. Mama mendesak aku supaya bergegas mandi kerana jurusolekku sudah datang. Dengan langkah malas aku berlalu ke bilik mandi. Beberapa minit kemudian aku keluar dari situ. Aku bersiap memakai baju t-shirt dan aku mula disolek. Aku memandang sepi baju yang akan aku pakai untuk majlis pertunanganku sebentar lagi. Baju kurung berwarna ungu muda dihiasi manik-manik kecil berwarna merah jambu. Cantik! Tersangat cantik. Tapi, ianya tidak secantik rasa hatiku saat ini. Berbaur perasaanku dengan bermacam-macam rasa.
         Aku memandang diriku ke dalam cermin setelah selesai disolek. Aku memakai baju kurung yang disediakan mama untukku. Agak lama aku berdiri berhampiran cermin itu.
         Akukah yang sedang berdiri?
         ‘ Belajarlah untuk tersenyum, Ain..’ bisik hatiku.
         Aku menggigit bibir. Rasa bersalah kepada abah dan mama yang telah banyak berkorban untukku. Bukankah ini peluangku untuk membalas jasa mereka kepadaku? Dengan memberikan mereka kebahagian. Bukannya kesedihan? Apa salahnya jika ini adalah jalan terbaik yang mereka tentukan untukku?
         Aku berlalu duduk di atas sofa berdekatan dengan katilku. Suara riuh di bawah kedengaran hingga ke bilik tidurku.
         Rombongan pihak lelaki sudah datang.
         Aku jadinya tertanya-tanya dengan hatiku sendiri. Bagaimana rupa bakal ibu mertuaku nanti?
Pintu dikuak perlahan setelah salam diucap. Aku membetulkan tudungku sedikit setelah nampak bakal ibu mertuaku masuk. Wajahnya menyentuh hatiku. Amat polos hingga menjalar rasa bersalah saat fikiranku menerawang memikirkan Ikhwan.
         Puan Syazana. Itu nama bakal ibu mertuaku.
         Aku menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Dia menyambut salamku, seraya mencium pipi dan dahiku. Aku amat tersentuh dengan tindak balasnya. Amat terasa rasa keibuannya. Patutlah Ikhwan tidak membantah dengan keputusan yang dibuat oleh keluarganya.
         “Ikhwan kirim salam..” usiknya mesra.
         Aku tersipu malu seraya menundukkan wajah.
         Jemariku mula dicapainya. Dia mula menyarungkan sebentuk cincin emas putih terhias permata kuning dan merah jambu. Hatiku tertarik dengan ukiran cincin itu. Tidak semena-mena airmataku menitis. Satu ciuman singgah di dahiku. Selesainya saat menyarungkan cincin itu, rasmilah sudah aku menjadi tunangan Ikhwan. Saat yang indah ini dirakam dengan bunyi petikan kamera. Aku tersenyum mesra bergambar dengan bakal ibu mertuaku dan mama.
         “ Ibu nanti majlisnya ya Ain.. Sebulan..” khabar Puan Syazana yang mula membahasakan dirinya ibu kepadaku.
         Aku menelan liur. Sebulan? Tidakkah itu terlalu cepat?
         “ Seperti yang Ikhwan katakan..” sambung ibu lagi bagaikan tahu apa yang bermain difikiranku saat itu.
         Aku hanya mampu mengangguk. Tidak tergamak memprotes saat terpandang wajah ibu di hadapanku. Tidak lama selepas itu, mama dan ibu serta sanak saudara yang masuk mula keluar dari bilikku. Meninggalkan aku seorang diri.
         Aku memandang sepi cincin yang baru sahaja tersarung di jemariku. Fikiranku melayang memikirkan Ikhwan. Aku pantas mencapai telefon bimbit dan menghubungi Ikhwan.
         “ Assalammualaikum..” sapaku saat panggilan dijawab.
         Kudengar salamku dijawab.
         Aku menelan liur. Cuba mencari kekuatan untuk memulakan bicara.
         “ Terima kasih..” ucapnya gembira.
         “Untuk apa?” soalku kebingungan.
         “ Kerana terima saya..”
         Aku ketawa kecil.
         “ Macamana awak tahu?” tanyaku. Mengusiknya.
         Dia tidak menjawab. Tapi membalasnya dengan tawa.
         “ Sebulan ni lambatlah.. Nak cepat sangat peluk awak..” usiknya pula.
         Aku tersentak.
         “ Bagusnya..” perliku.
         Dia ketawa nakal.
         Tidak lama kemudian kami diam. Agak lama. Yang kedengaran hanya deru nafas. Aku tidak tahu mahu berbicara apa. Mungkin masih terasa hati dengan peristiwa semalam atau entahlah.
         “Ain..” panggilnya.
         Aku hanya diam.
         “ Semalam, dia Cuma masa lalu Ain..” pujuknya.
         Aku menelan liur. Menanti dia meneruskan kata.
         “ dan awak sekarang.. adalah masa depan saya..”  ucapnya dalam suara yang kedengaran seperti berbisik.
         Lidahku bagaikan kelu jadinya. Aku memejam mata. Berharap agar ucapan itu singgah di hatiku.
         Benarkah Ikhwan memaksudkannya?

0 ulasan: