BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 5 Februari 2011

bab 24- vila bahagia (ilham dari full house)

             Pagi yang cerah itu, aku dan Iman mengambil keputusan untuk menziarahi Nenek Huda. Kalau bukan atas desakan Iman, aku tidak akan terpacak di hadapan tangga rumah beliau. Suasana rumahnya seram dan menghadirkan rasa kurang senang kepadaku. Di bahagian belakang rumah ada hutan kecil tapi masih menyeramkan. Sungguhpun senibinanya menarik tapi aku enggan tertarik kerana keadaan sekelilingnya begitu.
        “ Betulkah kita nak masuk ni?” soalku pada Iman yang sudah berdiri di sebelahku. Berkali-kali kurasa meremang bulu romaku. Meskipun ada beberapa buah kereta tersadai namun keadaan masih sunyi. Mungkin mereka berada di dalam rumah.
        Pintu dikuak. Keluar seorang lelaki yang kelihatan sopan dengan songkoknya. Dia mengukir senyum.
        Iman menggenggam tanganku.
        Aku menolehnya sekilas tapi wajahnya serius.
        “ Anak Haji Maaruf?” soal lelaki itu.
        Aku mengangguk.
        Dia senyum lagi.
        “ Masuklah... Nenek Huda tengah berubat..” khabarnya.
        Aku menelan liur. Demi saja pintu itu terkuak luas, aku terdengar jeritan suara seorang perempuan. Sesekali suaranya berubah garau dan sesekali bunyi tangisan kedengaran. Mendengar bunyi yang pelbagai itu, aku tidak jadi melangkah.
        “ Kami tunggu di luar saja...” ucapku perlahan.
        Iman mengangguk-angguk. Dia tahu Humairaa takut pada keadaan itu. kalau boleh, dia mahu Humairaa rasa keberadaannya bersamanya di kampung ini adalah untuk menjaga dan melindunginya dari apa sekalipun. Dia mahu rasa dihargai oleh Humairaa.
        “ Baiklah..” jawab lelaki itu.
        Diam lagi.
        “ Kita sembang-sembang saja di bawah pohon itu...” ajaknya lalu kami mengikuti langkahnya dengan pantas.
        Aku duduk rapat di sebelah Iman. Memang aku rasa kurang selesa dengan keadaan di rumah ini. Namun aku terpaksa. Aku mesti menjernihkan pertelingkahan yang wujud di antara Nenek Huda dengan kedua ibubapaku meskipun ibubapaku telah tiada. Lantaran itulah aku nekad pulang meskipun aku belum pasti dengan penerimaan Nenek Huda terhadapku.
        “ Kalau boleh kami tahu, kenapa dengan nenek?” soal Iman sopan, membuka bicara.
        Lelaki itu tersenyum nipis.
        “ Saya Kamarul...” perkenal lelaki itu tanpa dipinta.
        Kami tidak menjawab. Mengangguk tidak, mengiakan pun tidak.
        Keluhan berat dilepaskannya. Seolah-olah dia sedang menanggung permasalahan yang sangat sakit untuk diganding pada bahunya.
        “ Memang berat rasanya hendak ceritakan segalanya. Memandangkan kita sama-sama cucu nenek, saya ceritalah..” sambungnya memulakan kata.
        “ Sejak sebulan dua ini, nenek selalu sakit. Meracau. Marah-marah, terjerit sana-sini. Mula-mula kami ingatkan nenek sakit mental sebab terlalu rindu pada arwah pak cik Maaruf tapi ternyata tak. Berulang kali saya dan keluarga yang lain bawa nenek pergi hospital tapi doktor kata nenek sihat. Sebab itu saya rasa hairan. Saya cubalah kaedah kampung. Panggil orang yang pandai..” lebar dia bercerita kepada kami. Menarik dan sesekali terasa seram.
        “ Rupanya.. nenek bela saka...” khabarnya perlahan.
        Aku tersentak mendengar khabar yang mengejutkan itu. Rasa melayang pelbagai rasa. Itulah antara benda yang paling membuatkan aku rasa kurang senang. Meskipun dunia sekarang sudah moden, kalau didengar sekali memnag susah hendak percaya akan wujudnya perkara ini lagi tapi memandang aku pernah mempelajari mengenainya dalam mata pelajaran Usuluddin dulu, makanya aku tidak hairan kalau ia masih diamalkan.
        “ Masalah nenek sekarang apa?” soal Iman.
        Kamarul tersenyum payah.
        “ ‘Benda’ itu hendak waris...”
        Aku menelan liur.
        “ Tak nak panggil ustaz?” tanya Iman lagi tidak berpuas hati.
        Kamarul menghela nafas berat.
        “ Saya dah tak tahu nak panggil ustaz mana lagi...” jawabnya seakan-akan sudah berputus asa.
        Aku dan Iman saling berpandangan.
        “ Yang.. macamana ni?” soal Iman separuh berbisik.
        Aku mengangkat bahu. Aku lagilah mati kutu sebab tak pernah berdepan dengan situasi sebegini sebelum ini. Meskipun aku tidak pernah membesar di hadapan nenek apatah lagi sejauh ini aku belum lagi memandang wajahnya namun aku telah terasa bertanggungjawab atas keadaan yang menimpa nenek.
        “ Abang cuba call seseorang dulu..” Iman meminta diri sebentar.
        Aku mengangguk.
        Iman sudah jauh melangkah mendekati kereta. Di situ dia sedang membuat panggilan entah kepada siapa.
        Deheman seseorang mengalihkan pandanganku.
        “ Ya?” soalku perlahan.
        Insan di sebelahku itu tersenyum.
        “ Boleh saya bertanya?” soalnya sopan.
        Aku menanti pertanyaannya tanpa memberi sebarang persetujuan.
        “ Dah berapa lama kahwin?”
        Aku diam seketika sebelum menjawab.
        “ 3 bulan lebih..” jawabku.
        Dia mengangguk-angguk.
        “ Awak nak tahu sesuatu?”
        Pertanyaan itu kedengaran menarik.
        “ Saya pernah nak dijodohkan dengan awak..”
        Aku tersentak. Rupanya dia yang dijodohkan dengan aku seperti yang dionarkan oleh mak cik yang berada di warung semalam.
        “ Jadi, maksud awak?” soalku pula.
        Rupanya berubah serius.
        “ Tak nak turutinya?”
        Aku hampir terlopong mendengar pertanyaan maut itu. Bodoh sungguh rasanya dia bertanya soalan itu.
        “ Saya dah kahwin Encik Kamarul..” jawabku dengan suara yang sudah ketara berubah nada. Hampir menuju ke nada kasar. Caranya seolah-olah mempersendakan aku.
        Dia tersenyum sinis.
        “ Awak bahagia dengan lelaki yang sibuk dengan duit itu?” soalnya lagi.
        Aku mengetap bibir. Berusaha menahan rasa marah yang sudah cuba merasuk hati.
        “ Itu pilihan saya dan awak tak berhak campur tangan soal peribadi saya!” jawabku garang dalam suara yang tertahan dan segera berlalu dari situ dengan perasaan sebal.

0 ulasan: