BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Februari 2011

bab 3-selendang biru


“ Cantik betul rumah kita ni..” puji Izzah dengan bangga. Pagi itu, aku dan Izzah menapak di rumah sementara kami seperti yang diceritakan oleh Tok Salim dan Mak Siah semalam. Memang sangat cantik seni binanya. Tak juga besar dan tak juga kecil. Memadainya untuk keluarga kecil yang inginkan suasana sederhana, berdiam di dalamnya.
“ Terima kasih..” ucapku pada lelaki yang menemani kami ke sini.
Dia sekadar tersenyum.
“ Ustaz, kalau tak jadi masalah, boleh temankan kami ke pekan petang nanti?” tanya Izzah tanpa segan. Aku pula yang rasa serba-salah dan kurang senang dengan permintaan Izzah. Padahal, Ustaz Syahazri itu sudah banyak menolong kami hari ini.
“ Insya Allah, kalau saya tak ada halangan..” jawabnya bersahaja.
Tanpa membuang waktu, aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Saat pintu kukuak, wajahku tiba-tiba disapa angin sepintas.
Aku tersentak. Mati seketika segala perjalanan pemikiranku. Berdebar rasa dan tak tentu halanya.
Apa itu?
“ Kenapa Khal?” soal Izzah yang sudah ada di belakangku.
Aku menggeleng.
“ Beri salam dulu. Setiap rumah, ada malaikat yang menjaga di dalamnya..” Syah bersuara yang sedang membantu Izzah membawa barang-barang kami.
Aku terdiam kaku. Ternyata aku lupa pada yang pernah aku pelajari dulu di sekolah agama. Kerana rasa kurang senang, aku mempercepatkan diri masuk ke dalam rumah dan meneliti isi dan ruang yang ada.
Bingkai potret sebuah keluarga yang tergantung sepi itu kupandang. Suram sekali lakarannya dan bagaikan ada terpendam rahsia pedih di baliknya.
“ Kau pandang apa Khal?” soal Izzah.
“ Tu..” tunjukku di satu arah.
Dahi Izzah berkerut.
“ Apa?” tanyanya lagi.
“ Gambar..”
Izzah menggeleng.
Gambar apa yang Khalilah lihat? Ruangan itukan kosong tanpa sebarang benda?
“ Kalau pun kau nak buat lawak, jangan waktu macam ni. Okey?” perli Izzah lantas dia berlalu menuju ke biliknya.
Bibir kuketap kuat. Izzah ingat aku main-main ke?
“ Khalilah..” suara lelaki muda di belakangku kedengaran.
Aku menoleh.
“ Ya?” soalku dalam pandangan yang sekejap saja bertamu pada anak matanya.
“ Kalau rasa kurang selesa, ingatlah.. Allah dan rasul sebagai pembela..”
Aku menelan liur.
Apakah dia juga merasakan kelainan yang baru saja aku rasai saat ini?
“ Sejauh ini, tempat ini selamat untuk awak dan Izzah berteduh..” sambungnya.
Aku mengangguk, menghormati kenyataan yang disampaikannya. Dimataku, dia memang baik. Biarpun baru beberapa hari mengenalinya, tapi tingkahnya membuatkan aku segan dan hormat kepadanya. Jarang sekali aku merasakan tingkah lelaki begitu bila bersapa denganku. Contohnya saja, Affendy kekasih hati zaman universiti. Hingga sekarang, dia masih belum menghubungiku. Entah out station atau sedang melaram ke kelab malam. Bukanlah niatku berburuk sangka, tapi baru-baru ini saja dia ketahuan curang di belakangku. Untuk saat ini, aku diamkan saja. Tapi kalau ia berulang lagi, aku tidak akan memaafkannya. Berbeza dengan Ustaz muda ini, dia lebih cenderung kepada menasihati dan aku terasa dilindungi. Baru aku tahu bahawa dia adalah anak angkat Tok Salim dan Mak Siah. Dan dari cerita yang Izzah beritahu, dia mengajar di sekolah hujung kampung.
Alahai.. menyesal juga aku masuk bilik awal semalam.
“ Selalu awak termenungkan?” usik Syah tiba-tiba.
Aku yang tersedar dari lamunan, menunduk malu kerna ditegur begitu.
“ Jangan biarkan jiwa kosong, Khalilah..” pesannya sambil meneliti ruangan rumah itu. Mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Sekejap dia mempamer wajah keras dan kemudian beralih tenang. Di ruangan yang tadinya aku terlihat bingkat gambar itu dilewatinya dengan lama dan tiba-tiba saja pandanganku kepada objek itu hilang.
Aku tersentak. Meremang dengan tiba-tiba bulu romaku dengan kejadian itu. Bermimpikah aku sedangkan matahari sudah melewati?
“ Isi hati dengan zikir. Ingatlah, zikir itu pohon ibadah..” pesannya lagi dalam senyuman.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

“ Isi hati dengan zikir. Ingatlah, zikir itu pohon ibadah..”

saya minta izin copy dan paste qoute owner ni ye.. :)

Tanpa Nama berkata...

“ Isi hati dengan zikir. Ingatlah, zikir itu pohon ibadah..”

minta izin copy qoute penulis seperti di ats ni ye.. tQ