BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 14 Februari 2011

Bab 30-Vila bahagia (ilham dari Full house)


Iman memandangku sekilas yang sedang resah menanti keputusan pemeriksaan. Tekakku masih terasa mual dan sudah beberapa kali isi di dalam perut aku muntahkan. Mungkin kerana belas Iman, makanya aku sekarang berada di ruang rawatan. Walaupun rasanya lelah dan lemah namun aku kuatkan jua diri kerana tidak mahu tewas dengan kebaikan Iman.
        “ Puan Farah Humairaa...”
        Aku pantas mendongak saat namaku diseru. Jururawat itu tersenyum mesra padaku. Tanganku ditarik Iman dan diajaknya aku pergi memasuki bilik doktor yang tadinya merawatku.
        Kami dipelawa duduk. Berseri-seri wajah doktor perempuan di hadapanku dan tingkah itulah semakin membuat aku tertanya-tanya.
        “ Tahniah.. awak berdua akan jadi ibu dan bapa..” khabar doktor itu dengan tiba-tiba. Tersentak kuat hatiku saat mendengar khabar itu. bercampur baur yang kurasa kerana aku tidak pasti sama ada aku gembira dengan kenyataan ini atau sebaliknya.
        Aku memandang Iman di sebelahku yang nyatanya masih pada riak terkejut. Dia membalas pandangan dan akhirnya dia mengukir senyuman lebar.
        “ Yahoooo... saya akan jadi daddy..” jeritnya sedikit kuat dengan rasa gembira.
Aku menelan liur. Rasa kurang senang juga pada doktor dengan reaksi Iman yang nyatanya tidak menjaga tingkahnya. Kerana rasa itulah, aku menepuk lengannya sedikit kuat.
        “ Janganlah jerit.. malulah..” tegurku berbisik.
        Dia melepaskan tawanya.
        I’m happy..” beritahunya padaku dengan senyum lebar.
        Aku tersenyum kelat.
        “ Encik Iman.. saya nasihatkan agar isteri selalu menjaga kesihatan dan makan minumnya.. dan datanglah setiap bulan untuk pemeriksaan..” ucap doktor itu lagi.
        Aku sekadar mendengar dengan tekun tanpa menambah sebarang pernyataan mahupun sebarang pertanyaan.
        “ Sekali lagi, tahniah..” ucapnya mengakhiri pertemuan kami.
        Aku dan Iman mengucapkan terima kasih dan segera beredar dari bilik itu. Genggaman tangan Iman semakin erat hinggalah dilepaskannya untuk masuk ke dalam kereta. Senyuman Iman masih belum lekang hingga membuatkan aku rimas dengan tingkahnya itu.
        “ Boleh tak jangan buat muka macam tu.. meluatlah..” tegurku dengan selamba saat kereta sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah sakit itu.
        Iman mengerlingku sekilas dan hanya kubalas dengan jelingan.
        “ Awak tak happy nak jadi mummy?” tanyanya sinis.
        Aku menarik muka. Terasa hati dengan pertanyaan itu. tiba-tiba pula rasa sensitif dengan soalan yang nadanya selaluku dengar. Lantaran itulah aku mengambil keputusan untuk tidak menjawabnya.
        Iman kudengar mengeluh. Keluhannya terdengar berat. Aku memejam mata dan duduk bersandar. Malas rasanya mahu melayan bicara Iman.
        “ Yang..” panggil Iman perlahan. Tersentuh hatiku dengan nada panggilannya. Sudah lama Iman tidak memanggil aku begitu. Tapi, aku masih enggan bergerak mahu menyahut.
        “ Kalau masih marah pasal hal semalam, abang minta maaf..” sambungnya lagi. Kali ini dengan nada memujuk.
        Aku mengetap bibir kuat. Dapat aku rasakan airmata sudah bermain di tubir mataku. Perlahan ia menitis lagi. Amat tersentuh hatiku dengan nada kesungguhannya. Egokah aku pada perasaanku sendiri? Hipokritkah aku membiarkan Iman terus-terusan merayu? Salahkah aku korbankan saja perasaan ini demi anak kami yang bakal lahir nanti?
        Tanganku disentuh. Aku membuka mata dan memandangnya. Sejak berkahwin dengannya, dapat kukira berapa kali aku memanggilnya dengan panggilan abang. Panggilan terhormat yang seharusnya kuucap padanya. Tapi kali ini, ia muncul dari bibirku dengan hati yang ikhlas.
        “ Jangan cakap banyak.. buktikan saja kalau abang benar maksudkannya..” jawabku akhirnya dengan pasrah.
        Senyuman Iman terpancar.
        Aku membalasnya.
        Aku mengisyaratkannya untuk memandu dengan baik. Takut nanti disaman pula lagi macam kes dulu.
        Iman tersengih nakal.
        I love you..”
        Tiga perkataan itu meresap jauh ke dasar hati kecilku yang maha dalam. Aku memejam mata. Berharap agar nikmat makna perasaan itu terserap jauh menyemai angan dan membina impian.

0 ulasan: