BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Februari 2011

Prolog-selendang biru


Selendang Biru_
[ Warnanya mengelirukan kenyataan yang terpendam, lembutnya membuai angan yang nyatanya satu pembohongan]

         Prolog

         Peeeettt!
Bunyi hon yang agak panjang dan nyaring itu mengejutkan aku dari lena yang panjang. Dengan memisat-misat mata, aku mengarahkan pandanganku ke jam dinding. Hampir terjatuhku dari katil saat terpandang jam sudah menuju ke angka 11 pagi. Aku pantas menuju ke jendela. Aku yakin Ummi Izzah yang datang menjemputku itu sudah datang. Aku memberi isyarat tunggu sebaik saja Izzah terpandangkanku. Dia sempat menjelingku sebagai tanda protes atas keterlewatanku itu. Aku bergegas menuju ke bilik air dan bersiap.
Lebih kurang dua puluh minit kemudian, aku membolosi diri ke dalam kereta kesayangan Izzah. Tanpa ucapan salam, aku terus memohon maaf atas keterlewatanku itu.
“ Kenapa kau lambat?” semburnya sambil memandu kereta.
Aku ketawa kecil mendengar dia yang sudah mula membebel.
“ Khalilah! Aku tengah marah ni!” sambungnya lagi seraya mencubit lenganku.
Aku mengaduh kesakitan.
Sorrylah.. Aku tidur lewat semalam..” jawabku sambil mengurut lenganku yang terkena cubitannya.
Aku tahu, hari ini kami terpaksa berangkat ke kampung pedalaman untuk membuat kaji selidik kehidupan hal ehwal kebajikan perkampungan itu atas arahan pihak atasan kami memandangkan kami di bahagian kebajikan penduduk. Jika kehidupan mereka baik, kami tidak akan membuat sebarang perubahan akan tetapi jika sebaliknya pula, kami terpaksa membuat laporan atas kekurangan yang ada pada kampung itu nanti. Disebabkan ke kampung pedalaman itulah aku enggan membawa kereta kesayanganku ke sana. Tambahan lagi, kali ini kami diarahkan menetap di kampung itu selama hampir satu bulan untuk ambil tahu selok-belok kemajuannya. Ini bertujuan agar kampung yang agak jauh dari bandar itu dapat diiktiraf sebagai pusat pelancongan kalau ia memadai.
Kereta Nissan Fairlady 350z hadiah dari mama itu amat benar kusayangi. Ia kujaga dengan sepenuhnya. Memandangkan kampung itu agak terpencil dan agak dalam di dalam tempat yang tebal dengan hutan, makanya aku tinggalkan saja kereta sport itu di garaj.
Aku takut tercalar!
Meskipun aku masih boleh meminjam kereta abah atau mama, namun disebabkan kebetulan Izzah juga ditugaskan di sana, aku tumpang mewahlah!

Lebih kurang 3 jam perjalanan kami sampai ke kampung yang kami tuju. Penatnya amat terasa kerana kami bergilir-gilir memandu kereta demi untuk sampai ke destinasi yang kami maksudkan. Kami mencari-cari rumah ketua kampung. Aku yakin setelah ini pasti Izzah akan merungut kerana banyak kali keretanya terkena percikan air lumpur.
Selamat kereta aku! Tawaku dalam hati.
         “ Agaknya, ini rumah ketua kampung.. ” kataku kepada Izzah yang sudah memperlahankan gerak kereta yang dipandunya.
         Dia sekadar mengangguk. Setuju dengan kata-kataku. Pantas keretanya membelok ke simpang yang aku sarankan itu. Dari dalam kereta, pandangan mataku liar memandang sekeliling. Suram sekali suasananya dan membuatkan aku tertanya-tanya. Kenapa hampir kesemuanya berwajah muram? Berselisih di sebalik kereta pun tidak ada seorang penduduk kampung yang mengukir senyuman membuatkan aku rasa tidak selesa untuk datang ke sini.
         Tanganku disiku Izzah.
         Aku menoleh.
         “ Kenapa?” tanyaku ingin tahu.
         “ Kenapa kedatangan kita macam tak dialu-alukan ya?” soalnya kebingungan.
         Aku mengangguk. Amat setuju sekali dengan kenyataan itu.
         “ Mereka maklum tak dengan kedatangan kita ni?” soalku inginkan kepastian meskipun aku sudah tahu akan jawapannya. Hari sebelumnya kami sudah diberitahu bahawa kampung ini sudah maklum akan kedatangan dan tujuan kami. Lihat dari keadaan sekeliling, aku tidak dapat bayangkan sama ada aku akan betah tinggal di sini atau tidak. Pokok ara ada dimana-mana dan hampir di pinggir jalan.
Menyeramkan!
“ Dahlah.. jom kita keluar..” ajak Izzah mematikan andaianku yang bagaikan tak masuk dek akal. Dia memakirkan keretanya di hadapan rumah kayu besar yang sungguh unik seni binanya. Ada beberapa orang berada di sekitar rumah itu. Pasti inilah agaknya rumah ketua kampung.
Aku membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Hairan juga melihat kebanyakkan mereka memakai pakaian melayu dan berbaju kurung di hari-hari biasa ini. Sesekali pandangan bertaut, aku hanya mampu tersenyum kelat. Riak mereka memandang aku dan Izzah melahirkan perasaan kurang senang. Tapi kupujuk rasa hati. Mungkin ini reaksi dari kehadiran orang luar atau lebih tepat lagi orang bandar!
Mataku terpaku ke satu susuk tubuh. Dari cara dan gaya si pemuda itu berbicara, sangat bijak dan menawan. Lagaknya berbicara bagai seorang mu’alim yang sedang bercerita sesuatu ilmu yang amat berguna untuk diajarkan.
Pandangannya bertaut dengan pandanganku.
Aku tersentak. Lantas pantas saja aku mengalihkan pandangan.
“ Assalammualaikum…” sapa Izzah bila kami sedar ada seorang pak cik yang sudah hampir lanjut usia menghampiri kami.
Salam kami dijawab sopan.
“ Pegawai kebajikan penduduk agaknya?” soalnya ingin tahu.
Bagi pihak, aku turut sama mengangguk.
Pak cik yang memperkenalkan dirinya sebagai Tok Salim itu mencorak senyuman di bibir.
“ Jemputlah naik dulu..” pelawanya kepada kami.
Aku dan Ummi Izzah saling berpandangan. Tidak lama kemudian kami mengangguk. Ummi bersuara lagi bila Tok Salim sudah berlalu menaiki anak tangga.
“ Khal.. jomlah..” ajak Izzah sambil menarik tanganku.
Saat ingin menaiki anak tangga itu, sekali lagi pandangan mataku bertembung dengan pemuda itu. Aku mengukir senyuman dan terus masuk ke dalam rumah Tok Salim tanpa menunggu senyumanku dibalas.

0 ulasan: