BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 11 Mac 2011

Bab 10-selendang biru

            Masih terlalu pagi lagi untuk aku memulakan tugas seperti yang telah kami rancangkan dan bincangkan semalam bersama dengan Tok Salim. Ayam pun baru saja berehat dari berkokok panjang dan embun masih lagi di hujung rumput. Kedinginan pagi di kampung ini masih terasa menggigit tulang walaupun tubuh terbungkus dengan selimut tebal. Dengkur suara Izzah masih kedengaran dan hanya aku yang terkebil-kebil memandang siling. Sejak hari itu, Tok Salim tidak membenarkan kami pulang semula ke rumah penginapan kami dulu kerana ada hal yang ingin dia sampaikan. Lantaran peristiwa itu juga, aku merasa saat bersendirian seperti sedang diperhatikan dan sepertinya sedang diawasi.
         “ Izzah..” panggilku perlahan.
         Izzah masih begitu. Malah, dia menarik selimutnya lagi hingga ke leher. Aku melepaskan keluhan. Aku bangun dari tempatku berbaring dan duduk di tepi katil. Fikiranku melayang jauh memikirkan ummi di rumah. Entah apa agaknya yang sedang ummi lakukan. Mungkin ummi sibuk sedang perancangan perkahwinan abang Izwan. Tak sangka pula yang abang akan melangsungkan perkahwinan secepat ini. Bila tempoh itu tiba, aku terpaksa jua pulang ke rumah kerana itu permintaan abang memandangkan aku menolak untuk berkahwin dengan Effendy terlebih dahulu. Lagipun, bagaimana aku hendak menerima Effendy sedangkan dia masih belum merubah tingkahnya. Hendak dikatakan aku tidak bertolak-ansur, sudah banyak aku mengalah.
         Teet! Teet! Teet!
         Loceng dari telefon bimbitku berbunyi. Berulang kali hingga akhirnya dimatikan oleh Izzah bersama dengusan marah.
         “ Kau ni, dengar bunyi tu tolonglah matikan..” marahnya dalam suara yang garau.
         Aku tersengih sambil menutup hidung.
         Izzah pantas bangun, menjengilkan matanya dan memukul lenganku sedikit kuat. Tawaku lepas kerana berjaya mengusiknya seawal pagi itu.
         “ Pagi-pagi lagi kau dah cari pasal!” marah Izzah seraya mencubitku. Aku mengaduh sakit dan mula membuat muka rajuk. Lantaran mahu melayan rasa rajuk, aku bangkit dari katil dan menuju ke bilik air bersama tuala di tangan dengan hati yang sebal.
         “ Marajuklah tu..” usik Izzah.
         Aku hanya menutup daun pintu dengan kuat. Biar Izzah tahu yang aku memang sedang menahan rasa rajuk. Aku sengaja begitu kerana selama ini Izzah tidak pernah sekalipun memujukku. Katanya, aku memang jenis yang bukan suka merajuk. Sebenarnya, Izzah hanya membeli jiwaku agar aku tidak begitu saja. Aku bukan tidak faham dengan tekniknya itu tapi biarlah. Merajuk pun tak ada gunanya. Bukannya nampak manja tapi menyampah!
         Aku tersenyum sendiri dengan kesimpulan yang kubuat itu. Aku menyangkutkan tuala mandi di tempat penyidaian dan memulas pili air.
         Mak!! Dingin sangat mencucuk ke tulang!
         Aku tidak mengambil masa yang lama berdiri di bawah pili air itu kerana sejuk benar. Lekas-lekasku membersihkan diri dan mengambil tuala semula membalut tubuh. Aku menghampiri sinki untuk memberus gigi dan mencuci muka. Aku memandang diri ke dalam cermin.
         Aneh!
         Ada bayangan sesusuk tubuh yang jauh di dalam cermin itu. Lantaran tidak mahu tertanya-tanya, aku menoleh ke belakang.
         Tiada!
         Meremang bulu romaku.
         Sekali lagiku melihat ke dalam cermin, ada bayangan rumah tempatku dan Izzah menginap beberapa hari yang lalu. Isi di dalam cermin itu menunjukkan satu jalan cerita yang aneh. Berulang kali kumenggosok mataku tapi ceritera itu masih terus bermain. Ada seorang perempuan tua membawa satu peti kecil dan diletakkan di atas almari di bilik makan.
         Aku ingat!
         Memang ada almari di situ. Berhampiran dengan potret yang tergantung dan yang hanya aku saja melihat kerana Izzah mendakwa dia satu pun tidak nampak. Perempuan di dalam cermin itu mengisyaratkan aku supaya mengambilnya.
         Aku menggeleng. Seolah-olah terpukau lalu menjawab isyarat itu. Perempuan itu wajahnya berubah garang. Dia menayangkan pisau belati di tangannya dan menoreh tangan kirinya. Bertitisan darahnya memercik.
         Aku terkelu. Lantaran hati berdebar sesungguhnya, aku cepat-cepat membuka pintu bilik air tanpa suara. Aku melabuhkan punggung di atas katil dengan rasa kekagetan yang amat.
         “ Kau okey, Khal? Muka kau pucat sangat?” soal Izzah cemas.
         Aku tidak berkutik walau sesaat. Fikiranku masih memikirkan kisah di dalam cermin itu.
         Mengapa dia mahu memberikannya kepadaku?
         Bahuku disentuh, aku terperanjat.
         “ Kau kenapa? Macam nampak hantu..” bebel Izzah.
         Aku menelan liur dengan payah. Aku menggeleng-geleng, berharap hilang pertanyaan di benak Izzah.
         Izzah merengus kasar seraya berlalu menuju ke bilik air.
         Aku mengetap bibir.
         Kenapa sejak kebelakangan ini, aku selalu dihantui peristiwa aneh? Sejak aku datang ke rumah itu!
         Ting Tong!
         Ada nada dering mesej masuk ke telefon bimbitku. Aku tersedar dari pemikiran rumit dan mencapai telefon bimbitku di atas meja kecil.
         ‘Ilah.. ummi nak Ilah balik hari ini sebab abang dah start nak buat majlis, kalau Izzah tak dapat hantar, ummi akan suruh Pak Wahid ambil Ilah di sana..’
         Aku merenung pesanan ringkas yang dihantar ummi. Abang dah nak buat majlis? Kerja satu pun belum selesai lagi. Kalau aku balik pun, macamana dengan Izzah? Aku datang ke sini pun satu kereta dengan Izzah. Tidakkah itu nanti akan menyusahkan Izzah pulak?
         “ Kenapa?” soal Izzah yang tiba-tiba sudah ada di sebelahku.
         Aku terkejut kecil dengan sikap selambanya itu. Dia masih boleh tersengih lagi melihat aku yang sudah mengerutkan muka.
         “ Ummi suruh aku baliklah..” jawabku.
         Izzah sudah menarik muka.
         “ Kerja kita?”
         Aku mengangkat bahu.
         “ Lepas kita research hari ini, aku baliklah. Lepas habis majlis, aku balik lagi sini..” balasku memberi cadangan.
         Izzah diam sebelum menjawab. Dia sibuk menyarung pakaian ke tubuhnya dan bersiap ala kadar. Dia kembali memandangku semula dengan penampilan yang sudah kemas. Rambutnya yang separas bahu itu disikatnya rapi.
         “ Okey.. tapi tak lewat sangat nanti kau balik tu?” soalnya pula.
         “ Malamlah agaknya, Pak Wahid yang ambil..”
         Izzah tiba-tiba tersenyum nakal. Dia duduk kembali di sebelahku.
         “ Hah, kenapa pulak ni?” gertakku dengan sengaja.
         Dia menayangkan giginya yang putih.
         “ Balik malam nanti, suruhlah ustaz tu yang hantar..” bisiknya di sisi.
         Aku hampir saja terjerit dengan cadangan nakalnya itu.
         “ Kau gila!” marahku sambil mencubit tangannya.
         Izzah mengkekek ketawa. Aku sudah menarik muka. Bila dia disebut, segera fikiranku menerawang jauh.
         “ Kau takut, eh?” usik Izzah.
         Aku mempamer wajah selamba.
         “ Taklah takut tapi kau nak aku ni dilabel curang oleh Effendy?”
         Izzah mencebik.
         “ Eleh.. dia curang kau boleh, takkan kau tak?”
         “ Tapi, aku tak nak pergunakan dia..” jawabku cuba berkompromi dengannya.
         “ Sebab?”
         Aku diam. Mungkin kerana itulah Izzah menyikuku dengan sedikit kuat. Seolah-olah menyedarkan aku yang sedang khayal mencari jawapan sebenar.
         “ Sebab.. err… aku….” Kata-kataku mati di situ.
Alahai… kenapa teragak-agak pula?
Mata Izzah bersinar nakal. Bersama sengihan, dia menanti aku menjawab soalannya.
“ Dia baik sangatlah..” jawabku seraya berlalu meninggalkan Izzah termangu sendiri.

0 ulasan: