BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 23 Mac 2011

Bab 16-selendang biru

Pintu bilik diketuk perlahan. Aku yang tadinya sedang beristirehat di atas katil bingkas bangun di birai katil. Pintu bilik dikuak dan terjengul wajah ummi di baliknya. Ummi melangkah pantas menuju ke arahku setelah pintu ditutupnya rapat. Bersama senyuman, ummi duduk di sebelahku. Aku yang pada mulanya menyangka orang lain terus saja menghempaskan tubuh ke tilam. Aku memang merasa amat penat setelah majlis persandingan abang berlangsung hari ini. Mana tak penatnya, hari panas sangat hari ini dan majlis berakhir lewat jam 5 petang tadi. Pahaku ditepuk ummi sedikit kuat.
Aku merengus.
“ Apa?” soalku malas sambil mata terpejam.
“ Azri sibuk tolong abah di bawah, Ilah sedap-sedap baring di sini..” bebel ummi memulakan ‘kuliah’ malamnya. Mendengar bebelannya itu, aku bingkas bangun. Khabar itu melahirkan rasa bersalahku padanya walaupun aku tahu Syahazri itu memang ringan tulang.
“ Dan lagi satu.. abah tak benarkan kamu balik semula ke kampung itu malam ini..”
Aku mengetap bibir.
“ Esok pagilah kamu bertolak..” sambung ummi lagi seakan-akan paham dengan apa yang bermain difikiranku saat ini. Aku memuncungkan bibir tanda protes dengan arahan ummi dan abah.
“ Kalau Ilah bawa kereta sendiri kan bagus..”
Aku tersengih nakal.
“ Tak naklah ummi..” balasku manja-manja. Ummi membalas dengan jelingan geram.
“ Sayang sangatlah Ilah pada kereta itu, esok-esok ummi suruh kucing abang Izwan tidur atasnya baru tahu.. Biar dicalarnya..” ugut ummi pula. Mendengar kata-kata ummi aku menarik muka. Aku tahu ummi tahu yang aku sayang benar pada keretaku itu. Tambahan lagi, ummi tahu yang aku tidak pernah suka pada kucing termasuklah kucing peliharaan abang yang semakin hari semakin gemuk itu. Entah selepas ini, siapa agaknya yang akan mengambil alih menjaga kucingnya itu. Tak mungkin Kak Jazilah mahu. Dia pun sibuk juga dengan kerjanya.
Tit Tit! Tit Tit!
Telefon bimbitku bernada tandanya masuk pesanan ringkas.
‘ Oi nenek, bila kau nak balik sini?’
Pesanan dari Izzah yang datang. Membaca pesanan itu, aku tersenyum. Ummi yang di sebelah menyiku aku.
“ Siapa?” soal ummi ingin tahu.
Aku menjeling nakal kepada ummi. Sekadar berniat mahu mengusiknya saja.
Busy bodylah ummi ni..” usikku.
Ummi menjengilkan matanya seraya mencubit tanganku. Aku terjerit kecil kerana merasa sakit dengan cubitan ummi itu.
“ Nakal lagi..” marah ummi.
Aku mempamer muka minta simpati dan belas ummi. Ummi hanya menjeling pula kerana aku tahu ummi tidak akan sampai hati melihat mukaku begini. Tekaanku tepat dan ummi pantas mengurut bekas yang dicubitnya. Aku melepas tawa manja.
“ Izzah yang mesej lah ummi. Dia tanya bila Ilah balik..” khabarku ceria kepada ummi.
“Dah reply?”
Aku menggeleng.
“ Tangan Ilah sakit, kena cubit..” balasku manja-manja.
“ ah.. sudah! Jangan nak mengada-ngada..” marah ummi pula bukannya simpati.
“ Lepas ni pergi mandi dan cepat turun. Tetamu dibiar di bawah kamu pulak duduk sedap dalam bilik..” sambung ummi tegas. Mengarahkanku untuk turut menyertai mereka di bawah.
Aku mengeluh.
Ummi sudah berdiri di ambang pintu, berkira-kira untuk keluar.
“ Jangan lupa!” pesan ummi lagi sebelum pintu bilik ditutup kembali.
Aku mendengus. Bibir kuketap sedikit kuat. Apa lagi yang harus aku buat untuk berdepan dengan pemuda yang sudah menyatakan hasrat untuk memilikiku itu? Aku berasa amat janggal berhadapan dengannya kerana sepasang mata yang bening itu masih menantikan jawapan dariku. Aku tidak tahu mahu menyatakan apa. Untuk menolak, aku tidak punya ayat yang sesuai untuk menyampaikannya. Untuk menerima, sekeping hatiku masih beku akibat penangan cinta yang lama.
Bukannya aku menyimpan dendam dengan perasaanku yang lalu tapi aku benar-benar tidak dapat memaksa hati. Tapi, bukankah dia adalah anugerah yang terbaik jika aku miliki? Mungkin aku memerlukan waktu tapi aku tidak mahu dia menunggu. Aku tidak tega memberikan harapan yang mungkin tidak akan aku tunaikan. Aku hanyalah insan biasa. Gadis yang hanya biasa saja. Aku ibarat pasir yang boleh dilihat di mana-mana sedangkan dia permata yang terang dilorong yang gelap. Aku nampak cahaya indah nan tenang di wajah muda itu.
Aku mengeluh lagi. Aku menghampiri jendela bilik tidurku. Aku memandang halaman luar dan terhenti di satu sudut. Pemuda itu sedang bersembang bersama dengan abah, Pak Ngah dan Pak Usu. Mereka sepertinya sudah kenal lama. Aku bertambah rasa bersalah kerana caraku itu seperti memberi harapan kepadanya. Aku sendiri bingung, kenapa aku masih ingin menolak. Kukuhkah alasanku dengan berkata kerana baru saja mengenali dia atau entah.
Bagaimanakah lagi caraku melihat kebaikan yang ada padanya? Butakah mataku atau terselindungkah sang hati? Kenapa di saat ini juga aku harus membuat pilihan yang aku rasakan aku masih punya waktu untuk mencari pasangan? Memang aku akui, kebodohanku menangisi pengakhiran kisah cintaku dengan Effendy dua bulan yang lalu. Cinta yang sepatutnya tidak aku kenang kerana tiada satu pun yang dapat kuhargai. Semuanya penuh dengan kebohongan dan dusta saja. Aku hanya mampu bersabar dan bersabar kerana makan hati dengan tingkahnya.
Ya.. aku akui. Awalku mencintainya, aku rasa indah memiliki hatinya. Dua tahun aku menjalin rasa tapi dua bulan yang lalu dia khianati perasaanku. Apa lagi yang kutunggu dari kehancuran itu?
Mengingati semuanya, hatiku menjadi sendu. Perlahan-lahan bermain lagi airmata kecewa di hujung mataku. Tidakkah Effendy tahu, bukan mudah aku mengubati luka hati ini?
Aku berpaling dari memandang insan yang sudah mencuri hati keluargaku itu. Mahukah dia menerima hatiku yang sudah hancur kerana cinta yang tidak setia ini? Sanggupkah dia menunggu hatiku mencintai hatinya? Sanggupkah dia mengubah perasaan kecewa ini menjadi rasa cinta yang pernah kurasakan keindahannya?
TUHAN.. angan apa lagi yang kukejar?

0 ulasan: