BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Mac 2011

Bab 17-selendang biru

Aku menghela nafas berat. Memang rasa kurang senang kerana awal pagi lagi setelah bertolak dari rumah, aku harus singgah ke pejabat untuk mengambil surat arahan rasmi kami menuju ke kampung itu. Kenapalah sebelum ini ia tidak diserahkan awal kepada kami sebelum kami berangkat sampai ke sana? Wajarkah alasan kerani di pejabat itu mengatakan kerana talian faks rosak sedangkan kerjanya hanya tahu bergayut di telefon saja?
“ Kenapa muram?” soal Syahazri ketika kereta sudah berhenti di tempat letak kereta.
Aku mengeluh.
“ Orang yang saya benci ada di sini..”
Ya.. itulah alasan terbesar kenapa aku merungut untuk datang ke pejabat. Aku tidak mahu terserempak dengan seseorang yang sudah mencalar sekeping hatiku. Dan kerana di sinilah juga cintaku mula bersemi. Lantaran itu, dimana saja dan apa saja yang mengingatkan tentang dia, aku merasa sangat benci. Yang membuatkan aku marah dan sangat kecewa, dia masih belum meminta maaf kepadaku. Aku tidak minta penjelasan kerana aku sudah mendapati kecurangannya dengan caraku yang tersendiri. Aku tidak minta dia kembali kepadaku tapi cukuplah dia leraikan dendam ini kerana aku meluat melihat mukanya dengan benci yang semakin bercambah ini.
“ Tak apa.. Keluarlah. Kalau ditakdirkan awak bertemu lagi, selesaikan dengan cara baik..” pujuknya pula.
Aku diam, tidak menyampuk. Dia memandang tepat kepadaku, bersama pandangan yang tergaris ikhlas. Seolah-olah memujuk hatiku yang sedang sebal mengenangkan kisah cintaku yang tidak kesampaian itu.
“ Janganlah nampakkan yang awak sedang bersedih dengan apa yang dia lakukan.. saya tahu, awak tak mahu nampak bodohkan di hadapannya?” sambungnya lagi.
Aku mengetap bibir. Mendengar setiap patah perkataannya dengan jelas dan sabar.
“ Antara yang kuat itu adalah yang mampu menyembunyikan tangisnya dan tersenyum walau hatinya sedang berduka..”
Aku membalas pandangannya tanpa berkelip. Begitu dalam sekali bahasanya menyentuh jauh ke dalam hati lukaku. Seakan-akan nadanya menghadirkan keyakinan yang tinggi di dada ini.
“ Awak tak takut saya berubah hati?” soalku sangsi. Aku sengaja bertanyakan soalan itu kerana aku ingin mengukur keikhlasannya tehadap apa yang dikatakannya kepadaku itu.
Pertanyaanku dibalas dengan senyuman. Senyuman yang sukar untuk kutafsirkan sebagai satu pembohongan. Bersama nafas yang berat, aku hela. Aku membuka pintu kereta dan melangkah masuk ke dalam pejabat bersama semangat baru yang ditiupnya ke dalam hatiku. Yang berlalu biarlah berlalu. Tapi, apakah aku sanggup melakukan itu?
“ Khal..” namaku dilaung dari saat kakiku menapak ke pintu pejabat. Aku segera menoleh. Rupanya Kak Nabilah yang memanggilku. Bersama senyuman aku menghampirinya.
“ Sebelum akak nak bergosip, awal lagi saya ingatkan ya.. saya ada yang menunggu dalam kereta..” pesanku bernada usikan. Aku tahu sangat kerja Kak Nabilah yang suka bercerita kisah apa saja yang terjadi di pejabat. Bukanlah mengumpat tapi dia lebih senang menceritakan hal ehwal semasa dan perkembangan syarikat.
Kak Nabilah mencebik.
“ Akak tahulah.. akak nampak..” balasnya selamba.
Aku menayang gigi bersama sengihan nakal. Tapi sayang, usikanku dibalas dengan jelingan oleh ibu yang sudah beranak dua itu.
“ Khal..” panggil Kak Nabilah tapi kali ini nadanya berubah hambar. Aku memandangnya, menanti dia meneruskan kata. Wajahnya sudah berubah keruh. Pertama, dia menghulur surat untuk diberikan kepada Tok Salim. Kali kedua, dia menghulur sekeping kad undangan perkahwinan kepadaku. Dengan dahi yang berkerut, aku bertanya kepadanya.
“ Siapa?”
Kak Nabilah hanya mengangkat bahu. Rasa penasaranku kuat. Lantaran tidak sabar, aku mencari pemilik majlis perkahwinan itu. Hampir terlepas kad itu dari tanganku saat terpandangkan nama yang bakal menjadi raja sehari itu.
Effendy Ashari & Aleeya Hanim.
Tersentap rasa hati membaca kedua-dua nama itu.
Aleeya Hanim?
Setiausaha Effendy yang aku rasakan baru bertugas tidak lama dua bulan yang lalu dan kini mereka akan melangsungkan perkahwinan?
Aku menelan liur dengan payah.
“ Okey tak ni?”
Soalan Kak Nabilah membuatkan airmataku bermain dihujung mata. Untuk kesekian kalinya, airmataku gugur lagi. Terasa benar-benar bodoh kerana mencintai insan yang tidak kenal erti kesetiaan. Kak Nabilah pantas menarik aku ke dalam pelukannya.
Kejap.
Di bahu itu, aku melepaskan sendu yang tertahan. Belakangku diusap-usap perlahan.
“ Tak apalah.. mungkin dia bukan jodoh Khal..” pujuk Kak Nabilah lagi.
Aku tidak menyahut. Tidak memberi sebarang kata. Aku melepaskan pelukan Kak Nabilah dan memandang tepat ke dalam anak matanya. Dengan mata yang masih sembab, aku merenung wajah itu berharap akan ada cerita yang lainnya. Tapi sayang, Kak Nabilah hanya begitu.
Hati ini… kasihan sungguh laksana buih yang rapuh. Sekali tiup, pecahnya tak meninggalkan kesan.

0 ulasan: