BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 28 Mac 2011

Bab 25-selendang biru

Majlis perkahwinanku dengan raja itu hampir sudah ke waktunya. Dengan pakaian yang serba hitam dan aku dikalungkan dengan jari-jemari manusia, aku merasakan loya dan ingin saja pitam dengan keadaan yang menyiksaku itu. Sungguhpun begitu, aku dapat merasakan kesakitan pada lenganku dan berbekas hijau seolah-olah digenggam dengan kuat.
Aku diarak masuk menuju ke dalam istananya yang nampak begitu menyeramkan. Wajah-wajah yang menyambut kedatanganku itu berubah seram dan amat menakutkan! Semuanya berwajah buruk dan diselangi dengan bau hanyir yang benar-benar memualkan.
“ Kamu dan keluarga kamu sudah merosakkan keinginanku!” marah raja itu terus menghampiriku.
Aku tersentak.
Dia menarik selendang yang ada di bahuku itu. Digenggamnya dan mulutnya sedang terkumat-kamit membaca sesuatu.
Tiba-tiba sahaja dalam pandanganku aku sedang berada di rumah Tok Salim. Aku ingin bersuara tetapi tidak mampu. Aku ingin berlari ke arah ruangan yang seperti lubang untukku kembali kepada keadaan sedia kala tapi kakiku berat melangkah.
Rupanya dirantai besi dan dijaga dengan tangan-tangan buruk yang menakutkanku.
Mata raja di hadapanku itu sudah berubah merah dan menyala-nyala seolah-olah membara rasa marah yang terlalu. Seakan-akan tersimpan dendam yang selama ini terpendam.
“ Lama aku menyimpan kuasa kejahatan pada selendang ini, mengapa tiba-tiba kamu mahu menghapuskan?” soalnya garang ke arah cahaya yang menampakkan Tok Salim di hadapanku itu.
Aku hampir saja menangis tapi tidak mampu kerana aku merasakan airmataku yang mengalir bukanlah air jernih tetapi darah hitam dan mengilukanku. Tok Salim pula tidak menjawab-jawab tapi mulutnya semakin rancak membaca ayat-ayat Al-quran.
Terbisik di telingaku, bergetar di hatiku kesyahduan nada bacaan itu.
“ Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat Gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. dan (ingatlah), misal-misal Perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”
Hatiku semakin kuat getaran dan debarannya.
“ Argh!” raja di hadapanku itu sudah menjerit.
Dia menerpa ke arahku dan mencakar lenganku. Aku mengaduh sakit. Darah mengalir dari kulit yang luka itu. Disapunya kepada selendang yang ada di tangannya dan dijilatnya dengan rakus. Aku menjadi semakin lemah dengan keadaan itu. Perlahan-lahan berbalam-balam pandanganku dan luka itu mengigit pedih. Pandanganku semakin kelam dan gelap lagi!
“ Ingatlah kamu manusia, akan kuhancurkan jiwa ini jika kamu berani menentangku!”

0 ulasan: