BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 28 Mac 2011

Bab 26-selendang biru

Syahazri dan teman-temannya berusaha membuka pintu rumah yang berkunci itu. Seingatnya petang tadi rumah itu tidak berkunci. Keadaan memang benar-benar tidak mengizinkan. Tiba-tiba saja hujan turun dengan lebat menimpa bumi. Namun, dia tidak mahu mengalah. Dia mahu menyelamatkan jiwa yang telah mencuri hatinya. Dia ingin membawa gadis itu bersama-sama mengejar redha Ilahi.
Syahazri, Rizal dan Syahmi berusaha memecah pintu dan akhirnya mereka berjaya. Mereka menapak masuk. Tapi tiba-tiba mereka ditolak dengan angin yang kuat hingga mereka terpelanting keluar. Mereka bertiga mencuba bangkit dan berusaha menapak masuk ke dalam rumah itu lagi. Berbekalkan do’a pelindung, mereka berjaya memasuki jua rumah itu. Rumah itu berhaba panas dan isi di dalamnya berselerak. Rizal dan Syahmi bergegas mencari peti itu. Akhirnya dicapai oleh Syahmi. Mereka bertiga keluar dari rumah itu meskipun keadaan di luar basah, disimbahi air hujan.
“ Beri kepada saya peti itu..” pinta Syahazri tergesa-gesa.
Syahmi membisu. Tidak bergerak langsung mahupun memberikan apa yang diminta.
Tiba-tiba dia melepaskan tawa. Aneh sekali.
“ Mengapa aku nak beri kau?” soal Syahmi garang tapi bukan dengan nada suaranya.
Syahazri dan Rizal tersentak. Mereka menelan liur. Nampaknya Syahmi juga telah ‘terkena’ dengan penangan penguasa ilmu hitam yang rohnya masih bergentayangan.
“ Syah, rampas saja peti itu. Rizal dan Ayob kamu berdua pegang Syahmi!”
Tok Salim tiba-tiba hadir di antara mereka dengan ditemani Pak Ayob. Sebenarnya Tok Salim risau sekali kerana mereka bertiga lama sekali pulang semula ke rumahnya. Makanya dia mengambil keputusan untuk menjejaki mereka ke rumah itu.
Sedihnya.. apa yang dirasakannya benar-benar terjadi. Syahmi pula yang menjadi mangsa makhluk yang tidak mahu mengalah itu. Tok Salim hampir saja kehabisan ikhtiar namun lantaran perasaan belasnya yang kuat terhadap Khalilah yang nyatanya cedera dalaman dan terdapat cakaran pada tangannya itu, makanya dia menambahkan keyakinan kepada dirinya lagi untuk membantu anak gadis dan keluarga dari bandar itu.
Syahazri tanpa menunggu lama, dia bergegas mengambil peti itu walaupun percubaan pertama kali dia gagal. Berusaha dia lagi atas bantuan Tok Salim, dia berjaya.
Dia segera mengambil peti itu dan dirasakannya panas pada peti itu. Tanpa lengah dia segera menuangkan minyak dan melempar api bersama selendang itu. Terdengarlah jeritan tajam yang hampir menggegar keseluruhan tempat itu.
Syahmi yang tadinya mengamuk itu terus rebah pengsan dan tidak lagi melawan.
“ Kamu akan merasakan pembalasan dendamku jika jiwa kamu kosong lagi!” jerit satu suara yang kuat dari arah api yang menyala-nyala itu.
Syahazri terduduk, dalam titisan hujan yang turun itu dia merasa penat dan lelah dengan apa yang dilaluinya hari ini.
Ya Allah.. seberat ini dugaanMu untuk aku memilik dia..
Bahu Syahazri ditepuk perlahan. Dia mendongak. Tok Salim sedang tersenyum memandangnya.
“ Baliklah.. ayah rasa Khalilah dah sedar..” Tok Salim bersuara memujuk hati anak terunanya yang sudah keletihan itu.
Mereka semua berlalu meninggalkan rumah itu bersama api yang membara tidak jauh dari halaman itu. Terhapuslah segala kejahatan yang bermaharajalela di sana dengan bantuan Allah jua. Manusia yang tahu memilih jalan yang lurus, akan dilimpahi berkah sedang mengamalkan ilmu yang salah akan membawa kesesatan.

0 ulasan: