BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 7 Mac 2011

bab 5-selendang biru


9.2.2011
         Menurut pemerhatian, sejauh ini belum nampak perubahan atas hal ehwal masalah kebajikan penduduk kampung. Sejauh ini semuanya berjalan dengan baik. Tapi musykil, kenapa suram dan kadang-kadang di waktu malam ia amat menakutkan?
-Khal-
         Aku menutup buku laporan yang aku tulis untuk cerita hari ini. Itulah yang aku rasakan untuk hari kedua keberadaan aku di kampung ini. Aku tidak tahu kenapa aku rasakan suasana kampung amat aneh dan merimaskan tangkai hatiku. Aku tidak pernah merasakan sebegini apabila aku menjalankan tugas di tempat yang lain. Tapi kali ini, amat berlainan rasanya. Hanya aku yang merasakan, tidak Izzah.
         Aku mengeluh perlahan. Jam di dinding kupandang kosong. Sudah mahu ke pukul 11 malam. Pasti Izzah sudah tidur di biliknya. Dilanda kebosananlah lagi aku malam ini.
         Aku bangkit dari tempatku duduk. Berkira-kira mahu keluar untuk turun ke dapur membuat minuman panas. Aku menuruni anak tangga dengan perlahan.
         Kenapalah Izzah tak pasang lampu? Rungutku dalam hati. Dia sendiri membebel kalau aku tak gunakan peluang yang diberi, tapi kalau bab begini, dia lebih senang berjimat. Dia sangka aku berani sangat agaknya bila turun malam-malam begini?
         Pang!
         Aku terkejut mendengar bunyi itu. Sepertinya dari arah dapur. Dalam debar aku melangkah menuju ke dapur. Hairanku jadinya kerana lampu di dapur tidak dimatikan. Dengan perlahan dan rasa berani yang sedikit, aku ingin tahu gerangan apa yang terjadi di sana.
         Aku tersentak saat terpandang ada seorang budak perempuan sedang mengemas piring yang jatuh berderai itu. Tangannya berdarah. Mungkin terkena belahan kaca itu.
         Aku menghampirinya kerana kasihan padanya. Mungkin dia lapar.
         “ Dik.. tak apa, biar kakak kemaskan..” tegurku sambil membantunya mengemas. Anehnya dia tidak memandang ke arahku meskipun aku tahu dia mendengar aku menegurnya kerana tangannya sudah berhenti untuk mengemas.
         “ Adik lapar tak?” soalku lagi.
         Dia hanya mengangguk tapi masih enggan memandangku. Dia hanya tunduk seolah-olah takut aku akan memarahinya.
         “ Kalau orang cakap, pandanglah.. Tak sopan macam tu..” tegurku lagi memujuknya. Padahal, hatiku meronta-ronta ingin tahu wajahnya. Entah kenapa dengan tiba-tiba aku merasakan kedinginan melanda sekitarku. Setahuku, kipas angin tidak berpasang dan angin pula tidak bertiup.
         “ Betul kakak nak lihat saya?” soalnya kali ini tapi masih enggan memandangku.
         Aku jadi tertanya-tanya.
         “ Mestilah..” jawabku perlahan.
         Dia memandangku tanpa wajah yang sempurna. Tidak ada mata, hidung, mulut dan segalanya. Hanya kepala saja.
         Masya Allah!
         Semput rasa nafasku. Terlepas semula semua yang kupegang. Yang kudengar saat ini hanyalah tangisan bertukar ganti dengan hilaian tawa. Aku ingin menjerit tapi suaraku tersekat. Sudahnya, aku hanya sempat melihat dia menoreh-noreh wajahnya dengan cebisan kaca dari piring yang jatuh sebelum pandanganku berubah kelam dan suram.

0 ulasan: