BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 7 Mac 2011

bab 6-selendang biru


Malam menjengah setelah pagi penat menyinar cahaya di siang hari. Biarpun langit sunyi namun bintang-bintang masih tegar bertaburan di dada langit yang gelap. Terlalu indah ciptaan Tuhan.
         “ Jauh termenung Syah?” Mak Siah bersuara pada anak muda yang sedari tadi masih duduk di anjung. Lagaknya seperti sedang berat memikirkan sesuatu.
         Syah mengorak senyuman di bibir.
         “ Mana ada mak..” jawab Syah membela diri.
         Mak Siah ketawa kecil seraya duduk di sebelah Syahazri yang sudah dianggapnya seperti anak sendiri.
         “ Bukannya baru sehari dua mak kenal kamu..” sambung Mak Siah lagi.
         Syah bungkam. Tidak bersuara.
         “ Izzah atau Khalilah?” usik Mak Siah lagi. Dia dapat rasakan gelora yang ada di hati anak mudanya itu. Dia tahu anak muda itu sudah tertarik dengan salah seorang dari pemudi yang datang berkunjung ke kampung mereka itu.
         “ Mak rasa siapa?” soal Syah membalas usikan Mak Siah. Sengaja dia menguji kesungguhan Mak Siah meneka isi hatinya saat itu.
         Mak Siah ketawa.
         “ Apa yang seronok sangat tu, Siah?” soal Tok Salim yang tiba-tiba datang.
         “ Anak abang ni dah berkenan salah seorang dara yang datang semalam tu..” adu Mak Siah sambil mengusik Syahazri.
         Syah tersengih membalas usikan Mak Siah.
         “ Bagus juga.. Kamu tu bukan muda lagi..” sahut Tok Salim pula.
         Syah membetulkan duduknya.
         “ Khalilah.. okey tak mak, ayah?” soal syahazri teragak-agak.
         Tok Salim kedengaran berdehem.
         “ Kalau ada jodoh, tak kemana..” jawab Mak Siah lagi.
         Syah menghela nafas. Entah lega entah susah hati. Lagaknya bagaikan ingin berjihad tapi sayang jihadnya pada hati seorang wanita. Dia sendiri tidak tahu kenapa saat pertama kali dia terpandang seraut wajah Khalilah, hatinya terusik. Senyuman Khalilah yang agak tersembunyi amat dia sukai. Dia bagaikan tahu menjaga senyuman itu untuk seseorang yang dia kenali dengan rapat. Tapi, kenapa bening itu tersimpan rasa takut dan segan?
         “ Esok tak ada kelas?” soal Tok Salim mematikan fikirannya yang menerawang memikirkan Khalilah. Entah, apa yang sedang gadis itu lakukan saat ini.
         “ Ada, yah.. Jam 9 hingga 11 pagi..” jawabnya sopan.
         “ Kenapa tak tidur lagi? Kan dah pukul 12 ni..” tanya Mak Siah meskipun dia maklum akan sebabnya.
         Syah hanya tersenyum. Dia tidak tahu mengapa saat itu dia merasakan keresahan dan gundah.
         Rumah yang sudah disimbah kegelapan berubah terang dengan sinaran lampu dari sebuah kereta yang tiba-tiba saja berhenti di hadapan mereka. Keluar kelibat perempuan yang rupanya kelihatan amat cemas dan berbunga bimbang.
         “ Tok.. tok..” panggilnya tanpa salam. Tercungap-cungap nafasnya kerana cemas.
         “ Kenapa?” sahut Tok Salim yang kebetulan yang masih lagi berada di luar rumah.
         Izzah meniti anak tangga rumah dengan bergegas.
         “ Khalilah pengsan tok dan sekarang dia kelihatan murung.. meracau tak tentu bahasa.. saya tak tahu kenapa tapi saya takut tok..” jawab Izzah lebar dengan cepat. Dia risau meninggalkan Khalilah sendirian di rumah itu tapi dia terpaksa pergi juga meminta bantuan kepada penduduk di situ dan Cuma Tok Salim dan isterinya yang mereka kenal setakat ini.
         “ Kenapa tiba-tiba?” soal Syah pula dengan serius.
         Izzah mengangkat bahu.
         “ Saya tak tahu..” jawab Izzah hendak menangis.
         “Saya dah kusut.. janganlah tambah lagi. Ustaz nak datang tak ni?” tambah Izzah lagi.
         Syah mengangguk.
         Mereka bergegas bersama Tok Salim dan Mak Siah.

0 ulasan: