BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 4 April 2011

Bab 11-perwiraku

Bab 11
“ pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

        Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kusutnya aku saat ini dah rasa hendak menjerit. Relaks rasanya aku santai dan tiba-tiba pula aku disuruh datang menghadiri tazkirah malam ini. Baju kurung aku tak gosok lagi!
        Mahu tak mahu, aku mencapai baju kurung putih dan menggosok dengan cepat. Aku sarungkan ke tubuhku dan aku capai selendang putih dan kupakai di kepalaku. Aku mengenakan sedikit bedak muka.
        Aku melihat diriku ke dalam cermin seketika dan berpaling untuk mencari buku catitan dan pen. Bergegas aku keluar dari bilik dan diiring beberapa ahli rekrut yang lain.
        Aku menapak masuk ke dalam surau dan mencari-cari kelibat E’ish. Perhatian semuanya tertumpu kepadaku memandangkan si penceramah juga memandang sama kepadaku. Aku tersenyum kelat kerana amat tidak senang dengan respon itu.
        Aku duduk di sebelah E’ish dengan muka selamba. E’ish sempat menjelingku.
        “ Tadi bawa, kata tak nak datang..” bisiknya.
        Aku mengangkat bahu. Malas mahu menjawab perlian itu. Lagipun, aku di sini atas paksaan. Bukannya atas kerelaanku.
        “ Apa tajuknya?” soalku.
        “ Cinta dalam Islam..”
        Aku terdiam tanpa kata. Menarik juga tajuknya. Aku mengajukan pandangan ke hadapan untuk melihat pembentang tazkirah pada malam ini.
        “ Lama dah mula?” soalku.
        E’ish menggeleng.
        “Belum mula lagi..”
        Aku merengus. Lama lagilah nak habis ni! Alamat tertidurlah aku nanti. Aku menunduk dan menulis sesuatu di dalam buku catitanku. Dari gambar kartun, kepada nama anak-anak buahku, nama walid, nama ummi, nama Kak Leeya, nama…
        Tanganku disiku.
        “Apa?” soalku.
        E’ish menginsyaratkanku untuk memandang hadapan.
        Hatiku bergetar. Pandangan mata berlaga, dia mengukir senyuman.
        Edry.
Mempesona sekali dia dengan cara melayunya yang berwarna putih.
        “ Berjanji eh?” soal E’ish, dalam nada mengusik.
        Aku mengerutkan kening.
        “Janji apa?”
        “ Warna putih..”
        Aku tersentak. Aku melihat bajuku yang kupakai. Mana sangka, kebetulan sama.
        “ Jodoh..” balasku selamba demi menutup rasa segan dengan kenyataan itu.
        E’ish tidak lagi terkata mendengar omelanku itu. Dia hanya membalas dengan jelingan dan mengisyaratkan aku untuk memandang hadapan dan mendengar tazkirah yang akan bermula bila-bila masa saja.
        Aku mencebik dan membalas jelingannya dengan jelingan jua.
        “ Cinta..”
        Aku diam. Ada getar saat penyampai tazkirah itu mula menyebut tajuknya pada malam ini. Aku menumpukan sepenuh perhatian padanya tapi fikiranku tidak di situ. Memikirkan apa yang ingin disampaikannya melalui kata-kata itu, seakan-akan dia berbicara padaku.
        “Saya percaya hampir semuanya yang ada di sini pernah merasakan cinta..” sambungnya.
        Aku mengetap bibir, menunduk menanti dia meneruskan kata.
        “ Kerana cinta.. Adam memilih Hawa, kerana cinta.. lahir insan di dunia. Seperti juga kita, kerana cinta ayah dan ibu, lahirlah kita sebagai amanah yang Allah berikan kepada ibubapa..”
        Aku memandangnya.
        “ Di sini, saya ingin mengatakan cinta itu terbahagi kepada beberapa peringkat. Cinta yang agung, yang tidak mungkin akan layu.. cinta kita terhadap Sang Pencipta. Cinta kita kepada Allah, Insya Allah.. DIA akan melindungi kita.. yang kedua pula, cinta kepada ibubapa, ketiga.. cinta pada diri sendiri dan yang terakhir.. cinta kepada pasangan..”
        Aku termangu. Memikirkan setiap patah dari kata-katanya.
        “ Cinta kita pada bunga, satu hari nanti bunga akan layu.. Cinta kita kepada manusia, sampai waktunya manusia akan mati.. cinta kita kepada Allah, cinta yang akan kekal abadi.. membawa kita ke syurga bersama redha Ilahi..”
        Aku mengetap bibir. Dalam sekali maknanya.
        Cinta!
        Aku sendiri enggan mengertikan cinta dan memberikan huraian yang sesuai mengenainya. Kadangkala aku terfikir, mengapa hati dicipta? Benarkah ia tempat untuk kita menyimpan cinta? Aku selalu tertanya-tanya, mengapa perlu ada cinta? Apakah dengan cinta saja manusia boleh lalui bahagia?
        Fikiranku menerawang jauh memikirkan persoalan yang tergantung begitu saja.
        Tanganku disiku lagi. Beterbangan semua persoalan yang bermain di fikiranku.
        “ Ada apa-apa pertanyaan?”
        E’ish memandangku seolah-olah pertanyaan itu ditujukan kepadaku. Tiba-tiba, salah seorang dari rekrut mengangkat tangan.
        “ Pada tuan, apakah makna cinta itu?”
        Aku tersenyum. Sebegitu berani dia menanyakan soalan yang berbentuk peribadi itu. Tapi, itu bonus bagiku kerana sekeping hati ini benar-benar meronta ingin tahu.
        “ Bagi saya.. cinta itu anugerah yang memaknakan manusia menggunakan hatinya untuk mengasihi orang lain sekalipun kerana cinta dia harus berkorban. Hidup ini memang pahit, walaupun pahit, ia tetap harus ditelan jua.. cinta itu memang ada meskipun kadangkala ia hanya tersimpan dan tidak diluahkan..”
        Mendengar jawapannya itu, aku menjadi samar-samar mengertikan maksudnya. Dalam diam, aku sendiri keliru. Apakah cinta dapat diberi makna sedang ia adalah sesuatu yang bersifat perlu dirasa?

0 ulasan: