BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 8 April 2011

Bab 16-perwiraku

Bab 16
“ pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Kedatanganku ke rumahnya, aku disambut dengan baik. Mulanya aku benar-benar kekok untuk menjadi di antara tetamu yang lain kerana ramai benar sebenarnya sanak-saudaranya yang datang. Sempat aku memandang Edry dan dia hanya mengangkat bahu seolah-olah dia tidak tahu bahawa tetamu yang diundang seramai ini. Sudahnya, aku tegarkan jua hati untuk masuk ke dalam rumah yang sungguh asing bagiku.
“ Hanim..” panggil Edry di sebelah.
Aku menoleh.
“ Apa lagi?” tanyaku malas.
“ Semangatnya nak masuk..” selamba dia berkata memperli aku.
Aku mengetap bibir. Tidak menyangka sama sekali dia akan berkata begitu kepadaku.
“ Bukan macam tu lah. Saudara-mara awak ramai di dalam itu, tolong sediakan makanan.. takkan awak nak biarkan saya di luar saja?” soalku pula tidak berpuas hati.
Edry melepaskan tawanya.
Aku mengigit bibir, geram dengan balas darinya.
“ Awak nak ambil hati mak eh?” bisiknya nakal.
Aku tersentak dengan usikannya lantas tersedar lalu kupukul lengannya dengan kuat.
“ Mak saya nampaklah..” adunya sambil menunjuk ke arah muka pintu.
Aku mengerlingnya sekilas dan memandang ke arah yang dimaksudkannya. Aku pantas saja menghampiri emaknya dan menghulur tangan untuk bersalam. Tanganku disambut dan tanpa kusangka, emaknya mengucup dahiku. Aku tersentuh dengan tindakan spontan itu.
“ Masuklah.. Edry tak beritahu mak cik yang dia bawak teman pula malam ini..” ucapnya dengan nada yang lembut seraya menarik aku masuk ke dalam rumah itu. Aku sempat mengerling Edry yang hanya mengangkat bahu dengan tingkah emaknya. Aku mengisyaratnya untuk menemaniku masuk dan dia merapatiku.
Tanganku ditariknya.
“ Sabar-sabarlah Ed..” emaknya sempat menyindir.
Aku menarik tanganku dan hanya tersenyum kelat. Edry menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Macam orang tidak bersalah saja lagaknya. Tanpa menunggu waktu yang lama, aku mengekori emaknya ke dapur. Aku menolong menyediakan makanan meskipun berkali-kali dilarang oleh emaknya. Katanya dia segan denganku.
“ Tak apa mak cik. Bukan susah sangat..” balasku.
Emaknya atau lebih mesra dengan panggilan Mak cik Laila hanya ketawa kecil. Dia menyentuh bahuku.
“ Mak cik okeylah.. tapi Ed tu, dari tadi asyik tunggu depan pintu dapur.. tak pernah dia begitu sebelum ini..”  mak cik Laila berkata seperti menyindir anak mudanya itu.
Aku menolehnya dan dia tersengih di situ. Merona wajahku dengan tingkahnya yang benar sekali seperti yang emaknya katakan. Aku mengerti apa maksud emaknya itu.
“ Pergilah temankan Ed di depan saja. Barangkali dia nak kenalkan pada saudaranya yang lain..” sambungnya sambil menolak aku dengan perlahan untuk menghampiri Edry yang sudah tersenyum kemenangan. Pilihan apa lagi yang ku ada selain aku terpaksa mengikut Edry untuk ke halaman rumah menyambut tetamu yang datang. Sebenarnya, keluarganya mengadakan majlis pertunangan adiknya. Memang besarlah majlis keluarganya ini dan aku kadang-kadang rasa kekok dalam kelompok keluarganya.
“ Siapa ni?” tiba-tiba seseorang datang menghampirinya seraya menghulur salam. Kata Edry itu sepupunya yang paling rapat. Norman Wa’ie namanya. Aku sekadar tersenyum saja kerana tanganku sememangnya sedari tadi tidak dilepaskan dari genggamannya seolah-olah aku ini akan lari meninggalkannya.
“ Bakal orang rumah?” sambungnya lagi mengusik.
Aku tersenyum kelat bila Edry lebih senang memandangku dengan pandangan nakalnya.
“ Ada jodoh, tak kemana..”
Aku menyikunya.
Norman ketawa mendengar jawapannya itu. Tapi aku tidak suka dengan jawapannya itu. Dia seperti membiarkan aku menyimpul angan dan harapan sedangkan aku sendiri takut bermain dengan harapan.
Lupakah Edry, aku ada sekeping hati?

0 ulasan: