BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 27 April 2011

Bab 22-Perwiraku

Bab 22
“pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”
Aku berjalan berpimpinan tangan dengan erat bersama cinta hatiku.
Ah.. aku tahu TUHAN tahu isi hatiku.
Sungguh benar aku sayang padanya. Rasa macam tak sabar saja untuk menjadi sebahagian daripada tulang rusuknya.
Dia menarikkan kerusi untukku dengan cara yang lebih romantik. Gayanya petang ini santai dan bersahaja tapi nampak menarik pada pandangan mataku.
“ Cintaku.. orderlah apa saja yang awak nak..” katanya kepadaku bersama senyuman.
Aku rasa amat bahagia dengan setiap patah kata yang terucap dari bibirnya. Terasa amat disayangi dan dihargai. Dia sekarang sedang bermain mata lagi. Katanya, dia rindu kepadaku.
Aku tersenyum malu dengan usikan itu.
“ Bila nak makan ni?” soalku kepadanya kerana aku rasakan masa menanti untuk makan itu terlalu lama dari selalu.
“ Ala.. relakslah..” balasnya.
Aku menarik muka. Tidak senang dengan jawapannya itu. Sebenarnya sudah lama jugaklah aku memendam selera untuk makan makanan laut kegemaranku itu.
Tiba-tiba bahu Edry ditepuk perlahan. Seorang lelaki yang seperti seusia saja dengannya. Matanya pulak tidak berkelip memandangku, seolah-olah aku ini dia kenali sebelumnya. Edry pantas saja berdiri dan bersalaman dengan pemuda itu.
“ Kenalkan Hanim, ini Saiful Harith..” perkenal Edry kepadaku.
Aku mengangguk tanda hormat kepada pemuda yang bernama Saiful itu. Anehnya, lelaki itu masih lagi memandangku. Dia bagai ingin bersuara tapi hanya diam tanpa kata.
“ Siapa ni Ed?” akhirnya dia mula membuka mulut.
Edry menghela nafas berat.
“ Tunang..”
Pandangan Saiful jatuh lagi kepadaku. Aku semakin kurang senang dengan reaksinya itu.
“ Awak mirip seseorang..” Saiful bersuara.
Aku menelan liur. Tersentak dengan maksudnya.
“ Siapa?” balasku ingin tahu dalam nada yang serius.
Mereka berdiam lagi, membuat aku semakin tertanya-tanya dengan tingkah mereka berdua.
“ Muka awak iras adik saya, hampir seriras dengan arwah adik saya..”
Aku mengetap bibir.
“ Siapa dia?” aku bertanya dengan rasa gundah.
Mereka diam lagi.
“ Siapa, Edry?” paksaku.
“ Bekas tunang saya juga, 4 tahun yang lalu…”
Aku terduduk mendengar berita itu. Hatiku bagai disayat. Bukankah itu permulaan kisah sedih bagiku? Berita itu meruntun pilu di seluruh hati.
Apakah maksudnya Edry masih membayangi diri tunangannya dalam diriku?
Saiful menepuk bahu Edry dan dia meminta diri untuk pergi. Sebelum melangkah jauh dia sempat berpesan.
“ Kalau awak sudi Hanim, jenguklah emak saya yang sangat merindui arwah adik saya. Sudah lama emak saya kerinduan..” Saiful lebar berkata, dengan suara yang kedengaran mengharap.
Dia berlalu dan aku termangu. Aku memandang Edry tanpa kelip tapi dengan mata yang berkaca. Sakit rasanya menahan sendu tapi rahsia Edry selama ini, amat pedih dan memilukan hati. Senang saja Saiful datang mengharukan perasaanku dengan khabar yang dibawanya sedang bagiku ia adalah tamparan hebat dalam hidupku.
“ Edry.. katakan pada saya, perasaan awak untuk saya bukan sisa cinta yang terdahulu..” aku bersuara mendatar, separuh merayu. Aku tidak mahu bodoh, mencintai orang yang sebenarnya memilihku kerana pernah mencintai yang lain seirasku walaupun dia sudah tidak lagi ada di dunia. Aku tidak mahu menjadi bayang-bayang.
Edry membisu namun pandangan matanya menggambarkan harapan.
Ah.. seleraku benar-benar mati dan yang ada hanya sakit hati!
“ Saya memilih awak dengan ikhlas Hanim..”
Aku mati kata. Tapi, kenapa harus seiras dengan wanita yang pernah dia cintai?
“ Kita balik..” Edry bersuara serius seraya menarik tanganku. Antara mahu dan tidak, aku menurut. Daripada aku memalukan diri di situ, lebih baik pergi. Mungkin ada kesempatan membetulkan segalanya… jika aku berinya kesempatan!

0 ulasan: