BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 24 Julai 2011

Bab 1- Sayang sudahlah

Bab 1
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
           
8+3+20+12,
Aku menekan nombor di atas pin kalkulator yang kini menjadi teman setiaku. Kertas peperiksaan minggu lepas sudah hampir separuh aku tandai. Mujurlah hampir keseluruhan markah anak muridku memuaskan dan cuma beberapa orang saja yang harus diberi perhatian memandangkan peningkatan mereka merosot dari sebelumnya.
“ Hani..” panggil ummi di sebelahku.
Aku berhenti menanda dan berpaling memandang ummi yang sudah duduk di sebelahku. Aku mengukir senyuman lelah kerana penat berhadapan dengan kertas. Sejak ketiadaan Syafiq sebulan yang lalu, ummi tidak sekalipun mengungkit tentangnya. Mungkin ummi ingin menjaga hatiku agaknya. Meskipun aku sedar bening di mata ummi seperti menyimpan simpati kepadaku tapi aku tahu ummi berusaha untuk tidak mengusik tasik hatiku yang selalu berkocak.
“ Belum tidur lagi?” tanya ummi.
Aku menggeleng-geleng.
“ Sedikit lagi siaplah..” jawabku tanpa memandang dan terus mengira markah kertas peperiksaan anak muridku.
Kudengar ummi melepaskan keluhan berat. Aku menghentikan kerjaku dan memandang ummi.
Kenapa lagi dengan ummi?
“ Kamu tak apa-apakan, Hani?” soal ummi penuh makna.
Bagai tersentak seluruh urat nadiku dengan pertanyaan ummi yang tiba-tiba itu. Aku tahu soalan itu ada makna terpendam namun aku tidak pula bersedia menjawab pertanyaannya.
“ Ummi lihat kamu makin hari makin menyibukkan diri. Sampai tak sempat ummi lihat kamu berehat..”
Aku menelan liur.
“ Yang berlalu biarlah berlalu, Hani..” pujuk ummi dengan suara yang lembut sambil menyentuh bahuku.
Aku mengeluh berat.
Sudah lama aku cuba bertahan dengan kehilangan tunanganku itu tapi kenapa kali ini ummi bangkitkan kisah tentangnya? Tidakkah ummi mengerti betapa aku terpukul benar dengan peristiwa itu?
“ Senyuman kamu itu ummi dapat rasakan kehambarannya, Hani..” sambung ummi  tanpa berselindung. Hati disapa sedih tapi aku tidak mahu beralah lagi. Kalau katakan aku sayang pada tunanganku yang sudah pergi menemui Ilahi itu, mustahillah aku mengatakan tidak tapi aku tidak mahu lagi menyimpan angan yang kutahu tidak tercapai.
Mana mungkin yang sudah mati bisa hidup kembali?
“ Ummi nekad, kalau kamu tidak berubah kepada Hani kami yang dulu, ummi akan jodohkan kamu dengan anak kawan abah..” ugut ummi dan terus berlalu meninggalkan aku tanpa kompromi.
Aku menghela nafas berat dan bersandar di sofa.
Kenapa ummi terus-terusan memaksa ummi sedangkan ummi tahu aku masih lagi berusaha mengembalikan jiwaku yang pergi?
“ Ummi..” panggilku.
Ummi mematikan langkahnya dan berpaling memandangku. Wajahnya nampak serius namun aku tahu ummi pasti mendengar rintih hatiku.
Ummi melabuhkan punggungnya semula di sebelahku.
“ Hani tak bersedia.. janganlah paksa..” balasku memohon pengertian. Aku sudah lelah dengan dunia perasaanku sendiri dan aku hanya ingin jodohku datang sendiri. Aku tidak mahu terikat dengan sesiapa lagi kerana aku merasakan sakitnya kehilangan.
“ Patahkan tumbuh, hilang berganti..” ummi berkias seperti sedang memujuk hatiku nan rawan.
Aku mengeluh.
“ Tak mudah, ummi..” suaraku sudah berubah kesal.
Tidakkah mereka sedar aku masih lagi di tabir kegelapan?
“ Ummi cuma nak lihat Hani tersenyum semula..”
Aku mengetap bibir. Luahan hati ummi itu menyentuh hatiku. Benarkah aku tidak lagi tahu menggaris senyuman?
“ Hani redha dengan apa yang telah terjadi…” aku cuba meyakinkan ummi dengan keadaanku sekarang. Aku tidak senang kalau ummi terus-terusan berfikir aku masih dilanda kedukaan. Aku cuma tidak ingin mengingat kenangan lalu.
Kudengar ummi melepaskan keluhan.
“ Hmm.. entahlah.. yang ummi rasakan, Hani masih bersedih..”
Aku tersenyum hambar.
“ Ummi doakanlah Hani akan menemukan yang terbaik lagi lepas ni..” suaraku, kubuat-buat ceria. Aku tidak ingin ummi tenggelam dengan diriku.
Di wajah ummi terpancar senyum ceria.
“ Jadi, Hani mahu?”
Aku menggeleng pantas.
“ Hani akan berubah menjadi Hani ummi saja.. yang dulu..” balasku memujuk sambil memeluk bahunya dengan manja.
Ummi mencubit pipiku.
“ Dahlah.. ummi ingat nak buat nasi ayam ni. Nak sedekah ke masjid tu..” ummi mengubah topik perbincangan.
“ Nak suruh Hani yang masaklah ni..” tebakku sendiri.
Ummi mengangguk.
Aku sudah menarik muka.
            “ Hani masih ada kerja lagilah ummi…” aduku dengan manja-manja, berharap akan ada simpati dari ummi.
            Ummi menjeling.
            “ Kerja ni sampai bila-bila pun tak akan habis..” perli ummi selamba dan terus saja melenggang meninggalkan diriku.
            Aku hanya mengkekek ketawa.

0 ulasan: