BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 26 Julai 2011

Bab 5- Sayang sudahlah

Bab 5                                                           
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Program Tadarus Sempena Bulan Ramadhan.
Tajuk utama surat keliling itu kupandang sekilas sebelum aku melabuhkan punggung untuk duduk. Aku terus membaca isi surat makluman itu sebelum aku mendapat kesimpulan bahawa sekolah akan mengadakan malam-malam tadarus di dewan beberapa buah sekolah dan terus majlis berbuka bersama. Setiap sekolah akan mengadakannya pada hari Khamis, malam Jumaat setiap minggu sehingga Ramadhan berakhir. Sekolah kami menjadi tumpuan pertama majlis itu diadakan.
Nampaknya, seminggu-minggu ini makin bertambahlah kerja kami.
Aku menghela nafas berat.
“ Surat pasal apa tu?” soal Cikgu Humairaa yang baru saja datang di meja depanku. Dia meletakkan begnya, buku-buku laporan pelajarnya dan juga beg komputer ribanya.
“ Program Tadarus..”
Cikgu Humairaa mengangguk-angguk.
Aku melipat surat keliling itu dan menyimpannya ke dalam laci.
“ Tak ada kelas pagi ni?” tanya Cikgu Humairaa pulak ketika dia sibuk menyediakan buku pelajaran yang hendak diajarnya.
“ Jam 10 pagi nanti..” jawabku tanpa memandang.
“ Okey, akak masuk kelas dulu..” khabarnya dan segera berlalu meninggalkan aku di ruangan guru itu. Begitulah sikapnya setiap hari, ramah dan sentiasa ceria meniti hari-hari. Kalau pun nampak muka Cikgu Humairaa masam, itu tandanya dia sedang merajuk dengan suaminya tapi rajuk itu tidak lama. Sekejap saja, dia akan kembali menggaris senyuman.
Aku menghela nafas.
Lebih baik aku siapkan tugasanku yang terbengkalai ini. Kata guru besar, kertas pemarkahan hendaklah dihantar paling lewat esok. Ia perlu ditandatanganinya sebelum hari penandatanganan rekod kemajuan diadakan. Kalau tak silap, dalam perancangan majlis itu akan diadakan Sabtu ini. Kalau hendak dihitung, hari ini hari Selasa. Nampaknya, hanya tinggal 3 hari.
Memang kesuntukan benar!
Inilah masalah yang aku hadapi setiap kali ada peperiksaan. Maklumlah, tahun ini kali pertama aku diberi amanah menjadi guru kelas 6D. segalanya nampak susah di mataku. Kebanyakannya, aku belajar dari Cikgu Humairaa. Cara mengatasi masalah pelajar merosot di dalam markah, masalah disiplin dan masalah ibubapa pelajar yang tidak berpuas hati dengan pencapaian anak mereka, semuanya membuatkan aku pening kepala.
Susah betul kalau kita sudah jadi tempat orang bergantung harap. Sekali kita tersilap membuat perhitungan, alamat sebakul sumpahan orang kita tadahkan. Susah juga kalau orang tak faham dengan kemampuan kita. Kalau mengharapkan yang terbaik itu selalu datang bergolek, usaha pun kenalah bergandingan. Barulah sama-sama boleh menikmati kejayaan.
Teet.. Teet…
Aku tercari-cari bunyi telefon bimbitku itu.
1 message received
            ‘ Hani balik nanti, tolong ambil Izzah terus… Abah ada hal’
Aku mengetap bibir.
Hari ini Izzah balik jam berapa? Takkan tak ada kelas petang pulak?
            ‘Izzah tak ada kelas petang ni, abah?’
Aku membalas pesanan yang datangnya daripada abah itu. Tidak lama kemudian, mesejku dibalas.
            ‘ Tak..’
Aku menghela nafas.
            ‘okey’
Aku membalas seringkas itu sebelum menyimpan semula telefon bimbitku ke dalam laci mejaku. Aku tidak mahu ia ada di depan mata. Sudahnya, aku akan sibuk dengan games yang ada di dalam telefon itu pulak nanti.
Teet..tett!
Alahai.. apa lagi abah ni?
Aku mengambil semula telefon bimbitku dan meletakkan pen merah yang kupegang.
Hairan.. bukan nombor abah yang masuk dalam peti mesej simpananku.
            ‘Asslm.. My sweetie roses.. Sya tahu awk sdg bkrja, so slmt bkrja..’
Dahiku berkerut jadinya.
Siapa lagi yang ‘mengayat’ aku pagi-pagi begini?
Lama aku merenung isi pesanan itu sebelum akalku membuat kesimpulan, pesanan ini dikirim oleh Cikgu Zarul.
Alasanku senang, kerana ‘My Sweetie roses’.
Hmm.. balas tak ni?
Aku meletakkan telefon bimbitku di atas meja. Aku menggenggam kedua belah tanganku dengan resah.
Penting tak kalau aku balas mesej ni?
Kalau setakat jawab salam, dalam hati dah cukup.
Teet.. Teet!
Pesanan datang lagi. Aku cepat-cepat membuka pesanan itu kerana datang dari nombor yang sama.
            ‘ Keep my number dear..- Zarul Syafi’e’
Aku tersandar jadinya dengan kedatangan pesanan yang kedua ini. Memang tepat andaianku tadi. Nampaknya, makin bertalu-talulah aku akan mendapat pesanan daripada Cikgu Zarul.
Aku merenung lama telefon bimbitku itu. Tanpa kujangka, ada panggilan masuk dan pastinya dari Cikgu Zarul. Aku teragak-agak untuk menjawab panggilan itu kerana aku tidak mahu Cikgu Zarul menyangka aku sedang membaca pesanan darinya atau lebih tepat lagi sedang mengingatinya.
“ Kenapa tak jawab?” soal salah seorang cikgu tidak jauh dari tempatku duduk. Mungkin nada deringan telefonku itu mengganggu konsentrasinya.
Aku tersenyum kelat.
Antara mahu dan tidak, aku terpaksa jua menjawabnya.
“ Assalammualaikum, Hani..” sapanya dari corong telefon. Suaranya kedengaran mesra dan sopan di pendengaranku.
Aku menjawab salamnya dengan suara perlahan.
“ Busy?”
“Tak..”
Sepatah ditanyanya, sepatah juga aku menjawab. Rasa kekok benarku saat ini kerana sudah terlalu lama tidak bersembang kosong. Apatah lagi, hubungan terputus begitu saja sesudah aku tamat 5 tahun dulu. Kehadirannya baru-baru ini membuatkan aku rasa kaku dan kurang mesra.
“ Tak ada kelas?” soalnya lagi.
Aku menelan liur saat terpandang cikgu Mariam yang tadi menegurku itu tersengih. Panas rasanya wajahku bila dipandang begitu. Pastilah cikgu Mariam berfikir aku sedang bercakap dengan buah hati saja kerana aku bersuara seperti sedang berbisik-bisik.
“ Jam 10 nanti..” jawabku.
Dia mengumam.
“ Hani..” panggilnya seperti ingin menyampaikan sesuatu yang penting.
Aku pulak berdebar-debar jadinya.
“ Ya?” aku memaksanya menjawab dengan segera. Aku resah dalam menanti.
“ Saya ingat nak ajak Hani datang ke rumah malam ini..”
Aku tersentak.
Berulang-ulang kali aku menelan air liurku. Dulu, Cikgu Zarul memang pernah mengajak aku singgah ke rumahnya tetapi aku puas menolak dengan alasan, hubungan antara kami biarlah sebagai guru dan pelajar saja. Aku takut ada yang tersalah sangka dan salah faham dengan keakraban kami pulak.
“ Tolonglah kali ini jangan menolak, Hani..” dia memaksa aku untuk menuruti kemahuannya. Aku bagaikan tidak percaya saja dia tahu apa yang sedang aku fikirkan.
Aku mengeluh.
“ Tapi, saya tak boleh janji Cikgu..” balasku perlahan.
Dia merengus.
“ Tak mengapalah..” balasnya dan terus mematikan panggilan.
Aku tersentak dengan perilakunya itu. Aku disapa rasa bersalah yang sesungguhnya. Sekalipun aku tidak pernah berniat untuk menyakiti sekeping hatinya ataupun mahu membuatnya berjauh hati keranaku.
Alamak..
Apa yang harus aku buat?
Aku menggigit bibir dengan kuat. Rasa bersalah menjalar ke seluruh urat nadiku. Aku terasa benar-benar bersalah kerana membuat dia begitu. Aku bukan berniat untuk menolak pelawaannya itu tapi aku benar-benar belum bersedia berjumpa dengan kaum keluarganya. Lagipula, aku siapalah di sisinya. Aku seram benar kalau ada yang tersalah faham pulak dengan hubungan kami nanti.
Aku lelah bersoal jawab.
Ah..
Aku tersandarnya jadinya.
Jam di tangan kukerling.
Tak lama lagi kelas hendak bermula.
Biarlah masalah ini aku selesaikan kemudian. Aku harus menunaikan amanah dulu. Ilmu perlu dicurahkan. Biarlah orang kata guru hanya lilin. Aku puas menjadi diriku. Meskipun sekadar menerangi orang lain dengan membakar diri.
Aku mencapai fail persediaanku mengajar dan buku Pengetahuan Ugama Islam. Aku segera berlalu dan membiarkan telefon bimbitku di atas meja. Aku sengaja mempercepatkan langkah kerana aku ingin menghabiskan satu tajuk matapelajaran hari ini. Walaupun peperiksaan baru saja tamat, namun begitu aku tetap inginkan waktu terluang untuk pelajarku mengulangkaji bersamaku nanti.
Hairannya.
Sepanjang mengajar itu fikiranku melayang. Sekejap aku fokus dan sekejap lagi aku hilang tumpuan. Hendak menerangkan pun aku terpaksa merujuk buku lagi, seolah-olah aku tidak ada membuat persediaan langsung sebelum ini. Membakar rasa bersalahku kepada si dia.
Semuanya kerana Cikgu Zarul Syafi’e itu.

1 ulasan:

cactaceous opuntia berkata...

dah ade perasaan kt cikgu zarul eh...ke hani snanye mmg pnh suka zarul?mgkn hani sengaja tolak kenyataan sbb tu cikgu die?heee