BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 Ogos 2011

Bab 16- Sayang sudahlah..


Bab 16
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Hampir separuh malam aku berendam dengan airmata saat mengenang kisah lima tahun lalu dan kisah yang disampaikan oleh Zarul Syahmi itu kepadaku. Memang kejam benar caraku melukakan sekeping hati yang tulus mencintaiku.
Bodohnya aku kerana tidak tahu menilai.
Wajah tampan itu terlalu polos untuk aku lukai hatinya tapi aku tidak berdaya mengubah segalanya. Saat tersarung cincin di jari manisku beberapa tahun yang lalu, bagiku aku sudah tidak lagi perlu memandang ke belakang, kisah lamaran Cikgu Zarul setelah aku dilamar Syafiq itu harus tinggal kenangan saja.
Sayangnya hari ini, aku dihantui semula bayang-bayang hitam itu. Aku terasa terseksa dengan apa yang terjadi sedangkan aku percaya, takdir yang menemukan aku semula dengan Cikgu Zarul setelah lama kami terpisah disebabkan sengketa yang belum pernah kutahu bilakah ia menjadi jernih.
Pertemuan semula dengan Cikgu Zarul itu seolah-olah sebelum ini aku tidak pernah melukai hatinya. Teringat semula kepada cerita Syahmi, aku semakin rasa bersalah.
Benarkah keputusanku lima tahun lalu itu hampir meragut nyawanya?
Aku teresak lagi.
Aku terasa seperti insan bodoh dan tidak berguna.
Layakkah aku untuk menagih kembali kasihnya yang pernah mekar untukku sebelum ini?
Hatiku merintih.
            Sepatutnya aku tidak kembali menjalinkan hubungan dengannya walaupun kali ini status sudah kami sudah berubah. Dia bekas guru dan aku bekas pelajarnya. Namun kenyataan itu tidak akan pernah mengubah apa yang telah terjadi.
            Perlukah aku meyakinkan diri bahawa sehingga hari ini perasaannya untukku tidak berubah? Perlukah aku merebut kembali peluang ini untuk menunaikan permintaannya lima tahun dulu?
Tidakkah aku terlalu hipokrit?
Kepalaku semakin berat memikirkan semuanya. Kali ini aku berserah, biarlah takdir yang menentukan segalanya. Biarlah airmataku yang membanjiri wajahku ini memberi erti dan tidak sia-sia.
Aku memejam mata.
Lantaran kesilapanku di masa lalu itulah aku ingin menangis sehingga aku tidak dapat melihat apa yang ada dunia ini lagi sehingga akhirnya aku tahu dan sedar, ada sesuatu yang menungguku di dalam kegelapan.

0 ulasan: