BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 11 September 2011

Bab 2- O.R.K.I.D

Bab 2
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Fikiranku menerawang jauh. Entah kemana ia melayang pun aku kurang sedar. Kata-kata Fakrul Dhani membuatkan aku resah dan meronta jiwa merungkai persoalan dengan maksudnya.
      “Mai..”
      Aku tersentak dari lamunan.
      “ Ya abah..” sahutku kepada wajah yang sudah dimamah usia itu. Wajahnya nampak redup bersahaja tapi tidak siapa menduga perasaan yang terlindung di balik raut yang terukir senyuman itu.
      “ Fikir apa tu?” soal abah yang masih lagi tegak di muka pintu dapur. Aku yang sedari tadi termangu di situ sekadar menggeleng. Aku tidak ingin abah tahu resah yang bermain di hatiku kerana bimbang abah akan susah hati pulak jadinya.
      “ Abah nak kopi?” tanyaku menukar alih isu yang ingin disentuh.
      Abah mengangguk dan beredar begitu saja.
      Aku menghela nafas.
      Aku mencapai cawan dan menuang air kopi yang sememangnya sudah kusediakan lebih awal untuk abah. Begitulah rutinku sejak aku kembali semula ke kampung bersama hati yang lara namun ditemani dengan semangat baru. Meskipun hancur luluh sudah jiwa ini dengan ragutan sang arjuna namun aku ingin bangkit bersama nafas baru.
      Aku menatang dulang dan berlalu menuju ke ruang rehat. Aku meletakkan kopi itu di atas meja. Sesekali aku mengerling abah yang matanya terpaku di kaca televisyen.
      “ Minum bah..” pelawaku dan berkira-kira mahu kembali semula ke dapur.
      “ Duduklah Mai.. teman abah..”
      Langkahku serta-merta mati. Hatiku sayu mendengar permintaan abah yang kedengaran bersahaja itu tetapi menyentuh hati.
      Ketara benarkah aku seperti menjauhi abah? Sedarkah abah aku sedang berjauh hati dengan keputusannya?
      Mahu tak mahu, aku menghampiri abah jua. Sengaja kumemaniskan muka agar abah tidak bisa membaca hatiku. Lambat-lambat aku melabuhkan punggung di sebelah abah.
      “ Mai..”
      Aku sekadar menunduk.
      “ Abah sayang dengan Mai..”
      Aku menelan liur. Lain sekali nada abah kali ini. Wajah abah nampak terkilan. Seperti sedang menanggung rasa bimbang yang terlalu meskipun abah berusaha membuat aku tidak menyedari akan hakikat itu.
      “ Mai betul-betul tak mahu terima Dhani?”
      Aku terkaku dengan pertanyaan itu. Terluka lagi hati ini dengan pertanyaan itu.
      Bukankah telah aku katakan pada abah, aku tidak ingin membina hubungan lagi?
      “ Abah.. biarlah Mai begini..” balasku perlahan, memohon pengertian abah. Aku tidak ingin menerima permintaan abah buat masa ini. Aku tidak tahu kemana hilangnya diriku dulu yang rela menuruti kata hati yang memberikan arah serta tuju untuk melalui hari-hari mendatang.
      Kudengar abah mengeluh berat.
      “ Mai tahukan abah sayang Mai..”
      Aku mengigit bibir dengan kuat. Pengakuan abah itu menyentuh lagi hatiku. Aku tidak menafikan itu kerana aku tahu semua ibu dan bapa di dunia ini menyayangi anak-anaknya.
      “ Mai ada abah dan abah hanya ada Mai seorang.. Abah nak kahwinkan Mai sebab abah nak ada orang yang jaga Mai bila abah tak ada nanti..”
      Rintik-rintik airmataku jatuh jua. Dalam tunduk itu aku melepaskan sendu. Aku sedar, meskipun maksud abah bukan untuk menambah lukaku namun aku takut tidak dapat memikul amanah dan tanggungjawab yang akan aku pegang bila sudah menjadi seorang isteri.
      “ Abah tak faham.. Mai tak bersedia..” luahku dalam tangis. Aku benar-benar mengharapkan abah mengerti maksudku.
      “ Bersedia apa Mai?” soal abah tiba-tiba dan kali ini nada abah kedengaran keras.
      “ Isteri Dhani!”
      “ Mai.. itu bukan alasan Mai! Abah tahu Mai sudah lama bersedia untuk jadi isteri. Kalau tidak, mana mungkin Mai mengikat ikatan pertunangan dulu..” balas abah tegas lalu merobek lagi hatiku.
      Aku tidak lagi menjawab kata-kata abah dan hanya diam bersama tangisan syahdu. Biar abah tahu aku tidak suka dipaksa dan aku tidak rela dengan ikatan yang ingin abah jalinkan untukku.
      “ Sebelum abah tutup mata Mai.. tunaikanlah..”
      Lalu, aku hanya mampu memandang abah berlalu meninggalkan aku di situ bersama hati yang pilu. Maksud abah apa? Adakah dia ingin meninggalkan aku seperti ibu?
      Kenapa harus ini yang aku alami?
      Dalam kekalutan rasa dan keresahan itu, hening waktuku diganggu dengan ketukan pintu utama di hadapan. Dengan langkah berat aku menghampirinya jua untuk mengetahui gerangan yang datang lagi malam-malam begini. Aku mengesat airmata sebelum membuka pintu.
      Aku terkaku melihat si gerangan dan dia jua nyata terkejut melihat aku yang menyambut kedatangannya. Aku pantas mengalihkan pandangan dan berkira-kira mahu berlalu. Terasa segan berdiri di hadapannya kerana aku tidak memakai tudung untuk menutupi kepalaku.
      “ Sara..”
      Aku sekadar membelakanginya tanpa mempelawanya masuk.
      “ Awak menangis?”
      Aku tidak berniat untuk menjawab pertanyaan itu. Namun, aku ada soalan lain pula untuk Fakrul Dhani, lelaki yang menjadi pilihan abah  untuk menjagaku itu.
      Aku memandangnya dengan perasaan berbaur meskipun anak matanya seperti sedang merenungku. Seolah dia menanti aku bersuara.
      “ Dhani..”
      Aku menelan liur sebelum meneruskan kata. Meskipun aku bimbang dengan penerimaan serta jawapan dari pertanyaanku nanti namun aku tetap ingin meneruskannya jua.
      “ Ikatlah saya sebagai isteri awak..”
      Kulihat Dhani hanya terpaku di situ tanpa sebarang reaksi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menarik cte ni.. smbg lg yer...