BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 25 Disember 2011

bab 29- O.R.K.I.D

Bab 29
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      “ Hairankan yang.. boleh terserempak Fahrin di sini..” Dhani memulakan kata setelah lama dia diam sepanjang perjalanan kami menuju ke rumah yang sudah disewanya. Pertanyaan itu benar-benar mengguris hati dan perasaanku.
Apakah maksud Dhani dia curiga kepadaku?
“ Bagus soalan tu..” sahutku sambil membuka tudung dan meletakkannya di atas sofa. Biarlah kedengaran sinis dipendengarannya. Andai dia tahu apa yang ada dalam fikiranku, pasti Dhani tidak akan menyentuh soal tadi.
Aku tidak pasti, kalau Dhani ingin meneruskan niatnya untuk membincangkan perihal terserempak dengan Fahrin tadi mungkin Dhani akan terluka olehku kerana aku terasa tertekan benar saat ini.
Salahkah Dhani bersabar saja?
“ Sayang.. abang tak maksud nak curiga..”
Aku sekadar memejam mata mendengar dia berkata. Aku terasa penat kerana penerbangan tadi dan bertambah penat lagi kerana terkejut dengan kehadiran Fahrin di bumi Perancis ini. Apatah lagi, di kota Paris yang kutunggu-tunggu detiknya untuk kukunjungi.
“ Terus terang Sara katakan, soalan abang buat Sara terluka..” sahutku tanpa memandangnya.
Dhani mula melabuhkan punggung, duduk di sebelahku. Dia menyentuh bahuku agar memandang dia yang ada di sisi.
“ Boleh tak abang percaya yang hati Sara kini untuk abang?” soalku mendatar. Kali ini ingin menangis pula. Mungkin kerana sedari tadi aku berlagak kuat, seakan-akan kehadiran Fahrin tiada memberi impak di hatiku saat itu.
Dhani sebelahku tidak berkutik.
“ Abang tak percaya Sara?” soalku lirih.
Dhani masih begitu.
Membisu.
“ Sara bukan mengaku begini sebab nak jaga hati abang tapi memang itu yang Sara rasakan sekarang..” sambung lagi.
Dhani masih tidak membalas.
Apa yang sedang dia fikirkan?
Aku mengeluh.
Aku tiada pilihan lain selain berlalu dari situ, meninggalkan Dhani sendiri. Mungkin suamiku itu perlukan waktu untuk berfikir. Aku memilih untuk berkurung saja di bilik. Aku sempat mengunci pintu sebelum aku berlalu ke birai katil.
Jujur saja aku katakan, tingkah Dhani membuat aku kecewa.
Dia tidak seperti selalu.
Tidak memujuk.
Tidakkah Dhani tahu, hatiku kini ingin dijaga dan dipujuk lantaran Fahrin sekali lagi mencalarnya?
Puas sudah aku mengalah pada kata hati. Ingin beri peluang mengecap bahagia sekali lagi bersama insan baru. Lantas hati memilih Dhani sebagai pengganti. Saat aku sudah rasakan bahagia, kenapa Fahrin datang lagi? Aku penat menyimpan kenangan. Aku lelah menghimpun kekuatan. Sudah lama aku lemah kerana bahana cintanya.
Salahkah aku ingin bebas dari belenggu itu? Perlukah lagi aku gadaikan airmata demi menebus segalanya? Perlukah aku korbankan hati dan perasaan sekali lagi sedangkan aku perlu sokongan untuk terus bertahan.
Di situ, aku menangis lagi.
Airmataku seakan tiada berharga. Serapuh itu hatiku. Aku sudah paksakan hati untuk lupakan segalanya dan leraikan segalanya.
“ Sayang..”
Suara Dhani membuat aku tersentak. Suara itu kedengaran perlahan dari luar bilik. Berulang kali dia mengetuk pintu namun aku masih kaku di situ.
Sebegitu mudah Dhani membuang airmataku.
Bukankah dia pernah berjanji untuk menjagaku meskipun aku tidak cinta padanya?
Kini aku sudah rasakan apa yang dia rasakan.
Kenapa janjinya seperti hanya janji saja?
“ Sayang.. abang minta maaf..” rayunya perlahan membuatkan hatiku tersentuh.
Bersungguh benarkah dia melafazkannya?
Aku mengesat airmata dan berlalu untuk membuka pintu. Demi saja pintuku buka, Dhani terus menarik aku ke dalam pelukannya. Aku kaku dilakukan begitu.
Dhani mencium dahiku, lama.
Aku dapat rasakan kasihnya dalam kepadaku.
“ Abang tak ada niat nak tambah luka di hati Sara.. tak sedikit pun sayang..” luah Dhani bersungguh-sungguh membuatkan aku kembali meneruskan tangis.
Aku tahu Dhani memang begitu. Kalau dia tidak ungkapkan lagi pun aku memang sudah rasakan kasihnya amat dalam buatku. Namun, aku senang tidak menyampuk kata-katanya walau sepatah.
“ Abang takut Sara akan tinggalkan abang untuk dia…”
Mendengar ungkapan itu aku terus merenggangkan pelukan. Semudah itukah Dhani menganggap hatiku berubah? Securiga itukah Dhani kepadaku?
“ Setelah apa yang kita lalui bersama, abang boleh terfikir lagi Sara akan lakukan benda bodoh begitu?” tanyaku dengan marah.
Kali ini, pasti Dhani akan melihat dan mendengar aku marah sama seperti kali pertama aku marah padanya saat abah menolak keinginanku untuk menyambung belajar, ketika dia menemuiku berhampiran pantai di kampung.
Dhani di hadapanku sekadar merenungku dengan rasa bersalah.
Aku mengigit bibir dengan kuat. Bertingkah-tingkah rasaku saat ini. Berani benar Dhani menyimpan curiga kepadaku. Kalaulah aku masih inginkan Fahrin, sudah lama aku tinggalkan dia dulu lantaran Fahrin sendiri berulang kali memohon maaf kepadaku dan ingin menjernihkan keadaan.
“ Sara tak sebodoh yang abang sangkakan..”
Aku berpeluk tubuh memandangnya. Membuak-buak rasa marahku kepadanya lantaran lancang sekali dia melafazkan ungkapan itu kepadaku. Walaupun Dhani hanya meneka tapi aku kecewa benar kerana kepercayaannya kepadaku nampak tergugat dan pudar.
Dhani menarik tanganku tapi aku sekadar kaku. Sengaja aku mengeraskan pergerakan sebagai tanda protes dengannya.
“ Abang suka kita keruhkan keadaan begini kerana Fahrin?” tanyaku lagi seraya menolak tangannya.
Dhani tidak menjawab pertanyaanku itu.
“ Kalau abang nak kita bincangkan hal ini, okey.. Sara bersedia..”
Dhani masih diam. Tingkahnya itu membuatkan aku terkilan. Aku dapat rasakan Dhani menaruh curiga kepadaku. Caranya itu seakan menuduh aku yang mengkhabarkan kepada Fahrin yang aku sudah tiba di Paris ini. Seakan aku sudah merancang segalanya di sini.
Apakah kerana dia dan kami berdua menaiki penerbangan yang sama? Atau kerana jadual penerbangan yang sama dan destinasi yang sama?
“ Abang seakan lupa pada hal kebetulan..” sambungku akhirnya bila sekali lagi Dhani masih tidak membalas segala ucapanku.
Aku pasrah dengan Dhani.

bab 28- O.R.K.I.D

Bab 28
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Akhirnya aku sampai jua memijak bumi Perancis setelah berjam-jam di dalam perut kapal terbang. Aku terpaksa menanti Dhani di lapangan terbang sementara dia masih ada urusan lain dengan krew penerbangan. Dhani sengaja mengambil tugas sementara kerana kebetulan saja dia ingin sama ke sini, makanya dia memilih untuk jadi pemanduku.
Sanggup benar dia melakukan apa sahaja untuk menawan hatiku.
Setelah membuat pengesahan pasport, aku duduk di sebuah bangku menanti suamiku itu dengan sabar. Aku menantinya dengan menikmati secawan coklat panas.
      Memang sedap ketika musim dingin begini.
      Sedangku menanti Dhani, aku disapa lagi oleh seseorang.
      “ Sara?”
      Aku menoleh.
Sekilas pandang lalu aku mengalihkan tumpuanku. Aku tidak ingin bertemu dengannya. Aku tidak pasti sama ada dendamku sudah hilang atau aku takut akan ada bunga-bunga cinta yang mekar semula.
Aku sekadar menanti Fahrin meneruskan kata-katanya.
“ Boleh saya duduk?”
Aku pantas menggeleng kerana tidak mahu Dhani berasa curiga kalau-kalau tiba-tiba muncul pula di sini. Peduli apaku kalau Fahrin fikir aku sudah sombong atau biadab padanya.
Sejujurnya saja, kehadirannya mengusik hati wanitaku. Sedaya-upaya aku menahan getaran ini kerana aku selalu mengingatkan bahawa hatiku milik Dhani dan bukan dia lagi.
“ Tak sangka kita berjumpa di sini, kan..”
Kenyataannya itu membuatkan aku semakin meluat mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya. Seakan sengaja meraih simpati dan juga perhatianku lagi.
“ Sudahlah Fahrin.. jangan buang-buang waktu lagi..” balasku perlahan namun aku yakin ia cukup menghiris kepingan hatinya. Aku sengaja melarikan anak mata kerana bimbang dia akan menebak apa yang ada di hatiku.
“ Sara.. susahkah awak nak jernihkan semuanya?”
Aku terasa ingin menyumpah seranah saja dia di sebelahku itu. Soalan itu bodoh benar dan aku rasa buang masa melayannya.
“ Awak ingat semua perkara boleh diselesaikan sebegitu mudah?” tanyaku dengan suara yang tertahan. Gusar ia kedengaran lantang pula kerana sedang beradaku di tempat terbuka.
Ah.. kenapa perlu terserempak lagi di sini?
“ Hati awak.. milik saya dan saya ingin tuntutnya kembali..”
Aku ketawa sinis mendengar kata-katanya itu. Bodoh benar ungkapannya itu.
“ Suatu ketika dulu, Fahrin..” aku membalas, memperbetulkan tanggapannya yang nampak sama sekali bercanggah benar dengan apa yang kurasakan dan alami sekarang.
Fahrin dengan berani menapak di hadapanku pula.
Aku menahan getaran.
“ Pandang mata ini, Sara..” pintanya tegas.
Gila?
“ Apa hak awak?” marahku. Fahrin semakin berani tidak menghormati aku sebagai isteri orang.
“ Tidakkah awak nampak sinar rindu di sini?” soalnya perlahan, cuba memukau kembali suasana hening di antara aku dan dia. Hatiku semakin tercalar dengan pertanyaan itu.
Kenangan apa lagi yang ingin disentuhnya?
“ Saya dah maafkan awak. So.. selesai..” jawabku dan terus berdiri saat terpandang Dhani yang melangkah segak menghampiriku. Aku nampak wajahnya berubah dan aku pasti dia hairan melihat Fahrin ada di sini.
Apakah yang sedang bermain di fikiran suamiku itu?
Aku menggaris senyuman, menyambut huluran tangan suamiku itu di hadapan Fahrin.
“ Well.. sejauh ini awak kejar Sara?” soal Dhani dengan tiba-tiba. Kelihatan tenang dan bersahaja namun hakikatnya aku tidak tahu. Aku hanya mampu memandang dia dan Fahrin silih berganti. Kebisuan mereka seakan tersimpan 1001 makna tersendiri.
“ Kami ke sini ada tujuan tersendiri dan saya harap, awak juga begitu..” sambung Dhani lagi seraya menarik tanganku untuk mengikutnya berlalu.
Aku sempat mengerling wajah Fahrin yang nampak keruh.
Ah..
Kenapa lagi hati ini?

Selasa, 20 Disember 2011

bab 27- O.R.K.I.D

Bab 27
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Aku memasuki bilik kawalan kapal terbang itu dengan rasa takut walaupun ditemani oleh pramugari yang kukenali dengan nama Suzana itu. Itu pun aku sempat berkenalan dengannya sepanjang melalui lorong untuk menuju ke tempat juruterbang berada. Katanya, penumpang tidak dibenarkan untuk masuk ke sini tetapi dia hairan juga kenapa beria-ia benar rakannya itu memaksa dia membawaku ke sini.
      Aku di sisinya hanya menyembunyikan senyuman. Aku rasa gembira dengan sesungguhnya detik itu. Suzana menyelak langsir yang menutupi bilik itu dan mempelawaku masuk ke situ.
      “ Hai sayang..” sapa Dhani yang segak dengan pakaian seragamnya. Temannya yang berada di sebelahnya hanya tersengih nakal. Itulah kalau aku tidak silap, rakan yang menemaninya mengendalikan penerbangan ini bersama.
      “ What a surprise..” sindirku seraya memukul bahu suamiku itu.
      Mati-matiku sangka dia tidak dapat pergi bersamaku ke Paris. Rupanya dia yang memandu kapal yang kunaiki ini. Ditambah lagi dengan pesanan dan layanan istimewa yang aku terima di first class. Menghairankan kerana hanya aku yang mendapat layanan itu dan bukan penumpang lain.
      Suamiku!
      “ Wait.. what is actually going on here?” soal Suzana yang kebingungan melihat aku yang sudah duduk di sebelah Dhani.
      Aku dan Dhani saling berpandangan.
      “ Siapa nak jawab ni?” soalku kepada Dhani dengan perlian.
      Dhani ketawa kecil.
      “ Well.. sorry Suzana… Ini isteri saya..” perkenal Dhani kepada Suzana.
Kulihat Suzana menjengilkan matanya kepada kami berdua.
      “ Awak ni kan. Saya punyalah takut isteri awak marah saya sebab saya berulangkali menemui dia kerana pesanan awak yang saya terima dari ketua saya…” dia membebel dengan marah yang dibuat-buat.
      Aku di sebelah Dhani tertawa kecil.
      “ Thank you Suzana..” ucapku dengan ikhlas. Dia memang telah menjayakan rancangan suamiku yang sengaja membuat kejutan demi kejutan untukku ini.
      Suzana hanya mengangguk dengan senyuman dan meninggalkan kami di situ untuk meneruskan kerjanya.
      “ Ini kawan abang, Kamarul..” perkenal Dhani.
      Aku sekadar mengangguk bersama senyuman. Kamarul mengadu kepadaku bahawa Dhani susah hati benar membiarkan aku sendiri di bahagian penumpang. Dia telah merancang segalanya termasuklah pengendalian penerbangan yang sepatutnya bukan Dhani yang bertugas. Dia berusaha benar meminta kebenaran kepada ketuanya untuk membiarkan dia menemani Kamarul sekaligus meminta izin untuk membiarkan aku masuk ke situ. Nasib baiklah semuanya dipersetujui kerana ini merupakan hadiah perkahwinan dari krew yang lain kepada kami.
      Tidakkah itu sungguh menyentuh hati dan perasaan?
Sebagai isteri, aku rasa terharu. Betapa benar sayang Dhani kepadaku.
      “ Keluarga abang semua tahu plan abang ni?” soalku selamba.
      Dhani tersengih nakal.
      “ Jahatlah..” marahku sambil memukul bahunya lagi. Kamarul yang melihat kemesraan kami itu hanya ketawa.
      “ Tak hairanlah Dhani ni, Maisara..” sampuk Kamarul. Katanya, Dhani memang suka melakukan sesuatu yang lain untuk insan yang dia sayangi dengan sesungguhnya. Pasti aku merasa amat bertuah memiliki hati Dhani untuk mencintaiku, kata Kamarul lagi.
      Aku mengangguk saja mengiakan kata-kata Kamarul itu.
      “ Kak Shila tu susah sikit. Abang terpaksalah tempah dan belanja tiket untuk mereka sekeluarga melancong ke Paris nanti supaya Kak Shila tak bocorkan plan abang..” sambung Dhani lagi.
      Aku hanya tertawa mendengar dia mengadu begitu. Memang kasihan tetapi apa daya.
      Kenapa dia nakal sangat memberiku kejutan dengan idea sebegini?
      “ Padan muka..” usikku pula.
      Dhani sekadar menjelingku.
      “ Dah lah.. Sara tak nak lama-lama di sini. Nanti orang fikir lain..” aku meminta diri untuk kembali semula ke tempatku. Aku tidak betah lama-lama di situ kerana bimbang dengan tanggapan penumpang lain meskipun Dhani itu suamiku.
      Takkan nak tunjuk surat nikah pada semua orang?
      “ nak abang hantar?” soal Dhani.
      Aku menggeleng.
      “ Tak usahlah..” aku menolak pelawaannya kerana bukannya jauh benar. Aku hanya perlu ke belakang saja untuk kembali semula ke tempat duduk penumpang kelas pertama.
      “ Kita jumpa bila dah landing nanti..” pesan Dhani lagi.
      Aku mengangguk.
      Aku tidak mahu mengganggunya bertugas. Aku sudah cukup senang kerana dia akan menemaniku sepanjang berada di bumi Perancis nanti. Sangkaku benar dia hanya akan menyusul setelah seminggu tetapi rupanya, suamiku itu yang menjadi pengendali penerbangan ini.
      Nakal sangatlah suamiku ini!
      Dalamku tersenyum sendiri, aku berselisih dengan Suzana ketika mahu menuju semula ke tempatku. Dia sempat menggaris senyuman. Aku memegang lengannya dan menghalang dari terus berlalu.
      “ Saya nak ke bilik air..” beritahuku padanya.
      “ Silakan..” pelawanya sopan dan aku mengikut langkahnya menuju ke ruang belakang lagi. Sebelum sampai ke situ, bahuku terlanggar bahu seseorang yang tiba-tiba saja berdiri di sebelahku.
      “ Maaf..” pintaku tanpa memandang. Rasa bersalah ada tapi itu bukan salahku pun. Insiden itu terjadi tanpa sengaja dan bukanku rancang.
      “ Its okay..” balas pemuda itu.
      Langkahku terhenti. Suara itu mematikan pergerakanku. Hatiku berdebar kuat, sama dengan ketika hati ini bertembung dengan pemilik hati di suatu masa dulu. Walaupun tidak memandang tidak menoleh, hatiku bagai digaru untuk melihat pemuda yang bersuara itu. Anehnya, suara hatiku memujuk jua untuk tidak peduli.
      “ Jadi tak Sara?” soal Suzana yang sudah jauh di hadapan.
      Aku tersedar dari bisikan hati itu dengan teguran Suzana di hadapan. Mungkin lebih baik aku tidak berpaling. Takut pulaku pada kenyataan yang tidakku ingini akan terjadi.
      “ Cik, shawl anda terjatuh..”
      Aku meraba-raba bahuku.
Sekali lagi aku mematikan langkah dan kali ini aku perlu berpaling untuk mengambil semula selendangku yang terjatuh dari bahu.
      “ Terima kaa..”
      Kata-kataku berakhir di situ, tergantung tidak lengkap. Semuanya gara-gara pemuda yang menghulurkan selendangku tanpa kelip ini.
Betulkan di depanku ini Fahrin?
Aku seakan tidak percaya bertemu dia lagi di hadapanku. Wajahnya tidak nampak berubah. Beningnya tersimpan rindu yang sarat. Membuatkan hatiku kembali tersentuh rasa lain dan aneh.
Jauh sudahku melangkah pergi membawa diri, kenapa hari ini dia kembali lagi menyusuliku di sini?
      Ya TUHAN.. apa lagi yang ingin KAU tunjukkan?

bab 26- O.R.K.I.D

Bab 26
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Pandangan langit ciptaan TUHAN nampak indah di balik jendela kapal terbang yang sedang aku naiki. Meskipun cuaca kurang baik namun ia masih mampu melihatkan keindahan alam ini.
      Aku menghela nafas berat. Aku menyentuh perutku yang terasa lapar. Rasa menyesal juga kerana tidak menerima pelawaan suamiku tadi. Belum jauh benar, aku sudah mula terkenang Dhani.
      Apa lagi kalau sudah tiba di Paris?
      Kalau Dhani ada di sisiku, pasti saat ini dia akan menyediakan minum petangku. Pasti akan ada kek coklat dan susu sejuk.
      Aku mengeluh. Aku membuang pandangan semula ke jendela. Nasibku bertuah benar kerana Dhani telah menempahkan tiket kelas pertama untuk penerbangan ke Paris ini. Aku terasa tenang dan rileks sepanjang penerbangan ini.
      “ Maaf puan, boleh saya hidangkan sesuatu?”
      Fikiranku kepada Dhani terhenti di situ saja dek terganggu dengan pertanyaan pramugari yang manis itu.
      “ Saya tak lapar. Terima Kasih…” aku menolak dengan sopan kerana aku memang tidak ada keinginan untuk makan kerana mati selera saat itu. Aku bukannya tidak mahu memikirkan keadaan bayi yang kukandung tetapi aku memang mati selera.
      “ Tapi puan, ini hidangan yang telah ditempah dan ianya untuk puan..” tingkah pramugari itu.
Aku tersentak pula dengan kenyataan itu.
Jangankan pramugari itu, aku juga menggaris wajah hairan dengan tempahan itu.
Bila masa pula aku meminta hidangan untuk minum petang pula?
“ Tak apalah.. hidang saja..” balasku akhirnya lantaran tidak ingin menimbulkan kekecohan dan rasa tidak senang pada penumpang yang lain. Pramugari itu mengangguk dan meletakkan hidangan itu di hadapanku. Dia berlalu kemudian meninggalkanku.
Aku memerhatikan makanan itu dengan rasa hairan.
Kek coklat dan susu sejuk.
Aku tersenyum sendiri. Ini memang seleraku dan memang ini yang aku hajati. Aku terasa bagai Dhani ada di sisiku pula. Kalau di rumah, Dhani yang rajin menyediakan untukku.
Hairan.
Kenapa juga ada di sini?
Ah! Suamiku ini ada-ada saja. Dia seolah-olah sudah mengatur satu penerbangan yang baik dan selesa untukku. Lantas, aku terus mencapai garpu dengan perasaan bahagia dan menikmati kek coklat itu dengan gembira. Selesai makan, aku terus tersandar.
Sedap sangat!
Cokletnya yang cair tetapi masih sejuk, cukup memikat deria rasaku yang suka dan cinta kepada coklat itu. Penerbangan pula dijangkakan memakan masa berjam-jam. Tambahan lagi cuaca kurang baik, maka penerbangan tidak akan dikendalikan seperti selalu.
Ah.. kalaulah juruterbang itu suamiku..
Mustahil. Dhani pasti sudah balik semula ke rumah saat ini. Aku tidak ingin terus mengingat Dhani kerana aku malu kalau-kalau aku menjadi sedih pula dan menangis di situ.
Aku tersenyum sendiri bila terbayang jika benar insiden itu terjadi.
Ah.. ada-ada saja.
Aku mencapai headphone yang ada di sisiku untuk mengisi waktu dengan mendengar lagu-lagu berirama perlahan. Mungkin juga aku akan terlena bila mendengar alunannya.
Wah.. lagu Tony Brixton.
Unbreak My heart.
Memang jiwa-jiwa pula moodku saat ini. Mungkin kerana terkenang si dia yang jauh di mata.
Aku memejam mata.
Tanpa kusangka, bahuku digamit perlahan. Aku terkejut kecil dengan sentuhan itu. Aku membuka mata untuk melihat si gerangan. Rupanya pramugari tadi.
Aku membuka semula headphone yang kupakai tadi.
“ Maaf sekali lagi puan, ini ada pesanan bungkusan coklat..”
Aku memandang tanpa makna.
“ dan juga, rose” sambungnya lagi.
Aku tersentak lagi. Semakin bertambah hairan dengan pesanan demi pesanan yang kuterima. Aku mengambil bungkusan dan bunga mawar itu dengan teragak-agak.
“ Katanya, peminat misteri..”
Ungkapan itu bagai menjawab pertanyaan yang bermain di benakku. Terlambatlah dia kerana hatiku sudah termiliki dan aku juga akan menjadi seorang ibu kepada anak Dhani.
“ By the way miss, sampaikan salam kepada dia yang saya ini isteri orang..” kataku dengan bangga dan yakin.
Biarlah dia patah hati awal sebelum dia merana. Biar dia menghentikan niat untuk mengusikku pula.
Pramugari itu mengangguk dan berlalu kemudian.
Aku menghela nafas dan bersandar.
Lama lagi hendak sampai ke kota Paris yang kuidam-idamkan itu. Aku mencapai majalah yang memaparkan gambar menara besi itu. Dari gambar saja aku sudah semakin melonjak gembira memandang, apa lagi kalau sudah terpacak di hadapannya nanti? Menurut cerita penulis, Mungkin Napoleon Bonaparte memang tercatat sebagai orang yang mengubah wajah Kota Cahaya Paris selama pemerintahannya akan tetapi, kiprah Gustave Eiffel juga menambah indahnya kota paris dengan berdirinya menara besi Eiffel yang terkenal seantero dunia sebagai salah satu ikon romantis dunia, yang boleh dilihat dari sudut manapun di kota paris, Perancis. Saat perayaan tahun berganti tahun, biasanya menara ini meriah dengan persembahan lampu-lampu. Ada satu tempat yang disebut Nomiya, sebuah restoran dengan 12 tempat duduk. Ini adalah sebuah karya seni instalasi yang ada di atas puncak Palais de Tokyo Museum. Tempat yang tepat untuk mengunjungi Paris adalah ketika musim dingin atau ketika salji turun menghiasi bumi Perancis itu.
Kenyataan yang kubaca ini membuatkan aku semakin tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sana.
Memang sangat dingin di Paris, tapi kilatan lampu di di kota ini menjadi bertambah indah ketika dipantulkan oleh sungai Seine yang beku permukaannya. Itu aku tahu dari maklumat yang pernah kubaca ketika belajar sebelum aku menamatkan kursus Ijazah sarjana muda dua tahun yang lepas.
“ Maaf puan.. sekali lagi saya menghantar pesanan..” ucap pramugari itu seraya memberikan sekeping nota kecil.
Konsentrasiku terganggu dengan suara pramugari yang sama. Aku serasa ingin marah saja kepadanya waktu itu. Namun, memandangkan wajah pramugari itu juga nampak serba-salah dan kelat kerana berulang-kali menemuiku, aku mematikan hasrat itu.
“ Kenapa lagi?”
Aku membaca nota itu.
‘ Nak tengok langit bersama?’
Mataku membesar saat terbaca nota itu. Bagaikan tidak percaya dengan isi nota itu.
“ siapa pengirimnya?” soalku tergesa-gesa kepada pramugari itu. Dia nampak terpinga-pinga dengan soalanku yang tiba-tiba itu namun dia menjawabnya pertanyaanku itu jua dengan senyuman yang manis.
“ Juruterbang di sini..”

Isnin, 19 Disember 2011

bab 25- O.R.K.I.D

Bab 25
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Bunyi bising di lapangan terbang itu menganggu diriku. Terasa pening dan membuatkan aku hilang rasa tenang pula. Tidak hanya Dhani tetapi keluarga mertuaku juga turut sama ada di sini. Kesemua mereka ingin menghantarku. Masa untukku berangkat ke Paris tiba hari ini. Aku sedih benar kerana Dhani masih belum diberi kebenaran bercuti. Dia hanya akan menyusuliku seminggu kemudian. Nasib baiklah aku sudah pernah mempunyai pengalaman belajar di luar negeri sebelum ini. Kalau tidak, pasti aku bertambah susah hati berganda-ganda.
      Sudahlah tanpa dia.
      Dhani yang berada di sebelahku sekadar menggenggam tanganku dengan erat. Aku tahu dia menyembunyikan getaran di balik bening matanya yang nampak tenang. Tidak seperti aku, yang kini sudah tidak tahu menyembunyikan rahsia hati lagi di hadapan suamiku itu. Aku terasa ingin menangis saja sepanjang masa mempunyai sisa-sisa waktu bersama suamiku sebelum menaiki kapal terbang. Lantaran keluarga Dhani ada di situ, aku merasa canggung pula untuk menangis.
      Lagipun, ini memang pilihanku.
      Sayangnya, mereka tidak tahu pilihanku ini dulu adalah kerana aku belum bersedia menerima kehadiran orang lain saat itu. Sedang Dhani sendiri tidak tahu. Anehnya, Dhani seakan tidak mengerti perasaanku yang hadir buatnya kini.
      Belumkah Dhani sedari aku kini ingin selalu bersamanya?
      “ sayang tak lapar?” soal Dhani.
      Aku menggeleng walau sesungguhnya aku ingin makan saat ini. Aku hanya ingin menghabiskan masa bersama Dhani sebelum berangkat. Kak Shila pula sekadar tersenyum nakal. Mungkin dia perasan wajahku yang sudah berubah keruh itu.
      “ Baby tak lapar juga?” tambah Dhani lagi.
      Aku sekadar berdiam.
      Bolehkah Dhani mengerti bahawa aku hanya ingin bersamanya saja?
Panggilan dari suara pegawai di lapangan terbang itu menganggu suasanaku bersama Dhani. Aku bersalaman dengan ibu, ayah, Kak Shila dan juga abang Anuar. Panggilan terakhir penerbangan ke Paris sudah diumumkan. Aku merasa sayu benar kerana terpaksa berpisah dengan keluarga yang benar-benar menyayangi aku. Itu pun, aku sudah mengalirkan mata yang entah kali ke berapa. Kalau hendak dikira, aku sepatutnya tegar tetapi lantaran aku terpandang ibu yang menangis, hatiku menjadi rawan.
      Rapuh jua telaga airmataku.
      Dhani mengiringiku menuju balai berlepas. Aku sesungguhnya terasa berat hati. Walaupun lapangan terbang ini jugalah tempat suamiku bertugas tetapi sayangnya, penerbanganku ke Paris bukan dikendalikan oleh suamiku!
      “ Betul bukan abang yang bertugas hari ini?” soalku inginkan kepastian pada ketika Dhani mengucup dahiku. Suaraku kedengaran mendatar saja tapi apa daya, memang takdir inginkan kami berjauhan sementara.
      “ Abang janji, walaupun kita berjauhan Sara akan tetap rasakan abang ada di sekeliling Sara..”
      Aku hanya mengetap bibir. Aku meraih tangan kanannya dan kucium penuh syahdu. Aku ingin memohon restunya ketika berjauhan ini. Pastilah aku akan merinduinya setengah mati.
      “ Abang dah bank-in cash ke dalam akaun Sara. Gunakanlah sebaiknya.. Jangan banyak shopping..” pesan Dhani lagi dengan senyumannya.
      Aku mengangguk. Tersentuh hatiku lagi.
      Kini, aku sudah ingin memiliki dia.
      Aku sudah pun cinta!
      Selamat tinggal suamiku. Luahan itu terbit dari hati yang dalam. Aku tidak tega meluahkannya kepada suamiku itu.
Aku terus berlalu bersama tiket dan beg kecilku. Aku tidak mahu menoleh lagi kerana bimbang aku akan merubah fikiran pula.
Sejauh ini, banyak sudah usaha Dhani untuk mengkabulkan impianku.
      Kenapa pulak aku ingin rosakkan semuanya semula?
Aku perlu menghargai jasa dan usaha suamiku itu. Aku cuma berharap, Dhani cepat menemuiku di sana dan mahu tinggal bersamaku.
      Aku tak betah tanpa dia.
      Aku sempat mengerling langit yang mendung. Bagaikan mengerti isi hatiku.
      Mencurahlah.
      Wakili aku di sini.

bab 24- O.R.K.I.D

Bab 24
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      “ Abang tengah buat apa tu?” soalku kepada Dhani yang sedang menekan-nekan sesuatu di hadapan komputer. Aku yang baru siap mandi masih cuba mengeringkan rambut dengan sehelai tuala kecil. Rasa segar sekali apabila membasahi diri. Hilang segala penat dan lelahku.
Aku mendekati suamiku itu dan sengaja duduk di pangkuannya.
      “ Eish.. dah beratlah..” ucap Dhani namun dia sengaja menyimpan tangannya di pinggangku dan memeluknya erat. Aku terasa dia sengaja menghidu rambutku yang masih belum kering selepas mandi itu. Aku tersengih saja diperlakukan begitu dan tertawa manja.
      “ Abang tengah check email ni..” beritahu Dhani dan menunjukkan sesuatu ke arah skrin komputernya.
      Aku mengalihkan pandangan kepada skrin itu.
      “ Pasal apa?” tanyaku tidak mengerti.
      “ Pasal sayang nak pergi Paris tu.. Pihak universiti suruh datang untuk register hujung bulan ni nanti..” khabar Dhani.
      Aku yang ada di situ terdiam.
Kenapa cepat benar aku perlu pergi menjauh daripada suamiku ini?
      Aku mengetap bibir dan berdiri dari situ. Aku menuju ke almari pakaian Dhani dan mengeluarkan pakaian seragamnya yang masih belum kugosok lagi. Itu memang kerjaku kalau-kalau pakaiannya masih belum lagi kemas. Kalau tidak esok, mungkin lusa dia akan kembali semula bertugas.
      Kenyataannya itu aku belum beri sebarang komen.
Resahku jadinya.
Kalau aku tidak silap, mengikut perkiraan hujung bulan ini akan masuk bulan Ramadhan. Ini bermakna, Ramadhanku tanpa dia. Dhani sendiri sudah mengatakan, dia sudah banyak membuat persediaan untukku sebelum berangkat ke sana. Segala tiket sudah ditempahnya. Rumah juga sudah disewanya dan katanya, ada temannya yang tinggal di sana. Dia sudah memesan temannya itu untuk menjagaku sepanjang dia tiada. Aku cuma perlu datang untuk menghadiri orientasi dan pendaftaran sebelum memulakan kuliah. Aku masih ingin mengambil jurusan bahasa untuk semakin mahir dalam menterjemah. Aku memilih Paris sebenarnya kerana aku lebih suka menterjemah bahasa lain ke bahasa inggeris dan juga kerana aku amat ingin melihat menara Eiffel itu setiap kali di sana.
      Kalau boleh setiap hari, bersama Dhani.
      Tidakkah dia tahu hasratku itu?
      “ Kenapa sayang?” soal Dhani yang masih duduk di meja komputer. Aku sengaja berdiam dan meneruskan kerjaku. Mungkin kerana tiada jawapan dariku itu makanya dia menghampiriku.
      Dhani menyentuh tanganku dan membuatkan segala perbuatanku terhenti. Aku membuang pandangan saat pandangannya menikam anak mataku.
      “ Sayangkan tengah buat kerja ni..” tegurku dan terus menarik tanganku yang ada di dalam genggamannya.
      Kudengar Dhani mengeluh.
      “ Kenapa sayang merajuk ni?” soal Dhani akhirnya.
      Aku mengetap bibir dengan kuat. Soalannya itu mengundang rasa sayu pula di hatiku. Sedangkan soalan itu sekadar mengambil berat saja tetapi menyebabkan hatiku menjadi rawan pula.
      “ Ramadhan nanti, Sara tak dengan abang..” akhirnya aku mengadu jua dan menitiskan airmata di depannya. Dhani yang di hadapanku nampak tenang mendengar luahanku itu. Dia mematikan suis sterikaku. Dia kembali semula menghampiriku dan mengesat airmata yang sudah jatuh ke pipi. Tidak lama kemudian, dia menarik aku ke dalam pelukannya yang hangat dan erat itu.
Dia ketawa kecil kemudian.
      “ Itukan impian Sara.. Nak sambung study..” peringat Dhani.
Dia berkata dengan suara yang perlahan. Dia mengucup dahiku kemudian, seakan memujuk hatiku nan rawan.
      “ Tapi abang tak ada.. Sara tak boleh survive tanpa abang..” aduku lagi, manja-manja.
      “ Mummy dan baby akan rindu daddy..” sambungku seraya mengusap perutku yang masih belum nampak membesar.
Aku sengaja mengumpannya begitu untuk membuat suamiku itu semakin prihatin kepadaku.
      “ Insya Allah.. abang akan cuba apply cuti. Satu semester saja abang temankan sayang…”
      Aku menarik muka.
      “ tak best!”
      Dhani tersengih.
      “ Apa nak buat? Kan abang kerja..”
      Aku menolak tangan Dhani yang masih merangkul pinggangku tapi aku yang kini memeluk lehernya dengan manja.
      “ Abang pasti nak Sara pergi?” soalku dalam bisikan.
Dhaniku itu diam dan tidak berganjak. Kalau itu saja satu-satunya cara untuk aku memujuk dia pergi bersamaku, bukankah itu seronok? Biarlah aku menjadi penggoda pula malam ini. Manalah tahu dia berubah hati dan menurut kata-kataku pula.
      Dhanikan suamiku.
      “ Tak lamalah abang.. satu tahun saja…” tambahku lagi.
Aku sengaja mengucup pipi kanannya. Aku sudah terasa debar di hati Dhani. Degupannya kuat, seperti selalu kalau aku dekat selalu di depannya.
      “ Sayang ni kan…” kata-kata Dhani mati di situ bila bibirnya menyentuh bibirku pula. Pantas aku tersedar caranya itu membuaiku lalu aku menolak dadanya dan tertawa manja.
      “ Abang cubalah.. cuti tanpa gaji satu tahun.. okey..” balas Dhani lambat-lambat dan bernada perlahan, memukauku. Kini dia menarik aku semula ke dalam pelukannya. Dia semakin nakal dan tangannya itu.
      Ah!
      “ Sayang penatlah..”
      Dhani masih tidak mengalah, malah dia sengaja membawa aku ke birai katil pula.
      “ Berani sangat kacau abangkan, sekarang…” kata-kata Dhani sudah di situ bila dia sudah memadamkan lampu di sisi. Suasana hening dan berubah suram. Bagai di awang-awangan bila disapa suasana romantis begitu.
      Aduhai…                                                    

Sabtu, 17 Disember 2011

bab 23- O.R.K.I.D

Bab 23
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      “ Ni isteri abang?” soal Dhani sebaik saja dia masuk ke dalam kereta. Hari ini dia kembali semula setelah bertugas selama empat hari. Soalannya itu mengundang rasa geram di hatiku meskipun nadanya kedengaran mengusik.
      “ Abang tunggu orang lain eh?” balasku. Kali ini bagai berbaur cemburu pulak sedangkan aku tidak merasakan perasaan itu sebelum ini. Suamiku itu nampak riang saja walaupun ada garis-garis lelah. Hairannya, dia masih ada mood untuk mengusik aku.
      Tawanya kedengaran lepas bebas.
      Aku mula menarik muka.
      “ Sayang nampak chubbylah.. makin comel..” balas Dhani lagi seraya mencubit pipiku pula.
      “Aww..” aku mengaduh sakit. Tidak suka dilakukan begitu oleh Dhani. Sayangnya, Dhani hanya ketawa saja. Dia menyuruh aku berpindah untuk duduk di sebelah pula sementara dia mengambil tempat pemandu.
      “ Sara ni kan, degil.. abang tak suruh Sara pandu kereta..” tegur Dhani ketika kami mula beredar dari lapangan terbang itu. Kedengaran lembut menusuk ke pendengaranku.
      Aku menggaris senyuman manja.
      “ Rindu..” aku mengaku. Kali ini, berani benar aku mengatakan begitu. Aku memeluk lengan kirinya dan melentokkan kepala ke bahunya. Wangian suamiku itu menusuk-nusuk ke hidungku.
      Ah.. betapa rindu benarku jadinya.
      “Abang rindu jugak..” balas Dhani.
      Aku mengeratkan pelukan.
      “ Nak pergi makan apa-apa tak mummy anak abang?” soal Dhani dalam usikan nakalnya.
      Aku mencubit pinggangnya.
      “ Eh.. abang tengah drivinglah ni…” tegur Dhani.
      Aku melepaskan pelukan dan menjelingnya geram.
      “ Kalau Sara nak buat lebih, nantilah.. bila dah balik..” sambungnya sambil berbisik di sisiku.
      Aku mengetap gigi. Rasa geram dengan gurauannya yang satu ini walaupun aku amat rindukan suasana begitu.
      “ Sara nak makan ice-creamlah..”
      Dhani mengerlingku sekilas.
      “ Tapi.. abang tak penat?” soalku pula kerana bimbang dia keletihan kerana baru saja hari ini bekerja dan belum pulang ke rumah.
      “ Abang yang nak kena tanya sayang.. Tak penat nanti? Kita nak seharian bersiar-siar ni.. abang nak belanja sayang makan apa saja yang sayang nak. Kalau nak pergi shopping, abang bersedia nak belanja. Kalau Sara nak tengok wayang pun, abang sedia luangkan masa. Kalau sayang nak tengok kampung pun, abang sudi temankan. Kalau nak tengok sunset juga, abang mahu..” panjang lebar Dhani membalas soalanku yang ringkas dan mudah itu.
      Aku terharu mendengar jawapannya itu.
      “ Janji tak kisah?” tanyaku lagi.
      Dhani mengangguk.
      Aku terjerit kecil. Gembira dengan janji suamiku itu. Bermacam-macam destinasi sudah terbayang dalam fikiranku. Aku ingin menikmati aiskrim bermangkuk-mangkuk.
      Kecur liur!
      “ abang ajak sayang dating seharian.. okey…” sambung Dhani.
      Aku terus menyatakan keinginanku kepada suamiku, rancangan yang akan kami lakukan bersama hari ini. Mulanya Dhani membebel juga kerana banyak sangat aktiviti yang hendak kami laksanakan tapi apabila aku menarik muka, Dhani terus bersetuju. Mula jam itu, kami memulakan rancangan kami dengan singgah ke food court the Mall. Kami menikmati aiskrim coklet bersama hiasan cherry. Aku memesan strawberry yang bercampur dengan krim nestle yang dibancuh bersama susu manis.
      Ya Allah.. sedap benar!
      Sebaik saja habis makan, Dhani mengajakku ke pusat membeli-belah pula. Katanya, dia mahu membelikan aku kasut rendah, baju-baju dan apa sahaja yang aku inginkan. Aku pun apa lagi. Demi saja nampak seksyen kasut, aku terus menarik tangan suamiku untuk menemaniku. Aku memilih satu persatu hinggakan akhirnya aku berkenan pada tiga pasang kasut yang cantik.
      “ Macamana ni?” soalku dengan manja-manja.
      Dhani menjeling.
      “ Kalau nak tiga-tiga, belilah..” balas Dhani membuatkan aku semakin sayang padanya. Aku melihat kiri dan kanan sebelum menghadiahkan ciuman di pipi kanan suamiku itu.
      “ Thank you…” ucapku seraya membawa tiga pasang kasut itu ke kaunter pembayaran. Aku memanggil Dhani untuk membayar belianku itu. Aku suka Dhani manjakan aku begini. Kemudian aku menarik Dhani untuk membeli pop corn sebaik saja kami melintas berhampiran dengan panggung wayang itu.
      “ Boleh tak abang?” soalku kepada Dhani yang membimbit beg shoppingku. Aku teringin untuk makan pop corn pula.
      Dhani mengangguk.
      “ Apa yang tidak buat isteri abang ni?” balas Dhani sambil mencuit pipiku.
      “ Sara nak yang sweet…” kemudian aku tergelak manja. Kami berlalu ke kereta kemudian kerana Dhani ingin mengajakku melihat matahari terbenam pula. Dhani ingin kami menghabiskan masa di pantai yang menjadi tempat kesayangannya. Di pinggiran pantai itu ada sebiji batu besar dan kami memilih untuk duduk di situ. Bersama angin pantai, aku menikmati pop corn bersama dengan suamiku itu.
      “ Anak daddy okey tak ni? Dah kenyang?” soal Dhani sambil menyentuh perutku yang masih belum nampak sebarang perubahan.
      Aku ketawa.
      “ dia belum dengar lagilah…” sahutku.
      Dhani tersengih.
      “ Sayang ni kuat makanlah…” tegur Dhani.
      Aku menarik muka.
      “ kenapa.. takut Sara jadi gemuk?” balasku sambil terus menikmati makanan lain yang dibelikan oleh Dhani.
      Dhani di sisiku terus memeluk pinggangku. Dia sengaja mengeratkan pelukan kerana rindu katanya lalu dia ulangi kepadaku soalan yang selalu diucapnya. Sentuhannya semakin memberi kesan kepadaku. Penuh bermakna dan memberikanku kebahagiaan.
      Adakah aku tidak merasa getaran yang sama?
      Aku menunjuk sesuatu di hujung lautan kepada Dhani. Cahaya yang menyinari seisi alam sebagai lambang kekuasaan Allah yang tiada bandingan.
      “ Abang… matahari ciptaan TUHAN ingin bertukar ganti dengan rembulan malam, kan..” aku mula berkias.
      Kami menyaksikan senja yang indah ini bersama.
      “ Secantik isteri abang..” usik Dhani.
      Aku tergelak manja. Hari ini aku bahagia bersama Dhani.
Bolehkah aku memberi hatiku padanya kali ini?