BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 Oktober 2012


Bab 36
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

Keadaan dingin di dalam ruangan itu akhirnya membuatkan aku tersedar dari lena yang panjang. Aku meramas-ramas perutku demi saja aku tersedar. Aku takut ada sesuatu terjadi pada anak dalam kandunganku lantaran tergesa-gesa melarikan diri dari kenangan lalu.
“ Syukurlah, awak dah sedar..” suara lelaki itu lain dari nada suara suamiku. Lain benar dari yang selalu menemani hari-hariku. Pantas, atas rasa ingin tahu aku mencari dari mana arah datangnya suara itu di balik kesuraman cahaya di ruangan rumah sakit itu.
Ya Allah..
Sekali lagi, sedarkanlah aku TUHAN. Tunjukkan padaku dia bukan Fahrin.
Aku menekup wajah. Berpaling dari terus memandang insan itu kerana meluap-luap rasa benci di dada. Aku takut hilang sabar dan aku bakal menjerit nantinya bagai orang gila. Aku bimbang rasa yang kupendam terluah dari mulut yang bertahun-tahun cuba aku simpan.
“ Saya faham kalau awak benci saya Sara…” dia mula main kata.
Aku menghela nafas kasar.
“ Tapi janganlah sampai ‘lari’ sebegitu jauh dari hidup saya.. Jangan sampai cederakan diri sendiri..” sinis dia menyambung kata-katanya yang bukannya memberi ketenangan kepadaku malah menyuntik rasa meluat pula.
Aku membetulkan duduk. Sesekali aku mencari kelibat Amiraa di sekelilingku sebelum pandanganku kembali jatuh pada wajah yang suatu ketika dulu pernah menjadi pujaan hatiku.
“ No one else.. only me..” dia bersuara bagai menjawab persoalan yang timbul di fikiranku.
Apalah malang hari ini bertemu dengannya dan berduaan pula dengannya. Walaupun tiada siapa yang tahu aku di sini namun aku tetap bimbang dengan keadaan hati yang jauh dari Dhani ini.
Bimbang aku akan berubah seketika lantaran sunyi.
“ Mereka fikir saya suami awak..” sambungnya sebelum aku memandangnya dengan pandangan tajamnya. Benci sungguhku pada ayatnya yang terakhir itu. Seakan-akan dia berbangga dengan apa yang terjadi padaku.
“ Saya sudah terbiasa hidup tanpa awak. Pergi dan jangan datang lagi dalam hidup saya..” luahku akhirnya setelah lama berdiam diri. Anehnya, Fahrin sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya berdiri.
Dia berpeluk tubuh.
“ Awak nak lari kemana lagi Sara?” soal Fahrin. Kali ini nada suaranya berubah. Berubah lirih dan sayu. Menggusarkan hati dan perasaanku saat ini.
Aku mengeluh seraya menunduk. Aku tidak mahu wajah itu mengundang simpatiku. Aku tidak ingin dia mengambil perhatianku lagi.
Aku benar-benar tidak mahu.
“Apa yang terjadi antara kita adalah takdir Fahrin..” ucapku penuh emosi.
Malam inikah yang akan merungkaikan segala yang terkusut?
“ Saya akui saya silap.. Tapi, saya tidak bahagia dengan jalan yang saya pilih Sara..” balasnya, meluahkan isi hatinya yang konon katanya sudah lama ingin dia katakan.
Ya TUHAN.. perlukah aku percaya padanya?
“ Bukankah ianya sudah terlambat?” soalku membalas pandangannya yang nampak sedih. Apa yang aku rasa saat melihat ke dalam anak matanya adalah perasaan kosong. Tidak macam dulu lagi. Tiada lagi rasa cinta yang membara.
“ Kembalilah Sara.. Kembali dalam hidup saya..” rayunya lagi dengan bersungguh-sungguh.
“ Awak gila?”
Aku terjerit mendengar permintaan gilanya itu. Sedikit sebanyak airmatanya itu mengundang rasa lain di hatiku.
Kasihan mungkin?
“ Saya dah ada suami.. Saya bahagia..” balasku angkuh dan terus berdiri dari terus duduk di katil itu. Aku nampak bagai orang yang tiada kekuatan dan semangat bila berada di situ. Makanya aku berdiri. Ingin menunjukkan padanya yang walaupun aku jauh dari sisi suamiku namun hatiku dan hati Dhani tidak pernah berjauhan. Walaupun jarak jadi pemisah, sekalipun aku yakin hati Dhani tetap untukku.
Bukan lagi buat Fahrin.
Dia mula diam melihat reaksiku. Dia menghampiri jendela yang nampak jernih itu. Ada bulan bersinar namun cahayanya suram. Suasana bisu tiba-tiba menguasai ruang.
Aku melabuhkan punggung semula.
Aku bersyukur benar anakku dan Dhani masih ada di dalam kandunganku. Aku tahu kenapa aku merasa senak tadi. Mungkin kerana aku terlalu aktif berlari sedangkan Dhani sudah berpesan agar tidak begitu.
Ah.. aku terkenang Dhani!
Mungkin sudah berpuluh-puluh pesanan darinya masuk ke dalam talianku saat ini.
Aku menyentuh perutku dengan linangan airmata. Aku jauh terkenangkan suamiku. Kalaulah Dhani tahu apa yang terjadi saat ini….
“ Pergilah Fahrin… awak bukan kepunyaan saya lagi..” aku meluahkan rasa dengan sayu. Lirih sekali bunyinya dan pilu menghentam jiwaku.
“ sejak cincin kita terlucut dari jemari ini, saya sudah nekad. Tidak akan kembali lagi kepada awak.. awak yang pilih untuk berpisah kerana hati awak mencintai orang lain dan bukannya saya. Dimana awak Fahrin ketika saya kecewa dengan permintaan awak?” sambungku pula. Dan kali ini, berubah nada dan penuh emosi.
Mungkin Fahrin harus tahu segala yang aku rasa.
“ Maafkan saya Sara.. Maafkan saya..” pintanya bersungguh-sungguh di hadapanku. Wajah lelakinya nampak keruh. Sebuah wajah yang hatinya dulu mencintaiku.
“ Saya tak ada niat nak balas dendam.. Saya tak berniat nak biarkan aku rasa terluka tapi biarlah begini. Binalah hidup baru dengan insan yang awak pernah pilih untuk sama melukakan hati ini..” ujarku tegas meskipun bernada sedih.
Aku menyentuh dadaku.
“ Di sini, nama awak sudah lama terpadam. Di sini juga, cinta kita mati..” ujarku penuh perasaan.
          Fahrin di hadapanku hanya diam. Kali ini dia seakan tidak berdaya lagi membalas kedegilan kata-kataku menolak hasratnya yang ingin kembali bersamaku.
          “ dan sejauh inikah awak mengejar saya Fahrin?” soalku kerana ingin tahu bagaimana dia boleh sampai ke bumi Perancis ini. Kerana kedatangannya kemarilah dan kerana terserempak dengannya di lapangan terbang dulu menyebabkan Dhani pernah bersengketa bersamaku.
          Dia menggeleng dalam senyuman kelat.
          “ Takdir yang menemukan kita Sara..”
          Aku terdiam mendengar balasan kata-katanya. Dia sempat berpesan agar aku menjaga diri kerana dia ingin kembali semula esok pagi ke sini. Dia tidak ingin meninggalkan aku dalam keadaan begini meskipun aku berdegil menginginkan dia menjauh.
          “ Awak suka atau tidak, saya tetap akan jadi pengganti Dhani..” ucapnya sebelum meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan keputusannya itu.
          Saat dia berlalu, sekali lagi aku tidak terkata.
          Ada cincin yang menyimpan kenangan antara aku dan dia masih tersarung di jemari manisnya!


Bab 35
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          “ I think, we should go..” luahku seraya menarik tangan Amiraa di hadapanku tanpa menunggu kata putusnya. Amiraa yang tidak tahu kenapa sebegitu pantas tindak balas aku memandang insan itu terus saja mengekoriku tanpa bantahan. Aku terus mempercepatkan langkah walaupun pergerakan itu mengundang rasa senak pada perutku. Aku ingin lari. Lari sejauh-jauhnya sehingga bayang-bayang Fahrin tidak mampu menjejakku lagi.
          “ Kenapa Mai?” soal Amiraa setelah yakin langkah kami sudah semakin jauh dari Kafe tadi.
          Aku menoleh kebelakang setelah yakin tidak nampak bayang insan yang benar-benar telah melukakan hatiku itu. Setelah keadaan kembali reda, aku memperlahankan langkah.
          Aku menggeleng-gelengkan kepala.
          Takkan aku nak buka cerita sekarang?
          Tidak sangka benar. Rupanya insan yang kusangkakan sedari tadi mencuri pandang itu berminat kepada Amiraa namun nyata dia insan yang aku tidak ingin bertemu lagi di muka bumi ini. Lama kusimpan segala kesakitan itu di dalam lipatan hatiku yang paling dalam.
          Mahukah aku mengorak kembali simpulan luka itu?
Kalau ditanya pada sang hatiku ini, jujur saja aku rasa benci yang sesungguhnya kepadanya meskipun sepatutnya aku memaafkan dirinya kerana telah meninggalkanku untuk mendapat bahagia bersama Dhani. Namun, aku tidak mampu memujuk hati begitu. Aku terkilan benar dengan caranya menghancurkan hatiku dan kesetiaan cintaku.
          Aku makan hati!
          Aku terpaksa menempuh hidup dengan insan asing yang aku dulunya tidak yakin mampu melabuhkan layar bahagia ketika menjadi pasangan hidupku.
          Kenapa muncul lagi merobek sekeping hatiku, Fahrin?
          Aku mengeluh.
          Hati kecilku merintih berat. Rupanya aku masih menyimpan dendam di lubuk hatiku yang paling dalam. Fahrin yang tega menggali kisah luka itu. Dia yang menghangatkan semula rasa dendam dan benci yang cuba aku padamkan itu dengan rasa kasih sayang yang Dhani curahkan kepadaku.
          Aku menggigit bibir dengan kuat.
Rasa senak di perutku semakin menjadi-jadi.
          Aku mematikan langkah dan memaut lengan Amiraa dengan erat.
Aku mengetap bibir dengan kuat.
          “ Mai.. awak okay tak ni?” soal Amiraa cemas di sisiku.
Aku tidak mampu membalas kata-katanya.  Sepatah pun perkataannya bagai kurang jelas masuk pada pendengaranku. Yang aku tahu, aku pening dengan tiba-tiba.
          “ Nampak pucatlah Mai..” tambah Amiraa lagi.
Kali ini nadanya berubah panik pula. Lama-lama pandanganku berubah-rubah. Sekejap terang sekejap berubah kelam. Senak makin menjadi-jadi.
          Aku menekan-nekan perutku.
          Ya Allah…
          Aku hanya mampu merintih di dalam hati.
          Pandanganku menjadi gelap sebelum aku merasakan ada tangan lain yang menyambutku sebelum aku rebah lantaran tidak tertanggung rasa sakit.