BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 24 Oktober 2015

BAB 28- SETIA PADA DIA

BAB 28
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

Lebih kurang 2 jam perjalanan, kami akhirnya tiba lebih kurang jam 5 petang. Cantik benar pemandangan kampong Azmi ini. Walaupun jalannya kecil saja dan hanya sebuah kereta saja yang boleh lalui ke rumahnya namun aku sangat suka dengan panoramanya. Tambahan lagi senja begini. Lalang-lalang dan padi-padi yang tumbuh di sepanjang jalan tadi cukup melambai menggamit panggilan selamat datang.
     Perasan betul aku, kan?
     “Senja sikit nanti, pemandangan sunsetnya lagi cantik. Kalau ada rezeki, boleh kita tengok..” khabarnya di sebelahku sedang aku di sisinya bagai rusa masuk kampong. Sangat-sangat kosong melihat keindahan kampong yang jauh dari Bandar dan masih lagi terpelihara kehijauannya. Pemandanganku terhenti melihat sekeliling bilamana keretanya sudah berhenti tidak jauh dari khemah-khemah yang terpasang. Banyak jugalah yang sudah berdiri teguh dan paling menakutkan aku, keluarga Azmi juga sudah ramai yang bertandang!
     Aku keluar dari perut kereta dengan rasa yang pelbagai. Tidakku tahu lagi bagaimana untuk menerangkan apa yang bermain di akal dan hatiku. Yang aku tahu, aku entah berani entah tidak berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
     “Beh, aku tunggu kaulah.. temanlah aku ke situ..” ucapku, menghampiri Azmi yang sudah memunggah barang keluar dari kereta. Dia menunjukkan kepadaku seseorang yang sedang bersembang berhampiran surambi rumahnya dan memintaku mengikutnya.
Mataku terarah kepada seorang wanita yang sudah lanjut usia tapi masih cantik lagi rupanya. Azmi sempat berbisik yang wanita sedang bersembang bahagia tidak jauh dari kami ini adalah ibunya. Sebaik saja ibunya menoleh, aku mempercepatkan langkah tanpa menyaingi Azmi lagi untuk mendekati ibunya yang sudah tersenyum lebar.
Aku menyambut tangan yang dihulurkannya sebelum aku ditarik ke dalam pelukannya. Jauh di sudut hati, naluriku bagai disentuh. Lain benar rasaku saat dekat dengan keluarganya.
“Sudi-sudilah bertandang ya, Lisa..”
Aku tersenyum dan mengangguk.
Segan juga apabila masing-masing bagai janggal menerima kedatanganku kerana bimbang mereka aku tidak selesa. Apa yang hendak mereka risaukan, sedangkan aku pun biasa-biasa saja. Aku mengikuti ibunya yang sudah membawa aku naik ke rumah setelah aku bersalaman dengan ibu-ibu saudaranya yang duduk berhampiran tangga utama. Macam-macam jenis pandangan yang aku terima namun tidak ada seorang pun yang memulakan kata atau menyapa melainkan berbalas senyum dan mengajak aku masuk ke dalam. Ibu Azmi sempat mengarahkan Azmi untuk menyimpan barangku ke dalam bilik Khadijah sebelum dia menghilang disuruh ibunya untuk menemani kaum lelaki yang sibuk di perkarangan rumah.
“Biasa-biasakanlah diri ya, Lisa..” ucap ibunya lagi.
Aku menggaris senyum saja. Terasa kekok pun ada apabila ibunya terlalu berhati-hati kepadaku. Tidak selesa sebenarnya apabila aku dijadikan keutamaan pula sedangkan aku lebih senang dilayan biasa-biasa saja. Dengan menghantar ibunya yang sudah mahu turun semula ke bawah dengan pandangan mata, aku memilih untuk melihat seluruh isi rumahnya. Ibunya yang mahukan aku kenal isi rumah terlebih dahulu sementara menunggu Khadijah pulang dari pekan utama setelah dipesan oleh ibunya untuk membeli barang-barang runcit untuk malam berjaga-jaga katanya. Tidak sangka pula yang Khadijah sudah mengikat pertunangan dan sempat juga ibunya bercerita yang anak perempuannya itu akan berkahwin kalau tiada halangan pada tahun berikutnya. Maju benar Khadijah.
Aku kemudian memerhati sekeliling.
Cantik dan luas!
Rekaan rumah kayu bertemakan eropah klasik ini menarik minatku. Jarang sekali aku berpeluang berlegar bebas di dalam rumah seperti ini. Jujur saja, bagiku rumah Azmi ini terlalu gah untuk kukuh di kampong ini. Berjalan dari satu sudut ke sudut yang lain, aku mendekati jendela pula.
Indah benar senja itu.
Azmi kulihat begitu gigih menemani sanak-saudaranya yang begitu rajin benar menguruskan khemah dan kerusi-kerusi yang sudah tersedia untuk disusun-suai. Sesekali aku bertemu pandang dia yang ada di perkarangan rumah dan saling berbalas senyum. Malu juga dengan tingkahnya yang terang-terangan menunjukkan seolah-olah aku dan dia adalah pasangan yang saling berkongsi rasa hati sehinggakan usikan sanak-saudaranya mengundang segan kepadaku.    Dia kemudian berlari-lari anak dan menuju ke arahku, berhampiran jendela.
“Boleh tolong tak, yang?”
Aku menanti dia meneruskan kata setelah setuju untuk menunaikan permintaannya.
“Air sejuk yaa..”
Aku menjeling manja namun aku menurut jua kerana bagiku, kasihan benar dia. Baru saja sampai tapi giat sudah dia membantu ayahnya dan juga keluarga yang lain demi perkahwinan abangnya. Hingga nampak peluh di bajunya cukup menunjukkan dia sudah terbiasa berpenat-lelah. Sedangkan perjalanan ke sini saja sudah mengambil masa yang lama dan pastilah memenatkan.
Ah.. perwira itu bagai tidak kenal penat saja!   

0 ulasan: