BAB 30
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
“Kak Lisa..”
Aku menukar posisi berbaring dan menoleh
Khadijah di sebelahku. Suaranya yang kedengaran tidak nyaring membuatkan aku
tertarik untuk menyahutnya yang bagai ingin memulakan bicara. Walaupun hari
sudah jauh malam, namun mataku ini seperti sukar juga untuk terlelap. Mungkin
kerana persekitaran untuk tidur yang baru bagiku. Maka, apa salahnya kalau
seketika aku isi saja waktu-waktu malam yang masih tersisa sebelum fajar tiba
untuk melayan coleteh Khadijah.
“Dah lama Kak Lisa dengan abang Azmi?”
soalnya teragak-agak.
Aku tersentak. Tidak menyangka sama sekali
akan ditanyakan soalan sebegini di lewat malam ini.
“Maksud Ija?”
Dia tidak jadi meneruskan bicara. Hanya
tersenyum saja dan mengisyaratkan aku untuk tidur saja. Mungkin kerana dia
bimbang kami akan terlewat bangun agaknya. Tambahan lagi sudah dipesan sebelum
kami sama-sama masuk ke dalam bilik tadi supaya bangun awal esok untuk membantu
ibunya menguruskan hal-hal rumah. Mujur malam ini tidak banyak yang hendak
dilakukan. Seronoknya juga pertama kali tidur berdua bersama Khadijah.
“Kak Lisa dengan abang Azmi kan kawan sejak
zaman sekolah tu…”balasku akhirnya, masih membiarkan ayatku tergantung begitu
saja kerana aku mahu tahu kesimpulan apa yang ingin disampaikan Khadijah
kepadaku.
Khadijah terus memandangku.
“Maksud Ija, berkongsi isi hati..”
Aku terdiam.
“Kak Lisa dan abang Azmi tu tak couple?”
Aku menghela nafas.
“Ija.. biar Kak Lisa terus-terang. Yang Kak
Lisa tahu, setakat ni abang Azmi tak pernah nyatakan apa-apa. Kak Lisa tak mahu
tersilap tafsir..” luahku akhirnya, berharap akan ada di antara mereka yang
memahami keadaanku dengan Azmi.
Khadijah meraih tanganku.
“Kak Lisa nak tahu sesuatu?”
Aku bagai terpanggil rasa ingin tahu.
Lantas, aku mengangguk saja. Mungkin juga kerana wajahnya yang kelihatan
bersungguh-sungguh itu yang membuka hatiku untuk terus mendengarnya.
“Sebenarnya, abang Azmi dah lama sayang Kak
Lisa..”
Aku kehilangan kata. Kuat benar debaran di
dadaku saat Khadijah menyampaikan kenyataan itu.
“Waktu Kak Lisa bertunang dulu, abang Azmi
tak datang kan?”
Aku mengangguk.
“Kak Lisa tahu abang Azmi dimana?”
Aku mengangguk.
“Dia khabarkan kepada Kak Lisa yang dia
dihantar kursuskan?”
Aku mengangguk lagi. Bertambah teruja
dengan cerita yang ingin disampaikan adiknya ini.
“Sehari sebelum majlis Kak Lisa, abang Azmi
ada balik ke sini. Kak Lisa tahu? Abang Azmi menangis depan mak sebab Kak Lisa
dah pilih orang lain..”
Aku menggigit bibir.
“Puas mak pujuk tapi abang tetap menangis
juga. Dia kecewa sebab tak berkesempatan berterus-terang. Katanya, silapnya
juga kerana tidak bersungguh-sungguh nyatakan isi hati. Nasihat mak waktu tu,
mak izinkan abang pergi umrah..” sambung Khadijah lagi dengan suara yang sudah
perlahan.
Aku disentuh sendu. Bercampur baur rasaku
mendengar cerita Khadijah yang tiba-tiba bercerita tentang abangnya. Mataku
berkaca jadinya. Sudah tidak mampu menyembunyikan rasa. Salah siapakah dalam
hal ini?
Akukah yang telah melukakan hatinya?
“Sebab tu Ija tanya kerana Ija nampak abang
Azmi macam nak mencuba lagi..”
Aku kemudian terus membelakangi Ija. Aku
memeluk erat bantal kecil yang sempat kubawa dari rumah. Memikirkan tentang Azmi,
aku jadi gelisah dan sedih. Tidak sangka sama sekali Azmi pernah menyimpan rasa
kepadaku. Selama ini aku sangkakan dia hanya bergurau saja dengan isi hatinya.
Tambahan lagi, bukan seorang dua yang pernah dia ceritakan kepadaku tentang
teman wanitanya. Maka bagiku, mustahillah dia serius dengan setiap kata-kata
dalam usikannya kepadaku. Kerana itu jugalah aku masih ingin meneruskan hasrat
menerima huluran kasih dari bekas tunanganku itu dulu.
Akukah yang tersalah mengerti maksudnya?
Ija dibelakangku kemudian memeluk lengan
kananku setelah dia dekat di belakangku.
“Ija minta maaf kalau buat Kak Lisa
sedih..”pintanya perlahan.
Aku menyeka airmata seraya menoleh semula
kepadanya. Aku mencuba menggaris senyuman walaupun terasa suasana menjadi
tegang dan dingin. Sudah berubah canggung dan bagai disapa kekakuan kerana hal
sebegini dibangkitkan lewat begini.
“Tak apalah Ija. Sekurang-kurangnya Kak
Lisa tahu..”
Khadijah menggaris senyuman.
“ Ija nak sangat tahu apa yang ada di hati
Kak Lisa..”
Aku tersenyum kecil.
“Tak bolehlah..” jawabku sedikit manja,
mencuba untuk kembali mengubah suasana.
Dia tergelak kecil.
“Hmm.. sukalah dengan Kak Lisa ni. Mungkin
sebab Kak Lisa ni manja-manja begini, sebab tu abang Azmi suka Kak Lisa..”
usiknya selamba.
Aku tergelak.
“ Tu dululah Ija..”
“Kalau abang Azmi kekal nak suka Kak Lisa,
haaahh.. macamana?” soalnya.
Aku menggigit bibir.
“ Hmm.. kita tunggulah. Benda yang belum
jadi ni kak Lisa malaslah nak fikir..” jawabku akhirnya kerana lebih senang
membiarkan hal yang tidak-tidak pergi dari fikiranku. Tiba-tiba saja Khadijah
mencuit lenganku. Di sebalik remang cahaya malam di bilik itu, wajahnya jelas
menggambarkan orang yang mahu bergosip saja.
“ Kak Lisa nak tahu tak?”
Aku jadi curiga.
“Ayuni tu sebenarnya admire pada
abang Azmi..”
Spontan saja aku terjawab oh dengan
kenyataannya.
“Oh apa tu?” soal Ija nakal.
Aku mencebik.
“Dia macam anti dengan Kak Lisa kan?”tanya
Khadijah lagi.
Selamba
saja aku mengangguk seolah-olah mengerti benar maksud yang ingin disampaikan
Khadijah. Tidak sangka juga aku dengan Khadijah yang mesranya ini membuatkan
aku selesa apabila bersamanya. Dulu semasa zaman kami masih bersekolah, aku
jarang benar dapat bersembang dengannya. Hanya terkadang melambai tangan
apabila terserempak dari jauh saja. Tidak sangka sama sekali hari ini boleh
serapat ini dengannya. Boleh berkongsi cerita dan rahsia. Tambahan lagi, boleh
tidur bersama pulak tu.
“Tak baik tau Ija ni..”
Khadijah ketawa kecil. Seronok benar dia
bercerita tentang sepupunya Ayuni yang sama benar tingkahnya seperti yang
diceritakan olehnya. Aku pun sebenarnya perasaan dengan cara Ayuni melayanku cuma
aku malas hendak fikirkan sangat. lainlah kalau keluarga Azmi yang melayan
dingin. Memang aku kena balik juga malam ni.
“Kalau Kak Lisa nak tahu lagi satu cerita…
Haaah.. ni Ija bocorkan..”
Aku menunggunya meneruskan kata.
“Abang Azmi jeles sebab Ija dapat tidur
dengan Kak Lisa..” bisiknya nakal sebelum dia melepas tawa nakalnya. Pantas
saja aku memukul lengannya manja kerana tidak menyangka sama sekali dia
mengusikku begitu. Memang mereka adik-beradik ini sama perangai betul. Suka
sangat mengusik.
“Dia siap warning jangan peluk Kak
Lisa, tau..” tambah Ija dengan tawanya yang masih lagi bersisa. Aku pulak,
hanya mampu menggeleng-geleng saja mengenangkan kenakalan mereka.
“Tapi Ija peduli apa. Kitakan perempuan. Esok Ija nak
jugak sangat buli abang Azmi tu. Serius sangat..” tambahnya lagi dengan tawanya
yang masih lagi bersisa. Berkobar-kobar benar keinginannya untuk mengusik Azmi
siang nanti kerana baginya Azmi itu seronok benar bila diusik.
Azmi ni pun satu, melampau sangat. Manalah Khadijah
tidak berfikir yang bukan-bukan dengan tingkahnya yang bagai terlalu melindungi
itu. bukannya dia tidak tahu yang menemani aku tidur ini adalah adik
perempuannya. Itupun hendak dijadikan isu mereka adik-beradik. Sudahnya malam
itu, aku dan Khadijah bersembang-sembang kosong sehinggalah akhirnya, hampir ke
pukul 2 pagi. Hendak tak hendak melayan dia berceloteh, aku tertidur jua di
sebelahnya.
Semoga esok menjadi lebih baik dari
semalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan