BAB 31
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Kedinginan air di desa ini cukup menusuk hingga ke
tulang. Menggigil betul jadinya. Nasib baiklah kemudahan di rumah Azmi ini
sudah moden. Kalau-kalau masih perlu mengambil air di telaga, memang berbekal
air panas dalam cereklah aku jadinya. Imaginasiku ini kadang bukan boleh
diterima di zaman canggih ini. Seolah-olah aku lupa pula bahawa semua orang
sudah boleh menerima sebarang perubahan di dalam kehidupan. Jelasnya di sini, walaupun
hampir ke pukul 10 pagi, masih jelas terasa kedinginan. Tambahan lagi, pagi itu
aku terlewat bangun dari jam yang sepatutnya. Terlewat dua jam pulak tu.
Khadijah selamba saja tidak membangunkan aku. Tahu-tahu, jam sudah menjangkau
ke angka 9. Mana tidaknya aku bergegas meluru ke bilik air. Bimbang pulak
dianggap macam mem besar. Sudahlah menumpang di rumah orang. Dijemput datang
makan dan minum, dimajlis orang pun aku boleh buat macam rumah sendiri.
Kalaulah abah tahu, habislah aku.
“Kak Lisa dah bangun?” soal Khadijah yang baru saja
menapak masuk ke dalam bilik. Aku yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala
tersentak. Nasib baiklah Khadijah yang masuk.
Bayangkanlah kalau sepupunya atau Azmi?
Memang nak kenalah ni.
Silap aku jugak agaknya kerana tidak mengunci pintu
sedangkan Khadijah sudah berpesan untuk aku mengunci pintu kalau-kalau aku
sedang bersiap-siap untuk mengenakan pakaian atau sebagainya.
“Kenapa tak kejutkan tadi?” soalku seraya menyikat
rambut. Sedikit berjauh rasa kerana tidak dikejutkan awal lebih dari jam yang
aku sangkakan boleh bangun sendiri. Inikan rumah orang, tentulah mengundang
rasa tidak selesa padaku.
Sayangnya, dia hanya tergelak kecil sedang dia duduk
di birai katil bersama sepasang baju kurung songket berwarna merah. Cantik
benar sehinggakan mataku tak ingin memandang yang lain.
“Cantiknya..” ucapku seraya menunjukkan ke baju itu.
Khadijah kemudian menghulurkan kepadaku tanpa
kusangka.
“Aik… kenapa?” soalku.
“Untuk Kak Lisa lah..”
Aku mengerutkan dahi.
“Tema nikah abang Azizul hari ni, perempuan pakai
pakaian songket. Ija agak-agak saja Kak Lisa tak bawa kan. So, Ija berilah..
Lagipun, mak yang pesan ni..” terangnya lebar kepadaku yang masih teragak-agak
untuk menerima.
Aku menelan liur.
“Ibu dimana?”
Dia menggaris senyuman.
“Ada di halaman. Baru saudara mara yang datang. Belum
jemputan lain. Kak Lisa bersiaplah dulu. Kalau nak gosok baju, seterika Ija ada
di dalam almari tu. Saja Ija simpan sebab selalunya mak yang gosokkan..”
ujarnya selamba bersama tawa kecilnya.
Aku mengangguk saja.
“Lagi satu, sebenarnya Ija berat nak sampaikan..”
Aku diketuk debar.
Khadijah ni bukan boleh dilayan sangat tapi mimik
mukanya itu membuatkan aku penasaran.
“Kak Lisa janji tau jangan marah Ija..”
Aku mengangguk saja kerana sudah tidak sabar dengan
berita yang ingin disampaikannya.
“Abang Azmi minta tolong gosokkan sampingnya. Boleh
tak?” soal Khadijah kemudian melepas tawa. Pantas saja aku memukul lengan
Khadijah kerana tidak menyangka sama sekali senang saja dia mengusikku waktu
itu. sempat dia meletakkan samping Azmi sebelum dia keluar meninggalkan aku
untuk bersiap-siap. Pakej dengan pesanan lagi yang dia mahukan aku segera
bersiap kerana banyak ibu saudaranya sibuk bertanyakan perihal bakal menantu
yang baru yang belum timbul lagi.
Hish! Khadijah ni kan.
Hendak tak hendak, aku segera menggosok baju kurung
songket yang diberikan tadi. Cantik benar sulamannya. Terasa macam terbawa-bawa
kisah alam melayu. Aku tersenyum sendiri melayan fikiran kosongku. Sulamannya
benar-benar halus dan warnanya juga memikat hati. Seronok juga diberi pinjam
baju sebegini kerana selama ini aku tidak terpanggil untuk memiliki sepasang
baju sebegini. Yang seronoknya lagi, warnanya warna kegemaranku. Merah dan juga
sulaman benang emas. Mudah-mudahan sesuailah apabila kusarungkan ke tubuhku
nanti. Saiz pun macam cun-cun saja ni.
Usai menggosok, aku menyarungkannya ke tubuhku. Segera
aku memandang diriku ke dalam cermin dan melepas tawa kecil. Memang nampak aura
melayu! Syukur juga saiznya sesuai denganku. Tidak juga terlalu sempit dan
tidak juga longgar. Selendang yang diberikan juga cantik. Pantas saja aku
mengenakannya. Nasib baiklah pernah tengok tutorial di youtube.
Kalau tidak, alamat berjam-jamlah aku di depan cermin.
Usai mengenakan solekan nipis saja, aku segera merias
wajah berlainan dari biasa. Berpuas hati dengan penampilanku, aku memastikan
suis seterika sudah kumatikan dan ingin berlalu keluar bersama samping Azmi.
Kebetulan benar di depan pintu bilik Khadijah, Azmi sudah berdiri dengan
pakaian melayunya.
Ah!
Sedondon pulak tu.
Rasa termalu pun ada kerana dia selamba saja tidak
terkata di depanku seolah-olah baru pernah bertemu saja lagaknya. Terasa
seganku dengan tiba-tiba. Aku membuang rasa dengan berdehem sebelum memulakan
kata.
“Sorry lama sangat gosokkan..” ucapku antara
dengar dan tidak seraya menghulurkan sampingnya. Aku hanya mampu membuang
pandangan apaila dia masih belum berhenti merenung. Azmi yang entah perasan
atau tidak, tidak lama kemudian menyambut huluranku. Mungkin kerana aku yang
lama benar yang membuatkan dia akhirnya membuat keputusan untuk menuju ke bilik
Khadijah.
“Aik, ni bukan Ija yang gosok ni?”
Aku menggeleng.
“Dia suruh kau‘Eisy?”
Aku mengangguk saja.
Perasan dengan perubahan di wajahnya, aku sudah dapat
meneka dan menyimpulkan sesuatu.
Aah.. memang sengajalah Ija ni hendak mengusik aku.
Dia ketawa kecil.
“Ija ni..”
Hanya itu yang kudengar di hujung bicaranya sebelum
dia mati kata. Pandangannya sekali lagi mengundang gelisah. Rasa nak tumbuk dia
pun ada tapi bukan manis pun sebab inikan kampong dan tambahan lagi ini kan di
majlis keluarganya sendiri.
“Kau cantik ‘Eisy..” suaranya kedengaran separuh
berbisik. Aku di depannya hanya mampu mengetap bibir. ini bukan masanya untuk
dia mengusik aku dan rasaku.
“Azmi! Belum siap lagi?” suara ayahnya mematikan suasana.
Aku segera mengambil kesempatan meninggalkan dia kerana ingin lari dia tingkah
Azmi yang berlainan sudah kurasa. Sempat saja aku melemparkan senyuman dan
menunduk sebelum aku berlalu meninggalkan mereka berdua. Tambahan lagi
terkenangkan cerita Khadijah semalam, membuatkan aku rasa tidak selesa pun ada.
Usai merasa jauh sudah kumeninggalkannya, aku menuju ke pintu utama.
Wah.. memang ramai!
Aku ternampak kelibat Khadijah yang sedang berdiri
bersama sepupu-sepupunya dan juga tunangnya. Segera aku menuruni anak tangga
dan mendekatinya. Aku kemudian mencubit lengannya. Terasa ingin membalas dendam
saja atas kenakalannya di pagi hari mengusikku.
Dia segera menoleh dan tersengih. Mungkin dia sudah
tahu maksudku itu.
“Ala.. sorrylah Kak Lisa.. terima kasih ya
tolong Ija..”
Aku sudah mengagak memang dia sengaja mengusikku.
Tapi, apalah sangat kalau aku hendak ambil hati kerana bagiku memang aku
kebetulan menggosok pakaian. Bukannya berat pun bagiku. Cuma, dia suka sangat
menyakat dengan hal yang bukan-bukan.
“Cantik Kak Lisa..” Ayuni bersuara.
Aku sekadar tersenyum. Entahkan ikhlas entah tidak,
aku malas sudah untuk berprasangka. Terpulanglah dia hendak menilai aku
bagaimana.
“Abang Azmi belum turun lagi ni..” suara Kamal pula kedengaran.
Sebenarnya masing-masing sudah diberikan tugas untuk majlis pernikahan abang
Azizul hari ini. Cuma aku saja yang diberi ruang bebas sama ada ikut mana-mana
yang aku suka. Itupun atas pesanan ibunya supaya tidak memberatkan aku kerana
aku adalah tetamu mereka.
“Aaah.. tu pun abang Azmi. Handsomenya
dia..”Ayuni mula bersuara, gedik saja di pendengaranku. Hanya aku saja yang
tidak menoleh ke belakang kerana malas hendak melayan karenah Ayuni yang bagai
tak sudah-sudah untuk mencuba menaikkan marahku atau lebih cepat lagi sedang
menduga kesabaranku dan rasa cemburuku agaknya.
Aku dicuit kemudian.
“Thank you..” bisik Azmi yang sudah di
sebelahku. Sempat aku menoleh Ayuni yang mukanya sudah berubah. Aku pun
sebenarnya tidak menyangka dia terus mendapatkanku dan menunjukkan
‘charming’nya juga di depan mereka. Sudahlah dia nampak menawan dari biasa.
Aku hanya mampu menyimpan getaran rasa.
“Wait.. tak ada siapapun pesan pakai pakaian
melayu yang too melayu like this..” Ayuni memulakan protesnya.
Mereka yang lain melepas tawa.
“Inikan perkahwinan melayu. Lagipun, mak kami kan dah
pesan untuk pakai tema perkahwinan melayu yang betul-betul melayu. Yang tak
ambil perhatian, memang rugilah,.” Khadijah selamba saja menjawab, menyahut
protes Ayuni yang mukanya nyata-nyata tidak berpuas hati.
“Eih dahlah. perkara begini pun nak kecoh..” tegur
Kamal akhirnya meleraikan.Masing-masing hanya melepas tawa sedang aku hanya
menggaris senyuman saja. Kalau aku join sekaki, alamat mengamuk sakan dia
kerana dia bagai tidak berpuas hati benar kepadaku.
“Aku teman ayah dulu..” bisik Azmi kemudian sedang aku
tahu masing-masing nampak cara Azmi yang sungguh-sungguh menyentuh hati wanita
itu. Seolah-olah pada Azmi, di situ hanya ada aku dan dia saja. Mesra yang
sukar untuk kugambarkan bagaimana tergamitnya bahagia dan senang di hatiku.
Manalah tidak Ayuni semakin panas.
Aku mahu tak mahu, selesa saja mengikut rentak Azmi.
Aku tahu dia bukan bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa. Hanya dia sudah
memang se‘charming’ itu. Apalah juga daya aku menghalangnya. Cuma satu
saja yang aku tahu, dia seolah-olah ingin menunjukkan kepada semua bahawa aku
adalah kepunyaannya.
Dia sempat menghulurkan kepadaku sekotak kecil tisu
muka sebelum dia berlalu bersama sepupu-sepupu lelakinya yang lain dan tunang
Khadijah, meninggalkan aku bersama kelompok yang lain.
Ayuni di depanku semakin tidak berpuas hati.
“Ija.. Ada Kak Mukhleesa tak tu?” laung ibunya dengan
tiba-tiba dari pantaran rumah. Aku kebetulan terdengar terus menoleh.
Sebenarnya nyaring juga suara ibunya. Walaupun pada asalnya bunyi-bunyian di
halaman rumah cukup kuat. Kebetulan saja habis lagu-lagu pengantin terputar dan
ibunya bersuara pula.Kuhanya sempat tertawa bersama mereka apabila ibunya
menekup mulut kerana keterlanjuran bersuara nyaring. Rupanya, ayah mereka yang
mengusik ibunya kerana aku sempat menoleh ibunya yang mengisyaratkan hendak
mencubit ke bahagian karaoke tidak jauh di situ.
Apabila kami toleh, ayahnya!
Memang menarik juga pasangan ini. Patutlah Azmi kuat
mengusik, sama dengan tingkah ayahnya rupanya.
“Kenapa ibu?” soalku.
Dia melambaikan tangan menyuruh aku naik ke rumah.
Tidak mengambil masa yang lama, aku mendekati ibunya saja. Aku pun
tertanya-tanya juga apabila ibunya segera menarik tanganku dan membawa aku
masuk ke dalam rumah dan terus dibawanya ke ruang tamu, di tempat pelaminan
dipamerkan.
“ Mukhleesa, boleh tolong ibu tak?” soalnya.
Aku mengangguk saja meskipun aku belum tahu
pertolongan bagaimana yang ibu mahukan.
“Ni hah, tolong periksakan semua barang-barang
hantaran Abang Azizul kamu ni, dan tolong ya gubah sikit bunga hidup rose dan
orkid ni sekali..”
Aku duduk di sebelah ibu setelah ibu pun duduk tidak
jauh dari pelaminan. Ibu ini memang bukan yang jenis senang duduk orangnya
kerana kulihat sekejap ada di halaman dan sekejap sudah ibu berada di dalam
rumah pulak. Menyentuh rasa yang lain saat bersama ibu pun ada lantaran
saudara-mara mereka yang kebetulan ada di situ bagai tertanya-tanya akan
diriku.
“ Teman Azmi ni..” luah ibu apabila masing-masing
mempamer wajah ingin tahu benar. Aku hanya mampu menggaris senyuman dan
menunduk sebelum aku menurut kemahuan ibu untuk cuba menggubah dan memeriksa
barang hantaran yang ada. Terasa seronok pun ada melihat dan melalui suasana
begini. Barangan yang ada pun boleh tahan taste bakal isteri Abang
Azizul ini. Walaupun sebenarnya aku bukanlah mahir benar dalam menggubah
barangan sebegini tapi aku minat juga mensurvey melalui internet
dan sebagainya.
Aku mahu mencuba sedaya yang aku ada.
Dari meneliti satu persatu barangannya, semuanya
perlahan-lahan menggamit kenangan laluku dan impian yang tidak kesampaian.
Dipagut sendu rasa hatiku mengingatkan sesuatu yang bukan milikku. Dulu, aku
pernah mengimpikan sebegini tapi segalanya musnah. Bukan aku tidak percaya pada
jodoh dan ketetapan Allah, cuma ini bukanlah seperti yang kupinta.
Aku menyimpan getar pilu. Bibir kugigit kuat supaya
tiada siapa yang tahu apa yang kurasa saat ini. Aku mencuba untuk bertenang
yang kumampu dan perlahan-lahan jemariku terhenti dan kaku.
Tidak mungkin segalanya boleh kembali seperti dulu.
Mataku berkaca.
Aku menunduk saat jemariku terhenti di dulang berisi
cincin perkahwinan. Walau bukan kepunyaanku, tapi ia tetap menggamit kenangan
lama.
Cincin itu telah tiada.
Azmi yang mengambilnya dan hingga ke hari ini aku
tidak pernah bertanya dimana dia menyimpannya. Entah dibuangnyakah atau,
entahlah.
Tiada pernah kuambil tahu.
“ ‘Eisy… be strong..”
Bisikannya itu mengejutkanku.
Rupanya Azmi duduk di sebelahku tanpaku sedari.
Kulihat tetamu yang ada tidak jauh dari kami tersenyum-senyum saja. Mungkin
mereka beranggapan Azmi mengatakan sesuatu tentang masa depan.
Aku cuba menggaris senyum walaupun canggung sekali.
“ Its suddenly recall that memories..” luahku
perlahan namun aku tekad untuk sekadar memeriksa perhiasan yang sememangnya
sudah cantik di setiap dulang hantaran itu. Aku tidak mahu ada yang perasan
keadaanku.
Azmi ini pun satu.
Bagaimanalah dia boleh saja tiba-tiba ada di sebelahku
sedangkan tadinya dia sudah berniat untuk membantu ayahnya di halaman.
“ I’ll bring you happiness if you wish for..”
Aku mengetap bibir.
“Dah habis tolong ayah di bawah tu?” soalku namun
tidak memandangnya. Sengaja aku berpura-pura
menyentuh bunga yang sudah siap digubah tadi sebelum ibu meninggalkan
aku di situ.
Dia menarik lenganku namun terlindung dari pandangan
yang lain. Aku tahu dia mahukan aku memberikan perhatian dari apa yang dia
katakan. Hanya aku yang suka mengelak dari melayan dia bermain dengan
kata-kata.
“Jangan sedih lagi, sayang. Please..” pintanya
penuh pengharapan sehingga jauh menyentuh ke dasar hatiku paling dalam.
Bersungguh-sungguh sehingga tidak mampu aku katakan apa yang terlintas di
fikiranku saat itu. Beraninya Azmi mewujudkan suasana sebegitu seolah-olah
hanya aku dan dia sedangkan dia ada tetamu yang lain di sini bersama kami.
“ Beh, jangan tarik perhatian orang.. please..”
pintaku kepadanya seraya menarik lenganku dan cuba berlagak biasa. Bersyukur
juga kerana tidak ada yang perasan dengan apa yang terjadi antara kami.
“ Ya Allah budak ni, mak suruh bawak barang hantaran
tu ke bawah. Bukannya kacau Mukhleesa di sini..” suara ibu mula kedengaran dan
membuatkan kami tersedar dari situasi sentuhan rasa. Aku terus menggaris
sengihan mendengar ibunya yang mula hendak membebel itu.
“ Mana ada kacau Mukhleesa, mak..”
“Habis tu..muka Mukhleesa dah merah ni, kenapa?”soal
ibu.
Aku tersentak.
Azmi menoleh selamba, merenung. Mungkin dia ingin
memastikan kata ibu itu betul tapi sebetulnya dia hanya lebih kepada mengusik
saja.Spontan saja aku mencubit lengannya. Terasa malu diperlakukan sebegitu di
depan ibunya. Tidak malu betul budak ni. Depan ibunya pun dia berani
mengusikku.
Azmi melepas tawa bebas.
Aku menjelingnya.
“ Dah dah.. pergi bawak barang tu masuk kereta. Mak
kahwinkan kamu berdua hujung tahun nanti.. hah biar rasaa..” ugut ibunya seraya
menarik lengan Azmi untuk mengangkat sireh junjung.
Aku tergelak kecil dengan ugutan ibunya walaupun aku
tahu, itu seolah-olah harapan yang ingin dijadikan nyata antara aku dan Azmi.
Tambahan lagi saudara-mara yang ada di situ bagai menyokong saja kenyataan
ibunya.
“ Moga masinlah cakap mak ni..”ucap Azmi selamba
sebelum dia berlalu bersama sireh junjung yang sudah siap digubah. Bimbang
benar ibu kalau-kalau rombongan dari pihak lelaki terlewat dari waktu yang
dijanjikan. Bimbang kalau-kalau tersasar dari apa yang dirancangkan pula. Dia
sempat mengenyitkan matanya sebelum dia melangkah ‘charming’ di hadapanku.
Hanya terkulat-kulat aku di situ.