BAB 28
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Lebih
kurang 2 jam perjalanan, kami akhirnya tiba lebih kurang jam 5 petang. Cantik
benar pemandangan kampong Azmi ini. Walaupun jalannya kecil saja dan hanya
sebuah kereta saja yang boleh lalui ke rumahnya namun aku sangat suka dengan
panoramanya. Tambahan lagi senja begini. Lalang-lalang dan padi-padi yang
tumbuh di sepanjang jalan tadi cukup melambai menggamit panggilan selamat
datang.
Perasan betul aku, kan?
“Senja sikit nanti, pemandangan sunsetnya
lagi cantik. Kalau ada rezeki, boleh kita tengok..” khabarnya di sebelahku
sedang aku di sisinya bagai rusa masuk kampong. Sangat-sangat kosong melihat
keindahan kampong yang jauh dari Bandar dan masih lagi terpelihara
kehijauannya. Pemandanganku terhenti melihat sekeliling bilamana keretanya
sudah berhenti tidak jauh dari khemah-khemah yang terpasang. Banyak jugalah
yang sudah berdiri teguh dan paling menakutkan aku, keluarga Azmi juga sudah
ramai yang bertandang!
Aku keluar dari perut kereta dengan rasa
yang pelbagai. Tidakku tahu lagi bagaimana untuk menerangkan apa yang bermain
di akal dan hatiku. Yang aku tahu, aku entah berani entah tidak berdepan dengan
pelbagai kemungkinan.
“Beh, aku tunggu kaulah.. temanlah aku ke
situ..” ucapku, menghampiri Azmi yang sudah memunggah barang keluar dari
kereta. Dia menunjukkan kepadaku seseorang yang sedang bersembang berhampiran
surambi rumahnya dan memintaku mengikutnya.
Mataku terarah kepada seorang wanita yang sudah lanjut
usia tapi masih cantik lagi rupanya. Azmi sempat berbisik yang wanita sedang
bersembang bahagia tidak jauh dari kami ini adalah ibunya. Sebaik saja ibunya
menoleh, aku mempercepatkan langkah tanpa menyaingi Azmi lagi untuk mendekati ibunya
yang sudah tersenyum lebar.
Aku menyambut tangan yang dihulurkannya sebelum aku
ditarik ke dalam pelukannya. Jauh di sudut hati, naluriku bagai disentuh. Lain
benar rasaku saat dekat dengan keluarganya.
“Sudi-sudilah bertandang ya, Lisa..”
Aku tersenyum dan mengangguk.
Segan juga apabila masing-masing bagai janggal
menerima kedatanganku kerana bimbang mereka aku tidak selesa. Apa yang hendak
mereka risaukan, sedangkan aku pun biasa-biasa saja. Aku mengikuti ibunya yang
sudah membawa aku naik ke rumah setelah aku bersalaman dengan ibu-ibu
saudaranya yang duduk berhampiran tangga utama. Macam-macam jenis pandangan
yang aku terima namun tidak ada seorang pun yang memulakan kata atau menyapa
melainkan berbalas senyum dan mengajak aku masuk ke dalam. Ibu Azmi sempat
mengarahkan Azmi untuk menyimpan barangku ke dalam bilik Khadijah sebelum dia
menghilang disuruh ibunya untuk menemani kaum lelaki yang sibuk di perkarangan
rumah.
“Biasa-biasakanlah diri ya, Lisa..” ucap ibunya lagi.
Aku menggaris senyum saja. Terasa kekok pun ada
apabila ibunya terlalu berhati-hati kepadaku. Tidak selesa sebenarnya apabila
aku dijadikan keutamaan pula sedangkan aku lebih senang dilayan biasa-biasa
saja. Dengan menghantar ibunya yang sudah mahu turun semula ke bawah dengan
pandangan mata, aku memilih untuk melihat seluruh isi rumahnya. Ibunya yang
mahukan aku kenal isi rumah terlebih dahulu sementara menunggu Khadijah pulang
dari pekan utama setelah dipesan oleh ibunya untuk membeli barang-barang runcit
untuk malam berjaga-jaga katanya. Tidak sangka pula yang Khadijah sudah
mengikat pertunangan dan sempat juga ibunya bercerita yang anak perempuannya
itu akan berkahwin kalau tiada halangan pada tahun berikutnya. Maju benar
Khadijah.
Aku kemudian memerhati sekeliling.
Cantik dan luas!
Rekaan rumah kayu bertemakan eropah klasik ini menarik
minatku. Jarang sekali aku berpeluang berlegar bebas di dalam rumah seperti
ini. Jujur saja, bagiku rumah Azmi ini terlalu gah untuk kukuh di kampong ini.
Berjalan dari satu sudut ke sudut yang lain, aku mendekati jendela pula.
Indah benar senja itu.
Azmi kulihat begitu gigih menemani sanak-saudaranya
yang begitu rajin benar menguruskan khemah dan kerusi-kerusi yang sudah
tersedia untuk disusun-suai. Sesekali aku bertemu pandang dia yang ada di
perkarangan rumah dan saling berbalas senyum. Malu juga dengan tingkahnya yang
terang-terangan menunjukkan seolah-olah aku dan dia adalah pasangan yang saling
berkongsi rasa hati sehinggakan usikan sanak-saudaranya mengundang segan
kepadaku. Dia kemudian berlari-lari
anak dan menuju ke arahku, berhampiran jendela.
“Boleh tolong tak, yang?”
Aku menanti dia meneruskan kata setelah setuju untuk
menunaikan permintaannya.
“Air sejuk yaa..”
Aku menjeling manja namun aku menurut jua kerana
bagiku, kasihan benar dia. Baru saja sampai tapi giat sudah dia membantu
ayahnya dan juga keluarga yang lain demi perkahwinan abangnya. Hingga nampak
peluh di bajunya cukup menunjukkan dia sudah terbiasa berpenat-lelah. Sedangkan
perjalanan ke sini saja sudah mengambil masa yang lama dan pastilah memenatkan.
Ah.. perwira itu
bagai tidak kenal penat saja!
0 ulasan:
Catat Ulasan