BAB 29
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Senja yang tadinya indah, beransur pulang.
Bersilih ganti bersama malam. Keindahan dan keriuhan di kampong itu jelas
terdengar dan dirasai terutama sekali rumah yang akan melangsungkan majlis ini.
Ramai keluarga yang datang, ramai lagi jiran-jiran yang bertandang untuk
memeriahkan malam berjaga-jaga sempena perkahwinan abang Azmi ini. Rumah memang
meriah dan tidak sunyi dengan bunyi orang bersembang dan ditambah lagi dengan
bunyi karoke sakan. Sejak datang tadi, belum aku bertemu dengan pengantin
lelaki atau disebut namanya Abang Azizul. Mungkin dia dikurung di dalam bilik
agaknya.
“Kak Lisa, jomlah sini..” laung Khadijah di
belakang rumah ketika aku baru saja menuruni anak tangga dari dapur. Menariknya
lagi rumah Azmi ini, di belakang rumahnya sudah terbina sebuah teratak antik yang
dihiasi sama dengan gaya eropah klasik. Memang berbakat benar keluarganya dalam
bab hiasan rumah.
Aku menghampiri Khadijah bersama tunangnya yang
sedang sibuk mengacau minuman panas. Katanya, ibu yang memesan untuk
menyediakan minuman panas sebanyak 3 warmer. Banyak benar bagiku walaupun
majlis sebenar belum berlangsung lagi.
“Abang Azmi mana ya, Ija?” soalku yang
sudah mengambil senduk besar untuk membantu Khadijah menyediakan minuman untuk
tetamu di malam itu. aku tertanya-tanya jadinya dengan kehilangan Azmi sejak
senja tadi kerana belum aku ternampak kelibatnya.
Tidak tahu penatkah dia atau lupakah sudah
dia akan kewujudanku di sini? Aku bimbang tidak pandai membawa diri kalau
terus-terusan ditinggalkannya sendirian. Bukannya aku ini jenis yang peramah
dan boleh membawa orang sembarangan berbual melainkan mereka yang dulu mesra,
barulah aku mencuba menyesuaikan diri.
“Kalau Ija tak salah, abang Azmi masih di
surau..” balasnya.
Aku mengetap bibir.
Itu pun Azmi susah nak maklumkan.
“Kak Lisa dah makan?”
Aku menggeleng bersama senyuman. Aku akui,
aku memang lapar. Sebab itulah juga aku tercari-cari akan Azmi. Segan juga
kalau aku memandai saja menumpang makan di sini. Khadijah kemudian bersuara
untuk meminta aku membantunya menyediakan cawan di meja depan rumah. Aku
beriringan dengannya sehinggalah aku terpandang Azmi dan kelompok anak muda
bersamanya di halaman rumah. Menawan dia dengan gaya orang kampungnya yang
sudah lengkap dengan topi hajinya. Kalau tidak kenal nakalnya bagaimana, rasa
hendak bagi ruang stok lelaki macam ini dijadikan teman hidup.
Aku menyimpan angan nakal.
“Tu pun abang Azmi..” tunjuk Khadijah.
Aku sebenarnya sudah perasan kedatangannya,
cuma sengaja aku tidak berkata-kata seolah-olah tidak tahu dia sudah tiba.
Nanti perasan habis Azmi kalau-kalau dia berfikir aku terlalu bergantung harap
kepadanya.
Tanpa kuduga, sudah berdiri di sebelahku
rupanya dia!
“ Sorry, jumpa kawan masa kecil
dulu.. sembang lamalah di surau..” ucapnya membuka bicara seraya dia menemani
sama aku yang berpura-pura seakan sibuk menyusun cawan di meja utama.
Sebenarnya, sudah hampir siap kerana sepupu-sepupu Azmi dan emak-emak saudara
serta jiran-jirannya yang sudah bertungkus-lumus dari awal tadi menyediakan.
Riuh-rendah bunyi mereka. Pakej dengan dendangan karoke bagai sebelum suasana
kembali sunyi sementara menunggu Isya’ tadi.
“Yang, dah makan tadi?” bisiknya dekat.
Mungkin kerana aku yang masih belum memberi
respon. Khadijah di depanku sekadar tersengih-sengih. Menambah rasa geram pulak
kepada Azmi yang kian galak menyakat.
“Nak makan?” soalku semula.
“Nak teman?”
Aku hampir tergelak juga bilamana soalanku
dijawabnya dengan soalan juga. Benci betul aku dengannya bilamana dia
senang-senang saja mengubah moodku yang tadinya ingin melayan rajuk kerana
ditinggalkan sendiri.
“Jomlah. Ibu pesan tadi makanan untuk beh
ibu dah sediakan di dapur..”ajakku pula.
Dia tiba-tiba mengerutkan dahinya.
Aku mengetap bibir.
Aku ada tersilap cakap tak ni?
“Ibu?”
Aku mengangguk kemudian menepuk dahi. Aku lupa
yang Azmi memanggil ibunya, mak. Bukannya ibu seperti yang aku gunakan.
Aku tergelak kecil.
“Tahu tak yang panggilan ibu tu untuk
menantu mak, tau..”
Aku menjeling.
Dia mengajakku beriringan dengannya menaiki
tangga rumah dan menuju ke dapur. Kami membasuh tangan dulu sebelum duduk ke
meja makan. Aku menyendukkan nasi kosong ke dalam piring yang berwarna merah.
Yang aku tahu, itulah piring kesayangan Azmi sejak kecil lagi. Ibunya yang
bercerita kepadaku sewaktu aku hanya duduk menemani ibunya menyusun tart telur
tadi.
Comel Azmi, kan?
“Kenapa sayang senyum?” soalnya tiba-tiba
seraya dia menyambut huluran piringnya yang kusuakan kepadanya.
Aku menyimpan senyum dan menggeleng-geleng.
Teringat pesan abah untuk hormati rezeki lebih utama walaupun ada niat hendak
usik-mengusik. Kemudian aku pula menyenduk nasi buatku dan lauk-pauk istimewa
kegemaran Azmi kata ibunya. Azmi mengisyaratkan untuk menadah tangan sama
sebelum kami memulakan makan. Setelah doa dibaca dan diaminkan, kami mulai
menjamah makanan. Hanya sunyi dan sepi di meja makan kecuali suasana di halaman
rumah yang sudah mula riuh dengan bunyi-bunyi.
Mereka hendak mula berkaroke ni!
Tidak sangka, tiba-tiba di muka pintu dapur
ada lelaki memakai pakaian melayu berwarna putih. Dia sedikit terkejut melihat
aku dan Azmi hanya berdua makan di dapur itu. kemudian dia menghampiri Azmi dan
menepuk-nepuk bahunya.
“Bila kau sampai, bro?”
Azmi terbatuk-batuk dengan sergahan yang
tiba-tiba itu. mungkin dia tidak perasan akan kehadiran lelaki itu. segera aku
menghulurkan kepadanya air kosong untuk membantu dia redakan sedakannya.
“ Bang Aji ni..”
Oh, inilah agaknya Abang Azizul.
“Tadi dah, petang lah jugak..”sambung Azmi
kemudiannya setelah reda dengan batuk kecilnya.
Abang Azizul menarik kerusi dan duduk di
sebelah Azmi. Azmi mengisyaratkan aku untuk menuangkan segelas air lagi untuk
diberikan kepada Abang Azizul. Dia menyambut dengan senyuman.
“Makanlah..”
Aku mengangguk saja.
Segan pun ada kerana aku takut jadi perhatian pula.
“Ni Mukhleesa yang kau ceritakan dulu, Mi?”
soal abang Azizul dengan tidak diduga.
Aku berhenti mengunyah dan menunggu jawapan
Azmi. Sengaja aku memandangnya, menanti dia menjawabnya. Namun, tanpa suara
Azmi hanya mengangguk.
Kenapa ya keluarga Azmi rata-rata memanggil
aku dengan Mukhleesa dan seolah-olah aku memang sudah dikenali di dalam
kelompok keluarganya?
Aku mempercepatkan makan kerana tidak
selesa dengan tiba-tiba. Kebetulan juga Azmi menyudahkan makan malamnya. Aku
secara suka rela mengemas bekas kami makan dan hanya mengisyaratkan dia duduk
bersama abangnya. Mungkin juga abangnya ada banyak yang ingin dikongsikannya
bersama Azmi kerana yang aku tahu Azmi sangat jarang balik berjumpa
keluarganya. Lagipun bukannya banyak benar hendak dikemas dan tambahan lagi aku
hanya perlu menyimpan ke dalam sinki saja kerana ada pembantu rumahnya yang
akan membersihkan dan mengemaskan. Seronok betul kerana di rumahnya sampai ada
3 orang pembantu rumah. Mungkin kerana mereka mengadakan majlis segah ini yang
menyebabkan mereka mengupah sehingga 3 orang.
“Aku turun ya..” khabar Azmi sebelum dia
berlalu meninggalkan aku di dapur yang masih lagi mengemas bekas yang tersisa.
Dia juga sempat berpesan untuk ikut-serta ke halaman rumah nanti setelah aku
selesai di atas. Sempat saja kumengangguk sebelum dia hilang dari pandangan.
Setelah segalanya kemas, barulah aku menuju ke pintu utama.
Wah.. ramai keluarganya!
Seronok juga melihat keriuhan sanak-saudara
Azmi yang memeriahkan malam berjaga-jaga ini. Riuh dengan gelak ketawa dan
usik-mengusik pun ada. Apatah lagi, tidak lari mataku memandang kumpulan
kanak-kanak berlari riang. Rasa terpanggil jugaku untuk ikut sama makanya aku
menghampiri Khadijah yang sedang bersembang-sembang bersama sepupu-sepupunya.
Khadijah yang kebetulan menolehku terus melambai-lambaiku untuk dekat kepadanya
dan duduk di sebelahnya pula.
“Ini Kak Lisa…” perkenalkan Khadijah kepada
mereka. Terasa segan pun ada. Yang menghulurkan tanganku sambut dan yang bukan
mahram, aku sekadar mengangguk saja.
“Kak Lisa ni tinggal di bandar, ya?” soal
Ayuni, perempuan yang duduk bertentangan denganku. Awalnya, dia sudah
memperkenalkan diri.
Aku tersenyum dan mengangguk. Sesekali aku
membetulkan selendang yang hampir jatuh ke bahuku. Malam ini sengaja aku
mengenakan selendang penuh kerana lebih mudah dan ringkas. Aku malas untuk
menyarung tudung express kerana tidak sempat aku menggosoknya tadi. Lagipun jenis
kain tudung expressku itu mudah berkedut.
“Sukalah tengok kak Lisa ni.. sopan..” usik
adik Ayuni, Amarna yang sebaya saja umurnya pada tekaanku dengan usia Khadijah.
Dia tertawa kecil dan seolah-olah teruja dengan pujian yang lebih berbentuk
usikan nakal itu..
“nak tahu tak bagaimana Kak Lisa kenal
dengan abang Azmi?” soal Khadijah kepada sepupu-sepupunya. Bernada nakal saja
di pendengaranku. Masing-masing mereka teruja dengan soalan nakal Khadijah.
Adik dan abang ini, sama saja tingkahnya.
“Nak tahu, kena tanya abang Azmilah..”
jawabku, membalas usikan Khadijah. Aku sebenarnya malas hendak berkongsi. Kisah
itu sudah lama tersimpan. Nanti tergelak sakan mereka, aku juga yang susah.
Lebih parah lagi kalau-kalau kami berdua jadi bahan sindiran pulak kerana
berpunca dari peristiwa itulah, aku dan Azmi seakrab begini!
“Alaaaa….”
Terlukis garis-garis kecewa di wajah
mereka. Namun, masih nakal dan bersahaja.
“Nama penuh Kak Lisa, apa ya?” tanya Ayuni
lagi.
Aku memandang Khadijah.
“Eiii, tak boleh bagitahu. Abang Azmi marah
nanti..”
Aku tergelak.
“Kenapa nak marah?”soalku dalam tawa yang
masih bersisa. Hairan juga dengan jawapan Khadijah yang bersahaja itu. kata
Khadijah, awal lagi abang Azminya sudah memberi amaran untuk tidak dikongsikan
nama sebenarku. Cukup saja dikenali dengan nama Lisa saja.
Aku mencebik.
Melampau betul Azmi ni, kan?
“Hah tu, panjang umur..” khabar Khadijah
seraya menunjukkan ke arah sesuatu tidak jauh dari kami. Walaupun bunyi karoke
cukup kuat di sebelah depan sana, namun masih boleh jelas lagi kami bercerita
sakan waktu itu. mungkin kerana kawasan yang lapang dan luas, maka bunyi tidak
tersekat di satu arah saja.
Aku menoleh.
Azmi rupanya yang dimaksudkannya.
“aaah.. tepi.. abang nak duduk ni..” pinta
Azmi selamba seraya menarik tangan Khadijah yang duduk di sebelahku.
Terlopongku jadinya dengan cara Azmi yang selamba itu menyuruh adiknya beralih
tempat. Sepupu-sepupunya hanya melepas tawa. Khadijah sudah menarik muka. Aku
pula, spontan saja memukul lengan Azmi.
“Kesian Ija, tau..” tegurku.
Azmi sekadar tersengih.
“Bro, try skill akustik laa.. dah
lama tak dengar ni..” cadang sepupunya Kamal, yang berada tidak jauh dari
Ayuni. Dia yang sedari tadi memetik-metik tali gitarnya mengajak Azmi.
Sebenarnya cukup ramai juga kelompok anak-anak muda ini. Hendak mengingat nama
mereka, susah jugak.
“Boleh jugak,.”
Azmi menyambut huluran gitar kapok itu
dengan penuh keyakinan. Seolah-olah permintaan itu sesuatu yang sudah biasa
baginya.
Tak sangka pulak Azmi boleh bermain gitar
selama ini. Lagipun, dia belum pernah bercerita selama aku kenal dengannya.
“ Duduk depanku, ‘Eisy..” pintanya
perlahan, yang bagiku hanya aku yang mendengar permintaan itu. Tidak
membantahnya, aku membetulkan kerusi dan duduk bertentangan dengannya.
Gitarnya mula dipetik.
“ Just for you..” ucapnya, separuh
berbisik. Seolah-olah dia lupa, bukan hanya ada aku dan dia di sini. Aku jadi
malu pulak dengan ‘charming’nya dia di hadapan mereka.
Telah kusiapkan satu daerah paling
sunyi..
Aku mati kata.
Baris lirik pertama itu menikam hatiku
lebih dalam. Dalam renungannya, dengan gaya dan gemersik suaranya.
Ya TUHAN, mempesona!
Tingkah Azmi mengetuk hati wanitaku. Aku
menunduk dan menyembunyikan syahdu. Terbawa rasa ingin kembali mengejar
bahagia.
Tak semudah yang kita janjikan,
yang kita janjikan..
kerana kau isteriku..
Aku akhirnya menyeka airmata. Kalau benar
Azmi menujukannya kepadaku, tidak tahu lagi aku mahu mengatakan apa-apa.
Walaupun aku bukan isterinya, namun kalaulah aku benar seorang isteri sudah
lama untuk dia kusimpan janji bersama setia sepanjang hayat. Tak mungkin untuk
aku kecewakan dirinya apatah lagi memungkiri segala yang dijanji.
Bukankah bagi seorang isteri, redha TUHAN
itu atas redha suaminya?
Padaku, bait terakhir itu bukan menceritakan
tentang aku kerana statusku ketika ini bukanlah bergelar seorang isteri.
Pandangan Azmi dan aku, saling berbalas.
Dia menghantar isyarat untuk aku jangan bersedih namun aku menarik muka. Salah
dia yang membuat aku begini!
“Sweet gila abang Mi!” sorak mereka
riang. Yang mungkin tidak sedar aku yang dipukul rasa terharu. Spontan saja
babak begitu antara aku dan Azmi, hilang.
“Masih legend tak?”soal Azmi bangga.
Kamal mengangguk-angguk.
“Romantik habis. Kalau cara tu kak Lisa tak
semakin sayang abang Mi, tak taulah Yuni, bang..” sampuk Ayuni pula bersahaja
namun jelas ditujukan kepadaku.
Aku hanya memandang Azmi.
Dihatiku, mula bertanya.
Kau mahu aku sayang kau, Azmi?
Seriuskah dia dengan ajakannya kahwinnya
sebelum-sebelum ini?
0 ulasan:
Catat Ulasan