BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 19 Ogos 2016

BAB 31-SETIA PADA DIA

BAB 31
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Kedinginan air di desa ini cukup menusuk hingga ke tulang. Menggigil betul jadinya. Nasib baiklah kemudahan di rumah Azmi ini sudah moden. Kalau-kalau masih perlu mengambil air di telaga, memang berbekal air panas dalam cereklah aku jadinya. Imaginasiku ini kadang bukan boleh diterima di zaman canggih ini. Seolah-olah aku lupa pula bahawa semua orang sudah boleh menerima sebarang perubahan di dalam kehidupan. Jelasnya di sini, walaupun hampir ke pukul 10 pagi, masih jelas terasa kedinginan. Tambahan lagi, pagi itu aku terlewat bangun dari jam yang sepatutnya. Terlewat dua jam pulak tu. Khadijah selamba saja tidak membangunkan aku. Tahu-tahu, jam sudah menjangkau ke angka 9. Mana tidaknya aku bergegas meluru ke bilik air. Bimbang pulak dianggap macam mem besar. Sudahlah menumpang di rumah orang. Dijemput datang makan dan minum, dimajlis orang pun aku boleh buat macam rumah sendiri.
Kalaulah abah tahu, habislah aku.
“Kak Lisa dah bangun?” soal Khadijah yang baru saja menapak masuk ke dalam bilik. Aku yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala tersentak. Nasib baiklah Khadijah yang masuk.
Bayangkanlah kalau sepupunya atau Azmi?
Memang nak kenalah ni.
Silap aku jugak agaknya kerana tidak mengunci pintu sedangkan Khadijah sudah berpesan untuk aku mengunci pintu kalau-kalau aku sedang bersiap-siap untuk mengenakan pakaian atau sebagainya.
“Kenapa tak kejutkan tadi?” soalku seraya menyikat rambut. Sedikit berjauh rasa kerana tidak dikejutkan awal lebih dari jam yang aku sangkakan boleh bangun sendiri. Inikan rumah orang, tentulah mengundang rasa tidak selesa padaku.
Sayangnya, dia hanya tergelak kecil sedang dia duduk di birai katil bersama sepasang baju kurung songket berwarna merah. Cantik benar sehinggakan mataku tak ingin memandang yang lain.
“Cantiknya..” ucapku seraya menunjukkan ke baju itu.
Khadijah kemudian menghulurkan kepadaku tanpa kusangka.
“Aik… kenapa?” soalku.
“Untuk Kak Lisa lah..”
Aku mengerutkan dahi.
“Tema nikah abang Azizul hari ni, perempuan pakai pakaian songket. Ija agak-agak saja Kak Lisa tak bawa kan. So, Ija berilah.. Lagipun, mak yang pesan ni..” terangnya lebar kepadaku yang masih teragak-agak untuk menerima.
Aku menelan liur.
“Ibu dimana?”
Dia menggaris senyuman.
“Ada di halaman. Baru saudara mara yang datang. Belum jemputan lain. Kak Lisa bersiaplah dulu. Kalau nak gosok baju, seterika Ija ada di dalam almari tu. Saja Ija simpan sebab selalunya mak yang gosokkan..” ujarnya selamba bersama tawa kecilnya.
Aku mengangguk saja.
“Lagi satu, sebenarnya Ija berat nak sampaikan..”
Aku diketuk debar.
Khadijah ni bukan boleh dilayan sangat tapi mimik mukanya itu membuatkan aku penasaran.
“Kak Lisa janji tau jangan marah Ija..”
Aku mengangguk saja kerana sudah tidak sabar dengan berita yang ingin disampaikannya.
“Abang Azmi minta tolong gosokkan sampingnya. Boleh tak?” soal Khadijah kemudian melepas tawa. Pantas saja aku memukul lengan Khadijah kerana tidak menyangka sama sekali senang saja dia mengusikku waktu itu. sempat dia meletakkan samping Azmi sebelum dia keluar meninggalkan aku untuk bersiap-siap. Pakej dengan pesanan lagi yang dia mahukan aku segera bersiap kerana banyak ibu saudaranya sibuk bertanyakan perihal bakal menantu yang baru yang belum timbul lagi.
Hish! Khadijah ni kan.
Hendak tak hendak, aku segera menggosok baju kurung songket yang diberikan tadi. Cantik benar sulamannya. Terasa macam terbawa-bawa kisah alam melayu. Aku tersenyum sendiri melayan fikiran kosongku. Sulamannya benar-benar halus dan warnanya juga memikat hati. Seronok juga diberi pinjam baju sebegini kerana selama ini aku tidak terpanggil untuk memiliki sepasang baju sebegini. Yang seronoknya lagi, warnanya warna kegemaranku. Merah dan juga sulaman benang emas. Mudah-mudahan sesuailah apabila kusarungkan ke tubuhku nanti. Saiz pun macam cun-cun saja ni.
Usai menggosok, aku menyarungkannya ke tubuhku. Segera aku memandang diriku ke dalam cermin dan melepas tawa kecil. Memang nampak aura melayu! Syukur juga saiznya sesuai denganku. Tidak juga terlalu sempit dan tidak juga longgar. Selendang yang diberikan juga cantik. Pantas saja aku mengenakannya. Nasib baiklah pernah tengok tutorial di youtube. Kalau tidak, alamat berjam-jamlah aku di depan cermin.
Usai mengenakan solekan nipis saja, aku segera merias wajah berlainan dari biasa. Berpuas hati dengan penampilanku, aku memastikan suis seterika sudah kumatikan dan ingin berlalu keluar bersama samping Azmi. Kebetulan benar di depan pintu bilik Khadijah, Azmi sudah berdiri dengan pakaian melayunya.
Ah!
Sedondon pulak tu.
Rasa termalu pun ada kerana dia selamba saja tidak terkata di depanku seolah-olah baru pernah bertemu saja lagaknya. Terasa seganku dengan tiba-tiba. Aku membuang rasa dengan berdehem sebelum memulakan kata.
Sorry lama sangat gosokkan..” ucapku antara dengar dan tidak seraya menghulurkan sampingnya. Aku hanya mampu membuang pandangan apaila dia masih belum berhenti merenung. Azmi yang entah perasan atau tidak, tidak lama kemudian menyambut huluranku. Mungkin kerana aku yang lama benar yang membuatkan dia akhirnya membuat keputusan untuk menuju ke bilik Khadijah.
“Aik, ni bukan Ija yang gosok ni?”
Aku menggeleng.
“Dia suruh kau‘Eisy?”
Aku mengangguk saja.
Perasan dengan perubahan di wajahnya, aku sudah dapat meneka dan menyimpulkan sesuatu.
Aah.. memang sengajalah Ija ni hendak mengusik aku.
Dia ketawa kecil.
“Ija ni..”
Hanya itu yang kudengar di hujung bicaranya sebelum dia mati kata. Pandangannya sekali lagi mengundang gelisah. Rasa nak tumbuk dia pun ada tapi bukan manis pun sebab inikan kampong dan tambahan lagi ini kan di majlis keluarganya sendiri.
“Kau cantik ‘Eisy..” suaranya kedengaran separuh berbisik. Aku di depannya hanya mampu mengetap bibir. ini bukan masanya untuk dia mengusik aku dan rasaku.
“Azmi! Belum siap lagi?” suara ayahnya mematikan suasana. Aku segera mengambil kesempatan meninggalkan dia kerana ingin lari dia tingkah Azmi yang berlainan sudah kurasa. Sempat saja aku melemparkan senyuman dan menunduk sebelum aku berlalu meninggalkan mereka berdua. Tambahan lagi terkenangkan cerita Khadijah semalam, membuatkan aku rasa tidak selesa pun ada. Usai merasa jauh sudah kumeninggalkannya, aku menuju ke pintu utama.
Wah.. memang ramai!
Aku ternampak kelibat Khadijah yang sedang berdiri bersama sepupu-sepupunya dan juga tunangnya. Segera aku menuruni anak tangga dan mendekatinya. Aku kemudian mencubit lengannya. Terasa ingin membalas dendam saja atas kenakalannya di pagi hari mengusikku.
Dia segera menoleh dan tersengih. Mungkin dia sudah tahu maksudku itu.
“Ala.. sorrylah Kak Lisa.. terima kasih ya tolong Ija..”
Aku sudah mengagak memang dia sengaja mengusikku. Tapi, apalah sangat kalau aku hendak ambil hati kerana bagiku memang aku kebetulan menggosok pakaian. Bukannya berat pun bagiku. Cuma, dia suka sangat menyakat dengan hal yang bukan-bukan.
“Cantik Kak Lisa..” Ayuni bersuara.
Aku sekadar tersenyum. Entahkan ikhlas entah tidak, aku malas sudah untuk berprasangka. Terpulanglah dia hendak menilai aku bagaimana.
“Abang Azmi belum turun lagi ni..” suara Kamal pula kedengaran. Sebenarnya masing-masing sudah diberikan tugas untuk majlis pernikahan abang Azizul hari ini. Cuma aku saja yang diberi ruang bebas sama ada ikut mana-mana yang aku suka. Itupun atas pesanan ibunya supaya tidak memberatkan aku kerana aku adalah tetamu mereka.
“Aaah.. tu pun abang Azmi. Handsomenya dia..”Ayuni mula bersuara, gedik saja di pendengaranku. Hanya aku saja yang tidak menoleh ke belakang kerana malas hendak melayan karenah Ayuni yang bagai tak sudah-sudah untuk mencuba menaikkan marahku atau lebih cepat lagi sedang menduga kesabaranku dan rasa cemburuku agaknya.
Aku dicuit kemudian.
Thank you..” bisik Azmi yang sudah di sebelahku. Sempat aku menoleh Ayuni yang mukanya sudah berubah. Aku pun sebenarnya tidak menyangka dia terus mendapatkanku dan menunjukkan ‘charming’nya juga di depan mereka. Sudahlah dia nampak menawan dari biasa.
Aku hanya mampu menyimpan getaran rasa.
Wait.. tak ada siapapun pesan pakai pakaian melayu yang too melayu like this..” Ayuni memulakan protesnya.
Mereka yang lain melepas tawa.
“Inikan perkahwinan melayu. Lagipun, mak kami kan dah pesan untuk pakai tema perkahwinan melayu yang betul-betul melayu. Yang tak ambil perhatian, memang rugilah,.” Khadijah selamba saja menjawab, menyahut protes Ayuni yang mukanya nyata-nyata tidak berpuas hati.
“Eih dahlah. perkara begini pun nak kecoh..” tegur Kamal akhirnya meleraikan.Masing-masing hanya melepas tawa sedang aku hanya menggaris senyuman saja. Kalau aku join sekaki, alamat mengamuk sakan dia kerana dia bagai tidak berpuas hati benar kepadaku.
“Aku teman ayah dulu..” bisik Azmi kemudian sedang aku tahu masing-masing nampak cara Azmi yang sungguh-sungguh menyentuh hati wanita itu. Seolah-olah pada Azmi, di situ hanya ada aku dan dia saja. Mesra yang sukar untuk kugambarkan bagaimana tergamitnya bahagia dan senang di hatiku.
Manalah tidak Ayuni semakin panas.
Aku mahu tak mahu, selesa saja mengikut rentak Azmi. Aku tahu dia bukan bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa. Hanya dia sudah memang se‘charming’ itu. Apalah juga daya aku menghalangnya. Cuma satu saja yang aku tahu, dia seolah-olah ingin menunjukkan kepada semua bahawa aku adalah kepunyaannya.
Dia sempat menghulurkan kepadaku sekotak kecil tisu muka sebelum dia berlalu bersama sepupu-sepupu lelakinya yang lain dan tunang Khadijah, meninggalkan aku bersama kelompok yang lain.
Ayuni di depanku semakin tidak berpuas hati.
“Ija.. Ada Kak Mukhleesa tak tu?” laung ibunya dengan tiba-tiba dari pantaran rumah. Aku kebetulan terdengar terus menoleh. Sebenarnya nyaring juga suara ibunya. Walaupun pada asalnya bunyi-bunyian di halaman rumah cukup kuat. Kebetulan saja habis lagu-lagu pengantin terputar dan ibunya bersuara pula.Kuhanya sempat tertawa bersama mereka apabila ibunya menekup mulut kerana keterlanjuran bersuara nyaring. Rupanya, ayah mereka yang mengusik ibunya kerana aku sempat menoleh ibunya yang mengisyaratkan hendak mencubit ke bahagian karaoke tidak jauh di situ.
Apabila kami toleh, ayahnya!
Memang menarik juga pasangan ini. Patutlah Azmi kuat mengusik, sama dengan tingkah ayahnya rupanya.
“Kenapa ibu?” soalku.
Dia melambaikan tangan menyuruh aku naik ke rumah. Tidak mengambil masa yang lama, aku mendekati ibunya saja. Aku pun tertanya-tanya juga apabila ibunya segera menarik tanganku dan membawa aku masuk ke dalam rumah dan terus dibawanya ke ruang tamu, di tempat pelaminan dipamerkan.
“ Mukhleesa, boleh tolong ibu tak?” soalnya.
Aku mengangguk saja meskipun aku belum tahu pertolongan bagaimana yang ibu mahukan.
“Ni hah, tolong periksakan semua barang-barang hantaran Abang Azizul kamu ni, dan tolong ya gubah sikit bunga hidup rose dan orkid ni sekali..”
Aku duduk di sebelah ibu setelah ibu pun duduk tidak jauh dari pelaminan. Ibu ini memang bukan yang jenis senang duduk orangnya kerana kulihat sekejap ada di halaman dan sekejap sudah ibu berada di dalam rumah pulak. Menyentuh rasa yang lain saat bersama ibu pun ada lantaran saudara-mara mereka yang kebetulan ada di situ bagai tertanya-tanya akan diriku.
“ Teman Azmi ni..” luah ibu apabila masing-masing mempamer wajah ingin tahu benar. Aku hanya mampu menggaris senyuman dan menunduk sebelum aku menurut kemahuan ibu untuk cuba menggubah dan memeriksa barang hantaran yang ada. Terasa seronok pun ada melihat dan melalui suasana begini. Barangan yang ada pun boleh tahan taste bakal isteri Abang Azizul ini. Walaupun sebenarnya aku bukanlah mahir benar dalam menggubah barangan sebegini tapi aku minat juga mensurvey melalui internet dan sebagainya.
Aku mahu mencuba sedaya yang aku ada.
Dari meneliti satu persatu barangannya, semuanya perlahan-lahan menggamit kenangan laluku dan impian yang tidak kesampaian. Dipagut sendu rasa hatiku mengingatkan sesuatu yang bukan milikku. Dulu, aku pernah mengimpikan sebegini tapi segalanya musnah. Bukan aku tidak percaya pada jodoh dan ketetapan Allah, cuma ini bukanlah seperti yang kupinta.
Aku menyimpan getar pilu. Bibir kugigit kuat supaya tiada siapa yang tahu apa yang kurasa saat ini. Aku mencuba untuk bertenang yang kumampu dan perlahan-lahan jemariku terhenti dan kaku.
Tidak mungkin segalanya boleh kembali seperti dulu.
Mataku berkaca.
Aku menunduk saat jemariku terhenti di dulang berisi cincin perkahwinan. Walau bukan kepunyaanku, tapi ia tetap menggamit kenangan lama.
Cincin itu telah tiada.
Azmi yang mengambilnya dan hingga ke hari ini aku tidak pernah bertanya dimana dia menyimpannya. Entah dibuangnyakah atau, entahlah.
Tiada pernah kuambil tahu.
“ ‘Eisy… be strong..”
Bisikannya itu mengejutkanku.
Rupanya Azmi duduk di sebelahku tanpaku sedari. Kulihat tetamu yang ada tidak jauh dari kami tersenyum-senyum saja. Mungkin mereka beranggapan Azmi mengatakan sesuatu tentang masa depan.
Aku cuba menggaris senyum walaupun canggung sekali.
Its suddenly recall that memories..” luahku perlahan namun aku tekad untuk sekadar memeriksa perhiasan yang sememangnya sudah cantik di setiap dulang hantaran itu. Aku tidak mahu ada yang perasan keadaanku.
Azmi ini pun satu.
Bagaimanalah dia boleh saja tiba-tiba ada di sebelahku sedangkan tadinya dia sudah berniat untuk membantu ayahnya di halaman.
I’ll bring you happiness if you wish for..”
Aku mengetap bibir.
“Dah habis tolong ayah di bawah tu?” soalku namun tidak memandangnya. Sengaja aku berpura-pura  menyentuh bunga yang sudah siap digubah tadi sebelum ibu meninggalkan aku di situ.
Dia menarik lenganku namun terlindung dari pandangan yang lain. Aku tahu dia mahukan aku memberikan perhatian dari apa yang dia katakan. Hanya aku yang suka mengelak dari melayan dia bermain dengan kata-kata.
“Jangan sedih lagi, sayang. Please..” pintanya penuh pengharapan sehingga jauh menyentuh ke dasar hatiku paling dalam. Bersungguh-sungguh sehingga tidak mampu aku katakan apa yang terlintas di fikiranku saat itu. Beraninya Azmi mewujudkan suasana sebegitu seolah-olah hanya aku dan dia sedangkan dia ada tetamu yang lain di sini bersama kami.
“ Beh, jangan tarik perhatian orang.. please..” pintaku kepadanya seraya menarik lenganku dan cuba berlagak biasa. Bersyukur juga kerana tidak ada yang perasan dengan apa yang terjadi antara kami.
“ Ya Allah budak ni, mak suruh bawak barang hantaran tu ke bawah. Bukannya kacau Mukhleesa di sini..” suara ibu mula kedengaran dan membuatkan kami tersedar dari situasi sentuhan rasa. Aku terus menggaris sengihan mendengar ibunya yang mula hendak membebel itu.
“ Mana ada kacau Mukhleesa, mak..”
“Habis tu..muka Mukhleesa dah merah ni, kenapa?”soal ibu.
Aku tersentak.
Azmi menoleh selamba, merenung. Mungkin dia ingin memastikan kata ibu itu betul tapi sebetulnya dia hanya lebih kepada mengusik saja.Spontan saja aku mencubit lengannya. Terasa malu diperlakukan sebegitu di depan ibunya. Tidak malu betul budak ni. Depan ibunya pun dia berani mengusikku.
Azmi melepas tawa bebas.
Aku menjelingnya.
“ Dah dah.. pergi bawak barang tu masuk kereta. Mak kahwinkan kamu berdua hujung tahun nanti.. hah biar rasaa..” ugut ibunya seraya menarik lengan Azmi untuk mengangkat sireh junjung.
Aku tergelak kecil dengan ugutan ibunya walaupun aku tahu, itu seolah-olah harapan yang ingin dijadikan nyata antara aku dan Azmi. Tambahan lagi saudara-mara yang ada di situ bagai menyokong saja kenyataan ibunya.
“ Moga masinlah cakap mak ni..”ucap Azmi selamba sebelum dia berlalu bersama sireh junjung yang sudah siap digubah. Bimbang benar ibu kalau-kalau rombongan dari pihak lelaki terlewat dari waktu yang dijanjikan. Bimbang kalau-kalau tersasar dari apa yang dirancangkan pula. Dia sempat mengenyitkan matanya sebelum dia melangkah ‘charming’ di hadapanku.

Hanya terkulat-kulat aku di situ.

BAB 30-SETIA PADA DIA

BAB 30
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Kak Lisa..”
     Aku menukar posisi berbaring dan menoleh Khadijah di sebelahku. Suaranya yang kedengaran tidak nyaring membuatkan aku tertarik untuk menyahutnya yang bagai ingin memulakan bicara. Walaupun hari sudah jauh malam, namun mataku ini seperti sukar juga untuk terlelap. Mungkin kerana persekitaran untuk tidur yang baru bagiku. Maka, apa salahnya kalau seketika aku isi saja waktu-waktu malam yang masih tersisa sebelum fajar tiba untuk melayan coleteh Khadijah.
     “Dah lama Kak Lisa dengan abang Azmi?” soalnya teragak-agak.
     Aku tersentak. Tidak menyangka sama sekali akan ditanyakan soalan sebegini di lewat malam ini.
     “Maksud Ija?”
     Dia tidak jadi meneruskan bicara. Hanya tersenyum saja dan mengisyaratkan aku untuk tidur saja. Mungkin kerana dia bimbang kami akan terlewat bangun agaknya. Tambahan lagi sudah dipesan sebelum kami sama-sama masuk ke dalam bilik tadi supaya bangun awal esok untuk membantu ibunya menguruskan hal-hal rumah. Mujur malam ini tidak banyak yang hendak dilakukan. Seronoknya juga pertama kali tidur berdua bersama Khadijah.
     “Kak Lisa dengan abang Azmi kan kawan sejak zaman sekolah tu…”balasku akhirnya, masih membiarkan ayatku tergantung begitu saja kerana aku mahu tahu kesimpulan apa yang ingin disampaikan Khadijah kepadaku.
     Khadijah terus memandangku.
     “Maksud Ija, berkongsi isi hati..”
     Aku terdiam.
     “Kak Lisa dan abang Azmi tu tak couple?”
     Aku menghela nafas.
     “Ija.. biar Kak Lisa terus-terang. Yang Kak Lisa tahu, setakat ni abang Azmi tak pernah nyatakan apa-apa. Kak Lisa tak mahu tersilap tafsir..” luahku akhirnya, berharap akan ada di antara mereka yang memahami keadaanku dengan Azmi.
     Khadijah meraih tanganku.
     “Kak Lisa nak tahu sesuatu?”
     Aku bagai terpanggil rasa ingin tahu. Lantas, aku mengangguk saja. Mungkin juga kerana wajahnya yang kelihatan bersungguh-sungguh itu yang membuka hatiku untuk terus mendengarnya.
     “Sebenarnya, abang Azmi dah lama sayang Kak Lisa..”
     Aku kehilangan kata. Kuat benar debaran di dadaku saat Khadijah menyampaikan kenyataan itu.
     “Waktu Kak Lisa bertunang dulu, abang Azmi tak datang kan?”
     Aku mengangguk.
     “Kak Lisa tahu abang Azmi dimana?”
     Aku mengangguk.
     “Dia khabarkan kepada Kak Lisa yang dia dihantar kursuskan?”
     Aku mengangguk lagi. Bertambah teruja dengan cerita yang ingin disampaikan adiknya ini.
     “Sehari sebelum majlis Kak Lisa, abang Azmi ada balik ke sini. Kak Lisa tahu? Abang Azmi menangis depan mak sebab Kak Lisa dah pilih orang lain..”
     Aku menggigit bibir.
     “Puas mak pujuk tapi abang tetap menangis juga. Dia kecewa sebab tak berkesempatan berterus-terang. Katanya, silapnya juga kerana tidak bersungguh-sungguh nyatakan isi hati. Nasihat mak waktu tu, mak izinkan abang pergi umrah..” sambung Khadijah lagi dengan suara yang sudah perlahan.
     Aku disentuh sendu. Bercampur baur rasaku mendengar cerita Khadijah yang tiba-tiba bercerita tentang abangnya. Mataku berkaca jadinya. Sudah tidak mampu menyembunyikan rasa. Salah siapakah dalam hal ini?
     Akukah yang telah melukakan hatinya?
     “Sebab tu Ija tanya kerana Ija nampak abang Azmi macam nak mencuba lagi..”
     Aku kemudian terus membelakangi Ija. Aku memeluk erat bantal kecil yang sempat kubawa dari rumah. Memikirkan tentang Azmi, aku jadi gelisah dan sedih. Tidak sangka sama sekali Azmi pernah menyimpan rasa kepadaku. Selama ini aku sangkakan dia hanya bergurau saja dengan isi hatinya. Tambahan lagi, bukan seorang dua yang pernah dia ceritakan kepadaku tentang teman wanitanya. Maka bagiku, mustahillah dia serius dengan setiap kata-kata dalam usikannya kepadaku. Kerana itu jugalah aku masih ingin meneruskan hasrat menerima huluran kasih dari bekas tunanganku itu dulu.
     Akukah yang tersalah mengerti maksudnya?
     Ija dibelakangku kemudian memeluk lengan kananku setelah dia dekat di belakangku.
     “Ija minta maaf kalau buat Kak Lisa sedih..”pintanya perlahan.
     Aku menyeka airmata seraya menoleh semula kepadanya. Aku mencuba menggaris senyuman walaupun terasa suasana menjadi tegang dan dingin. Sudah berubah canggung dan bagai disapa kekakuan kerana hal sebegini dibangkitkan lewat begini.
     “Tak apalah Ija. Sekurang-kurangnya Kak Lisa tahu..”
     Khadijah menggaris senyuman.
     “ Ija nak sangat tahu apa yang ada di hati Kak Lisa..”
     Aku tersenyum kecil.
     “Tak bolehlah..” jawabku sedikit manja, mencuba untuk kembali mengubah suasana.
     Dia tergelak kecil.
     “Hmm.. sukalah dengan Kak Lisa ni. Mungkin sebab Kak Lisa ni manja-manja begini, sebab tu abang Azmi suka Kak Lisa..” usiknya selamba.
     Aku tergelak.
     “ Tu dululah Ija..”
     “Kalau abang Azmi kekal nak suka Kak Lisa, haaahh.. macamana?” soalnya.
     Aku menggigit bibir.
     “ Hmm.. kita tunggulah. Benda yang belum jadi ni kak Lisa malaslah nak fikir..” jawabku akhirnya kerana lebih senang membiarkan hal yang tidak-tidak pergi dari fikiranku. Tiba-tiba saja Khadijah mencuit lenganku. Di sebalik remang cahaya malam di bilik itu, wajahnya jelas menggambarkan orang yang mahu bergosip saja.
     “ Kak Lisa nak tahu tak?”
     Aku jadi curiga.
     “Ayuni tu sebenarnya admire pada abang Azmi..”
     Spontan saja aku terjawab oh dengan kenyataannya.
     “Oh apa tu?” soal Ija nakal.
     Aku mencebik.
     “Dia macam anti dengan Kak Lisa kan?”tanya Khadijah lagi.
Selamba saja aku mengangguk seolah-olah mengerti benar maksud yang ingin disampaikan Khadijah. Tidak sangka juga aku dengan Khadijah yang mesranya ini membuatkan aku selesa apabila bersamanya. Dulu semasa zaman kami masih bersekolah, aku jarang benar dapat bersembang dengannya. Hanya terkadang melambai tangan apabila terserempak dari jauh saja. Tidak sangka sama sekali hari ini boleh serapat ini dengannya. Boleh berkongsi cerita dan rahsia. Tambahan lagi, boleh tidur bersama pulak tu.
     “Tak baik tau Ija ni..”
     Khadijah ketawa kecil. Seronok benar dia bercerita tentang sepupunya Ayuni yang sama benar tingkahnya seperti yang diceritakan olehnya. Aku pun sebenarnya perasaan dengan cara Ayuni melayanku cuma aku malas hendak fikirkan sangat. lainlah kalau keluarga Azmi yang melayan dingin. Memang aku kena balik juga malam ni.
     “Kalau Kak Lisa nak tahu lagi satu cerita… Haaah.. ni Ija bocorkan..”
     Aku menunggunya meneruskan kata.
     “Abang Azmi jeles sebab Ija dapat tidur dengan Kak Lisa..” bisiknya nakal sebelum dia melepas tawa nakalnya. Pantas saja aku memukul lengannya manja kerana tidak menyangka sama sekali dia mengusikku begitu. Memang mereka adik-beradik ini sama perangai betul. Suka sangat mengusik.
     “Dia siap warning jangan peluk Kak Lisa, tau..” tambah Ija dengan tawanya yang masih lagi bersisa. Aku pulak, hanya mampu menggeleng-geleng saja mengenangkan kenakalan mereka.
“Tapi Ija peduli apa. Kitakan perempuan. Esok Ija nak jugak sangat buli abang Azmi tu. Serius sangat..” tambahnya lagi dengan tawanya yang masih lagi bersisa. Berkobar-kobar benar keinginannya untuk mengusik Azmi siang nanti kerana baginya Azmi itu seronok benar bila diusik.
Azmi ni pun satu, melampau sangat. Manalah Khadijah tidak berfikir yang bukan-bukan dengan tingkahnya yang bagai terlalu melindungi itu. bukannya dia tidak tahu yang menemani aku tidur ini adalah adik perempuannya. Itupun hendak dijadikan isu mereka adik-beradik. Sudahnya malam itu, aku dan Khadijah bersembang-sembang kosong sehinggalah akhirnya, hampir ke pukul 2 pagi. Hendak tak hendak melayan dia berceloteh, aku tertidur jua di sebelahnya.
     Semoga esok menjadi lebih baik dari semalam.