BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 Oktober 2012


Bab 36
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

Keadaan dingin di dalam ruangan itu akhirnya membuatkan aku tersedar dari lena yang panjang. Aku meramas-ramas perutku demi saja aku tersedar. Aku takut ada sesuatu terjadi pada anak dalam kandunganku lantaran tergesa-gesa melarikan diri dari kenangan lalu.
“ Syukurlah, awak dah sedar..” suara lelaki itu lain dari nada suara suamiku. Lain benar dari yang selalu menemani hari-hariku. Pantas, atas rasa ingin tahu aku mencari dari mana arah datangnya suara itu di balik kesuraman cahaya di ruangan rumah sakit itu.
Ya Allah..
Sekali lagi, sedarkanlah aku TUHAN. Tunjukkan padaku dia bukan Fahrin.
Aku menekup wajah. Berpaling dari terus memandang insan itu kerana meluap-luap rasa benci di dada. Aku takut hilang sabar dan aku bakal menjerit nantinya bagai orang gila. Aku bimbang rasa yang kupendam terluah dari mulut yang bertahun-tahun cuba aku simpan.
“ Saya faham kalau awak benci saya Sara…” dia mula main kata.
Aku menghela nafas kasar.
“ Tapi janganlah sampai ‘lari’ sebegitu jauh dari hidup saya.. Jangan sampai cederakan diri sendiri..” sinis dia menyambung kata-katanya yang bukannya memberi ketenangan kepadaku malah menyuntik rasa meluat pula.
Aku membetulkan duduk. Sesekali aku mencari kelibat Amiraa di sekelilingku sebelum pandanganku kembali jatuh pada wajah yang suatu ketika dulu pernah menjadi pujaan hatiku.
“ No one else.. only me..” dia bersuara bagai menjawab persoalan yang timbul di fikiranku.
Apalah malang hari ini bertemu dengannya dan berduaan pula dengannya. Walaupun tiada siapa yang tahu aku di sini namun aku tetap bimbang dengan keadaan hati yang jauh dari Dhani ini.
Bimbang aku akan berubah seketika lantaran sunyi.
“ Mereka fikir saya suami awak..” sambungnya sebelum aku memandangnya dengan pandangan tajamnya. Benci sungguhku pada ayatnya yang terakhir itu. Seakan-akan dia berbangga dengan apa yang terjadi padaku.
“ Saya sudah terbiasa hidup tanpa awak. Pergi dan jangan datang lagi dalam hidup saya..” luahku akhirnya setelah lama berdiam diri. Anehnya, Fahrin sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya berdiri.
Dia berpeluk tubuh.
“ Awak nak lari kemana lagi Sara?” soal Fahrin. Kali ini nada suaranya berubah. Berubah lirih dan sayu. Menggusarkan hati dan perasaanku saat ini.
Aku mengeluh seraya menunduk. Aku tidak mahu wajah itu mengundang simpatiku. Aku tidak ingin dia mengambil perhatianku lagi.
Aku benar-benar tidak mahu.
“Apa yang terjadi antara kita adalah takdir Fahrin..” ucapku penuh emosi.
Malam inikah yang akan merungkaikan segala yang terkusut?
“ Saya akui saya silap.. Tapi, saya tidak bahagia dengan jalan yang saya pilih Sara..” balasnya, meluahkan isi hatinya yang konon katanya sudah lama ingin dia katakan.
Ya TUHAN.. perlukah aku percaya padanya?
“ Bukankah ianya sudah terlambat?” soalku membalas pandangannya yang nampak sedih. Apa yang aku rasa saat melihat ke dalam anak matanya adalah perasaan kosong. Tidak macam dulu lagi. Tiada lagi rasa cinta yang membara.
“ Kembalilah Sara.. Kembali dalam hidup saya..” rayunya lagi dengan bersungguh-sungguh.
“ Awak gila?”
Aku terjerit mendengar permintaan gilanya itu. Sedikit sebanyak airmatanya itu mengundang rasa lain di hatiku.
Kasihan mungkin?
“ Saya dah ada suami.. Saya bahagia..” balasku angkuh dan terus berdiri dari terus duduk di katil itu. Aku nampak bagai orang yang tiada kekuatan dan semangat bila berada di situ. Makanya aku berdiri. Ingin menunjukkan padanya yang walaupun aku jauh dari sisi suamiku namun hatiku dan hati Dhani tidak pernah berjauhan. Walaupun jarak jadi pemisah, sekalipun aku yakin hati Dhani tetap untukku.
Bukan lagi buat Fahrin.
Dia mula diam melihat reaksiku. Dia menghampiri jendela yang nampak jernih itu. Ada bulan bersinar namun cahayanya suram. Suasana bisu tiba-tiba menguasai ruang.
Aku melabuhkan punggung semula.
Aku bersyukur benar anakku dan Dhani masih ada di dalam kandunganku. Aku tahu kenapa aku merasa senak tadi. Mungkin kerana aku terlalu aktif berlari sedangkan Dhani sudah berpesan agar tidak begitu.
Ah.. aku terkenang Dhani!
Mungkin sudah berpuluh-puluh pesanan darinya masuk ke dalam talianku saat ini.
Aku menyentuh perutku dengan linangan airmata. Aku jauh terkenangkan suamiku. Kalaulah Dhani tahu apa yang terjadi saat ini….
“ Pergilah Fahrin… awak bukan kepunyaan saya lagi..” aku meluahkan rasa dengan sayu. Lirih sekali bunyinya dan pilu menghentam jiwaku.
“ sejak cincin kita terlucut dari jemari ini, saya sudah nekad. Tidak akan kembali lagi kepada awak.. awak yang pilih untuk berpisah kerana hati awak mencintai orang lain dan bukannya saya. Dimana awak Fahrin ketika saya kecewa dengan permintaan awak?” sambungku pula. Dan kali ini, berubah nada dan penuh emosi.
Mungkin Fahrin harus tahu segala yang aku rasa.
“ Maafkan saya Sara.. Maafkan saya..” pintanya bersungguh-sungguh di hadapanku. Wajah lelakinya nampak keruh. Sebuah wajah yang hatinya dulu mencintaiku.
“ Saya tak ada niat nak balas dendam.. Saya tak berniat nak biarkan aku rasa terluka tapi biarlah begini. Binalah hidup baru dengan insan yang awak pernah pilih untuk sama melukakan hati ini..” ujarku tegas meskipun bernada sedih.
Aku menyentuh dadaku.
“ Di sini, nama awak sudah lama terpadam. Di sini juga, cinta kita mati..” ujarku penuh perasaan.
          Fahrin di hadapanku hanya diam. Kali ini dia seakan tidak berdaya lagi membalas kedegilan kata-kataku menolak hasratnya yang ingin kembali bersamaku.
          “ dan sejauh inikah awak mengejar saya Fahrin?” soalku kerana ingin tahu bagaimana dia boleh sampai ke bumi Perancis ini. Kerana kedatangannya kemarilah dan kerana terserempak dengannya di lapangan terbang dulu menyebabkan Dhani pernah bersengketa bersamaku.
          Dia menggeleng dalam senyuman kelat.
          “ Takdir yang menemukan kita Sara..”
          Aku terdiam mendengar balasan kata-katanya. Dia sempat berpesan agar aku menjaga diri kerana dia ingin kembali semula esok pagi ke sini. Dia tidak ingin meninggalkan aku dalam keadaan begini meskipun aku berdegil menginginkan dia menjauh.
          “ Awak suka atau tidak, saya tetap akan jadi pengganti Dhani..” ucapnya sebelum meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan keputusannya itu.
          Saat dia berlalu, sekali lagi aku tidak terkata.
          Ada cincin yang menyimpan kenangan antara aku dan dia masih tersarung di jemari manisnya!


Bab 35
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          “ I think, we should go..” luahku seraya menarik tangan Amiraa di hadapanku tanpa menunggu kata putusnya. Amiraa yang tidak tahu kenapa sebegitu pantas tindak balas aku memandang insan itu terus saja mengekoriku tanpa bantahan. Aku terus mempercepatkan langkah walaupun pergerakan itu mengundang rasa senak pada perutku. Aku ingin lari. Lari sejauh-jauhnya sehingga bayang-bayang Fahrin tidak mampu menjejakku lagi.
          “ Kenapa Mai?” soal Amiraa setelah yakin langkah kami sudah semakin jauh dari Kafe tadi.
          Aku menoleh kebelakang setelah yakin tidak nampak bayang insan yang benar-benar telah melukakan hatiku itu. Setelah keadaan kembali reda, aku memperlahankan langkah.
          Aku menggeleng-gelengkan kepala.
          Takkan aku nak buka cerita sekarang?
          Tidak sangka benar. Rupanya insan yang kusangkakan sedari tadi mencuri pandang itu berminat kepada Amiraa namun nyata dia insan yang aku tidak ingin bertemu lagi di muka bumi ini. Lama kusimpan segala kesakitan itu di dalam lipatan hatiku yang paling dalam.
          Mahukah aku mengorak kembali simpulan luka itu?
Kalau ditanya pada sang hatiku ini, jujur saja aku rasa benci yang sesungguhnya kepadanya meskipun sepatutnya aku memaafkan dirinya kerana telah meninggalkanku untuk mendapat bahagia bersama Dhani. Namun, aku tidak mampu memujuk hati begitu. Aku terkilan benar dengan caranya menghancurkan hatiku dan kesetiaan cintaku.
          Aku makan hati!
          Aku terpaksa menempuh hidup dengan insan asing yang aku dulunya tidak yakin mampu melabuhkan layar bahagia ketika menjadi pasangan hidupku.
          Kenapa muncul lagi merobek sekeping hatiku, Fahrin?
          Aku mengeluh.
          Hati kecilku merintih berat. Rupanya aku masih menyimpan dendam di lubuk hatiku yang paling dalam. Fahrin yang tega menggali kisah luka itu. Dia yang menghangatkan semula rasa dendam dan benci yang cuba aku padamkan itu dengan rasa kasih sayang yang Dhani curahkan kepadaku.
          Aku menggigit bibir dengan kuat.
Rasa senak di perutku semakin menjadi-jadi.
          Aku mematikan langkah dan memaut lengan Amiraa dengan erat.
Aku mengetap bibir dengan kuat.
          “ Mai.. awak okay tak ni?” soal Amiraa cemas di sisiku.
Aku tidak mampu membalas kata-katanya.  Sepatah pun perkataannya bagai kurang jelas masuk pada pendengaranku. Yang aku tahu, aku pening dengan tiba-tiba.
          “ Nampak pucatlah Mai..” tambah Amiraa lagi.
Kali ini nadanya berubah panik pula. Lama-lama pandanganku berubah-rubah. Sekejap terang sekejap berubah kelam. Senak makin menjadi-jadi.
          Aku menekan-nekan perutku.
          Ya Allah…
          Aku hanya mampu merintih di dalam hati.
          Pandanganku menjadi gelap sebelum aku merasakan ada tangan lain yang menyambutku sebelum aku rebah lantaran tidak tertanggung rasa sakit.

Rabu, 18 Julai 2012

Bab 34 O.R.K.I.D (Ombak rindu kita indah desirannya)


Bab 34
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

Hari ini aku sudah sarat rindu pada Dhani walaupun baru saja dia pergi. Beberapa minit yang lalu aku baru saja menamatkan kuliah yang pertama. Meskipun agak janggal dengan suasana yang nyatanya lain dari sesi pembelajaran yang pernah aku hadiri, namun aku bersyukur. Aku dapat jua atasi dengan baik dan menyeronokkan. Di sinilah, aku berkesempatan berkenalan dengan seseorang yang sudah boleh kugelar kawan.  Dia sangat mesra dan pandai mengambil hati.
“ Maisara…”
Aku yang pada awalnya mula berbalas mesej dengan Dhani mengkhabarkan aku baru habis kuliah itu terus memandang Amiraa di sebelahku.
“ Ya?”
Dia tersengih.
“ Siapa tu?” soalnya tanpa kuduga.
Aku yang pada mulanya tidak mengerti dengan maksud pertanyaannya sekadar mengerutkan dahi.
“ Siapa?” soalku semula tidak mengerti.
Dia menjelingku.
“ Alah… seseorang dengan awak berbalas mesej tersengih sendiri tu..” usiknya tanpa selindung.
Aku ketawa mendengar ucapannya itu.
“ ni husband I lah..” balasku dengan bahagia kerana bagiku, tidak perlu aku berahsia padanya tentang statusku kepada Amiraa kerana aku yakin, dia seorang yang baik dan boleh dipercayai.
Dia mengajak aku menuju ke Kafe untuk menikmati minum pagi meskipun sudah lewat waktu ke angka 11 pagi. Pagi itu, aku mengenakan baju sejuk yang sangat tebal memandangkan salji turun meskipun tidak lebat. Cuaca sangat sejuk dan kalau aku terlalu lama berada di luar, mungkin aku akan terasa menggigil kedinginan.
“ I ingat awak ni belum kahwin…” sambung Amiraa lagi setelah kami kembali duduk pada meja yang telah kami pilih awal sebelum kami mengambil menu yang sudah disediakan. Dia menghulurkan minuman coklet panas kepadaku dan aku menyambut dengan senyuman. Aku menyimpan telefon bimbitku ke dalam beg kuliahku yang sederhana besar setelah menghantar pesanan kepada suamiku itu tentang aktivitiku yang sedang ingin menikmati juadah.
“ Kenapa boleh macam tu?” soalku padanya sambil mengunyah sandwich.
Amiraa melepas tawa kecil.
“ Lagak tu macam orang bercinta. Tersengih memanjang…” perlinya nakal seraya tertawa.
Aku tersenyum malu.
“ Dan… insya Allah.. 5 bulan lagi, i jadi mummy..” sambungku lagi dengan gembira.
Mata Amiraa bersinar. Mungkin dia terkejut dengan berita yang aku sampaikan.
“Wah.. tahniah.. dah berapa lama awak berkahwin?”
Aku mengerutkan dahi cuba menghitung usia perkahwinan kami.
“ kalau tak silap, hampir dua tahun..”
“ Pilihan sendiri?”
Aku tersentak dengan pertanyaannya itu. Berubah keruh wajahku walaupun aku tahu Amiraa tidak salah menanyakan soalan itu.
Aku menggeleng perlahan.
“ Mesti ada kisah menarikkan?” soalnya lagi, kali ini nadanya perlahan. Mungkin dia perasan dengan perubahan pada wajahku itu.
Aku menggaris senyuman kelat.
“ sangat menarik..” balasku lantas tertawa.
“ tak nak cerita?”
Aku menggeleng. Sengaja mengusiknya. Kulihat Amiraa yang ada di depanku ini mula menarik muka.
“ buruklah rupa awak tu…” usikku, sengaja mengundang ceria. Kafe itu sesekali riuh dengan gelak tawa kami.
“ I putus tunang sebelum I kahwin dengan Dhani..” aku mula bercerita. Dalam suara yang tertahan. Aku tidak tahu kenapa aku senang sekali bercerita kisahku kepada Amiraa. Mungkin kerana dia nampak mesra dan peramah itu kali. Mukadimah yang aku sampaikan itu membuatkan pandangan Amiraa tidak lepas memandangku. Aku sengaja melewat-lewatkan masa sambil menghirup coklet panas. Sengaja mengusik ketekunannya mendengar ceritaku.
“ Dah tu?” soalnya penuh minat dan tidak sabar.
Aku tertawa kecil melihat responnya.
“ Abah kahwinkan kami…”
Aku dan Amiraa tiba-tiba diam.
Bertukar hening suasana seketika.
Mungkin kerana nada suaraku yang tadinya ceria berkongsi cerita berubah nada.
“ tapi sekarang awak bahagiakan?” soal Amiraa bersahaja.
Aku menggaris senyuman ikhlas.
“ Sangat bahagia..” balasku membetulkan sedikit ayat pertanyaannya.
“Syukur…”
Aku mengangguk.
“ Dia sangat baik.. lebih baik dari bekas tunangan saya..” balasku lagi penuh perasaan.
Amiraa tertawa kecil.
“ bestnya dapat husband macam tu…”
Aku mengangguk lagi. Dalam seronoknya kami bersembang-sembang tentang hal peribadi itu, aku merasa seperti ada sepasang mata sedang memerhatikan kami. Aku cuba untuk tidak peduli. Mungkin ia hanya perasaanku saja. Mungkin jua pelajar senior yang tertarik pada kawan baruku ini.
Bukankah Amiraa ini cantik?
Ya mungkin saja!
“ Awak macamana?”
Amiraa sekadar mengangkat bahu.
“ Aik.. kenapa tu?” soalku ingin tahu. Amiraa nampak macam malas bercerita.
“ biasa sajalah..” balasnya.
Aku ketawa.
“ kenapa?”
“ tunggu si dia masuk meminang lagi…”
Aku mengangguk-angguk.
“ ibu pesan lepas habis belajar nil ah..” sambungnya seakan tidak suka pada hasrat ibunya yang mahukan dia habis belajar dulu dan baru melangsungkan perkahwinan. Kata Amiraa, mereka sudah lama berkawan dan bercinta. Sudah mencecah empat tahun. Hendak bertunang, dia takut pada dugaan. Sedikit sebanyak ceritanya menghentam hatiku dengan memori-memori kenangan lama yang menyakitkan meskipun aku sedar dia bukan berniat begitu.
“ Tak apalah.. lagipun, tinggal beberapa bulan lagi..” pujukku.
Dia mengangguk.
anyway.. suami you kerja apa?”
driver..” balasku bersahaja.
Amiraa memandangku bagaikan tidak percaya. Melihat wajahnya begitu nampak comel. Teserlah lesung pipit kirinya. Aku melepaskan tawa.
driver di langit biru..” sambungku lagi, masih berkias dengannya.
Kulihat dia terlopong.
“ wah.. pilot eh?” soalnya lagi dengan teruja.
Aku mengangguk.
“ mesti handsome..” sambungnya dan tertawa kemudian. Nakal saja bunyinya mengusikku.
“ pandai abah awak pilih..”
Aku tersengih.
“ selalulah kena tinggal?”
Aku mengangguk. “ sudah terlalu biasa…”
Amiraa tersenyum.
“ kenapa awak putus tunang dulu eh?”
Soalan cepu emasnya tidak terduga. Aku menelan liur berkali-kali sebelum nekad membuka cerita lama. Tidak salah aku berkongsi dengan Amiraa.
“ dia… khianati cinta saya..” balasku dengan suara tertahan. Entah kenapa, hatiku masih terasa calarnya dengan kenyataan itu. Mungkin kerana aku pernah terlalu cinta atau mungkin kerana hatiku masih belum memaafkan ‘dia’ atas kesalahan lalu.
Amiraa kupandang terdiam.
“ Lama kami bercinta Miraa.. tapi, tak sangkakan.. lama pun hati seseorang boleh berubah…” sambungku lagi meskipun aku tiada niat untuk menakutkannya.
“ hmm.. saya tak nak komen lanjut. Terpulanglah pada kekuatan cinta seseorang..”
Aku membalas pandangannya.
“ Saya tak ada niat nak lukakan hati awak eh kalau awak terasa..”
Amiraa mengangguk.
“ Saya fahamlah Mai..” balasnya sambil ketawa.
Aku tersenyum.
“ Mai..”
“ Ya?”
“ Kalau ditakdirkan awak bertemu semula dengan bekas tunangan awak tu dan tiba-tiba dia inginkan berbicara hati ke hati, awak nak buat apa?” soal Amiraa terlalu berterus-terang.
Aku masih berkira-kira mencari jawapan yang sesuai.
“ hmmm.. mungkin, I akan lari..” balasku lantas ketawa. Sayangnya, tawaku tidak bersambut. Tingkahnya itu, membuat aku tertanya-tanya.
“ kenapa?”
“ eh Mai.. awak perasan tak.. macam ada orang asyik pandang kitalah..” luah Amiraa yang awalnya kusangka tidak perasan dengan situasi itu.
Aku mengangguk, tidak menafikan.
“mungkin sebab minat awak tak?” usikku.
Dia menggeleng pula. Menyahut usikkanku dengan serius.
“ mata dia, tidak lari pandang awak..” sambung Amiraa sedikit beremosi. Dia berkata sambil mengisyaratkanku untuk menoleh insan di sisi yang sebenarnya sedari tadi aku sedar mencuri-curi pandang kepada kami.
Aku menggeleng untuk menolak tidak memandang. Berkali-kali Amiraa memaksa.
“ dia minat awak tu..” balasku lagi, kali ini bernada perlahan kerana bimbang didengar oleh si pemandang misteri itu. Yang pasti, dia berbangsa melayu. Amiraa yang menguatkan kenyataan itu.
“ Pandanglah..” paksanya lagi.
Aku menggeleng.
“ eish.. kasi dia diam punya..” balas Miraa menghasut. Katanya, usik sekali.
Aku hampir ketawa dengan idea gila-gilanya itu. Mahu tak mahu, dengan tiada pilihan aku menyahut idea itu. Lagipun, sekali-sekala menjadi nakal, apas salahnya.
Pantas aku menoleh, insan yang berani memandang curi pada isteri orang dan bakal tunangan orang ini.
Lantas, mataku dan mata dia berlaga. Bukan kerana aku berniat mahu berbalas pandangan namun sayang, senyuman yang sengaja kuukir pada si jejaka itu tiba-tiba mati begitu saja. Tanpaku pinta, tanpaku duga. Walaupun aku tahu aku berada di Negara asing yang sangat jauh dari bumi tercintaku.
Kenapa sekali lagi begini?
Hatiku diketuk perasaan lain.
Yang terusik hatiku.
Yang terdiam aku dan yang terkesan itu diriku.
Fahrin?

Selasa, 17 Julai 2012

Bab 33 O.R.K.I.D (Ombak rindu kita indah desirannya)


Bab 33
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Aku mengeringkan rambut yang basah selepas lama aku bersiram di bilik mandi. Seronok benar seharianku bersama Dhani. Mujurlah dengan mandi, aku boleh mengurangkan sedikit lelahku. Mungkin kerana terlalu banyak menghabiskan masa di luar. Setakat ini, kelibat Dhani masih belum muncul-muncul ke bilik. Mungkin dia sedang menghabiskan sisa-sisa waktu di ruang tamu hadapan. Kalauku tidak salah menghitung, esok atau lusa dia akan balik meninggalkanku.
          Ah… pasti hari-harikukan jadi sunyi.
          “ Yang..” sapa Dhani dari muka pintu.
          Aku yang sedari tadi sibuk mengenangkan dirinya di depan cermin mula berpaling memandang suamiku itu.
          “ Ya?” soalku.
          “ Abang ada special for you di luar. Cepat sikit bersiap.. okay..” pesannya sebelum menutup kembali daun pintu.
          Aku menggeleng-geleng perlahan.
          Suamiku ini, ada-ada saja!
          Sungguhpun begitu, hatiku bagai digaru-garu untuk tahu apa yang disediakannya di luar. Pantas, aku mencapai sikat dan merapikan rambutku yang hanya separas bahu itu. Kemudian aku perlahan-lahan menuju ke pintu dan bilik untuk mendapatkan suamiku itu.
          Aneh.. kenapa gelap?
          Kulihat hanya garisan anak panah ‘glowing in dark’ yang ada diletakkan di lantai. Susunannya seperti sedang menunjukkan ke arah sesuatu.
          “ Abang?” panggilku perlahan.
Bimbang juga hatiku menanti responnya namun hampa. Dhani tidak bersuara. Aku yakin, dia pasti sedang tertawa nakal menantiku di satu sudut kerana dia sememangnya tahu aku amat takut berada di dalam gelap sendirian.
          “ Janganlah buli Sara macam ni..” sambungku lagi meraih simpatinya.
          Yang kudengar, dia tertawa!
          “ Alah.. ikut arrow  tu…” balasnya dalam sisa tawa nakalnya. Mahu tak mahu, aku mengikut saja arahannya sehinggalah aku ternampak dia sedang berdiri di hadapan jendela yang betul-betul menghadap pemandang pada menara Eiffel.
          Hatiku tersentuh!
          Di hadapanku ada sebuah meja kecil separas lutut sahaja dan Dhani tersenyum menantiku di situ. Di atasnya ada terpasang beberapa batang lilin bersama sekuntum mawar putih. Ada sepiring kek coklet dan segelas susu juga di situ.
          Dhani…
          Aku menghampiri suamiku itu perlahan-lahan mengikut arah cahaya yang suram dengan perasaan bercampur-baur. Sesungguhnya, aku memang tersentuh dengan perbuatan Dhani ini. Bersama senyuman, dia menghulurkan tangannya kepadaku. Tapi, aku tidak menyambut malahan aku memeluknya pula. Dengan perasaan kasih dan sayang yang tiada tara.
          “ Thank you..” bisikku dalam pelukan.
          Dhani yang pada awalnya terpinga-pinga dengan reaksiku terus saja membalas pelukan.
          “ You deserve..” balasnya bersahaja seraya menarik tanganku untuk duduk di situ berhadapan dengan meja kecil itu. Di hadapanku ada sepotong kek coklet yang sentiasa menjadi kegemaranku itu. Tanpa menunggu arahannya, aku pantas mencapai garpu dan mencuitnya dan menikmati kelazatan coklet cair yang dingin itu di hadapan pemandangan menara Eiffel yang dilimpahi berbagai neon itu.
          Suasana yang sempoi dan ringkas itu terasa romantik. Meskipun dingin dengan udara yang dihembus penghawa dingin namun aku tetap merasa hangat dalam ruang kasihnya.
          Dhani merangkul bahuku.
          Aku tertawa manja. Bahagia benar di sisinya.
          “ Happy?” soalnya.
          Aku mengangguk.
          “ very much..” balasku sambil terus menyuap coklet itu. Dhani kemudian menyuakanku segelas susu dingin.
Aku menyambut dan menghirupnya dengan gembira.
          Habis menikmati hidangan kasihnya, aku melentokkan kepala ke bahu kanannya. Bagai terus terhidu-hidu wangian Dhani yang selalu menjadi igauanku kala aku jauh darinya. Kami berdua menyaksikan pemandangan indah di hadapan kami tanpa suara. Yang terdengar hanyalah degupan hatiku dan hatinya.
          Lama kami dalam keadaan begitu sebelum rintik-rintik salju putih menarik perhatianku dan membuatkan aku bersuara.
          “ Wah… its snowing…” ucapku perlahan bagai tidak percaya dengan apa yang kulihat.
          Kucupan Dhani tanpaku duga singgah ke pipi kiriku. Aku menjelingnya manja.
          “ Abang ni..” tegurku seraya memukul manja bahunya.
          Dhani ketawa bersahaja.
          “ Comel sangat sayang abang ni..” usiknya.
          Aku mencebik.
          “ Yang…” panggil Dhani mengusik konsentrasiku yang asyik melihat rintik-rintik salju dingin itu.
          Aku menggumam.
          Dia menyentuh daguku. Dia ingin aku bertentangan wajah dengannya yang nampak tenang selalu itu. Anak matanya, menjadi sasaran pandanganku. Bersinar cinta yang terlalu dan subur menjadi. Di balik suramnya cahaya malam diterangi lilin itu menjadi saksi renungan matanya dan mataku.
          “ I’m gonna leave you…” dia bersuara tenang.
          Aku mengetap bibir, tersentuh dengan ungkapan itu. Aku bukan tidak tahu akan hal itu tetapi aku tidak mahu mengingat kenyataan itu kerana dia perlu kembali bertugas di awan biru.
          Aku menunduk.
          “ I leave you with my love, don’t worry…” sambungnya namun aku masih tidak berkutik, tidak membalas ungkapannya. Aku tenggelam dalam suasana yang tiba-tiba saja menyentuh hatiku itu.
          “ Abang akan selalu rindu Sara.. Abang akan selalu sayang Sara dan anak kita…” bisiknya sambil menyentuh perutku yang masih belum nampak benar perubahannya walaupun figuraku berubah sudah.
          Aku tanpa menduga menitiskan airmata. Aku merasa syahdu tiba-tiba. Bukan kerana dia akan pergi jauh padaku tetapi kerana cintanya benar-benar membara padaku. Sesungguhnya, perwira abah ini sangat menyayangiku. Aku benar-benar rasa bertuah menjadi isterinya.
          Ya TUHAN.. jalan KAU beri, sungguh aku bahagia!
          “ Sara janji dengan abang eh..” pintanya yang tiba-tiba mengusap airmataku.
          Aku mengangguk meskipun aku belum tahu janji apa yang ingin dia aku kotakan.
          “ Sara jaga diri.. Jaga anak kita.. Jaga sayang Sara dan jaga cinta kita…” bisiknya mendatar.
          Aku tidak terbendung rasa sedih dengan pesanannya itu. Butir bicaranya, seakan ingin pergi jauh dan tidak ingin kembali padaku. Seharusnya, Dhani tidak menyentuh soal hatiku ke dasar yang paling dalam. Seharusnya, Dhani tidak menitip pesanan yang menggusar benteng hatiku.
Seharusnya Dhani tidak begitu!
Aku memeluk erat suamiku itu. Seakan-akan terasa membara sama cinta di hatiku ini untuknya.
“ Sara tak akan berpaling dari abang. Sara dah jatuh sayang pada abang. Sara dah jatuh cinta pada abang. Sara dah pertaruhkan baik buruk hidup Sara pada abang.. Sara tak akan sia-siakan ikatan kita. Sara tidak akan tinggalkan abang. Sara tidak akan lukakan hati abang..” luahku dengan penuh perasaan dalam pelukannya bersama linangan airmata.
Aku tidak hirau lagi perlu berahsia dengan isi hatiku padanya. Dhani memang layak tahu segala apa yang tersirat di dadaku ini.
“ Walau abang tak minta Sara janji, Sara tetap akan setia…” sambungku sambil merenung ke dalam anak matanya yang sarat cinta buatku. Aku yang merasakannya dan aku tahu cinta di matanya itu buatku.
Hanya aku dan anakku!
Dhani mengorak senyuman. Tersentuh jauh ke sudut hatiku yang paling jauh. Dia mengucup ubun-ubunku dengan penuh kasih.
“ I love you Sara.. and will always love you sampai bila-bila…”
Suara Dhani yang bernada rintihan, sekali lagi mengguris sekeping hati.