BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 29 April 2011

Epilog-perwiraku

Epilog
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Sebulan telah berlalu..

        Dewan utama, pusat latihan itu semakin dikunjungi para pegawai. Aku sedar aku sudah terlewat menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun penubuhan pusat latihan itu. Ini semua gara-gara kak Leeya yang sibuk mendandan aku. Yang aku tahu, malam ini ada pertandingan pakaian berfesyen. Dengar khabar juga, ada tari-menari.
Ah.. mungkin bagi yang berpasangan!
Aku sudah terpacak di depan dewan pintu utama. Aku menjadi segan bila pandangan mata tetamu dan para pegawai yang lain singgah padaku.
Aku tersenyum kelat. Sesungguhnya, aku tidak selesa dengan penampilan ini. Kak Leeya yang benar-benar inginkan aku begini. Sehelai gaun labuh berwarna hijau lembut kusarung ke tubuhku. Gaun ini belian Kak Leeya sendiri. Segala solekan di wajahku jua, dia yang meriaskan.
Aku tidak lama termangu di situ kerana ada tangan yang dihulurkan kepadaku. Antara mahu dan tidak dan demi menjaga air mukanya, aku menyambut.
Pastinya dia, bekas tunanganku.
Matanya tidak lepas memandangku. Dia menggenggam erat tanganku lagi. Sebenarnya, sejak peristiwa aku menolak untuk menjadi isterinya itu, aku dan dia sudah tidak bertegur sapa lagi. Tambahan lagi, aku sudah dipindah ke bahagian pejabat dan bukan bahagian unit Gerakan Khas.
Dan hari ini, dia kembali mendekatiku. Aku akui, dia juga semakin segak dengan penampilan kasual begitu. Aku hampir lupa, dia itu mempesonaku.
Dia mengajakku menuju ke lantai tari. Irama sudah berkumandang, bersama lagu Celion Dion.
Because you loved me.
Dia menyimpan kemas tangannya di pinggangku. Berdebar-debar dalam hatiku, sama seperti saat sang hati hangat mencintai dia. Panahan matanya menusuk jauh ke dalam anak mataku. Hampir tewasku dengan renungan itu.
Dia masih enggan bersuara berkata sesuatu sedangkan hatiku meronta-ronta ingin mendengar dia bersuara. Aku memang enggan memulakannya kerana aku ingin menguji kesungguhan hatiku.
Langkah sama dihayun, aku hanyut dengan irama dan panahan mata yang masih kurasakan bersinar cinta.
Untuk akukah sinar di mata itu?
“Pengumuman-pengumuman..”
Aku menolak tangan Edry untuk memberikan perhatian kepada pengumuman yang akan dibuat.
Edry sempat menghadiahkan senyuman tampannya sebelum aku terasa malu dengan senyuman itu.
“ Khas ditujukan kepada Inspektor Aleeya Hanim..”
Aku tersentak.
Kenapa ada pengumuman untukku pulak? Berdebar-debarku menanti. Aku mengerling insan di sebelahku, tapi dia berwajah selamba.
Aku melihat yang ingin membuat pengumuman itu  Ravi dan ah Sean.
“ Puan, Tuan Edry suruh sampaikan. Puan nak tak jadi isteri dia?”
Aku terkejut dengan khabar yang disampaikan oleh Ravi itu. Seisi dewan pastinya mendengar pengumuman itu. Aku terasa malu benar dengan keadaan itu.
Aku menoleh pada Edry yang bersahaja lagaknya. Seperti tidak bersalah saja, dia hanya menggaru-garu kepala. Sedangkan, saat ini, semua mata menanti aku memberikan jawapan.
Walid, ummi.. tolonglah adik saat ini.
Aku terus memandang Edry bersama rasa yang sendiri aku tidak tahu. Bibirku ketap dengan kuat kerana kelu untuk memberi jawapan.
“Puan, jawablah..” ah sean menyampuk, bersuara melalui mikrofon yang membolehkan semua tahu maksud Edry itu.
Edry tiba-tiba saja menarik kedua belah tanganku. Seisi dewan menanti apa yang dia ingin lakukan, termasuk jua aku.
Dia melutut di hadapanku.
Aku menjadi segan.
Ah sean pula bergegas menghampiri kami dan menyerahkan mikrofon kepada Edry.
Aku semakin berdebar-debar jadinya.
“ Well..”
Kata-katanya mati di situ. Aku semakin penasaran.
Dia sempat berdehem lagi.
“ Awak pernah kata, saya adalah perwira awak…”
Semua masih menanti.
“ Kali ini, boleh tak saya jadi perwira awak dalam erti kata yang sebenar? Perwira awak dan perwira untuk anak-anak kita?”
Aku terpana dengan kata-katanya. Tidak mampuku menjawab saat itu kerana aku sungguh terharu dengan ucapan itu. Seisi dewan bersorak dengan keberanian Edry yang melamar aku di hadapan semua pegawai itu.
Dia bangkit dari berlutut dan menyeluk sesuatu dari koceknya. Dia mengeluarkan kotak cincin lagi di tapak tangannya.
“ Ni cincin baru, okey..” dia berkata, dalam nada usikan. Aku termalu sendiri kerana teringat dengan cincin tanda yang pernah aku kembalikan kepadanya.
Dia menyarungkan cincin itu, di hadapan semua orang bersama janjinya untuk menjagaku.
“ Dah penat saya tunggu hilang rajuk awak, kita kahwin saja minggu depan ya..” pintanya dengan manja-manja yang membuatkan geram dengan lagaknya itu.
Aku memukul manja bahunya bila orang ramai sudah bertepuk tangan lagi, bersorak untuk kami. Apabila irama sudah kembali dimainkan, perhatian mereka beralih untuk meneruskan majlis makan malam itu.
Saat itu sempat dirakamkan dan kini menjadi gambar kesayanganku. Peristiwa itu, menjadi kenangan yang paling indah, hingga ke hari ini.
“ Abang akan selalu sayang awak..” Edry bersuara, berbisik di sisiku.
Dia kini menjadi suamiku. Perwira dalam hidupku, perwira untuk anak-anak kami dan perwira jua dihatiku.

Sekian.

bab 30-perwiraku

Bab 30
“Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

        Aku membuka mata setelah sedar dari lena yang panjang. Aku memerhati keadaan sekeliling yang nyatanya terlalu asing bagiku.
Aah.. aku memegang perutku yang terasa sakit, mencucuk-cucuk bisanya. Kini sudah dibalut dan aku tahu, pasti sudah dijahit kerana terasa kasar saja.
“ Hanim..” satu suara menyapaku di balik sudut yang gelap. Aku ternampak bayangan susuk tubuh tidak jauh dari situ. Kuperhatikan, dia menghampiriku.
Ah, Edry!
Aku mengetap bibir.
“ Operasi lancar?” soalku.
Edry mengangguk.
“ Semua okey?” sambungku.
Edry mengangguk lagi.
“Tapi tidak hati saya..”
Aku terdiam mendengar luahan itu. Dia menghampiriku dan meraih kedua belah tanganku. Aku menahan rasa sakit kerana merasakan pergerakan mengejut darinya.
“ Saya hampir kehilangan awak..” dia bersuara sayu.
Aku menunduk. Membiarkan saja dia meneruskan kata. Merelakan dia meluahkan segala yang dipendamnya.
“ walid dan ummi datang sini?” tanyaku, cuba mengalih topik yang ingin disampaikannya.
Edry mempamer wajah minta dibelas. Aku rasa bersalah dengan raut itu. Meskipun operasi pertamaku gagal namun sindiket itu berjaya ditumpaskan dan aku mendapat berita, walid tidak lagi membenarkan aku bertugas di bahagian unit Gerakan Khas itu. Walid berpesan kata Edry, jika aku masih mahu berkhidmat sebagai pegawai polis, aku hanya akan di tempatkan di pejabat saja.
“ Tak nak tanya pasal hati saya?” Edry bersuara lagi.
Aku menarik tanganku. Aku memejam mata dan berbaring membelakanginya.
Aku mendengar dia melepaskan keluhan berat.
“ Saya tahu awak masih sayang saya..”
Aku mengetap bibir. Menahan rasa sayu yang sudah singgah di hati.
Memang aku sayang padanya dan akan selalu sayang padanya.
Dia memegang bahu kiriku tapi aku enggan berpaling.
“ Sayakan perwira awak..” dia cuba menceriakan suasana meskipun nampak canggung.
Aku menyembunyikan senyum meskipun aku tercuit dengan katanya itu.
“ Walid akan terima rombongan lagi minggu depan..” dia mengkhabarkan satu berita lagi kepadaku.
Aku pantas menolehnya.
Aku mengaduh sakit akibat tindakanku yang terburu-buru itu.
“ Hati-hatilah..” dia bersuara tegang sambil membantuku untuk bersandar.
Aku sempat menjelingnya.
“ Walid nak kahwinkan kita..”
Aku tidak menjawab. Kalau walid sendiri yang sudah menentukan semuanya, aku tidak ada kuasa lain untuk membantah apatah lagi menolak keputusan walid.
“ Ini bukan sebab awak paksa walid?” soalku serius.
Wajah Edry berubah.
“ Saya sakit macam ini, awak tak ambil kesempatan pujuk walid untuk kahwini saya?” sambungku lagi walaupun aku tahu soalanku itu keterlaluan benar dan sesiapa saja yang mendengar akan merasa sakit hati.
“ Hanim.. saya penat. Penat dengan kedegilan awak..” Edry bersuara dan pantas dia meninggalkan aku sendiri di bilik itu.
Aku memejam mata setelah mengeluh. Aku tahu Edry tidak serius dengan hal perkahwinan ini. Aku tidak mahu dia memilihku sekadar tanggungjawab seperti yang pernah dijanjikannya kepada walid sewaktu mengikat tali pertunangan dulu.
Biarlah.. ada waktunya cinta itu akan terus tinggal sepi.

Bab 29-perwiraku

Bab 29
“Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

Kami satu pasukan sudah tiba di lokasi sasaran. Sebuah bangunan lama yang terbengkalai pembinaannya menjadi pusat sindiket penjualan anak yang dilakukan secara haram. Dari luar, mungkin orang ramai tidak akan perasan dengan kawasan ini. Setelah beberapa kali membuat rondaan sekeliling kawasan bangunan, Edry mengarahkan Kamarul dan E’ish mengawasi kawasan tengah manakala Ravi dan Ah sean di kawasan belakang bangunan.
Memang sebelumnya kami sudah diberikan penerangan dan perancangan dengan teliti. Besar harapanku pada operasi yang kali pertama aku turut ini akan berjaya. Kami semua dibekalkan dengan pistol sekiranya berlaku aksi tembak menembak kecuali padaku.
“ Saya akan memberi arahan untuk membuat serbuan apabila saya menekan punat pager pada Sarjan Kamarul!” Edry memberi arahan dengan tegas.
“Baik tuan!” mereka menjawab serentak.
Edry menarik tangan kananku untuk membawaku menaiki bangunan itu. Pada awalnya, memang seram dan berdebar juga kerana aku amat takut operasi penyamaran ini akan gagal.
Setibanya di tingkat yang dimaksudkan, aku dan Edry dipelawa masuk ke dalam sebuah ruang. Cantik sekali perhiasannya bila dibandingkan dengan luar bangunan. Nyata sekali mereka juga memerlukan keselesaan.
“Tunggu giliran ya..” pesan seorang wanita yang berpakaian seksi kepada kami. Penampilannya saja menjelekkan pandanganku dan menyakitkan hati. Suaranya saja dibuat-buat manja dan kedengaran seksi.
Aku mengerling Edry di sebelahku. Dia membalas pandanganku dengan sengihan.
“ Suka lah tu!” ejekku seraya menjelingnya.
Dia ketawa nakal mendengar ejekanku itu.
“ Jeles..” balasnya bersahaja.
Aku mengetap bibir menahan rasa geram. Bukan aku tidak melihat bagaimana reaksinya sewaktu wanita itu berkata di hadapan kami. Sama ada dia memang bersikap begitu atau sengaja membakar api cemburuku, itu aku kurang pasti. Yang aku yakin, aku sakit hati dengan tingkahnya.
Aku memerhati kawasan sekeliling. Masih ada dua buah keluarga  lagi yang masih menunggu giliran untuk bertemu dengan pengurusan pengambilan anak itu dan seperti yang sudah dilaporkan, pengurus itulah merupakan ketua sindiket jenayah ini.
“ Dah berapa lama kahwin?” soal seseorang yang duduk bersebelah dengan Edry. Penampilannya seperti orang berada sahaja. Barangkali, aku tidak salah menilai.
Edry memandangku sekilas. Terasa panas wajahku dengan renungan yang kelihatan nakal itu.
“ Baru..” bohong Edry.
Berdosalah kami…
“ Semangat nak dapat anak?” balasnya.
Edry mengangguk.
“ Usia muda lagi, ada harapanlah..” sambung lelaki itu sambil ketawa.
Edry tersengih nakal apabila dia menoleh kepadaku.
“ Mengada-ngada!” marahku dengan suara yang perlahan.
Dia sekadar mengenyitkan matanya kepadaku yang semakin membuat aku semakin geram dengan usikannya itu. Nyata sangat dia senang dengan keadaan ini.
“ Cantik isteri..” lelaki itu bersuara lagi, kali ini pandangannya nampak miang saja singgah di mataku. Senyuman itu membuatkan aku meluat.
Edry pula bagaikan mengerti dengan maksud lelaki itu dengan selamba menyilang tangannya ke bahuku. Dia tersenyum bangga di sebelahku.
“ Bukan senang nak dapat..” Edry menyahut dengan berani.
Aku tersentak dengan jawapan bersahajanya itu. Pandailah dia membalas!
“ Encik Khairee dan Puan Aleeya..” nama kami berdua dipanggil dari dalam oleh wanita tadi. Aku dan Edry segera bangkit dari tempat kami duduk, meninggalkan lelaki yang galak itu dan terus masuk ke bilik pengurus itu.
Aku meneliti bahagian bilik itu. Banyak sekali senjata yang dipamerkan di dalam sebuah kabinet tidak jauh dari meja itu. Di atas meja pula ada sebilah pisau yang masih berkilat dan tajam.
Aku menelan liur.
“ Untuk perhiasan saja..” pengurus lelaki yang bernama Ryan itu bersuara seperti mengerti apa yang ada difikiranku saat itu.
Dia mempelawa kami duduk dan menyerahkan kepada kami sebuah fail berisi banyak gambar kanak-kanak yang masih lagi boleh dipilih untuk diambil menjadi anak angkat. Ada yang masih bayi lagi, ada yang mukanya merah kerana berkulit putih dan ada juga yang kembar.
“ Yang nak yang mana?” Edry bersuara di sebelahku seolah-olah dia adalah suamiku yang penyayang.
Aku sempat menjelingnya kerana terasa amat janggal dia memanggilku begitu. Meskipun itu hanyalah sebahagian daripada tugas tapi frasa itu membuai hatiku yang pernah luka ini.
Namun saat itu, aku merasa hairan kerana pengurus di hadapan kami itu seperti sekejap-sekejap dahinya berkerut seolah mencuba mengingat sesuatu. Sekejap wajahnya tenang, sekejap wajahnya berkerut lagi. Entah, apalah yang difikirkannya.
Aku sempat memandang Edry menekan punat pager seperti yang telah dikhabarkannya.
Satu hentakkan pintu kedengaran dari luar.
“ Bos, polis!” khabar wanita seksi itu dengan cemas.
Aku dan Edry pantas berdiri dari situ. Tanpa sempatku keluar, satu tusukan pedih singgah ke perutku. Sakitnya teramat sangat dan aku sendiri hampir-hampir tidak dapat bertahan.
“ Memang dah agak, you all ini polis!” Ryan bersuara sambil tangannya memegang sebilah pisau yang sudah pun basah dengan darah.
Aku hanya mampu menekan-nekan perut yang sudah ditusuk itu dan rebah tidak jauh dari meja. Bayanganku semakin kelam, aku sempat melihat Ryan dan wanita itu digari oleh Kamarul dan Ravi sedang E’ish berusaha mendekatiku.
“Puan, okey tak ni? Boleh bertahan?” E’ish bersuara cemas.
Aku tidak mampu membalas, hanya mengetap bibir dan menekan-nekan perutku yang sudah banyak mengeluarkan darah. Dalam menahan rasa itu, aku sempat melihat Edry membelasah Ryan dengan teruk, sempat dia menyumpah-nyumpah Ryan dengan suara yang antaraku dengar dengan tidak.
Aku memejam mata, tidak mampu menanggung derita. Aku terasa ada tangan menarik aku ke dalam pangkuannya.
“ Hanim, bertahanlah.. demi saya.. demi keluarga yang akan kita bina..” suara itu cuba memberiku semangat. Tapi aku tidak mampu menjawab walaupun bergerak. Hilang segala daya dan tenagaku kerana kecederaan yang kualami. Semakin senak dan sakitnya mencucuk-cucuk.
“ Telefonlah ambulan cepat!” aku sempat mendengar Edry bersuara dengan marah kepada E’ish yang kulihat sudah mengalirkan airmata.
Aku menekan perut lagi. Cuba menutup kecederaan yang semakin banyak mengeluarkan cairan merah pekat itu.
“ Edry.. walau.. aa..paa pun terjadi.. cccuumaa aaawakk, perwiraa di hati..” aku bersuara dengan payah dan tersekat-sekat.
Aku terasa ada titisan yang jatuh ke pipiku. Namun pandanganku sudah berubah kelam.
Saat itu aku hanya berharap, walaupun kisah cintaku tidak kesampaian, biarlah TUHAN mengampunkan dosaku kepada walid dan ummi saja, tidak mengapa. 

Khamis, 28 April 2011

Bab 28-perwiraku

Bab 28
“ Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

        Aroma menu makan malam sudah menusuk rongga hidung. Aku bergegas menuruni anak tangga kerana aku perlu menghadiri tugas malam ini. Aku menyambut huluran pinggan dari ummi dan menyenduk segala menu yang ada. Bukan apa, lapar sangat!
“ Malam ini ada operasi?” walid memula bicara walaupun dia sudah memulakan suapan.
Aku mengangguk. Aku sekali lagi menyambut huluran air dari ummi. Raut wajahnya berlainan benar. Aku pasti ummi sedang menyembunyikan rasa.
“ Ummi ni kenapa?” tanyaku bersahaja.
Kulihat ummi sudah melabuhkan punggung di sebelah walid. Tergambar keresahan dan kebimbangan di wajah itu. Ummi masih lagi membisu.
“ Kak Leeya tak datang malam ini?” soalku lagi bila pertanyaanku yang pertama tidak bersambut.
“Walid rasa tak..” balas walid.
Aku mempercepatkan suapan. Habis saja, tanpa sisa aku membawa pingganku ke dapur. Aku mencuci tangan. Aku keluar semula dan mencapai gelas dan meneguk air.
“ Adik jalan dulu..” pintaku seraya mencium pipi ummi dan walid.
“ Hati-hati..” ummi berpesan yang nyatanay tadi diam kerana ummi bimbang akan keselamatanku.
“Insya Allah, ummi…”
Aku sempat melambai ummi dan walid sebelum melangkah pantas keluar rumah. Aku menghidupkan enjin kereta hadiah walid sempena tamat latihan bulan lalu.
Hyundai Tucson berwarna ungu.
Tak apa, janji ada kereta. Kalau hendak angan-angan pandu kereta BMW walid, alamat sejam dileter barulah berpeluang.
Suasanaku saat itu dikejutkan dengan nada deringan dari telefon bimbitku. Tertera nama E’ish.
“ Puan turun malam ini?” soal E’ish setelah memberi salam.
“ Ya..” balasku ringkas.
Aku mengenakan earphone handsfree untuk menjawab panggilannya itu. Aku sedar sebenarnya aku sudah terlewat. Tambahan lagi malam ini, aku dan Edry diarahkan untuk membuat misi penyamaran. Dalam perancangan, aku dan Edry akan menjadi suami isteri yang ingin menemui penjenayah yang menjual anak hasil penculikan itu. Kononnya kami ingin membuat permohonan malahan diberi peluang memilih anak mana yang ingin kami. Semuanya hasil bantuan informer Ravi dan Ah Sean.
“ So, jangan pakai baju ala polis cik Kak..” peringatnya sambil ketawa nakal.
Aku mendengus.
“ Yalah.. saya ingat..” balasku dalam nada merajuk.
Dia ketawa lagi bersama sisa tawa yang masih belum habis.
“ Baju kurung putih?” usiknya.
“ Hmm..”
Tekaan E’ish memang tepat. Aku memang suka memakai baju kurung putih yang berbunga kecil warna biru muda itu.
“ Mesti makin ayu..” usiknya.
Aku mengetap gigi.
“ Jumpa lepas ini!” aku memberinya peringatan lantas mematikan panggilan yang lebih kepada mengusik aku itu.
Aku sempat mendengar E’ish memanjangkan tawa yang membuat aku semakin tersenyum dalam pemanduan itu.

Bab 27-perwiraku

Bab 27
“Pengorbananmu bagai mengutip mutiara di tujuh lautan”

“ Malam ini turut operasi?” Edry bersuara di belakangku ketikaku leka membancuh minuman petang.
Aku mengangguk saja untuk menjawab pertanyaan itu.
“ Untuk saya tak ada?” tambahnya sambil menunjuk pada cawan yang kini sudah berada di tanganku.
Aku menggeleng.
“ Bancuh sendiri..” balasku bersahaja seraya duduk di mejaku. Aku berpura-pura meneliti fail laporan yang dihantar kepadaku sedang hati dan akalku tidak di situ. Keduanya resah kerana sepasang mata itu masih memandangku.
“Tak nak bancuh tak apa..” balasnya nakal seraya mengambil cawan yang sudah ada di tanganku. Tanpa lagak orang berdosa, dia selamba saja meneguk minumanku itu seolah-olah itu miliknya. Aku hanya mampu memendam rasa hati dengan sikapnya yang semakin mengada-ngada itu.
“Tak malu!” marahku.
Dia tersengih.
“ Bukan tak biasa..”
Aku menjeling. Dia menghulur cawan itu semula namun aku enggan menyambut.
“ Janganlah amalkan.. manalah tahu orang tu tak ikhlaskan..” balasku bila dia masih lagi tegak berdiri di hadapanku bersama cawan itu. Mahu tidak mahu aku mengambilnya jua tapi dengan jiwa memberontak.
“ Beritahu saya bagaimana caranya kita nak buktikan seseorang itu ikhlas?” soalnya pula semakin serius.
Aku mencebik. Malas rasanya hendak berbual dengannya.
“ Hanim, saya tanya ni..”
Aku mendengus.
“ Hal peribadi, kita cerita di luar. Sekarang kita bertugas, okey!” balasku sedikit kasar.
“Macamlah awak mahu kalau saya bawa berbincang..”
“ Dah tak ada yang hendak kita bincangkan. Kenapa kita hendak kusutkan lagi keadaan?” sambungku lagi, kali ini nadanya semakin bertambah kasar.
Adakah Edry tidak memahami maksudku itu?
Aku sudah penat untuk terus-terusan memperbaiki semuanya.
“ Hanim, senang sangatkah kita nak lupakan semuanya?”
Aku berpeluk tubuh, membalas tentangan matanya yang sudah berubah tajam.
“ Saya yang sepatutnya tanya awak soalan itu. Senangkah nak lupakan semuanya?” balasku.
Apakah Edry mengerti maksudku? Adakah dia sudah melupakan kisah lalunya?
Nyatanya, dia hanya diam. Tidak membalas.
Ah.. aku boleh saja membuat kesimpulan bahawa dia memang tidak mampu menghapuskan kenangan itu.
“ Awak nak saya lupakan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian dari hidup saya?” tanyanya bagai orang bodoh.
Aku mendengus kasar.
Aku bukan memintanya begitu. Aku Cuma mahukan dia ikhlas dengan hubungan yang pernah kami ikat dulu. Bukan atas dasar sesuatu yang mendorongnya untuk meneruskannya. Aku malas hendak memperdebatkan hal ini lagi. Bagiku segalanya sudah berakhir meskipun sekeping hatiku ini tidak menginginkannya. Lantaran itulah, aku memilih untuk beredar dari ruangan itu. Aku rasa lemas dengan keadaan itu.
“ Hanim!” panggil Edry, mematikan langkahku bila tanganku sudah ditarik. Dengan selamba dia menolak aku ke dinding dan menghalang jalanku dengan kedua belah tangannya.
Aku menelan liur.
Benar-benarku tidak menduga dia akan melakukan ini lagi padaku. Hangat deru nafasnya menyapa pipiku. Debar ini semakin meresahkan.
Aku takut, akan ada mata lagi memandang kami. Aku mengalihkan pandangan bila anak matanya cuba menikam anak mataku.
“ Sampai bila kita begini?” bisiknya di sisiku.
Aku menggigit bibir.
“ Kenapa hendak sembunyikan lagi keinginan hati?”
Aku menahan diri dari bersuara.
“ Kenapa nak seksa saya?”
Aku tidak menjawab.
“ Katakan Hanim, apa yang boleh saya lakukan untuk membuat awak kembali lagi kepada saya?” bisiknya lagi, kali ini separuh merayu dan sayu.
Aku menelan liur dengan payah. Pertanyaan demi pertanyaan itu merobek ketenangan hati dengan kuat. Hatiku diremuk sedih. Sedih lagi dengan kekalahan pada kata hati.
“ Saya pilih awak bukan kerana awak bayangan dia tetapi kerana hati ini memang memilih awak, Hanim..” dia bersuara lagi, bagai memujuk.
Airmataku pula sudah ada dihujung mata. Hanya menunggu saat-saat untuk menitis sahaja.
“ Berapa kali lagi awak ingin saya katakan?”
Tanpa sanggup menahan rasa sebak, di hadapannya aku menangis lagi. Aku benar-benar tewas dengan hatiku sendiri. Aku takut kehilangan tapi aku tidak mahu disayangi dengan bayang-bayang. Tahukah Edry maksudku menolaknya kali ini?
Dia memberanikan diri mengesat airmataku yang jatuh itu dengan perlahan. Dan aku hanya mampu menunduk.
“ Tolonglah saya.. jangan tambah luka..” aku merayunya seraya menolaknya untuk memberikan aku ruang pergi dari kancah kesedihan itu.
Dengan hati patah, aku memilih untuk meninggalkannya lagi. Saat itu, aku hanya mampu mendengar hela nafasnya yang berat.
Maaf Edry, tidak tahu kenapa hati ini keras sekali.