BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 24 Oktober 2015

BAB 29- SETIA PADA DIA

BAB 29
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Senja yang tadinya indah, beransur pulang. Bersilih ganti bersama malam. Keindahan dan keriuhan di kampong itu jelas terdengar dan dirasai terutama sekali rumah yang akan melangsungkan majlis ini. Ramai keluarga yang datang, ramai lagi jiran-jiran yang bertandang untuk memeriahkan malam berjaga-jaga sempena perkahwinan abang Azmi ini. Rumah memang meriah dan tidak sunyi dengan bunyi orang bersembang dan ditambah lagi dengan bunyi karoke sakan. Sejak datang tadi, belum aku bertemu dengan pengantin lelaki atau disebut namanya Abang Azizul. Mungkin dia dikurung di dalam bilik agaknya.
     “Kak Lisa, jomlah sini..” laung Khadijah di belakang rumah ketika aku baru saja menuruni anak tangga dari dapur. Menariknya lagi rumah Azmi ini, di belakang rumahnya sudah terbina sebuah teratak antik yang dihiasi sama dengan gaya eropah klasik. Memang berbakat benar keluarganya dalam bab hiasan rumah.
     Aku menghampiri Khadijah bersama tunangnya yang sedang sibuk mengacau minuman panas. Katanya, ibu yang memesan untuk menyediakan minuman panas sebanyak 3 warmer. Banyak benar bagiku walaupun majlis sebenar belum berlangsung lagi.
     “Abang Azmi mana ya, Ija?” soalku yang sudah mengambil senduk besar untuk membantu Khadijah menyediakan minuman untuk tetamu di malam itu. aku tertanya-tanya jadinya dengan kehilangan Azmi sejak senja tadi kerana belum aku ternampak kelibatnya.
     Tidak tahu penatkah dia atau lupakah sudah dia akan kewujudanku di sini? Aku bimbang tidak pandai membawa diri kalau terus-terusan ditinggalkannya sendirian. Bukannya aku ini jenis yang peramah dan boleh membawa orang sembarangan berbual melainkan mereka yang dulu mesra, barulah aku mencuba menyesuaikan diri.
     “Kalau Ija tak salah, abang Azmi masih di surau..” balasnya.
     Aku mengetap bibir.
     Itu pun Azmi susah nak maklumkan.
     “Kak Lisa dah makan?”
     Aku menggeleng bersama senyuman. Aku akui, aku memang lapar. Sebab itulah juga aku tercari-cari akan Azmi. Segan juga kalau aku memandai saja menumpang makan di sini. Khadijah kemudian bersuara untuk meminta aku membantunya menyediakan cawan di meja depan rumah. Aku beriringan dengannya sehinggalah aku terpandang Azmi dan kelompok anak muda bersamanya di halaman rumah. Menawan dia dengan gaya orang kampungnya yang sudah lengkap dengan topi hajinya. Kalau tidak kenal nakalnya bagaimana, rasa hendak bagi ruang stok lelaki macam ini dijadikan teman hidup.
     Aku menyimpan angan nakal.
     “Tu pun abang Azmi..” tunjuk Khadijah.
     Aku sebenarnya sudah perasan kedatangannya, cuma sengaja aku tidak berkata-kata seolah-olah tidak tahu dia sudah tiba. Nanti perasan habis Azmi kalau-kalau dia berfikir aku terlalu bergantung harap kepadanya.
     Tanpa kuduga, sudah berdiri di sebelahku rupanya dia!
     “ Sorry, jumpa kawan masa kecil dulu.. sembang lamalah di surau..” ucapnya membuka bicara seraya dia menemani sama aku yang berpura-pura seakan sibuk menyusun cawan di meja utama. Sebenarnya, sudah hampir siap kerana sepupu-sepupu Azmi dan emak-emak saudara serta jiran-jirannya yang sudah bertungkus-lumus dari awal tadi menyediakan. Riuh-rendah bunyi mereka. Pakej dengan dendangan karoke bagai sebelum suasana kembali sunyi sementara menunggu Isya’ tadi.
     “Yang, dah makan tadi?” bisiknya dekat.
     Mungkin kerana aku yang masih belum memberi respon. Khadijah di depanku sekadar tersengih-sengih. Menambah rasa geram pulak kepada Azmi yang kian galak menyakat.
     “Nak makan?” soalku semula.
     “Nak teman?”
     Aku hampir tergelak juga bilamana soalanku dijawabnya dengan soalan juga. Benci betul aku dengannya bilamana dia senang-senang saja mengubah moodku yang tadinya ingin melayan rajuk kerana ditinggalkan sendiri.
     “Jomlah. Ibu pesan tadi makanan untuk beh ibu dah sediakan di dapur..”ajakku pula.
     Dia tiba-tiba mengerutkan dahinya.
     Aku mengetap bibir.
     Aku ada tersilap cakap tak ni?
     “Ibu?”
     Aku mengangguk kemudian menepuk dahi. Aku lupa yang Azmi memanggil ibunya, mak. Bukannya ibu seperti yang aku gunakan.
     Aku tergelak kecil.
     “Tahu tak yang panggilan ibu tu untuk menantu mak, tau..”
     Aku menjeling.
     Dia mengajakku beriringan dengannya menaiki tangga rumah dan menuju ke dapur. Kami membasuh tangan dulu sebelum duduk ke meja makan. Aku menyendukkan nasi kosong ke dalam piring yang berwarna merah. Yang aku tahu, itulah piring kesayangan Azmi sejak kecil lagi. Ibunya yang bercerita kepadaku sewaktu aku hanya duduk menemani ibunya menyusun tart telur tadi.
     Comel Azmi, kan?
     “Kenapa sayang senyum?” soalnya tiba-tiba seraya dia menyambut huluran piringnya yang kusuakan kepadanya.
     Aku menyimpan senyum dan menggeleng-geleng. Teringat pesan abah untuk hormati rezeki lebih utama walaupun ada niat hendak usik-mengusik. Kemudian aku pula menyenduk nasi buatku dan lauk-pauk istimewa kegemaran Azmi kata ibunya. Azmi mengisyaratkan untuk menadah tangan sama sebelum kami memulakan makan. Setelah doa dibaca dan diaminkan, kami mulai menjamah makanan. Hanya sunyi dan sepi di meja makan kecuali suasana di halaman rumah yang sudah mula riuh dengan bunyi-bunyi.
     Mereka hendak mula berkaroke ni!
     Tidak sangka, tiba-tiba di muka pintu dapur ada lelaki memakai pakaian melayu berwarna putih. Dia sedikit terkejut melihat aku dan Azmi hanya berdua makan di dapur itu. kemudian dia menghampiri Azmi dan menepuk-nepuk bahunya.
     “Bila kau sampai, bro?”
     Azmi terbatuk-batuk dengan sergahan yang tiba-tiba itu. mungkin dia tidak perasan akan kehadiran lelaki itu. segera aku menghulurkan kepadanya air kosong untuk membantu dia redakan sedakannya.
     “ Bang Aji ni..”
     Oh, inilah agaknya Abang Azizul.
     “Tadi dah, petang lah jugak..”sambung Azmi kemudiannya setelah reda dengan batuk kecilnya.
     Abang Azizul menarik kerusi dan duduk di sebelah Azmi. Azmi mengisyaratkan aku untuk menuangkan segelas air lagi untuk diberikan kepada Abang Azizul. Dia menyambut dengan senyuman.
     “Makanlah..”
     Aku mengangguk saja.
Segan pun ada kerana aku takut jadi perhatian pula.
     “Ni Mukhleesa yang kau ceritakan dulu, Mi?” soal abang Azizul dengan tidak diduga.
     Aku berhenti mengunyah dan menunggu jawapan Azmi. Sengaja aku memandangnya, menanti dia menjawabnya. Namun, tanpa suara Azmi hanya mengangguk.
     Kenapa ya keluarga Azmi rata-rata memanggil aku dengan Mukhleesa dan seolah-olah aku memang sudah dikenali di dalam kelompok keluarganya?
     Aku mempercepatkan makan kerana tidak selesa dengan tiba-tiba. Kebetulan juga Azmi menyudahkan makan malamnya. Aku secara suka rela mengemas bekas kami makan dan hanya mengisyaratkan dia duduk bersama abangnya. Mungkin juga abangnya ada banyak yang ingin dikongsikannya bersama Azmi kerana yang aku tahu Azmi sangat jarang balik berjumpa keluarganya. Lagipun bukannya banyak benar hendak dikemas dan tambahan lagi aku hanya perlu menyimpan ke dalam sinki saja kerana ada pembantu rumahnya yang akan membersihkan dan mengemaskan. Seronok betul kerana di rumahnya sampai ada 3 orang pembantu rumah. Mungkin kerana mereka mengadakan majlis segah ini yang menyebabkan mereka mengupah sehingga 3 orang.
     “Aku turun ya..” khabar Azmi sebelum dia berlalu meninggalkan aku di dapur yang masih lagi mengemas bekas yang tersisa. Dia juga sempat berpesan untuk ikut-serta ke halaman rumah nanti setelah aku selesai di atas. Sempat saja kumengangguk sebelum dia hilang dari pandangan. Setelah segalanya kemas, barulah aku menuju ke pintu utama.
     Wah.. ramai keluarganya!
     Seronok juga melihat keriuhan sanak-saudara Azmi yang memeriahkan malam berjaga-jaga ini. Riuh dengan gelak ketawa dan usik-mengusik pun ada. Apatah lagi, tidak lari mataku memandang kumpulan kanak-kanak berlari riang. Rasa terpanggil jugaku untuk ikut sama makanya aku menghampiri Khadijah yang sedang bersembang-sembang bersama sepupu-sepupunya. Khadijah yang kebetulan menolehku terus melambai-lambaiku untuk dekat kepadanya dan duduk di sebelahnya pula.
     “Ini Kak Lisa…” perkenalkan Khadijah kepada mereka. Terasa segan pun ada. Yang menghulurkan tanganku sambut dan yang bukan mahram, aku sekadar mengangguk saja.
     “Kak Lisa ni tinggal di bandar, ya?” soal Ayuni, perempuan yang duduk bertentangan denganku. Awalnya, dia sudah memperkenalkan diri.
     Aku tersenyum dan mengangguk. Sesekali aku membetulkan selendang yang hampir jatuh ke bahuku. Malam ini sengaja aku mengenakan selendang penuh kerana lebih mudah dan ringkas. Aku malas untuk menyarung tudung express kerana tidak sempat aku menggosoknya tadi. Lagipun jenis kain tudung expressku itu mudah berkedut.
     “Sukalah tengok kak Lisa ni.. sopan..” usik adik Ayuni, Amarna yang sebaya saja umurnya pada tekaanku dengan usia Khadijah. Dia tertawa kecil dan seolah-olah teruja dengan pujian yang lebih berbentuk usikan nakal itu..
     “nak tahu tak bagaimana Kak Lisa kenal dengan abang Azmi?” soal Khadijah kepada sepupu-sepupunya. Bernada nakal saja di pendengaranku. Masing-masing mereka teruja dengan soalan nakal Khadijah.
     Adik dan abang ini, sama saja tingkahnya.
     “Nak tahu, kena tanya abang Azmilah..” jawabku, membalas usikan Khadijah. Aku sebenarnya malas hendak berkongsi. Kisah itu sudah lama tersimpan. Nanti tergelak sakan mereka, aku juga yang susah. Lebih parah lagi kalau-kalau kami berdua jadi bahan sindiran pulak kerana berpunca dari peristiwa itulah, aku dan Azmi seakrab begini!
     “Alaaaa….”
     Terlukis garis-garis kecewa di wajah mereka. Namun, masih nakal dan bersahaja.
     “Nama penuh Kak Lisa, apa ya?” tanya Ayuni lagi.
     Aku memandang Khadijah.
     “Eiii, tak boleh bagitahu. Abang Azmi marah nanti..”
     Aku tergelak.
     “Kenapa nak marah?”soalku dalam tawa yang masih bersisa. Hairan juga dengan jawapan Khadijah yang bersahaja itu. kata Khadijah, awal lagi abang Azminya sudah memberi amaran untuk tidak dikongsikan nama sebenarku. Cukup saja dikenali dengan nama Lisa saja.
     Aku mencebik.
     Melampau betul Azmi ni, kan?
     “Hah tu, panjang umur..” khabar Khadijah seraya menunjukkan ke arah sesuatu tidak jauh dari kami. Walaupun bunyi karoke cukup kuat di sebelah depan sana, namun masih boleh jelas lagi kami bercerita sakan waktu itu. mungkin kerana kawasan yang lapang dan luas, maka bunyi tidak tersekat di satu arah saja.
     Aku menoleh.
     Azmi rupanya yang dimaksudkannya.
     “aaah.. tepi.. abang nak duduk ni..” pinta Azmi selamba seraya menarik tangan Khadijah yang duduk di sebelahku. Terlopongku jadinya dengan cara Azmi yang selamba itu menyuruh adiknya beralih tempat. Sepupu-sepupunya hanya melepas tawa. Khadijah sudah menarik muka. Aku pula, spontan saja memukul lengan Azmi.
     “Kesian Ija, tau..” tegurku.
     Azmi sekadar tersengih.
     “Bro, try skill akustik laa.. dah lama tak dengar ni..” cadang sepupunya Kamal, yang berada tidak jauh dari Ayuni. Dia yang sedari tadi memetik-metik tali gitarnya mengajak Azmi. Sebenarnya cukup ramai juga kelompok anak-anak muda ini. Hendak mengingat nama mereka, susah jugak.
     “Boleh jugak,.”
     Azmi menyambut huluran gitar kapok itu dengan penuh keyakinan. Seolah-olah permintaan itu sesuatu yang sudah biasa baginya.
     Tak sangka pulak Azmi boleh bermain gitar selama ini. Lagipun, dia belum pernah bercerita selama aku kenal dengannya.
     “ Duduk depanku, ‘Eisy..” pintanya perlahan, yang bagiku hanya aku yang mendengar permintaan itu. Tidak membantahnya, aku membetulkan kerusi dan duduk bertentangan dengannya.
     Gitarnya mula dipetik.
     “ Just for you..” ucapnya, separuh berbisik. Seolah-olah dia lupa, bukan hanya ada aku dan dia di sini. Aku jadi malu pulak dengan ‘charming’nya dia di hadapan mereka.
     Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi..
     Aku mati kata.
     Baris lirik pertama itu menikam hatiku lebih dalam. Dalam renungannya, dengan gaya dan gemersik suaranya.
     Ya TUHAN, mempesona!
     Tingkah Azmi mengetuk hati wanitaku. Aku menunduk dan menyembunyikan syahdu. Terbawa rasa ingin kembali mengejar bahagia.
     Tak semudah yang kita janjikan,
yang kita janjikan..
kerana kau isteriku..
     Aku akhirnya menyeka airmata. Kalau benar Azmi menujukannya kepadaku, tidak tahu lagi aku mahu mengatakan apa-apa. Walaupun aku bukan isterinya, namun kalaulah aku benar seorang isteri sudah lama untuk dia kusimpan janji bersama setia sepanjang hayat. Tak mungkin untuk aku kecewakan dirinya apatah lagi memungkiri segala yang dijanji.
     Bukankah bagi seorang isteri, redha TUHAN itu atas redha suaminya?
     Padaku, bait terakhir itu bukan menceritakan tentang aku kerana statusku ketika ini bukanlah bergelar seorang isteri.
     Pandangan Azmi dan aku, saling berbalas. Dia menghantar isyarat untuk aku jangan bersedih namun aku menarik muka. Salah dia yang membuat aku begini!
     “Sweet gila abang Mi!” sorak mereka riang. Yang mungkin tidak sedar aku yang dipukul rasa terharu. Spontan saja babak begitu antara aku dan Azmi, hilang.
     “Masih legend tak?”soal Azmi bangga.
     Kamal mengangguk-angguk.
     “Romantik habis. Kalau cara tu kak Lisa tak semakin sayang abang Mi, tak taulah Yuni, bang..” sampuk Ayuni pula bersahaja namun jelas ditujukan kepadaku.
     Aku hanya memandang Azmi.
     Dihatiku, mula bertanya.
     Kau mahu aku sayang kau, Azmi?

     Seriuskah dia dengan ajakannya kahwinnya sebelum-sebelum ini?

BAB 28- SETIA PADA DIA

BAB 28
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

Lebih kurang 2 jam perjalanan, kami akhirnya tiba lebih kurang jam 5 petang. Cantik benar pemandangan kampong Azmi ini. Walaupun jalannya kecil saja dan hanya sebuah kereta saja yang boleh lalui ke rumahnya namun aku sangat suka dengan panoramanya. Tambahan lagi senja begini. Lalang-lalang dan padi-padi yang tumbuh di sepanjang jalan tadi cukup melambai menggamit panggilan selamat datang.
     Perasan betul aku, kan?
     “Senja sikit nanti, pemandangan sunsetnya lagi cantik. Kalau ada rezeki, boleh kita tengok..” khabarnya di sebelahku sedang aku di sisinya bagai rusa masuk kampong. Sangat-sangat kosong melihat keindahan kampong yang jauh dari Bandar dan masih lagi terpelihara kehijauannya. Pemandanganku terhenti melihat sekeliling bilamana keretanya sudah berhenti tidak jauh dari khemah-khemah yang terpasang. Banyak jugalah yang sudah berdiri teguh dan paling menakutkan aku, keluarga Azmi juga sudah ramai yang bertandang!
     Aku keluar dari perut kereta dengan rasa yang pelbagai. Tidakku tahu lagi bagaimana untuk menerangkan apa yang bermain di akal dan hatiku. Yang aku tahu, aku entah berani entah tidak berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
     “Beh, aku tunggu kaulah.. temanlah aku ke situ..” ucapku, menghampiri Azmi yang sudah memunggah barang keluar dari kereta. Dia menunjukkan kepadaku seseorang yang sedang bersembang berhampiran surambi rumahnya dan memintaku mengikutnya.
Mataku terarah kepada seorang wanita yang sudah lanjut usia tapi masih cantik lagi rupanya. Azmi sempat berbisik yang wanita sedang bersembang bahagia tidak jauh dari kami ini adalah ibunya. Sebaik saja ibunya menoleh, aku mempercepatkan langkah tanpa menyaingi Azmi lagi untuk mendekati ibunya yang sudah tersenyum lebar.
Aku menyambut tangan yang dihulurkannya sebelum aku ditarik ke dalam pelukannya. Jauh di sudut hati, naluriku bagai disentuh. Lain benar rasaku saat dekat dengan keluarganya.
“Sudi-sudilah bertandang ya, Lisa..”
Aku tersenyum dan mengangguk.
Segan juga apabila masing-masing bagai janggal menerima kedatanganku kerana bimbang mereka aku tidak selesa. Apa yang hendak mereka risaukan, sedangkan aku pun biasa-biasa saja. Aku mengikuti ibunya yang sudah membawa aku naik ke rumah setelah aku bersalaman dengan ibu-ibu saudaranya yang duduk berhampiran tangga utama. Macam-macam jenis pandangan yang aku terima namun tidak ada seorang pun yang memulakan kata atau menyapa melainkan berbalas senyum dan mengajak aku masuk ke dalam. Ibu Azmi sempat mengarahkan Azmi untuk menyimpan barangku ke dalam bilik Khadijah sebelum dia menghilang disuruh ibunya untuk menemani kaum lelaki yang sibuk di perkarangan rumah.
“Biasa-biasakanlah diri ya, Lisa..” ucap ibunya lagi.
Aku menggaris senyum saja. Terasa kekok pun ada apabila ibunya terlalu berhati-hati kepadaku. Tidak selesa sebenarnya apabila aku dijadikan keutamaan pula sedangkan aku lebih senang dilayan biasa-biasa saja. Dengan menghantar ibunya yang sudah mahu turun semula ke bawah dengan pandangan mata, aku memilih untuk melihat seluruh isi rumahnya. Ibunya yang mahukan aku kenal isi rumah terlebih dahulu sementara menunggu Khadijah pulang dari pekan utama setelah dipesan oleh ibunya untuk membeli barang-barang runcit untuk malam berjaga-jaga katanya. Tidak sangka pula yang Khadijah sudah mengikat pertunangan dan sempat juga ibunya bercerita yang anak perempuannya itu akan berkahwin kalau tiada halangan pada tahun berikutnya. Maju benar Khadijah.
Aku kemudian memerhati sekeliling.
Cantik dan luas!
Rekaan rumah kayu bertemakan eropah klasik ini menarik minatku. Jarang sekali aku berpeluang berlegar bebas di dalam rumah seperti ini. Jujur saja, bagiku rumah Azmi ini terlalu gah untuk kukuh di kampong ini. Berjalan dari satu sudut ke sudut yang lain, aku mendekati jendela pula.
Indah benar senja itu.
Azmi kulihat begitu gigih menemani sanak-saudaranya yang begitu rajin benar menguruskan khemah dan kerusi-kerusi yang sudah tersedia untuk disusun-suai. Sesekali aku bertemu pandang dia yang ada di perkarangan rumah dan saling berbalas senyum. Malu juga dengan tingkahnya yang terang-terangan menunjukkan seolah-olah aku dan dia adalah pasangan yang saling berkongsi rasa hati sehinggakan usikan sanak-saudaranya mengundang segan kepadaku.    Dia kemudian berlari-lari anak dan menuju ke arahku, berhampiran jendela.
“Boleh tolong tak, yang?”
Aku menanti dia meneruskan kata setelah setuju untuk menunaikan permintaannya.
“Air sejuk yaa..”
Aku menjeling manja namun aku menurut jua kerana bagiku, kasihan benar dia. Baru saja sampai tapi giat sudah dia membantu ayahnya dan juga keluarga yang lain demi perkahwinan abangnya. Hingga nampak peluh di bajunya cukup menunjukkan dia sudah terbiasa berpenat-lelah. Sedangkan perjalanan ke sini saja sudah mengambil masa yang lama dan pastilah memenatkan.
Ah.. perwira itu bagai tidak kenal penat saja!   

BAB 27- SETIA PADA DIA

BAB 27
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Serius Kak Lisa nak pergi ni?” soal Soleha yang berbisik di sebelahku sedang Azmi sibuk menyimpan segala begku ke dalam keretanya. Tak sangka pula senang saja abah dan mama membenarkan aku ikut Azmi balik ke kampungnya. Walaupun pesanan abah dan mama seribu satu padaku, namun aku tahu mereka suka dengan perubahanku yang bagai sudah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupku.
     3 hari pulak tu!
     Ah, hatiku.. bukan ada yang tahu!
     “Kak!” Soleha memanggil seraya menyikuku. Tersedar terus aku dari pelbagai macam yang aku fikir. Jawapanku hanya dengan anggukan. Malas sebetulnya aku hendak melayan Soleha yang sejak lewat ini suka sangat menyakat.
     Aku menghulurkan tangan kepada Soleha di sebelah untuk bersalam sebelum aku mendekati abah dan mama yang berdiri tidak jauh dari kereta Azmi. Kemudian aku mendekati mereka berdua dan bersalaman. Aku memeluk mama erat, bagai orang hendak pergi jauh.
     “Jaga diri Lisa baik-baik..” pesan mama lagi.
     Aku mengangguk. Kemudian aku berlalu menuju ke pintu kereta Azmi dan sempat kulihat Azmi pula yang bersalaman dengan mereka. Makin lama, Azmi makin mengusik hati wanitaku. Suka benarku dengan caranya yang menghargai dan menghormati kedua ibubapaku. Kami sempat melambai mereka sebelum kami meninggalkan perkarangan rumah.
     Aku berpura-pura melihat telefon bimbitku sedang hatiku penuh dengan keresahan dan segala macam yang aku fikirkan. Entahlah. Apalah yang akan aku lakukan nanti. Dimanalah aku hendak tidur. Bagaimana aku nak hadapi keluarganya?  Aku ni bukannya peramah pun. Perlu masa dan waktu untuk bergaul mesra melainkan orang yang dulu mesra kepadaku. Barulah aku boleh ikut rentak suasana.
     “Sayang fikir apa?” soal Azmi, mengusik nakal.
     Aku menarik muka. Aku tahu Azmi perasan dengan resahku itu. Aku kemudiannya duduk menghadapnya. Rasa ingin mengatakan sesuatu pun ada namun tidak mampu untukku meluahkannya.
     “Yang, jangan lah pandang macam tu..” tegur Azmi kemudiannya. Bersama senyum nakalnya. Bagai mengerti maksudnya yang kononnya caraku memandang begitu, menggodanya membuatkan aku geram pulak dengannya. Tanpa berfikir lama, aku mencubit lengannya.
     “Eh, drive lah ni!”
     Aku tergelak. Aku tahu sakit dengan cubitanku itu namun salahnya juga.
Siapa suruh dia tegar benar mengusik aku yang sudah resah ini?
Walaupun perjalanan kami untuk sampai ke kampungnya masih jauh lagi namun resahku ini tidak dapat kusimpan. Tidak mampuku sembunyikan lagi kerana aku belum menemui jalan keluar atas kebuntuan yang mengujiku.
     “ Nak kata apa nanti kalau dah sampai ni, beh?” luahku akhirnya dan kembali membetulkan dudukku.
     “Sayang fikir apa?”
     Aku menghela nafas.
     “Banyak..”
     “Dah lah. Jangan fikir berat. Nanti kau akan okay jugak. Insya Allah. Aku yakin kau boleh bawa diri..”
     Aku mengangguk perlahan.
     “Kau jangan jauh nanti. Kau tahukan aku bukannya peramah sangat..” tambahku.
     Dia tertawa kecil.
     “Pernahkah aku jauh dari kau selama ini ‘Eisy?” soalnya, bernada lain.
     Aku menjeling.
     “Kau jangan nak loyar buruk dengan aku yaa.. aku tambah cubit tangan tu nanti, hah… padan mukaa..”
     Azmi tersengih.
     “Kau tu yang resah lebih. Entah-entah bila dah kenal, tak nak berhenti bersembang..”
     Aku menjeling namun itu memang kenyataan. Kalau aku sudah kenal benar dan orang itu senang dibawa bercerita, spontan saja aku akan mesra.
     “Lagipun, Khadijahkan ada. Dulu, bukan tak pernah rapat waktu asrama dulukan..”
     Aku mengangguk saja.    
     “Tapi, ni kan dah lama tak jumpa..” balasku perlahan dan membuang pandangan. Entah kenapa, aku tidak tahu bagaimana caranya hendak membawa diri lagi dalam kelompok keluarga kawan-kawanku yang terpaksa bermalam pula. tambahan lagi, Azmi lelaki dan masih bujang. Tidak mustahil nanti adanya yang akan tersalah tafsir keakraban kami kerana pada masa kini susah benar orang hendak percaya adanya hubungan lelaki dan perempuan hanya sebagai kawan baik sahaja tanpa bersentuhan hati.
     Tidak bolehkah kalau mereka terimaa saja kenyataan sebegitu?
     “beh…” panggilku dan memandangnya yang duduk tenang memandu di sebelahku. Aku tidak akan hilang resah selagi tidak menanyakan kepadanya apa yang bermain di fikiranku ini.
     Dia menggumam saja.
     “ Kalau orang rasa kita ada hubungan istimewa nanti, bagaimana ya?” soalku teragak-agak sedikit.
     Azmi tersengih.
     “Iyakan sajalah..”
     “Beh!” marahku manja dan memukul lengannya.
     “Tak apalah ‘Eisy. Manalah tau berkat jadi doa pula..” balasnya sambil tertawa mengusik.
Aku yang di sebelahnya sudah menarik muka. Aku tak terima pun perkara itu untuk dijadikannya bahan gurauan.
     “Aku nak kau jawab jujur ‘Eisy. Sebenarnya kau ni keberatan ikut aku?”soalnya tiba-tiba.
     Aku menelan liur.
     Aku menggeleng.
     Jujur, aku ikhlas.
     “Untuk 3 hari saja ‘Eisy…” pujuknya.
     Aku menghela nafas dan berpeluk tubuh. Tidak mampu untuk berkata apa lagi kerana aku pun belum boleh menjangka apa yang akan terjadi apabila sudah sampai di rumahnya nanti. Yang aku tahu, aku hanya perlu pasrah dan tidak memikirkan apa-apa. Lebih baik aku tunggu dan lihat. Yang penting, aku tidak mahu berpura-pura.

     Azmi di situ mengambil peluang memandang gadis di sebelahnya yang sudah menggaris kerisauan. Entah apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan kepadanya namun dia tahu dan mengerti maksud ‘Eisy. Dia malas sebenarnya hendak memikirkan perkara yang dibangkitkan ‘Eisy kerana baginya, segalanya ditentukan Allah. Kalau DIA mahukan mereka rapat dan berjodoh, dia akan setia!