BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 6 November 2014

SETIA PADA DIA-BAB 8

BAB 8
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

          Dia melirik lagi.
Kali ini sudah entah kali yang ke berapa dia melirik lagi ke arahku dan Ustazah Latifah. Aku yang sedari tadi menyedari keadaan itu mula merasa tidak selesa. Berterabur fokusku dek lirikan Dzul Ikhwani itu. Entah apa maksudnya pun aku tidak tahu. Sewaktu bersapa sebelum masuk dewan tadi, dia hanya lalu tanya bersuara seolah-olah tiada wujudnya aku di depannya.
          “ Lisa, Dzul tu dari tadi asyik pandang ke sini..” Ustazah Latifah membuka bicara. Sekadar berbisik di sisi. Mungkin dia tidak ingin mengundang pandangan dan respon peserta lain. Aku tersentak dengan bicara itu. Aku menyangka, hanya aku yang sedar akan tingkah lelaki itu tetapi rupanya ustazah Latifah juga sama. Aku jadi tertanya-tanya pula. Kalau sekiranya dia ingin mengatakan sesuatu, tampillah bersemuka. Jangan buat aku jadi tidak tentu arah pulak.
          “ Dia mungkin nak duduk sebelah Lisa tak ni?” usik ustazah lagi.
          Aku di sisi mengaris senyuman kecil.
          Aku mencuba kembalikan fokus pada topik pembentangan kursus. Aku bimbang kalau tidak mendapat apa-apa dapatan dari kursus dan seminar pendek ini kerana aku memang perlu memberi laporan dan sekaligus dapatan kursus perlu aku aplikasikan di dalam penggubalan baru sistem kurikulum nanti. Rimasnya apabila lelaki itu berani mencuri perhatianku.
          Susah sangatkah dia untuk fokus dalam 1 jam ini?
          Aku jadi marah dan tidak berkenan pulak dengan tingkahnya. Kalaulah selama hari ke depan ini dia masih begitu, alamat aku sia-sia datang jauh ke sini. Sia-sia kerana tumpuan dan perhatianku berpindah untuk hal yang entah-entah. Dalam rasa yang tidak selesa itu, kami diberi masa untuk menikmati minum pagi juga akhirnya. Sekurang-kurangnya ada juga masa untuk menghela nafas lega. Kami dijemput untuk minum pagi di dewan sebelah. Pantas aku dan Ustazah Latifah bergerak dan berkira-kira mahu menurut peserta yang lain yang sudah mula berlalu.
          “ Lisa..”
          Langkahku tidak jadi kuteruskan. Aku menanti di sisi meja. Dzul Ikhwani yang memanggilku. Ustazah Latifah sempat berpesan yang dia ingin pergi dulu dan meninggalkanku kerana dia memang sudah lapar benar. Aku rasa tidak selesa pula apabila ditinggalkan begini.
          “ Kenapa tuan?” tanyaku sekadar berbasa-basi. Bimbang juga kalau aku memanggil dia hanya dengan nama saja sedangkan dia memegang jawatan yang lebih tinggi dan utama dalam kementerian.
          “ Panggil Dzul saja..”
          Aku tersenyum.
          “ Aaa.. Lisa, petang nanti free?
          Aku mengerutkan dahi. Tidak sangka sama sekali dengan pertanyaan itu meskipun dia agak teragak-agak menanyakan namun aku faham maksudnya.     
          “ Kenapa?”
          “ Free atau tak?”
          Aku masih berdiam. Kononnya memikir sesuatu sedangkan yang aku maklum petang ini kami ada aktiviti melawat ke sekolah pedalaman. Hanya untuk membuat pemantauan ringkas. Anehnya, dia bertanya tentang kelapangan waktuku pulak.
          “ Bukan kita ada aktiviti petang ni?” balasku lagi, bertanya. Sekadar memberi respon biasa-biasa saja.
Dia mengisyaratkan untuk jalan beriringan ke muka pintu lantaran Tuan Haji Saad sedang menanti kami berdua di situ. Mungkin dia berharap kami menepati masa minum yang diberi hanya 30 minit saja. Aku antara mahu dan tidak hanya mengikut.
          “ Itu saya tahu…”
          “ Habis tu?”
          Dia diam dan berhenti di depan pintu dewan tempat hidangan disediakan. Dia memandang tepat ke arahku seolah-olah dia benar-benar serius ingin tahu dengan halku petang nanti.
          Aku salah tingkah dan mati kata.
          “ Habis aktiviti lawatan nanti, freekan…”
          Aku mengangguk. Tidak ingin melengahkan masa.
          “ Saya berniat nak ajak awak bersiar-siar sekejap…”
          Aku tidak berkutik. Membuang pandangan bilamana dia masih menunggu dan mengharapkan jawapan.
          “ Erm.. apa kata kita sarapan dulu? Saya lapar ni..” balasku dan terus berlalu. Tidak menoleh dan tidak juga menunggu. Aku bukan sengaja berlaku tidak sopan di hadapannya tapi kerana aku terkejut dengan ajakan yang tiba-tiba. Kenal pun tidak. Inikan pula dia mahu aku ikut sama bersiar-siar dengannya. Aku terus menghampiri ustazah Latifah yang masih menunggu giliran untuk mengambil makanan. Ustazah Latifah mengarahkan aku untuk mengambil minuman panas dulu sebelum ikut berbaris mengambil makanan yang lain. Mahu tak mahu, aku menurut jua. Aku melangkah dengan tidak selesa. Masih di fikiranku ajakan itu. rasa bersalah pun ada Cuma aku tidak tentu rasa.
          Aku mengambil cawan dan tangan bersentuhan tanpa sengaja.
Terusik lagi hatiku dan pantas aku memandang gerangan. Masih lelaki yang sama mencuri perhatian dan ketenanganku. Dia memandang tanpa suara. Serius dan membuatkan aku jadi bimbang. Aku terus berlalu dari situ dan beralih ke meja minuman. Langkahku diikut dan dia berdiri di sisi. Seolah-olah hanya aku dan dia saja yang ada di situ. Itu yang aku rasa saat itu.
          Aku beristighfar dalam hati.
          “ boleh tolong tuangkan tak?” pintanya membuka bicara. Aku tidak menjawab tapi hanya menurut saja. Kemudian aku menuangkan untukku sendiri dan juga untuk Ustazah Latifah. Aku menuju ke meja tempat Ustazah Latifah. Ustazah memang telah mengambil sama makanan buatku. Rasa terharu pula dengan keprihatinan ustazah yang tidak pernah hilang itu. aku duduk di sebelah ustazah dan tidak menyangka, Dzul mengambil ruang di depan pulak. Semakin bertambahlah ketidakselesaanku dengan lelaki itu kerana aku memang tidak suka kalau ada lelaki yang duduk berhadapanan denganku ketikaku makan. Memang rasa tidak selesa itu ada dan tidak dapatku ubah.
          Senyumannya mengusik hatiku.
          Aku mengerling Ustazah Latifah di sisiku dan dia hanya leka dengan sarapannya. Aku kembali memandang Dzul di depanku. Akhirnya aku bersuara jua.
          “ Boleh tak kalau awak duduk di tepi sini?” pintaku sambil menunjukkan arah di sebelah kanan, tidak jauh dariku.
          “ Kenapa?”
          “ Dia tidak selesa kalau ada lelaki makan di depan ketika dia makan juga”, Ustazah Latifah tanpa kuduga menyampuk bicaraku dan Dzul. Dzul mengangguk dan dia berpindah duduk di sebelah kananku tanpa banyak soal lagi. Aku menarik nafas lega dan mula menikmati makan. Meskipun aku sedar dia masih menunggu aku bersuara namun aku buat-buat tidak tahu. Sesekali pandangan kami bertamu namun tiada bicara. Aku merasa selamat selagi Ustazah Latifah ada bersama kerana aku yakin Dzul tidak akan menanyakan soal tadi kepadaku. Aku amat berharap ustazah tidak pergi selagi aku belum habis makan. Aku tidak mahu Dzul membangkitkan persoalan tadi kepadaku kerana aku sendiri tidak tahu mahu memberinya jawapan apa. Aku bukanlah seorang yang tidak tegas, hanya aku takut nanti dia tidak professional pula. Aku takut terbawa-bawa dingin ke kerjaya nanti. Kalau ikutkan akal cetekku, memang aku kata tidak free sebab aku hendak luangkan masa dengan laptop. Aku bercadang mahu berskype dengan mama sehabis aktiviti nanti. Aku hanya mahu duduk di bilik tanpa gangguan. Datang untuk kursus, ikut aktiviti dan balik bilik semula. Tidak ingin bergaul sangat sebab peserta perempuan tidak ramai. Hanya 4 orang saja. Selebihnya lelaki. Veteran, dewasa dan juga masih muda bergaya.
          “ Lisa, dah habis?” tanya ustazah, memecah kesunyian di meja makan itu.
          Aku mengangguk dan bersedia untuk berlalu. Kebetulan juga Dzul disapa oleh beberapa pegawai yang lain dan kiranya itu kesempatan buatku untuk melarikan diri darinya. Yang meresahkan dan membuatkan aku tidak tentu rasa. Aku bergegas menyaingi langkah Ustazah Latifah dan beriringan dengannya menuju ke dewan persidangan. Aku duduk semula di sebelah ustazah dan mula kembali memfokuskan pandangan kepada penyampaian pembentangan kertas kerja sesi II. Aku mencapai pen dan mula menulis-nulis dan mencatat-catat isi-isi penting. Walaupun salinan kertas kerja ada disertakan sama, hanya aku lebih selesa menulis sendiri pengisian utama kerana aku sememangnya seorang yang malas untuk menghadap dan membaca kertas kerja yang hanya berwarna hitam putih. Aku lebih selesa mendengar dan menulis. Melainkan kalau aku memerlukan rujukan, aku akan buka semula salinan itu dan memadankannya dengan isi penulisanku di dalam nota yang telah kucatat bagi memudahkan aku memahami semula.
          “ Baiklah, sesi kedua kita mulakan sekarang. Ada dua kertas kerja akan dibentangkan dari Tuan Sayyid Al-khadri dan Encik Dzul Ikhwan Dato Hj Ahmad..”
          Spontan mataku beralih ke depan. Terkejut dengan makluman terbaru itu kerana setahuku tidak ada pulak namanya tertulis di dalam buku program untuk sesi pembentangan pagi ini. Yang kuterbaca dia ada membentang pada hari ke empat nanti dan itu pun di bilik persidangan kecil, hanya untuk peserta tertentu yang sama bidang dengannya. Aku jadi tidak selesa. Hendak memandang dia di depan, aku rasa kekok. Bimbang dengan segala apa yang disampaikannya nanti tidak akan membuatkan aku memberikan tumpuan kerana masih di fikiranku lagi tentang ajakannya.
          Aku menoleh ustazah di sisi. Dia sekadar mengangkat bahu. Mungkin ustazah juga hairan apabila dikhabarkan bahwa Dzul akan membentang di pagi ini.
          “ Encik Dzul akan menggantikan Professor Madya Dr. Hasyim memandangkan beliau kurang sihat.. Pengisian pembentangan memang sudah dimaklumi sebab Encik Dzul memang sudah maklum dengan hal ini. Hanya kami terlupa membuat nama Encik Dzul dalam sesi pagi ini..” jelas Tuan Hj Saad lagi, meleraikan kekeliruan yang melanda kesemua peserta. Bukan apa. Kami bimbang juga kalau-kalau kami tersalah bilik persidangan nanti kerana  memang beberapa peserta sudah dibahagikan mengikut bidang masing-masing. Cuma pagi ini, kesemuanya dimestikan hadir untuk kertas kerja utama.
          Aku sekadar mengangguk-angguk. Sekurang-kurangnya terlerai jua tanda tanya yang singgah ke hati. Aku kemudian kembali fokus. Dzul Ikhwani sudah duduk sebaris dengan pembentang-pembentang hebat dan yang aku kagumi. Tidak sangka dia sudah mencapai sebegini hebat di usia yang masih muda. Aku berasa cemburu dengan pencapaiannya. Pastilah dia sudah banyak menimba pengalaman dan ilmu serta perkongsian dari pembentang-pembentang itu.
          Pandanganku dan dia bersatu. Senyuman tergaris di bibirnya. Aku membuang pandangan sebelum aku menunduk memandang nota. Lain benar rasaku diusik pandangan lelaki itu. Rasa bersalah pun ada. Rasa tidak selesa pun ada.
          Aku beristighfar di hati.
          Susahlah kalau hari-hari mendatang masih begini setiap kali berdepan dengan lelaki itu!

Sabtu, 1 November 2014

SETIA PADA DIA-BAB 7

BAB 7
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Suasana di dalam dewan persidangan itu sedikit riuh dengan kehadiran beberapa pegawai pelajaran dan juga ahli jawatankuasa yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus dan seminar pendek ini. Kebanyakan mereka sudah pernah aku bersapa sewaktu mula-mula hadir kursus ini ketika seminarnya diadakan di hotel yang sama pada tahun lepas. Tidak kurang juga ada beberapa wajah baru. Mungkin tahun demi tahun setiap jawatan yang ada mula dirombak dan disusun atur semula sesuai dengan kebolehan dan kehendak semasa pihak kerajaan dalam sesebuah organisasi pendidikan. Setelah kehadiran dicatit, kami dipersilakan untuk duduk di kerusi yang telah disimpan nama kami di hadapan meja. Segannya duduk separa dengan pegawai-pegawai yang senior. Meskipun mereka ini cukup peramah dan baik hati, hanya aku saja yang masih kekok dan malu-malu.
“ ‘Eisy Mukhlisa, kan?” sapa seseorang yang duduk di sebelahku.
Aku tersenyum dan mengangguk. Wajahnya memang pernah kulihat. Sayangnya, akalku masih belum memberi bayangan dan gambaran tentang cikgu yang menegurku itu. Lama aku mengambil masa sebelum akalku memberi jawapan.
Rupanya Ustazah Latifah!
“ Apa khabar ustazah?” soalku seraya menghulur tangan bersalaman. Rasanya sudah lebih 7 tahun aku tidak bertemu dengannya setelah aku meninggalkan sekolah menengah dulu.
“Baik… Alhamdulilah..” balasnya mesra. Masih seperti dulu. Sopan dan menarik. Hanya wajahnya saja sedikit dimamah usia.
“Dah kahwin, ‘Eisy?”
Aku menggeleng.
“ Bukan tahun lepas dah tunang?”
Aku menelan liur.
“ Betul ustazah. Jodoh hanya di situ saja..” jawabku cuba bertenang sedang di dalam hatiku berperang hebat dengan bermacam-macam perasaan. Aku tahu berita pertunanganku sudah ramai yang tahu. Tambahan lagi sebenarnya aku hampir mendirikan rumahtangga tahun ini. Tapi, hanya mampu merancang. Selebihnya sesuai dengan kehendakNYA.
“ Tak apalah.. tentu ada yang lebih baik lagi..”
Aku sekadar membalas dengan senyuman.
“ Tapi, seingat ustazah dulu ‘Eisy pernah gaduh dengan budak lelakikan. Siapa tu, Azmi ya, ‘Eisy?” soal ustazah Latifah lagi dengan berkerut-kerut saja dahinya mengingatkan nama itu. aku pula spontan tergelak. Kalau dikenang kisah itu, memang takkan tidak untuk jadi bahan gelakan.
“ Betul ustazah.. Azmi namanya..”
“ Apa khabar dia sekarang?”
“ Alhamdulilah… baik..”
Kisah pergaduhan aku dan Azmi dulu memang menjadi buah mulut di sekolah. Itupun kerana itu adalah kes pertama yang tersebar kerana adanya pergaduhan antara pelajar lelaki dan perempuan di hari kedua persekolahan. Nasib kami memang baik sebab tidak disabitkan sebagai kesalahan besar. Kalau tidak, memang nama kami percuma saja masuk buku disiplin.
“ Dah bebaik dengan dia?”
Aku mengangguk bersama senyuman.
“Dah lama sebenarnya ustazah. Cuma, kami malas nak tunjuk sebab.. yalahkan.. ustazah mesti faham maksud saya…” jawabku dalam tawa kecil.
Ustazah Latifah mengangguk.
Perbicaraan kami terhenti apabila ketua kursus mula memberikan mukadimah penerangan di petang itu. Pertamanya dia mengalu-alukan kedatangan kami yang seramai 24 orang itu.  Bermula dari penerangan agenda aktiviti hinggalah dia memberikan pesanan terakhir bahawa seminar hanya 4 hari dan selebihnya adalah aktiviti bebas. Seminggu tempohnya hanyalah sebagai syarat sekiranya dalam tempoh 4 hari ada permasalahan, maka hari selebihnya sebagai timbal-ganti saja. Penerangan memakan masa lebih kurang 30 minit sebelum diminta setiap yang hadir untuk memperkenalkan diri.
Inilah saat yang paling aku tidak suka.
“ Saya harap, semua peserta seminar akan memperkenalkan diri. Bermula dengan nama dan jawatan sahaja..” pinta ketua kursus kami yang memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Saad itu. maka bermulalah seorang demi seorang memperkenalkan diri. Aku pula hanya menunggu giliran. Tanganku ini sudah seram sejuk saat menunggu giliran untuk memperkenalkan diri. Aku bukannya takut sebenarnya, cuma aku tidak selesa menjadi tumpuan dan fokus orang-orang.
Tanganku dicuit ustazah Latifah.
Aku pantas berdiri kerana sudah tiba giliranku.
“ Assalammualaikum semua.. Saya ‘Eish Mukhlisa binti Hj Yusof. Saya memegang jawatan Pengarah Kokurikulum Agama I..”
          Aku terus duduk setelah memperkenalkan diri. Aku memerhati sedikit sebanyak ramai yang berbisik-bisik. Mungkin kurang percaya dengan apa yang aku kongsikan.
          “ Boleh tambah soalan tak tuan Hj Saad?” soal salah seorang peserta kursus lelaki sambil dia mengangkat tangan kanannya.
          Tuan Hj Saad mengangguk.
          Aku sudah berdebar kuat apabila dia yang meminta izin itu memandangku.
          “ Umur cik ‘Eisy berapa?” soalnya dengan senyuman yang sukar aku mengertikan. Aku hanya menahan rasa apabila semua yang ada menanti sama jawapan dariku. Aku sekilas menoleh kepada ustazah Latifah. Senyumannya memberiku semangat untuk kembali berdiri.
          “ 25 tahun..”
          Tepukan mula kedengaran yang dimulai oleh lelaki itu. kemudian, masing-masing ikut sama.
          “ Satu pencapaian yang cukup dibanggakan untuk cik ‘Eisy..” tambah tuan Hj Saad.
          Aku sekadar mengangguk dan memilih untuk kembali duduk. Aku terus fokus pandang ke arah lelaki muda yang berani menjadikan aku topik utama petang itu. Aku ingin tahu juga namanya. Aku ingin tahu apa jawatannya dan aku juga ingin tahu jawatannya. Aku tiba-tiba merasa geram pulak dengan caranya itu. seakan tidak menghormati privasiku kerana masing-masing peserta hanya memperkenalkan nama dan jawatan saja. Terkecuali aku gara-gara dia menambah soalan!
          Aku bersandar dan berpeluk tubuh menanti gilirannya tiba.
          “ Nama saya Dzul Ikhwani Dato Hj Ahmad.. dan jawatan saya Pengarah Kanan Penyelidikan Ugama..”
          Aku tersentak. Tidak sangka sama sekali dia sebenarnya lebih senior. Rasa bersalah aku jadinya kerana berburuk sangka. Mungkin dia inilah yang dimaksudkan puan Zalikha yang akan menilai prestasi kerja kami untuk dikekalkan dalam jawatan. Awalnya aku tersalah sangka kerana dia kelihatan sedikit nakal.
          Aku tersenyum sendiri.
          “ mungkin cik Mukhlisa ingin menambah soalan pulak..”
Aku tersentak saat namaku disebut oleh tuan Hj Saad. Aku terus jadi panik dengan usikan yang tidak kujangka itu. Tambahan lagi semua orang menanti aku bersuara dengan senyuman mereka masing-masing yang sukar aku mengerti. Mungkin kerana aku kelihatan masih muda ini maka mereka lebih senang mengusikku pula.
          “ tak apalah tuan Hj, rasanya saya boleh agak apa yang cik Mukhlisa ingin tanyakan..” balas lelaki itu.
Aku mengangkat kening dan merenungnya. Sengaja aku tersenyum, menunggu dia meneruskan kata.
“ yaa.. saya masih single…”
Mukaku serta merta merona. Sebegitu berani dia mengusikku dan menggamatkan suasana dewan persidangan dengan perkongsian selambanya. Masing-masing peserta yang ada ketawa riang. Sebetulnya, aku tidak berniat mahu bertanya apa-apa soalan kerana aku bukanlah peramah benar.
Dia duduk semula dan tersengih nakal.
Aku hanya menjeling. Pandanganku jatuh ke sisi, ke arah ustazah Latifah yang sedang menguntum senyuman.
“ Hmm.. masih banyak masa lagi ‘Eisy kalau nak kenal-kenal..” ucap ustazah Latifah dengan maksud yang senang aku fahami. Aku mengetap bibir mendengarnya. Beberapa minit kemudian, kami diminta bersurai. Sempat dititip pesan yang makan malam disediakan jam 8 malam nanti. Aku terus mengambil giliran keluar dari dewan itu setelah bersalaman dengan ustazah Latifah. Kata ustazah, dia tidak bermalam di hotel ini kerana dia datang ke sini bersama dengan suami dan juga anak-anaknya yang kebetulan juga kursus ini diadakan pada musim cuti persekolah. Aku sempat mengiakan sebelum kami berpisah di pintu utama. Aku kemudian menuju ke lif. Serentak tanganku dan tangan seseorang menekan punat atas. Bersentuhan dan menggetarkan.
Aku menoleh ke kanan.
Dzul Ikhwani.
“ Maaf..”
Aku sekadar mengangguk. Aku tidak berniat mahu berbual apatah lagi bertegur sapa walaupun sedikit lama menanti pintu lif terbuka.
Ting!
Pintu lif terbuka dan aku menapak masuk. Kulihat Dzul hanya berdiri di depan pintu lif. Tidak juga dia bergerak untuk masuk sehinggalah aku bersuara mengajaknya.
“ Tak nak masuk sekali?”
Dia menggeleng.
“Tak apalah..”
Aku mengangguk. Dia sempat melemparkan senyuman di balik pintu lif yang hampir tertutup. Aku sebetulnya hanya ajak-ajak ayam saja. Bukan benar. Tidak sanggup aku berdepan dengannya berdua saja. Tambahan lagi bilikku berada di tingkat 6. Bimbangku sekiranya dia menghuni bilik di tingkat yang lebih dariku. Entah apalah yang akan dibualkan kalau hanya berdua.
Aku bersangka baik.
Mungkin dia menghormati situasi antara aku dan dia tidak sesuai berdua-duaan. Walaupun dia kelihatan nakal tapi mungkin dia juga mahu menjadi reputasi.
Ah!
Aku sudah pandai membuat kesimpulan sendiri.
Ting!
Monolog sendiriku terhenti dek bunyi itu. Aku menapak keluar dan mempercepatkan langkah menuju ke bilik. Fikiranku masih memikirkan lelaki itu. Sampai saat berdiri di depan pintu bilik pun aku masih memikirkan dia.
Kuat juga penangannya.
Aku mengeluarkan kad yang kusimpan di card holderku. Tertancap mataku di tanganku. Tangan ini yang tersentuhnya tanpa sengaja. Gara-gara depan pintu lif. Berdendang riang rasa tapi bercampur baur rasa.
Aku tersengih sendiri dan mengusap tangan itu. aku masuk ke bilik dan cepat-cepat mencapai tisu di atas meja solek. Aku merenung diriku di balik refleksi cermin. Sedang mengelap tangan yang disentuh.
Aku mengeluh lantas beristighfar.
          Ini bukan mainan rasa!

SETIA PADA DIA-BAB 6

BAB 6
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
Hangatnya cuaca di luar hotel menyengat ke muka. Tidak lama benar masa diambil untuk tiba ke hotel pilihan untuk seminar dan kursus pendek. Seronoknya di sini bilamana segala kemudahan dan perancangan di sini sudah diatur dan dijadualkan. Hanya tinggal mahu sertai ataupun tidak. Setelah pendaftaran kehadiran para pegawai, kami dibenarkan untuk mendaftar masuk ke bilik masing-masing dan berikutnya pada jam 2 petang nanti taklimat pelan perancangan kursus dan seminar ini akan dibentangkan. Maka semua pegawai nanti dimestikan hadir di bilik persidangan yang telah ditempah khas.
          Aku menscan kad bilik untuk membuka pintu itu. Aku menyorong masuk bagasi yang kubawa dari rumah dan membiarkan pintu tertutup sendiri. Cepat-cepat aku menuju ke katil kerana begitu kuat keinginanku untuk menikmati keempukannya.
          Aku berbaring tenang.
          Tidak henti syukurku kerana berkesempatan rasai semuanya. Maklum sajalah, sebetulnya susah untukku mendapatkan cuti untuk belayar ke luar negri atau sebagainya kalau di penghujung tahun lantaran aku perlu lebih mengutamakan mereka yang berkeluarga dan tambahan pula penghujung tahun adalah masa utama untuk menganalisa pencapaian kurikulum persekolahan. Sedikit sebanyak, peluang menghadiri kursus ini merupakan rezeki untuk aku berehat-rehat sambil bekerja. Sambil-sambil memikirkan sesuatu, kedinginan bilik itu menghadirkan rasa nyaman. Aku mengambil bantal peluk dan memeluknya erat. Aku mengiring ke kiri dan cuba memejamkan mata. Kalaulah aku melayan mata yang hendak dibelai ini sudah pasti aku boleh terlajak masa tidur pulak ni nantinya.
          Kemudian bingkas aku bangun. Aku ingin memeriksa segala fasiliti yang disediakan. Bermula dari ruang meja solek menuju ke almari pakaian.
          Wah… pintu lungsur.
          Aku bagai teruja dengan semua itu. kemudian aku mengatur langkah ke luar dari bilik itu untuk menuju ke bilik air. Aku juga berpuas hati. Selepas itu aku menuju ke dapur kecil pula. Hanya dibekalkan peti air bersaiz kecil dan juga microwave. Bolehlah digunakan untuk makan mee segera kalau-kalau aku malas untuk ikut serta makan di lobi nanti. Kemudian aku mengambil keputusan untuk kembali ke bilik utama iaitu ruang tidur yang begitu selesa. Aku mengangkat bagasiku dan menyimpanya di satu sudut yang telah dikhususkan. Aku sememangnya tidak suka mengemas pakaian ke dalam almari yang disediakan. Aku lebih senang membiarkannya kemas di dalam bagasi dan hanya menggunakan almari itu untuk menyidai pakaian yang hendak digunakan saja dan telkung serta tuala mandi. Ini kerana aku menjadi malas untuk mengemas semula. Kadang-kadang bukan semua pakaian yang kubawa akan kugunakan. Sengaja membuatkan bagasi menjadi berat setiap kali pergi ke luar daerah atau ke luar negeri. Bayangkanlah kalau berkesempatan membeli-belah?
          Aku sentiasa ada membawa beg lebih khas untuk barang-barang belian!
Aku kemudian melabuhkan punggung di birai katil. Shawl yang kupakai, kulepaskan. Aku memilih untuk berehat saja. Aku mencapai buku panduan aktiviti yang diberikan dan menelitinya. Lama aku membacanya, satu-satu persatu sehingga ke muka surat yang terakhir.
          Hmm.. okaylah dari sebelumnya. Dalam pada melayan perasaan itu, aku baru terkenang pada telefon bimbitku.
          Aku menepuk dahi.
          Terleka seketika dari mengkhabarkan kepada mama yang aku sudah selamat sampai ke sini. Aku terus mencapai telefon bimbitku.
          Sekeping nota post-it berwarna merah terjatuh dari beg tanganku. Aku terus mencapai dan membalek-balek isi tulisannya.
‘ Terima kasih untuk malam ini…’
Aku terkaku.
Tidak menyangka sama sekali ada nota diselitkan di balik beg tanganku ini. Tidak lain tidak bukan ini dari Azmi kerana semalam aku yang keluar dengannya. Cuma, aku menjadi hairan lantaran aku tidak tahu saatnya dia menyelitkan nota ini di dalam beg tanganku pula. Mungkin agaknya sewaktu makan di gerai kerana ketika itu dia duduk bersebelahan denganku.
          Aku tersenyum sendiri seraya membawa sama nota itu bersamaku dan aku kembali duduk di birai katil. Ligat akal mengingat memori semalam. Lama benar kami berkongsi cerita semalam hingga tidak sedar hampir ke pukul 1 pagi. Patutlah dia mahu menjemputku di rumah semalam kerana tidak menyangka juga kami keluar sehingga ke waktu itu. sesampainya di rumah, abah masih menanti. Dia sempat bersalaman dan meminta maaf kerana kelewatan menghantarku pulang ke rumah semalam. Abah pula biasa saja menghadapi Azmi seakan dia sudah percaya dengan sahabatku itu. sepulangnya aku semalam, abah terus menyuruh aku membersihkan diri dan berehat kerana bimbang juga abah aku akan kepenatan untuk bekerja. Abah sempat berpesan supaya nanti di kemudian hari kalau aku perlu pergi untuk urusan kerja jauh dari selalu, dia tidak menggalakkan waktu malamnya aku pergi keluar hingga pulang ke akhir begini melainkan kalau esoknya waktu cuti awam. Aku hanya mengiakan saja pesanan abah kerana aku rasa sedikit serba-salah sehingga membiarkan abah turut sama menungguku pulang semalam. Untungnya semalam abah tidak menyentuh apa-apa tentang Azmi itu.
kalaulah abah memilih untuk bertanya lebih lanjut, jawapan apalah yang aku ada buat abah?
Aku menghela nafas berat. Aku meletakkan nota itu di sisi. Aku belum berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada Azmi kerana membawa aku keluar semalam. Demi saja sampai ke rumah, aku terus masuk kerana Azmi sendiri sudah keluar dari kereta dan bersalaman dengan abah yang masih menanti aku pulang.
Ah… Aku ini sepatutnya lebih baik jangan banyak berfikir kerana setiap kali memikirkan sesuatu aku selalu lewat mendapat jawapan yang dicari. Yang tinggal, aku terlupa tujuan asal.
Aku menekan-nekan sesuatu di telefon bimbitku. Sudah dikesan roaming modenya. Bolehlah aku menghantar pesanan kepada mama yang pastinya sudah lama menanti berita dariku. Aku mengaktifkan wireless wi-fi agar mudah aku mengakses aplikasi yang lain. Sejurus selepas itu, banyak notifikasi kuterima. Aku terus membuka Whatsapp dan nampak nama mama tertera. Itu dulu yang aku buka sebelum pesanan yang lain yang juga datang serentak. Banyak mesej yang masuk.
‘Dah smpi?’
Aku membalas pertanyaan mama dengan memaklumkan yang aku selamat sampai di sini. Aku sempat memaklumkan juga yang aku akan menghubungi mama malam nanti sewaktu hendak tidur.
‘Jga diri. Solat jgn lupa. Shopping utk mama dan Soleha pun’
Aku tergelak dengan pesanan yang baru tiba itu. Mama itu kalau tidak ada pesanan loyar buruk yang satu itu memang tidak sah. Lagipun, mana mungkin aku terlupa untuk pergi membeli-belah sedangkan itulah terapi sesuai untukku sejak aku kecil lagi. Abah puas menasihati agar bijak berbelanja. Cuma, kadang nasihat abah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Bukan ingkar dengan suruhan abah, sekadar aku suka membelanjakan apa yang ada sesuai dengan yang aku mampu. Cuma, terapi ini bermusim. Maka aku tidak anggap aku membazir sakan.
‘Kirimslm abah juga..’
‘ abg Mi tak nak kirimslm?’
Aku tersentak.
Selambakan mama ni!
‘ Azmi dtg. Knp Lisa tak bgitau ke Sabah tu?’
Aku menelan liur. Meskipun aku terasa bersalah kerana tidak memaklumkan kepergianku Sabah kerana merasakan tidak penting aku mengkhabarkan urusan kerjaku kepada Azmi kerana selama ini tidak pernah pun aku atau dia ambil tahu urusan kerja masing-masing. Cuma aku hairan.
Mengapa Azmi datang ke rumah pulak?
‘Knp Azmi dtg?’
‘hahaa.. mama tipu. Azmi telefon sbb Hp Lisa blum aktif’
Aku merengus. Tidak sangka sama sekali dengan balasan mama. Memang akan menjadi sesuatu yang menghairankan kalau benar Azmi datang ke rumah. Memang tak ada kerjalah budak tu kalau dia asyik ambil peluang singgah ke rumah hanya untuk duduk dan lepak denganku!
‘ Kjp g Lisa teks dia’
‘Smpikn slm abh&mama pd Azmi..’
‘ Okay cinta’, balasku kepada mama yang disertai dengan emotikon mata hati kepada mama. Aku memilih untuk berbaring dan tercari-cari bantal pula. Aku menarik selimut hingga ke paras dada dan kembali memandang ke skrin telefon bimbitku. Ada beberapa pesanan dari Azmi.
Aku tersenyum kecil. Kebanyakan teksnya hanyalah kerana dia tidak berpuas hati kepadaku lantaran aku tidak memaklumkannya ketiadaanku selama beberapa hari ke depan. Kalau dia tahu aku akan pergi, semalam dia akan tahan aku sehingga ke subuh hari.
Jahat betulkan dia ni!
‘Klau kau thn aku, apa kau dpt?’
Aku membalas teksnya yang menjadi fokus itu. memang tidak sah kalau dia tidak mengusik begitu. Bahasanya memang begitu. Aku kira itu bahasa santai aku dan dia dan bukannya kasar dan tidak menjaga perasaan. Aku yang sudah terbiasa dengan semua itu maka ia bukan lagi masalah besar buatku.
Lama aku menunggu dia membalas teks itu kerana sebetulnya pesanannya itu sampai sudah 2 jam lebih. Aku meletakkan telefon bimbit di sisi. Aku menekan suis lampu utama menjadi sedikit suram kerana aku ingin tidur sekejap sementara menunggu jam petang.
          Click!
          ‘ Nak buat kau turut rasa rinduku’
          Aku hilang rasa dengan balasan Azmi. Walaupun dia bermain dengan kata-kata cinta dan sayang, aku masih kaku. Ini kerana, setiap kali dia mengusik begitu aku hanya akan merasakan cinta lama yang mekar tapi terkilan jua kerana putus dipertengahan.
          Aku tidak rasai kehadiran Azmi bahkan bekas tunanganku difikiran!
          ‘Knp kena rindu?’
          ‘ knp prgi tak bgtau?’
          ‘ Tak tnya’
          ‘prlukh tnya dulu baru bgtau?’
          ‘hmmmm..’
Sengaja aku membalasnya begitu kerana aku malas hendak bersoal-jawab. Itu bukan isu penting untuk ditelagahkan. Aku juga tidak suka memikirkan sesuatu yang tiada apa-apa maknanya dalam hidupku. Aku tidak suka membuat sesuatu yang membuang-buang masa atau waktuku. Tidak perlu aku jelaskan kenapa dan apa alasannya.
          Kalau benar kawan, mengertilah!
          Bukan perlu dijelaskan lagi satu persatu.