BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 28 Julai 2011

Bab 10-sayang sudahlah

Bab 10
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Petang itu, semua siswa-siswa dikumpulkan di hadapan dewan besar berhampiran dengan GYM maktab. Kami diarahkan memakai baju sukan rasmi yang telah diberikan kepada kami sebelum ini. Penerangan disampaikan dengan jelas, tentang aktiviti yang akan kami laksanakan petang itu. Sayangnya, tumpuanku hilang di situ. Tanganku sudah seram sejuk lantaran gementar dengan khabar AJK tadi. Mataku meliar mencari cikgu itu di kelompok pensyarah yang lain.
Lega..
Dia tak ada!
“ Cari saya?”
Bisikan seseorang di sebelahku itu mengejutkan sekeping hatiku. Kerana ingin tahu, aku terus menoleh.
Aku menggigit bibir.
“ Apa aktivitinya?” soalnya lagi. Namun aku, terus membisu. Aku terkejut benar dengan kehadirannya yang tiba-tiba itu sedangkan hatiku sudah lega sebelumnya kerana tidak nampak kelibatnya di kelompok pensyarah yang lain. Alih-alih, dia sudah terpacak di sebelahku!
Mizaa di sisi sekadar tersengih.
“ Hani dan Cikgu Zarul, ini sampulnya..” salah seorang AJK Sukan Minggu Orientasi memberikan sepucuk sampul surat kepada Cikgu Zarul. Rupanya, aktiviti Treasure Hunt.
“ Lokasi macam biasa, masuk hutan kecil di belakang GYM..”
Aku tersentak.
Takkan hari senja begini masuk hutan?
“ Arahan tadi dah dengar, kan?” soal AJK itu inginkan kepastiaan.
Jawapan apa lagi yang kuada selain terpaksa mengakui juga sedangkan hal sebenarnya, tidak begitu. Bagaimana mungkin aku boleh mendengar penjelasan tadi sedangkan hati dan fikiranku di selubungi resah gara-gara cikgu itu.
“ Masa permainan hanya 1 jam 30 minit dan sila kembali ke tempat asal sebelum jam 6 petang. Sekiranya tersesat, tunggu bantuan..” terang AJK itu lagi sebelum meninggalkan aku berdua dengan Cikgu Zarul.
Aku termangu.
“ Shall we?” tanyanya dengan perlahan sedangkan siswa-siswa yang lain sudah pun bergegas masuk ke laluan hutan kecil itu.
Tiada pilihan lain, aku hanya mengangguk. Dengan hati yang berbelah bahagi, aku mengikuti langkahnya yang bersemangat untuk memulakan aktiviti.
Cikgu Zarul memandangku.
“ Kenapa tak senyum?” soalnya seraya memberikan kepadaku isi sampul yang diberikan itu. Pertanyaannya tidakku jawab kerana itu bukan soalan tetapi lebih kepada sindiran.
-          Menuju ke sungai, dapatkan bendera merah.
Itu arahan pertama permainan itu.
“ Sungai?” tanyaku kepada Cikgu Zarul.
Dia mengangguk.
“ Anak sungai..”
Aku mengetap bibir.
“ Cikgu tahu tempatnya?” soalku kerana aku bertekad untuk segera menamatkan permainan meskipun lokasi bendera kecil yang dicari ada 7 kesemuanya.
Cikgu zarul menggaris senyuman.
“ Mestilah..” balasnya dan mengajakku untuk berlari-lari anak sedangkan pemain yang lain sudah menghilang. Bermula dari laluan kecil hutan itu, hinggalah menyusuri pelbagai pokok, pohon dan pemandangan lain, anak sungai itu belum juga ditemui. Langkahku sudah semakin perlahan. Penatnya tidak terkata.
“ Betul cikgu tahu?” soalku akhirnya bila langkah semakin perlahan. Perasaanku sudah lain kerana tiada seorang pun yang ada kecuali kami berdua.
Cikgu Zarul menggaru-garukan kepalanya.
“ Macam dah lain..” jawabnya menakutkan aku.
Aku sudah merasa hendak menangis dengan jawapan itu. Jujur saja, aku benar-benar takut memasuki hutan walaupun sekadar hutan kecil. Bunyi-bunyi serangga menyeramkan dan paling aku takuti adalah spesis binatang yang melingkar.
U....
“ Janganlah main-main cikgu.. Saya takut..” luahku akhirnya dengan rasa bimbang. Hari sudah semakin senja dan gelap. Jangankan bayang bendera, anak sungai pun tidak kelihatan langsung.
Cikgu Zarul mematikan langkahnya di hadapanku.
“ Saya tak main-main..” jawabnya bersungguh-sungguh.
Aku menggenggam kedua belah tanganku. Sudahlah telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa, dalam keadaan begini.. kepada siapa hendak meminta bantuan.
“ Jangan kata kita tersesat..”
Cikgu Zarul hanya mengangkat bahu.
Aku mengeluh hampa.
Di atas batu besar itu, aku hanya duduk dan berputus asa. Sedangkan Cikgu Zarul hanya berpeluk tubuh dengan gayanya yang tersendiri. Sudahlah kawasan kian menggelap, panas dan bermacam-macam bunyi serangga sudah mula kedengaran.
Aku semakin berdebar-debar.
Aku memandang Cikgu Zarul tidak jauh dariku. Teragak-agak jugaku jadinya tapi apa daya, rasa ini kian menyeksa.
“ Cikgu… saya takut..” luahku.
Cikgu Zarul tidak berkata.
Aku meliarkan mata memandang sekeliling. Bermacam-macam bunyi sudah kedengaran membuatkan aku semakin keresahan.
Bunyi itu makin lama makin kuat. Melihat Cikgu Zarul yang hanya selamba itu, aku terpaksa bergerak sendiri menghampirinya. Aku tidak punya pilihan lain kecuali terpaksa berdiri dekat benar kepada cikgu muda itu.
Dia melepaskan tawa kecil dan aku terasa hati.
Aku memang benar-benar takut!
“ Muka tu..” usiknya.
Aku menggigit bibir.
Kalau aku menangis juga saat itu, dia juga yang susah. Tak pasal-pasal nanti dia dituduh macam-macam pula.
“ Saya tak main-mainlah..” marahku.
Cikgu Zarul sekadar tersengih.
“ Jangan marahlah cik adik..” usiknya lagi.
Aku menjeling.
“ Boleh saya pegang tangan awak?” soalnya dengan tiba-tiba.
Hampir luruh seluruh jantungku mendengar pertanyaan itu. Tambahan lagi suaranya gemersik dan membuai-buai. Aku kian berdebar.
Aku resah dalam menanti. Dia seperti sengaja meletakkan aku dalam situasi serba-salah dan ketandusan jawapan. Mungkin kerana tiada jawapan, maka dengan beraninya dia menggenggam tangan kananku.
Aku tersentak.
Debar di hatiku bertalu-talu tapi insan di sebelahku hanya bersahaja, seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Sesekali aku mengerlingnya yang nampak tidak ada tanda-tanda mahukan keadaan ini berlalu cepat kerana dia langsung tidak berusaha untuk mendapatkan bantuan langsung kepada siswa yang menjadi AJK itu.
“ Hmm.. nama awak siapa?” soalnya memecah keheningan senja.
“ Hani Aqilah..”
Dia mengangguk namun genggaman di tanganku kian erat.
“ Jurusan apa?”
“ Bahasa..” balasku sepatah kerana aku benar-benar tidak ada mood untuk bercerita. Bukan begini perkenalan yang kumahu. Di tengah-tengah hutan yang kian menggelap, di kelilingi serangga yang entah.
Zzzzzzzaaapp!
Aku terkejut mendengar bunyi yang tidak jauh dariku itu. Lantas, tanpa berfikir panjang aku terus memeluk tangan Cikgu Zarul. Cikgu Zarul nampak terkejut tapi aku tidak peduli.
“ Cikgu, tolonglah… saya dah takut separuh mati..” rayuku bersungguh-sungguh sambil memegang tangannya.
Peduli apa kalau dia hendak melabel aku pelajar apa pun aku tak kisah yang penting, aku nak keluar dari hutan ini dan lari dari ketakutan ini.
“ okey..” balasnya, seperti memujuk.
Pantas saja dia membawa aku bergerak dari situ walaupun aku tidak yakin dengan kebolehannya membawaku pulang ke tempat asal. Tapi aku tidak punya pilihan melainkan terpaksa bergantung harap saja kepadanya. Hinggalah di satu penjuru kami akhirnya ditemui oleh AJK Orientasi tadi dengan beberapa orang kawannya. Mereka langsung tidak mengulas apa-apa atau bertanya apa-apa pun keadaan tentang kami seolah-olah ianya dirancang pula.
Tanganku segara kutarik meskipun aku tahu mereka sempat melihatnya.
“ Kenapa boleh tersesat, cikgu?” soal pelajar senior itu kepada Cikgu Zarul namun nadanya kedengaran seperti disindir.
“ Kamu sengaja ubah petanda yang pertamakan?” balas Cikgu Zarul dengan penuh makna.
Anggukan mereka menjawab segalanya.
Aku terasa seperti diperbodohkan dan aku sedar sekarang, Cikgu Zarul sedang mempermainkanku.
Matanya dan mataku saling berpandangan.

Bab 9-sayang sudahlah

Bab 9
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

Memori 5 tahun dulu….
            Hari memang panas terik. Meskipun di dalam hati berharap hujankan turun dengan mendadak namun langit yang cerah tidak menunjukkan tanda-tanda mahu gerimis. Di seluruh maktab hampir sesak dengan ketibaan siswa-siswi dari pelusuk daerah yang  datang untuk terus menimba ilmu dan berkarier dalam bidang perguruan. Sesi pendaftaran bermula dan semua sibuk untuk mengetahui jurusan mana ditempatkan.
            Syukur Alhamdulilah, aku diberi peluang melanjutkan pembelajaran dalam jurusan Bahasa dan Komunikasi kerana aku memang sangat meminati bidang ini. Aku suka mempelajari sesuatu yang aku sudah tahu kerana dari situ aku boleh menambah kemahiran. Aku senang menambah bahasa kerana ia memberiku banyak kebaikan. Yang paling menyeronokkan lagi, aku dan teman baikku itu diterima sama memasuki maktab ini. Bukan senang untuk dipilih ke sini kerana semuanya bergantung kepada pencapaian akademik. Bersyukur benarku kerana Allah memberiku rezeki begini.
            “ Hani..” panggil Mizaa di sebelahku.
            Aku tidak memandangnya namun mendengarnya memanggilku. Aku lebih menumpukan perhatian terhadap borang perkuliahan untuk ditandatangani pensyarah nanti. Keadaan sangat bising dengan pelbagai suara. Biasalah. Itu hari pertama menjejakkan kaki ke maktab, memang beginilah suasananya.
            “ Hani..” panggil Mizaa lagi, seperti sedang mendesak aku. Lantaran ingin tahu, makanya aku berpaling.
            “ Kenapa?” soalku.
            Dia menunjukkan sesuatu di bahagian kakiku.
Pantas aku melihat.
            You’ve step on someone’s paper..” balas Mizaa antara dengar dan tidak. Teragak-agak juga dia saat itu bersama mukanya yang sudah nampak cemberut.
            Alamak…
            Dengan segera aku mengambil kertas itu dan memberikan kepada empunyanya. Pemiliknya ada di sebelahku. Seorang pemuda yang nampak bersahaja dan menarik. Senyumannya mencarik ketenanganku.
Entah sinis, entah ikhlas.
            Aduhai.. rasa bersalah benarku.
Sudah tentulah kotor kerana helaian kertas itu berwarna putih. Aku sempat membaca nama pemilik kertas itu.
Cikgu Zarul Syafi’e bin Zahri Saari.
Tersentap benar tangkai hatiku saat terbaca pemilik helaian kertas itu. Semakin rasa bersalahku kepadanya kerana dia adalah Pensyarah Fakulti Pendidikan.
            “ Maaf cikgu..” pintaku bersungguh-sungguh.
            Cikgu di hadapanku itu sekadar mengangkat keningnya. Kali pertama melihat dirinya, tiada siapapun akan menduga dia adalah seorang pendidik kerana nampak seperti siswa yang baru hendak mendaftar saja. 
            Benar-benar kontras sekali.
            “ Siswi baru?” soalnya.
            Aku mengangguk.
            Dia menggumam namun renungan matanya yang galak semakin meresahkanku.
            “ Kertas saya dah kotor…” ayat itu kedengaran tergantung, seperti menginginkan aku yang membuat kesimpulannya.
            Aku mengetap bibir.
            “ Masih dalam minggu orientasikan?” tanyanya lagi.
            Aku mengangguk lagi meskipun hatiku semakin resah kerana lagak pensyarah itu seperti ingin menghukum aku. Matanya meliar seperti mencari seseorang. Tidak lama kemudian, seseorang menghampirinya. Rupanya, cikgu itu memanggil AJK Minggu Orientasi.
            Dia seperti berbisik.
Butir bicaranya tidak dapat kutangkap dengan jelas lantaran suasana di sekeliling terlalu bising. Beberapa detik berlalu, cikgu itu tersenyum-senyum dan terus meninggalkan aku termangu sendiri.
            By the way young lady.. sukan petang nanti, your partner would be that lecturer…” khabarnya dan terus berlalu.
            Aku mati kata saat itu juga.
Bibirku terkunci dan akalku terhenti. Aku tidak mampu menjawab atau membantah juga detik itu. Tambahan lagi, kami sebagai siswa-siswi baru tidak dibenarkan membantah arahan dan juga rancangan yang sudah ditetapkan.
            Aku menoleh Mizaa di sisi.
            Mizaa sekadar mengangkat bahu.
            “Betul kita ada sport petang nanti?” soalku ingin kepastian. Mizaa terus membuka buku Program Orientasinya dan meneliti aturcara yang sudah disediakan.
            Anggukannya menghampakanku.
“ Habislah…” Mizaa sempat mengusik sedangkan hatiku sudah diamuk badai gundah yang menggila.

bab 8- Sayang sudahlah

Bab 8
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…
            “ Hani…”
            Panggilan ummi tidakku sahut kerana sebaik saja tiba ke rumah, aku pantas berlari-lari anak menaiki anak tangga untuk masuk ke bilik. Terus saja kukunci dan merebahkan diriku di atas katilku. Kali ini aku menyambung tangis. Meskipun sepanjang perjalanan pulang Cikgu Zarul puas memujuk hatiku tapi apakan daya, benteng hatiku dilanda badai gerimis. Sedihnya bukan kepalang.
            “ Siapa yang hantar Hani tadi?” soal ummi lagi dari luar.
            Hatiku kian merintih. Tangisan semakin deras.
            “ Ummi… Hani kurang sihat, tinggalkan Hani dulu..” pintaku dengan suara mendatar dari dalam bilik tidurku. Aku berharap benar ummi akan membiarkan aku bersendirian saat ini. Aku belum bersedia berkongsi cerita dengan sesiapapun termasuk ummi. Lama keadaan sunyi kerana aku yakin ummi pasti sudah meninggalkanku.
            Maafkan Hani, ummi..
            Aku mengesat airmata.
Khabar yang disampaikan oleh adik Cikgu Zarul bagai menghempap seluruh hidupku dengan bala yang tertunda. Aku mengeluarkan sesuatu dari beg tanganku. Kotak baldu berwarna biru itu kubuka.
            Menyinar kilauan permatanya.
            Inikah yang Cikgu Zarul ingin berikan kepadaku dulu?
            Aku menggigit bibir.
            Tidak keterlaluan kalau aku katakan, Cikgu Zarul memang bersungguh-sungguh kepadaku.
Tapi.. kenapa terlewat benar?
            Aku bersandar di kepala katil.
            Fikiranku jauh memikirkan Cikgu Zarul.
Sebegitukah yang dialaminya sejak aku menjauh? Silapnya aku juga kerana meninggalkannya sebegitu saja.
            Aku mengeluh.
            Bagaimana aku ingin menghubunginya kalau sememangnya aku sudah tidak ada sebab lagi?
            Aku mengambil telefon bimbitku. Aku menaip sesuatu di atasnya meskipun hatiku berbelah bahagi jadinya.
            ‘ Betulkah cikgu suka saya?’
            Lama kumenunggu pesananku berbalas.
            ‘ Sayang..’
            Aku mengetap bibir saat menerima balasan daripadanya.
            ‘ Betulkah sya mlukakn hati cikgu?’
            Aku sengaja bertanya lagi soalan itu kerana aku benar-benar tidak dapat menerima kenyataan.
            ‘ cerita lama. Jgn dkng..’
            Simpatiku menggunung.
Tambahan lagi saat aku terkenang kebaikan yang dicurahkannya kepadaku 5 tahun dulu. Bermula di hari pertama minggu orientasi di maktab perguruan sehinggalah  hari terakhir aku meraikan kejayaanku. Tidak terhitung jasa dan kebaikannya itu. Manusia biasa sepertiku, tidakkan mungkin mampu membalas segala jasa-jasanya.
            TUHAN… KAU tunjukkanlahku jalan.

Selasa, 26 Julai 2011

Bab 7- Sayang sudahlah

Bab 7
Sayang sudahlah
Jangan ada airmata lagi…

            “ Hai..” sapa seseorang di belakangku. Aku segera menoleh lantaran ingin tahu si gerangan. Aku yang masih menanti giliran untuk mengambil makanan terpaksa membantutkan niat. Selepas bacaan habis, doa terus dipanjatkan dan tetamu pula dipelawa menikmati jamuan.
Rupanya lelaki yang kulihat tadi.
“ Hai..” balasku perlahan.
Dia menggaris senyuman.
“ Saya Syahmi..”
            Hai.. aku tak tanya pun!
            “ Zarul Syahmi..”
            Aku tersentak.
Selama aku mengenali Cikgu Zarul, aku tak pernah pula mendengar cerita mengenai lelaki yang bernama Zarul Syahmi ini.
            “ Dah puas menelah saya?”
            Aku mengalih pandangan. Soalan itu mengusik tasik hatiku.
            “ Bakal adik ipar..” sindirnya selamba.
            Aku menelan liur.
Caranya bercakap seperti sedang ingin menghukum aku dengan kesalahan yang aku sendiri tidak tahu. Kalau setakat peristiwa kecil itu, aku sudah lama meminta maaf kepadanya.
            “ Kenapa macam masih menyimpan dendam?” soalku berterus-terang.
            Dia tertawa kecil.
            “ Pasal awak langgar saya dulu, itu perkara kecil..”
            Jawapannya seperti tergantung.
            “ tapi hal ini yang membuatkan saya terkilan kepada awak..”
            Kenyataan itu terbiar begitu saja kerana dengan tiba-tiba saja Cikgu Zarul sudah datang menghampiri kami.
            “ Dah kenal?” tanyanya.
            Aku pantas menggeleng.
            “ Mi.. ni Hani..” perkenal Cikgu Zarul.
            Zarul Syahmi itu sekadar tersenyum.
            “ Yang ini adik saya, Zarul Syahmi..”
            Aku tidak berkutik.
            Hening seketika suasana kerana aku dan Syahmi saling berpandangan. Aku ingin dia menghabiskan kata sebelum berlalu tapi sayangnya Cikgu Zarul terlebih dahulu memintaku pergi menikmati jamuan di dapur pula.
            Dia menarikkan kerusi di meja makan untukku duduk. Makanan pula sudah awal terhidang oleh pembantu rumahnya.
            “ Makanlah..” pelawanya ketika dia turut sama menjamah makanan. Aku tidak membantah. Anehnya, saat itu aku terus-terusan memikirkan kata-kata Zarul Syahmi itu. Aku ingin tahu benar maksudnya.
            Mengapa pula dia terkilan?
            “ Fikir apa?” soal Cikgu Zarul kepadaku ketika dilihatnya aku sekadar menguis-nguis makanan di hadapanku.
            Aku memandangnya sesaat dan kemudian terus menggeleng-gelengkan kepala. Aku tidak berniat mahu bercerita tentang layanan adiknya terhadapku kerana aku menghormati dia sebagai cikguku. Tambahan lagi fikiranku semakin bercelaru memikirkan kata-katanya.
            “ Hani..” panggil Cikgu Zarul.
            Aku membalas pandangan. Sinar di matanya mengundang resah yang menggila. Apakah cerita yang disimpannya di sebalik mata yang bening itu?
            “ Lama kita tak jumpa..kan?” tanyanya bersama senyuman.
            Aku mati kata.
            “ Masa memang mendewasakan kita…” tambahnya lagi.
            Aku menelan liur.
            “ Oh ya Hani.. Saya ada sesuatu untuk awak. Hadiah yang sepatutnya sudah saya berikan kepada awak 5 tahun dulu..” khabarnya kepadaku dengan wajah ceria meskipun setiap patah perkataannya tidak kusambut.
            “ Saya naik ke atas sekejap..” pintanya dan segera berlalu tanpa menunggu persetujuanku sama sekali.
            Aku melepaskan keluhan. Kian resahku jadinya dengan apa yang aku lalui saat ini. Tanpa kuduga, Zarul Syahmi pula masuk ke dapur setelah kelibat Cikgu Zarul menghilang. Dia seperti ingin mengambil peluang untuk berbicara denganku.
            Dia menarik kerusi di hadapanku dan duduk. Aku semakin rasa meluat dengan tingkahnya walaupun aku sedar dia adalah tuan rumah.
            “ Apa maksud dengan kata-kata awak tadi?” tanyaku dengan dingin.
            Zarul Syahmi tersenyum sinis.
            “ Jujur dengan saya.. pernah tak abang saya meluahkan perasaannya kepada awak?” tanya serius dan bersungguh.
            Aku merasa ingin pitam mendengar soalan yang tiba-tiba itu. Bagiku, sudah lama kisah itu berlalu dan sekarang, kenapa ia diungkit lagi? Aku sendiri punya hak untuk menerima atau menolak pilihanku dan seharusnya semua orang menghormati keputusanku itu.
            “ Apa hak awak untuk tahu?” soalku dengan suara yang agak tertahan dari meninggi. Hatiku rasa sakit kepadanya yang seolah-olah tidak tahu menghormati aku sebagai tetamu di rumahnya.
            Wajahnya sudah berubah tegang.
            “ Kerana jawapan awak lima tahun dulu hampir meragut nyawa abang saya..”
            Aku terkejut besar.
            “ Apa maksudnya?” tanyaku dengan tergesa-gesa. Aku ingin tahu kisah selanjutnya tentang khabar yang cuba disampaikan oleh adik Cikgu Zarul itu. Cerita ini, aku tidak pernah tahu.
            “ Abang Zarul dulu menanggung derita sakit buah pinggang sebelah.. sejak awak menolak dirinya, dia nekad untuk tidak terus berjuang meneruskan hidup sekalipun untuk ibu dan walid kami..”
            Aku tersentak.
            “ Kerana bagi abang, hidup tidak ada maknanya tanpa awak..” sambung Zarul Syahmi dengan sedikit beremosi.
            Aku menelan liur.
            Benarkah apa yang kudengar atau dia sekadar mereka cerita saja?
            “ Airmata ibu dan banyak tumpah kerana abang Zarul..” dia berhenti seketika sebelum menyambung kata. “ dan abang begitu kerana awak, Hani..” suara Syahmi semakin perlahan.
            “ Ibu dan walid berulang kali memujuk abang.. hinggalah kata-kata walid abang jadikan azam.. percaya pada jodoh yang TUHAN tentukan.. Jika ada, pasti berjumpa..”
            Aku merasa sebak. Sehebat inikah yang Cikgu Zarul alami sejak aku menolak untuk menjadi pasangan hidupnya 5 tahun dulu? Aku bukan apa. Dulu perasaanku kepadanya terbenteng kerana statusnya sebagai pensyarahku meskipun aku sedar cinta itu buta. Aku pantas menerima huluran cinta Syafiq walaupun aku tahu Cikgu Zarul terlebih dahulu menyimpan perasaan terhadapku.
            “ Alhamdulilah.. TUHAN panjangkan umur abang Zarul.. Abang dapat meneruskan hidup dengan hanya sebiji buah pinggang..”
            Aku terdiam benar dengan kenyataan itu.
            “ Janganlah buat abang saya semakin menderita dan lelah menunggu awak, Hani..” suaranya seperti mengharap dan membuatkan aku semakin tertekan.
            Kenapa lama benar Cikgu Zarul ni?
            “ Lainlah kalau awak ingin merasai kehilangan lagi…” sambungnya dengan perlahan tapi kedengaran biadab sekali. Tidakkah dia tahu, aku pernah merasakan keperitan ditinggalkan dalam kenangan pahit dan menyedihkan? Aku sendiri tidak ingin hidup di dalam memori itu, kenapa pulak aku ingin dia berulang. Soalan itu terlalu bodoh. Bodoh sehingga mencalar lagi luka lama yang barukan sembuh.
            “ Awak tak tahu.. erti kesedihan yang saya simpan seorang..” jawabku dengan nada mendatar. Mataku sudah berkaca, seperti ingin jatuh saja saat itu tapi kuusahakan bertahan. Meskipun Zarul Syahmi rasa bersalah melihat gadis pujaan abangnya nampak sayu tapi dia hanya inginkan abangnya mengecapi bahagia.
            “ tak siapa yang tahu…”
            Saat itu juga aku menangis. Menangis semahuku kerana tasik hatiku yang surut kini pasang lagi dengan kesedihan. Aku tak bodoh untuk membuat orang yang aku sayangi menjadi derita. Aku tak akan pernah melakukan itu. Cikgu Zarul sendiri tidak bersungguh-sungguh menyatakan hasrat hatinya kepadaku lantas bagaimana mungkin aku yakin dengan kata-katanya?
            Bahuku disentuh perlahan namun aku tidak menoleh.
            “ Hani kenapa?”

            Suara itu bukan lagi suara Zarul Syahmi tetapi suara Cikgu Zarul. Suaranya kedengaran cemas. Apabila aku menoleh, Syahmi sudah hilang.
            “ Awak nak pulang sekarang?” tanyanya lagi di sebelahku namun aku lebih senang mengawal esakan. Cikgu Zarul sudah duduk di sebelahku. Dia mengangkat daguku untuk memandang wajahnya yang sudah mula risau. Melihat bening mata itu semakin membuatkan aku serba-salah dan bersalah yang sesungguhnya.
            “ Awak nak saya hantar?”
            Tangisan bukannya semakin reda tetapi makin mencurah airmata. Sekejam itu diriku kepada dia yang menaruh harapan? Itu jugakah yang aku lakukan terhadap arwah Syafiq meskipun aku tahu hatiku telah tersakiti?
            Mungkin kerana tiada jawapan dariku itu maka dengan pantas saja Cikgu Zarul menarik tanganku dan membawaku keluar rumah melalui pintu belakang di dapur rumahnya. Di satu kawasan, agak tersorok dari pandangan tetamu yang lain.. Cikgu Zarul menarik aku ke dalam pelukannya.
            Aku serta-merta terkaku.
            “ Jangan buat saya susah hati, Hani..” pujuknya dengan perlahan dan saat itu aku rasakan seperti disayangi olehnya walaupun akalku sedar benar saat itu. Airmataku bukan semakin berhenti malah semakin deras. Hatiku rawan benar saat itu. Fikiranku melayang terkenang Syafiq tetapi hatiku terusik kerana Cikgu Zarul.
            Aku cuba menolak pelukannya kerana aku rasa lain detik itu. Aku mengesat airmata dengan kedua belah tanganku. Aku memandang tepat kepada Cikgu Zarul yang nampak seperti kebingungan dengan sikapku itu.
            “ Benarkah saya telah melukakan hati cikgu?” soalku dengan suara mendatar.
            Cikgu Zarul termangu.
            Apakah yang menyebabkan Hani berkata begitu?
            “ Kenapa tanya saya soalan itu, Hani?” balasnya. Wajahnya nampak berubah gelisah dan tidak tenang seperti tadi. Simpatiku bercambah mengenangkan saat lima tahun dulu, dia menderita sendiri tanpaku.
            “ Jawablah, cikgu..” pintaku dengan mengharap.
            Kudengar Cikgu Zarul mengeluh. Aku cuba untuk menyelami dasar hatinya tapi dia pantas merubah ombak perasaannya.
            Dia menarik kedua belah tanganku dengan berani, memegangnya erat hinggaku rasakan debar kencang di dalam dada.
            Aku menggigit bibir.
            “ Ya.. Hani, awak pernah..”