BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 25 September 2011

Bab 6- O.R.K.I.D

Bab 6
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Senja itu aku habiskan sisa-sisanya dengan melawat pokok-pokok bunga yang dijaga abah sejak ibu tiada. Dulu, akulah yang paling rajin menemani abah menjaganya. Kini, aku sudah berubah. Sama seperti bebunga yang makin hari makin layu dimamah hari-hari mendatang. Aku sedar di balik rumah tidak jauh dari rumah kami itu, ada sepasang mata yang masih mengintaiku. Aku kenal dia siapa dan aku tahu kenapa dia begitu.
Itulah Fahrin.
Rumahnya hanya beberapa minit saja dari rumahku dan aku pasti kalau Dhani ada, pasti dia akan berwajah tegang lagi dan pasti dia akan merajuk lagi.
“ Sayang buat apa?” suara Dhani mula kedengaran saat aku sibuk menyiram pokok-pokok bunga yang memekar itu. Aku memandangnya sekilas sebelum menyambung semula kerja-kerjaku.
      “ Ni jaga bunga abah..” balasku.
      “ Boleh abang tolong?” soalnya lagi seraya mengambil hos yang ada di tanganku tanpa menunggu jawapanku.
      Aku sekadar mengangkat bahu saja dengan tingkah suamiku itu.
      “ Sayang..” panggil Dhani lagi.
      Aku menggumam.
      “ Sini dekat dengan abang kejap..” pintanya walaupun di tangannya masih sibuk menyiram lebihan bunga yang belum diberi air lagi.
      “ Kenapa?” soalku ingin tahu benar. Hairan benar dengan caranya itu. Sempat juga Dhani menarik lenganku untuk berdiri dekat dengannya.
      “ Kenapa agaknya orang tu asyik pandang ke sini?” bisiknya perlahan namun jelas sekali pada pendengaranku. Aku bagai kehilangan suara untuk menjawab soalan itu kerana pasti nanti jawapanku akan mengubah moodnya nanti.
      “ Abang kenal dia kan?”
      Aku menggigit bibirku dengan kuat. Perlukah aku jawab sedangkan Dhani sendiri boleh mengagak gerangan yang sedari tadi mengintai aku itu. Aku sebenarnya tidak menyangka kepulangannya ke kampung pada hari pernikahanku. Aku terkejut benar akan keberadaannya dan sekali lagi aku terkejut bila mengetahui bahawa dia tidak jadi meneruskan perkahwinan dengan gadis pujaannya.
      “ Kenapa dia asyik pandang isteri abang?”
      Aku mengeluh. Dhani nampaknya mula lagi dengan sikapnya yang selalu ingin mencari perhatianku.
      “ Abah mana?” soalku cuba mengalih pertanyaannya kepada soalan yang lain. Tanpa menunggu jawapannya aku menuju ke satu sudut untuk menutup pili air yang dibiarkan mencurah-curah kerana konsentrasi Dhani tidak lagi pada kerjaku tetapi pada insan yang selalu mencuri pandang pada isterinya ini.
      “ Sayang..” panggilnya mengharapkan jawapan dariku.
      Aku menghela nafas berat.
      “ Sara tahu abang kenal dia, kan..” tebakku kerana aku bingung dengan tingkahnya yang nampaknya selalu memaksa aku berterus-terang.
      Dhani mengangguk tapi wajahnya sudah berubah.
      “ Bekas tunang Sara..”
      Aku diam.
Menanti dia meneruskan kata.
Dhani nampaknya ingin memulakannya lagi. Sepatutnya Dhani sedar. Meskipun aku belum bersedia menerima dia dalam hidupku tapi dia harus tahu bahawa aku tidak akan kembali semula kepada insan yang sudah membuang aku ke dalam hidupnya sekalipun dia menginginkan aku kembali lagi bersamanya.
      Aku mendekati suamiku yang selalu menyimpan curiga padaku itu. Aku merenung jauh ke dalam anak matanya yang seakan menagih sesuatu dariku yang sukar untukku beri padanya.
      Hati.
      Aku menarik kedua belah tangannya dan sengaja kubawa ke pinggangku, mengharap dia akan memelukku. Aku sempat mengerling dari ekor mataku gerangan Fahrin yang sudah berginjak jauh dari tempatnya. Mungkin dia sudah masuk ke dalam rumah.
      Aku ketawa kecil di dalam hati.
      “ Boleh tak abang rasakan yang Sara hanya kepunyaan abang?” soalku sambil memeluk lehernya dengan manja.
      Dhani tidak menjawab tapi renungan matanya seolah berbicara.
      “ Sara.. hati Sara bukan milik abangkan…”
      Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Aku pantas mematikan senyuman dan menunduk. Terlalu berat sekali untukku menidakkannya kerana sememangnya dia belum lagi meraih tempat di dalam hatiku. Tapi aku tidak ingin dia merasakan aku jauh darinya.
      “ Kita bincang soal ini nanti..” balasku selamba sedang wajah suamiku sudah berubah kecewa.
      Aku menarik tangannya dan menggengam erat.
      “ Dah senja sangat.. Lagipun, ini kampunglah bang.. Ramai orang pandang kita..” sambungku berharap Dhani akan faham dengan maksudku.
      Dhani menggaris senyuman nakal.
      “ Kalau kita bukan di kampung?”
      Aku mengetap bibir lalu menjelingnya.
      “ Abang jangan nak mengada-ngada.. Jom masuk..” arahku sambil menarik tangannya mengekoriku langkahku memasuki rumah. Aku tercari-cari kelibat abah hinggalah akhirnya aku terpaksa bertanya pada suamiku itu.
      “ Abang nampak abah tak?” tanyaku serius.
      Dhani mengangkat bahu.
      “ Seingat abang, sejak makan tengahari tadi abah terperap di bilik saja..” balasnya pula.
      Aku mendengus.
      “ Jom teman Sara jumpa abah..” ajakku sambil menarik tangan suamiku itu menuju ke bilik tidur abah. Sudah pastilah menjadi sesuatu yang ganjil bila abah asyik terperap saja. Selalunya, abah akan duduk di kerusi malasnya sambil membaca surat khabar ataupun menonton televisyen di ruang tamu. Itulah yang selalu kulihat abah lakukan setiap kali aku kembali ke kampung.
      Aku memulas tombol pintu apabila abah tidak bersuara saatku berulangkali menyerunya. Gundah sudah di hati ini tapi aku cuba menidakkan yang tidak baik itu pergi menjauh. Aku terpandang abah sedang berbaring di katilnya.
      Mustahil benar kalau abah tidur di senja begini.
      Aku melepaskan tangan Dhani dan menghampiri abah. Wajah abah nampak tenang saja tapi mencurigakanku. Aku menggoyangkan tubuh abah tapi tiada reaksi langsung.
      “Abah..” panggilku lagi. Sayangnya, abah tidak bergerak. Dia seperti tidur nyenyak benar, kelihatan letih sedangkan abah tidak banyak membuat kerja apapun sepanjang hari tadi. Cara abah ini menakutkanku tapi aku tidak mahum meneka sesuatu yang buruk menimpa abah pula.
      Aku menyentuh wajah abah dengan perasaan berdebar-debar.
      Masya Allah, sejuk!
      Tidak mungkin abah…
      “ Abang…”
      Dhani tidak bersuara.
Dia sama sepertiku, tidak ingin menyangka sesuatu yang buruk berlaku tapi apa daya. Aku dan Dhani tidak mampu menebak apa yang terjadi.
      “ Abah dah tak ada?” soalku dalam suara tertahan lalu memandang kepada suamiku yang nampak termangu itu.
Aku seperti tidak percaya dengan hakikat itu sedangkan pagi tadi aku masih nampak senyuman abah. Kali ini abah sudah terbujur kaku, pucat dan tidak bernyawa dalam tidur senjanya.
      Aku terasa ingin meraung kepada dunia agar tidak mengambil abah dari sisiku. Aku tidak ingin abah pergi tanpa melihat aku bahagia. Kepalaku terasa amat berat sedang airmataku terlalu deras mengalir.
      Beginikah suratan takdir?
      “ Sabarlah sayang..” suara Dhani kedengaran perlahan memujuk namun nadanya meruntun pilu di hatiku. Suara itu kedengaran mendatar kerana aku tahu, Dhani juga sedang menahan airmata.
      Kenapa sepantas ini abah pergi?
      Aku hanya mampu memandang Dhani menutupi seluruh tubuh abah dengan kain, sebagai tanda abah sudah tidak lagi bernafas di bumi TUHAN ini.
      Aku bertambah terseksa melihat keadaan itu.
      Aku memandang Dhani dengan mata yang sudah berkaca. Jiwaku sudah meraung hebat. Pilunya membakar jiwa. Tega sekali abah meninggalkan aku sendiri di dunia ini.
      Aku terjelopok di situ tanpa tanda. Yang aku tahu, aku terbeban. Dunia seperti tidak adil lagi padaku. Pandanganku perlahan berubah kelam hinggalah ia berubah kabur dan akhirnya gelap.
      Aku juga ingin menyusuli abah.

Isnin, 19 September 2011

Bab 5- O.R.K.I.D

Bab 5
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Aku terkejut saat abah tiba-tiba ada di hadapan kami bersama senyuman. Dengan pantas aku melepaskan pelukanku daripada Dhani kerana malu benar pada abah. Senyuman abah nampak bahagia tetapi sinis bagiku.
      “ Abah ingat dah ada kopi panas..” ucap abah selamba lalu berlalu meninggalkan aku dan Dhani di situ. Ungkapan abah memukul hatiku lagi dengan perasaan malu benar.
      “ Abanglah ni!” marahku sambil memukul bahunya.
      Dhani hanya mengangkat bahu.
      “ Salah Sara sebab buat abang merajuk..” balasnya selamba saja, seolah menuduh aku yang membuatkan tingkah kami tertangkap di hadapan abah.
      Aku mencebik.
      “ Salah abang okey..” balasku dengan nada merajuk dan terus menjauhinya. Aku menghampiri sinki untuk mengisi air dan menanaknya untuk menyediakan kopi panas abah.
      “ La.. isteri abangkan..”sambungnya lagi tidak mahu mengalah.
      Aku tidak menjawab.
Malas melayan karenahnya lantaran aku yang ada kerja lain yang lebih utama lagi.
“ Sara..” panggil suamiku lagi.
“ Abang please… jangan kacau Sara.. Sara nak sediakan makan kita ni..” jawabku terus tanpa memberinya peluang meneruskan kata.
 Aku terus-terusan menolaknya hinggalah dia sengaja menghentikan langkahnya di muka pintu dapur bersama senyuman nakalnya. Aku sempat memberinya amaran untuk tidak menggangu waktuku lagi kerana aku tidak mahu abah terus menanti pulak.
Dia tanpa kuduga mencium pipiku.
Aku tersentak lantas mencubit geram pinggangnya. Aku mendengar dia mengaduh sakit tapi aku tidak peduli. Silapnya juga kerana melakukan begitu dengan curi-curi.
“ Sakitlah..”
Aku ketawa kecil.
“ Padan muka..”
Dia mempamer wajah merajuk dan cuba meraih simpati.
Aku ketawa manja.
“ Hmm.. abang kena belajar lebih lagi kalau nak raih simpati Sara..” sindirku selamba kepadanya yang nampaknya rajuk itu langsung tidak menarik hatiku.
Aku pantas melenggok ke dapur semula sebelum aku tinggalkan dia termangu di situ dengan senyuman manjaku.

bab 4- O.R.K.I.D

Bab 4
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Pagi cerah, hari kedua aku bergelar isteri kepada Dhani aku sengaja memulakan waktuku dengan pergi ke kedai Pak Ali yang terletak di hujung simpang sana. Sengaja kukeluar di awal pagi tanpa izin suamiku walaupun aku sedar sewaktuku di dalam kereta tadi Dhani sudah pun siap membersihkan dirinya. Katanya padaku, dia mengambil cuti selama seminggu sempena perkahwinan kami. aku hairan juga kenapa Dhani hanya ingin majlis pernikahan saja dan tidak ada majlis persandingan dibuat. Namun aku senang begitu. Aku belum bersedia menghebahkan perkahwinanku ini kepada orang ramai walaupun kawan rapatku sendiri. Aku bimbang mereka akan terus-terusan menanyakan perihal terputusnya hubungan dengan Fahrin, bekas tunanganku dulu. Lantas, bagi memulakan hidup baru, aku ingin menunaikan tanggungjawabku sebagai isteri Dhani secara zahir saja. Aku belum berniat untuk mengenali suamiku itu dengan lebih jauh kerana aku sendiri tidak tahu kemana tujunya nanti hubungan perkahwinan kami ini.
      “ Bayar pak cik..” kataku kepada Pak Ali yang sudah lama di kaunter pembayaran. Aku ingin menyediakan sarapan, makan tengahari dan juga makan malam untuk keluargaku. Tanggungjawabku bertambah setelah terikat dengan Dhani. Aku bukan saja perlu memikirkan soal makan minum abah tetapi juga suamiku Dhani.
      “ Semuanya $29.70 nak..” balas Pak Ali setelah agak lama aku termangu menanti Pak Ali menyudahkan pengiraannya. Aku menggaris senyuman kelat saat tersedar akan kelekaanku.
      Aku menghulurkan wang $50 kepada Pak Ali dan menanti bakinya. Usai semuanya, aku ingin berlalu semula ke keretaku yang kutinggalkan masih hidup kuasa enjinnya bersama beg plastik yang penuh dengan barangan dapur.
      Aku terpaku saat terpandang Fahrin yang tiba-tiba saja ada bersandar di sisi keretaku. Bercampur baur perasaanku saat itu dan hanya TUHAN yang tahu resahku bertemu lagi dengannya. Terfikir akan diri yang sudah mencintai orang lain, maka aku segera saja memasukkan barang belianku ke dalam kereta.
      “ Maisara..”
      Segala perbuatanku terhenti tanpaku sedar. Aku bagaikan dipukau dengan gemersik suara lelaki yang pernah bertakhta di hatiku itu.
      Aku menelan liur berulang kali. Walaupun aku benci benar padanya tapi aku tidak tahu kenapa jua aku masih kaku di situ menanti dia meneruskan kata.
      “ Selamat pengantin Baru, Maisaraa..”
      Ucapan itu kedengaran indah tapi terlalu sinis bagiku. Apatah lagi ia datang dari bekas tunangan yang telah menghancurkan segala impianku untuk hidup bahagia.
      Aku sekadar berpeluk tubuh meskipun ungkapan itu bagaikan duri menusuk hati.
      “ Teganya khianati cinta kita..”
      Tuduhannya bagaikan halilintar yang memancar kejam ke lantai hatiku. Setega itukah hatiku mengkhianati sedangkan dia yang memulakan segala. Sedang dia yang dulu menghancurkan sekeping hatiku yang menjadi miliknya.
      “ Tak ada maknanya Fahrin. Kau yang dulu hancurkan segalanya..” balasku dengan nada tajam. Terkilan benarku dengan sikapnya yang terusan menuduh aku yang memusnahkan segalanya. Padahal, dia yang berubah hati dan dia jugalah yang berpaling arah.
      “ Saya bahagia dengan Dhani..”
      Dia ketawa sinis.
      “ Saya kenal awak, Sara..”
      Aku mengetap bibir. rasa jengkel dengan setiap baris kata-katanya.
      “ Apa yang awak kenal dengan saya?”
      Dia memandangku bersahaja.
      “ Bukan mudah awak berikan hati itu setelah ia dimiliki.. dan saya yakin, awak masih cintakan saya..”
      Mendengar barisan ungkapan itu, lantas aku menolaknya dari menghalangku memasuki keretaku. Kukunci terus pintu keretaku dan pantas aku memecut laju menuju kembali ke rumahku. Meninggalkan dia jauh, untuk seketika waktu kerana aku tahu suatu saatnya nanti aku pasti akan bertemu semula dengannya. Di dalam kereta itu aku sempat menangis. Menangis kerana perasaanku yang nyatanya masih ada pada bekas tunanganku itu. Bodoh benar rasaku bila sedar yang diri ini masih lagi sayang pada hubungan yang sudah lama hancur. Kerana cintaku dan kasihku, airmataku jatuh berlinang mengalir kerana setia terhadapnya telah dibuang ke tepi. Lalu, kerana janjinya dan sumpahnya untuk memilikiku jua aku menangis lagi.
      Aku kecewa dan terkilan.
      Kami berpisah jua akhirnya.
      Apakah dia sekadar menjanjikan aku dengan kelukaan?
      Ya TUHAN.. aku milik Dhani.
      Aku pantas mengesat airmata yang jatuh sia-sia kerana lelaki yang tidak tahu menghargai cinta dan sayangku. Aku tersedar bahawa aku tidak lagi tunangan Fahrin tetapi aku adalah kepunyaan Dhani. Aku seharusnya sedar akan hakikat yang tidak akan dapat diubah itu melainkan takdir yang mengehendakinya.
      Aku menghela nafas.
      Dengan perasaan berbelah bagi jua aku keluar dari keretaku. Aku mengambil barang belianku dan segera menuju ke pintu utama rumah. Aku terkejut kecil saat terpandang Dhani yang sudah pun berpeluk tubuh menanti kepulanganku. Wajahnya nampak tegang dan tidak ada senyuman pun yang tergaris di wajah itu.
      Berkecil hatikah suamiku itu dengan tingkah isterinya ini?
      “ Kemana?” soalnya dengan dingin.
      Aku menunduk. Menelan liur berulang kali. Aku seolah-olah telah membelakanginya pula dengan melakukan perkara yang aku suka sesuka hatiku tanpa meminta izinnya.
      “ Sara beli barang dapur..”
      “ Tanpa abang?”
      Aku diam.
      “ Sara.. menangis lagikan?”
      Aku menggigit bibir dengan kuat. Pertanyaan itu sungguh tepat sekali dan aku enggan memanjangkan kisah itu. Pantas, tanpa berbicara lanjut aku terus ke dapur membawa barangan itu. Aku tidak ingin nampak bodoh dengan perasaanku itu.
      “ Sara..”
      Aku tidak sedikit pun berpaling memandang suamiku yang sudah terpacak di muka pintu dapur. Aku lebih senang mengemas barang-barang daripada mendengar dia berkata itu dan ini.
      “ Sara!”
      Aku menghentikan segala perbuatanku demi saja mendengar suaranya itu. Berubah sudah dari lembut kepada nada tinggi.
      Aku berpaling.
      “ Abang nak apa?” soalku dengan marah.
      Dia mendekatiku dan aku menelan liur. Sengajaku larikan pandangan mataku ke arah lain kerana bimbang dia akan menelah isi hatiku pula.
      “ Boleh tak kalau kali ini Sara sedari kehadiran abang?” soalnya dengan suara yang menyentuh jauh naluriku.
      Aku terasa tidak berdaya untuk menjawab pertanyaan itu.
Tidakkah Dhani terlalu memaksa?
      Aku menunduk.
      Bolehkah Dhani bertahan sedikit masa, memberiku ruang menjernihkan hatiku ini?
      “ Okey, Im sorry.. Next time Sara akan beritahu abang Sara keluar. Apa saja yang Sara buat Sara akan beritahu abang juga..” balasku akhirnya, mengalah benar agar Dhani tidak memanjangkan sengketa kerana perkara kecil. Tambahan lagi aku ternampak kelibat abah menuju ke ruang tamu. Aku tidak ingin abah tahu apa yang terjadi antara aku dengan Dhani. Biarlah kisah perkahwinan kami, apa yang berlaku menjadi rahsia kami.
      Aku tidak senang melihat abah bersusah hati.
      “ Sara kena janji..”
      Aku mengangguk.
      “ Sara janji abang sayang..” balasku dengan nada suara yang manja-manja. Sengajaku begitu untuk membeli hatinya yang merajuk dengan tingkahku di awal tadi.
      Aku sedar Dhani terdiam namun aku tidak berniat untuk menggodanya.
 Biarlah begini.
Aku senang kalau dia senang kerana aku tidak mahu dia terbeban menjadi suamiku kerana sikapku yang nampak sangat hipokrit dalam diam. Walaupun niat sebenarku ingin melihat abah bahagia tapi aku tetap juga ingin menilai sebaik mana perwira kesayangan abah ini sehingga abah sanggup memaksaku menjadi isterinya.
Aku tersentak saat tiba-tiba suamiku itu mendekati dirinya di hadapanku. Resah bukan main kerana takut tertangkap abah dengan tingkah Dhani yang nampaknya nakal dan menggundahkan perasaanku.
      “So.. Please do me a favour..” bisiknya dengan tiba-tiba membuat aku kehilangan kata.
      Aku sekadar menanti permintaan yang diingininya meskipun debar di dadaku kuat degupannya.
      “ Ease me with a hug..”

Selasa, 13 September 2011

Bab 3-O.R.K.I.D

Bercucuran airmataku saat akad yang diucap oleh insan yang sudah bergelar suamiku itu diiktiraf sah di sisi para wali dan saksi yang menghadirkan diri ke majlis pernikahanku. Hanya TUHAN saja yang tahu betapa berbaurnya perasaanku saat ini. Aku telah mengkhianati cinta yang kusimpan dan aku jua yang mengkhianati kata hatiku yang enggan menerima insan lain lagi di dalam hidupku.
      Wajarkah aku meneruskan pengorbanan ini demi abah yang nyata benar-benar ingin aku dijaga oleh perwiranya ini?
      Aku duduk dengan resah di bilik pengantin yang sudah dirias indah oleh ibu saudaraku yang juga merupakan adik kepada arwah emak yang memang rapat denganku sejak kecil lagi. Sejak mula majlis lagi, Mak Idah yang menemaniku dan menguruskan diriku. Syukurlah Mak Idah tidak banyak karenah dan membebel dengan responku yang kadang-kadang tidak mahu diarahkan. Kebanyakkan cadangannya kutolak dan banyak jua yang kucanggah. Walaupun perkahwinan ini adalah dirancang tapi kata Mak Idah aku harus berusaha menyerikan hari berbahagiaku ini.
      Di jemariku disarungkan cincin tanda perkahwinan dan tanda aku sudah menjadi isteri kepada Fakrul Dhani. Bergetar hatiku saat memandang insan polos yang sudah banyak menabur jasa kepada keluargaku ini tapi sayangnya hatiku tidak terpikat pada keikhlasannya.
      Aku memejam mata saat bibirnya menyentuh dahiku. Aku ingin menyelami rasa ikhlas di hari pertama menjadi isterinya. Biarlah hadir walau seketika kerana aku ingin insan lain berfikir aku bahagia dengan perkahwinan ini walaupun impian awalku musnah dengan putusnya ikatan pertunanganku dulu. Aku merenung jauh ke dalam anak mata suamiku itu. Sinarnya menerjah jauh ke ruang gelap di dalam hatiku namun sayang, sinarnya belum cukup terang mengembalikan kepiluan hatiku dengan perpisahan lalu.
      “ Terima kasih..” bisiknya di sisiku saat dia dikehendaki duduk rapat di sebelahku di atas katil perkahwinan kami. Aku sengaja memandang jemari yang sudah seram sejuk dengan pendekatan yang dibuatnya walaupun aku sedar aku seharusnya tidak begitu kepadanya.
      Aku bermohon, TUHAN tabahkan hatinya menghadapi sikapku yang dingin ini. Biar tidak terbeban dirinya dengan dosa-dosaku kerana membuatnya berkecil hati.
      Maaf Dhani, bukan niatku melukakan hatimu.
      Aku memandang wajah tenang suamiku di sebelah dengan perasaan kosong. Sayangnya, hatiku tidak ingin melihat dia berkecil hati saja dengan sikapku yang nampak hipokrit dan pentingkan diri. Dengan perasaan berbelah-bagi aku menggapai tangan kirinya dan menggengamnya erat. Meskipun wajahnya nampak terpinga-pinga dengan tingkah mendadakku itu namun aku senang menggaris senyuman paling ikhlas buat dirinya.
      “ Terima kasih juga sebab abang sudi tunaikan permintaan Sara..” bisikku juga di sisinya. Jujur saja, itulah ungkapan paling ikhlas kukatakan padanya sejak menjadi isterinya.
      Hatiku disapa rasa tenang saat terpandang bibirnya menggaris senyuman. Aku sedar, detik ini berulang kali dirakam di balik kamera-kamera itu. Biarlah memori ini tersemat. Kalaupun bukan untuk diriku, biarlah untuk Dhani saja. Memadai benar dia saja yang merasa indahnya ikatan antara kami ini. Meskipun saat itu, aku dan Dhani sudah ditinggalkan berduaan namun aku sengaja membiarkan genggaman tanganku erat menggenggam jemarinya. Sungguhpun detik bersamanya itu mengundang resah pada diriku namun aku masih ingin menikmati detik-detik itu.
      “ Kenapa abang terima lamaran Sara?” soalku setelah lama kami tenggelam dalam suasana pandang-pandang jeling-jeling dan bisu.
      Segaris senyuman tampan tergaris di bibirnya. Aku sengaja membuang pandangan ke arah lain kerana bimbang hatikan terpaut padanya. Meskipun hatiku yang memaksaku membuat keputusan untuk melamar dirinya namun hatiku jua yang mendatangkan ragu kepadaku dengan keputusanku yang sudah kukata padanya.
      “ Perlukah abang ulang ungkapan yang sama?” balasnya perlahan namun anak matanya masih lekat pandangan ke dalam mataku. Keadaan itu membuatkan aku semakin bimbang dengan penerimaan hati yang suatu ketika dulu turut sama mengkhiantiku.
      Aku menarik genggaman tanganku. Sengaja kupindah pandangan mata ke cincin perkahwinan yang sudah tersarung di jemariku. Berulang kali aku mengetap bibir, cuba merangkai ayat sesuai bagi menenggelamkan suasana yang kembali berubah kelam dan sunyi.
      Tanpaku duga, bahuku disentuh perlahan.
      “ Apa lagi yang isteri abang fikirkan?” tanya Dhani perlahan namun menyentuh jauh ke dasar hatiku. Frasa itu indah benar untukku. Tambahan lagi ia diungkapkan oleh perwira abah dan bukan perwiraku. Pastilah janggal benar rasanya.
      Aku menggeleng saja menjawab pertanyaan.
      “ Sara tak fikir apapun..” jawabku senada dengan nada suaranya yang sebelum.
      Akku tersentak bila jemariku menyentuh daguku agar berpaling memandang wajahnya. Aku menurut jua walaupun tidak rela. Raut wajah itu terlalu baik untukku hancur luluhkan perasaannya.
      “ Abang..” panggilku perlahan.
      Biarlah Dhani tahu apa yang kurasa. Keresahan yang menyusahkan hatiku semenjak sah menjadi isterinya. Biarlah dia tahu kalau kalau Dhani ada jawapan mengurangkan gundah ini.
      “ Bolehkah kita teruskan semua ini tanpa cinta?”
      Kulihat Dhani berubah kelat wajahnya. Tapi sedihnya, hatiku benar-benar ingin tahu jawapannya. Walaupun pada pandanganku, dia seperti tidak mempunyai jawapan tapi aku pasrah menunggu. Sentuhannya lambat-lambat dilepas. Aku ternanti-nanti dengan jawapannya. Sayangnya, hanya keluhan saja terdengar. Dia sengaja menjauh dan berdiri dari duduk di sebelahku. Dia kulihat membuka songkoknya dan meletakkan di atas meja solekku. Sementara masih tinggal di kampunglah, aku membeli meja solek yang baru.
      “ Sara masih ingin sambung study?” soal Dhani.
      Aku mengangguk jua walaupun topik yang kubangkitkan sebelum ini tidak disentuhnya langsung.
      “ Kerana niat itukah Sara mahu abang nikahi?”
      Aku tersentak dengan pertanyaan yang tidak terduga itu. Tidak terlintas langsung aku mengambil kesempatan itu kepadanya. Aku hanya ingin menunaikan permintaan abah agar aku tidak berputih mata nanti.
      Tidakkah Dhani sedar, dia telah membuat aku kecil hati?
      Aku menunduk memandang jemari. Sengaja kugigit kuat bibirku agar dapat menahan airmata yang ingin jatuh. Tidakkah Dhani sedar besar benar pengorbanan perasaan yang kulakukan demi melihat abah gembira kerana abah telah memilih dia menjadi wira yang akan menjagaku?
      “ Sara.. abang tak berniat lukakan hati Sara..” pujuk Dhani yang tiba-tiba melutut di hadapanku. Aku yang sedari tadi mencuba menahan tangis, berderai jua airmata. Berulang kali Dhani memujuk tapi aku masih jua menangis. Sudahnya, dia jua yang susah kerana tegar mengusik hatiku yang sebenarnya merasa terkilan kerana bukan dia yang memenangi hatiku tetapi dia yang menjadi suamiku.
      Tidakkah Dhani merasa kasihan padaku?
      “ Sara… abang janji, tak akan buat Sara menangis lagi.. Please sayang, I’m sorry..”
      Aku berusaha jua mematikan tangis kerana tidak mahu dia meruntuhkan benteng pertahanan hatiku ini dengan tingkahnya yang sedikit-sedikit seperti ingin merawat luka di hati. Aku takut hati memperdayaku lagi seperti sebelum ini. Aku bimbang akan ada luka lagi di hatiku. Aku belum bersedia menerima apapun jua rasa yang ingin dikongsinya bersama hatiku meskipun tarafnya mulia sebagai suami.
       Biar masa merubah segalanya.

Ahad, 11 September 2011

Bab 2- O.R.K.I.D

Bab 2
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Fikiranku menerawang jauh. Entah kemana ia melayang pun aku kurang sedar. Kata-kata Fakrul Dhani membuatkan aku resah dan meronta jiwa merungkai persoalan dengan maksudnya.
      “Mai..”
      Aku tersentak dari lamunan.
      “ Ya abah..” sahutku kepada wajah yang sudah dimamah usia itu. Wajahnya nampak redup bersahaja tapi tidak siapa menduga perasaan yang terlindung di balik raut yang terukir senyuman itu.
      “ Fikir apa tu?” soal abah yang masih lagi tegak di muka pintu dapur. Aku yang sedari tadi termangu di situ sekadar menggeleng. Aku tidak ingin abah tahu resah yang bermain di hatiku kerana bimbang abah akan susah hati pulak jadinya.
      “ Abah nak kopi?” tanyaku menukar alih isu yang ingin disentuh.
      Abah mengangguk dan beredar begitu saja.
      Aku menghela nafas.
      Aku mencapai cawan dan menuang air kopi yang sememangnya sudah kusediakan lebih awal untuk abah. Begitulah rutinku sejak aku kembali semula ke kampung bersama hati yang lara namun ditemani dengan semangat baru. Meskipun hancur luluh sudah jiwa ini dengan ragutan sang arjuna namun aku ingin bangkit bersama nafas baru.
      Aku menatang dulang dan berlalu menuju ke ruang rehat. Aku meletakkan kopi itu di atas meja. Sesekali aku mengerling abah yang matanya terpaku di kaca televisyen.
      “ Minum bah..” pelawaku dan berkira-kira mahu kembali semula ke dapur.
      “ Duduklah Mai.. teman abah..”
      Langkahku serta-merta mati. Hatiku sayu mendengar permintaan abah yang kedengaran bersahaja itu tetapi menyentuh hati.
      Ketara benarkah aku seperti menjauhi abah? Sedarkah abah aku sedang berjauh hati dengan keputusannya?
      Mahu tak mahu, aku menghampiri abah jua. Sengaja kumemaniskan muka agar abah tidak bisa membaca hatiku. Lambat-lambat aku melabuhkan punggung di sebelah abah.
      “ Mai..”
      Aku sekadar menunduk.
      “ Abah sayang dengan Mai..”
      Aku menelan liur. Lain sekali nada abah kali ini. Wajah abah nampak terkilan. Seperti sedang menanggung rasa bimbang yang terlalu meskipun abah berusaha membuat aku tidak menyedari akan hakikat itu.
      “ Mai betul-betul tak mahu terima Dhani?”
      Aku terkaku dengan pertanyaan itu. Terluka lagi hati ini dengan pertanyaan itu.
      Bukankah telah aku katakan pada abah, aku tidak ingin membina hubungan lagi?
      “ Abah.. biarlah Mai begini..” balasku perlahan, memohon pengertian abah. Aku tidak ingin menerima permintaan abah buat masa ini. Aku tidak tahu kemana hilangnya diriku dulu yang rela menuruti kata hati yang memberikan arah serta tuju untuk melalui hari-hari mendatang.
      Kudengar abah mengeluh berat.
      “ Mai tahukan abah sayang Mai..”
      Aku mengigit bibir dengan kuat. Pengakuan abah itu menyentuh lagi hatiku. Aku tidak menafikan itu kerana aku tahu semua ibu dan bapa di dunia ini menyayangi anak-anaknya.
      “ Mai ada abah dan abah hanya ada Mai seorang.. Abah nak kahwinkan Mai sebab abah nak ada orang yang jaga Mai bila abah tak ada nanti..”
      Rintik-rintik airmataku jatuh jua. Dalam tunduk itu aku melepaskan sendu. Aku sedar, meskipun maksud abah bukan untuk menambah lukaku namun aku takut tidak dapat memikul amanah dan tanggungjawab yang akan aku pegang bila sudah menjadi seorang isteri.
      “ Abah tak faham.. Mai tak bersedia..” luahku dalam tangis. Aku benar-benar mengharapkan abah mengerti maksudku.
      “ Bersedia apa Mai?” soal abah tiba-tiba dan kali ini nada abah kedengaran keras.
      “ Isteri Dhani!”
      “ Mai.. itu bukan alasan Mai! Abah tahu Mai sudah lama bersedia untuk jadi isteri. Kalau tidak, mana mungkin Mai mengikat ikatan pertunangan dulu..” balas abah tegas lalu merobek lagi hatiku.
      Aku tidak lagi menjawab kata-kata abah dan hanya diam bersama tangisan syahdu. Biar abah tahu aku tidak suka dipaksa dan aku tidak rela dengan ikatan yang ingin abah jalinkan untukku.
      “ Sebelum abah tutup mata Mai.. tunaikanlah..”
      Lalu, aku hanya mampu memandang abah berlalu meninggalkan aku di situ bersama hati yang pilu. Maksud abah apa? Adakah dia ingin meninggalkan aku seperti ibu?
      Kenapa harus ini yang aku alami?
      Dalam kekalutan rasa dan keresahan itu, hening waktuku diganggu dengan ketukan pintu utama di hadapan. Dengan langkah berat aku menghampirinya jua untuk mengetahui gerangan yang datang lagi malam-malam begini. Aku mengesat airmata sebelum membuka pintu.
      Aku terkaku melihat si gerangan dan dia jua nyata terkejut melihat aku yang menyambut kedatangannya. Aku pantas mengalihkan pandangan dan berkira-kira mahu berlalu. Terasa segan berdiri di hadapannya kerana aku tidak memakai tudung untuk menutupi kepalaku.
      “ Sara..”
      Aku sekadar membelakanginya tanpa mempelawanya masuk.
      “ Awak menangis?”
      Aku tidak berniat untuk menjawab pertanyaan itu. Namun, aku ada soalan lain pula untuk Fakrul Dhani, lelaki yang menjadi pilihan abah  untuk menjagaku itu.
      Aku memandangnya dengan perasaan berbaur meskipun anak matanya seperti sedang merenungku. Seolah dia menanti aku bersuara.
      “ Dhani..”
      Aku menelan liur sebelum meneruskan kata. Meskipun aku bimbang dengan penerimaan serta jawapan dari pertanyaanku nanti namun aku tetap ingin meneruskannya jua.
      “ Ikatlah saya sebagai isteri awak..”
      Kulihat Dhani hanya terpaku di situ tanpa sebarang reaksi.

Rabu, 7 September 2011

Bab 1- O.R.K.I.D

Bab 1
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Hari bersinar terang setelah lama awan hitam menghiasi dada langit. Indahnya ciptaan TUHAN saat pelangi melebarkan warnanya. Deru angin menyapa wajah, menghadirkan rasa damai yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Desiran badai memukul kaki pantas indah iramanya.
Masya Allah… indah ciptaanMU.
Senja yang kabur itu, aku sengaja menghabiskan sisa pagi di pantai berhampiran rumah kayu milik abah. Sudah lebih 2 bulan aku tidak kembali ke kampung sejak peristiwa putus ikatan pertunangan. Meskipun telinga pedih mendengar umpatan orang tapi aku bertahan saja kerana suatu saat nanti, onar itu akan lenyap jua. Biarlah apapun orang kata, aku senang dengan duniaku sendiri. Kali ini aku kembali bersama semangat dan kehidupan baru walau sesekali terserempak dengan bekas tunanganku Fahrin, hatiku terguris lagi. Kini kulihat dia bahagia bersama istana yang dibinanya bersama perempuan yang tega melukakan hati sesama kaumnya.
Mungkin benar, dia bukan jodohku.
Senja-senja beginilah aku suka termenung, mencari kekuatan diri yang hanyut dalam kekecewaan hati. Aku ingin tegar seperti pantai. Biar berkali dilanda badai, pantai masih ingin selalu di sampingnya.
“ Assalammualaikum..”
      Aku pantas menoleh.
Segaris senyuman hambar kuhadiahkan kepadanya. Tidak lama, mataku kembali merenung jauh laut yang membiru selalu itu.
“ Termenung jauh lagi?” soal Fakrul Dhani yang sudah melabuhkan punggungnya tidak jauh daripadaku. Aku mengengsot sedikit menjauhinya. Senyumannya nampak kelat saja tapi aku buat-buat tidak perasan.
“ Abah dah naik?” soalku membuka kisah baru agar suasana di antara aku dia tidak nampak canggung.
Dia sekadar mengangguk.
Aku menghela nafas.
Sejujurnya, aku tidak tahu mahu berbicara apa kepadanya. Setelah abah menolak mentah-mentah keinginanku untuk melanjutkan pelajaran ke Paris, aku terus merajuk membawa diri hingga ke sini. Yang lebih menyedihkan lagi, penolakan abah itu didengari dan berlaku di hadapan lelaki yang selalu abah anggap sebagai perwiranya.
“ Mungkin ada sebab kenapa pak cik tak benarkan Maisara pergi..” dia memancing semula perhatianku.
Aku mengerlingnya sekilas.
“ Itu impian saya Encik Dhani, kenapa abah nak halang?” luahku tidak berpuas hati dan kini aku sudah berdiri dan berpeluk tubuh. Semua kisahku berada di poketnya dan seolah-olah abah telah mengharapkan lelaki ini untuk menjagaku sedangkan aku mampu berusaha sendiri.
“ Pak cik dah letakkan syarat..”
Aku mendengus.
“ Dengan cara bertunang dengan awak?” balasku selamba tetapi kedengaran sinis dan kasar. Itulah hakikatnya apa yang abah sampaikan saat aku menyatakan hasrat muliaku ini kepada abah. Abah hanya akan melepaskan aku pergi menunaikan cita-cita bila ada insan yang mampu menjagaku katanya.
“ Sara..”
“ Diam Dhani!” tingkahku.
Mencerlung jadinya mataku memandangnya yang nampak tenang selalu itu.
“ Awak tak pernah tahu apa yang saya rasakan.. Saya rasa tidak berharga bila disatukan dengan paksaan begini..” luahku akhirnya bersama rasa terkilan yang menggunung.
Tanpa kuduga dia berdiri di hadapanku. Mungkin dia terasa tercabar dengan tingkahku yang nampak biadab dipertemuan kami yang ketiga ini. Pertama kali bertemunya saat aku mengikat tali pertunangan. Kali kedua bersua saat aku kembali ke kampung bercuti dan kali ketiga inilah aku berjumpa dia untuk disatukan pula oleh abah.
“ Hati saya tak boleh dimiliki lagi. Dah tercalar..” sambungku, tapi kali ini sudah mengendur nadanya.
“ Saya akan rebut.. awak ada masalah?” balasnya angkuh membuatkan aku terdiam.
Aku mengeluh.
“ Awak tak tahu sakitnya patah hati..” balasku.
“ dan awak tak tahu juga sakitnya melukakan hati orang yang awak sayang…”
Aku memandangnya semula.
“ Maksudnya?”
“Sara tak rasa dah lukakan hati pak cik?” soalnya perlahan tapi cukup menghiris hati kecilku.
Ungkapan pernyataannya itu membuatku kelu lagi.
“ Kenapa berharap pada bahagia yang tak kembali lagi?” soalnya.
Aku tidak membidas.
Hanyalah rintik-rintik airmata bermain lagi di tubirnya, menanti saat terjatuh lagi.
“ Kenapa awak setuju dengan niat abah?”
Fakrul Dhani sekadar tersengih.
“ Sara.. pernah tak Fahrin kata awak ni cantik?” soalnya dalam nada yang kedengaran nakal mengusik.
Aku mengangguk saja.
“ Awak pilih kerna itu?”
Dia menggeleng.
“ Habis itu?”
“ Kerana saya rasa, awaklah tulang rusuk saya yang hilang…”