BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 31 Mei 2015

BAB 26- SETIA PADA DIA

BAB 26
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Kak Lisaa…”
Suara Soleha kedengaran sedikit kuat di luar bilik, mengganggu lenaku. Aku terus mencapai bantal kecil dan menutup telingaku demi meneruskan tidur. Aku merasa penat yang teramat sangat. masih kurasa aku enggan untuk bangun walaupun hari sudah beransur pagi.
     Tok tok tok!
     Aku mengeluh.
     Tidak mahu berputus asa betul adikku ini!
     “Kenapa?” jeritku dari dalam bilik.
     “bangunlah.. dah pukul berapa ni?” suara Soleha menjawab pertanyaanku.
     Aku merengus kasar.
Kalau bab diganggu waktu tidur inilah yang menyebabkan aku rasa hendak marah. Pantang benar aku apabila diganggu. Tambahan lagi waktu-waktu period begini, memang rasa macam nak jadi naga dan menghembus nafas api!
     Aku membuang selimut dan bingkas bangun menuju ke muka pintu. Dengan malas aku membuka pintu. Terpacak sudah Soleha di depanku.
     “Kenapa?” soalku dalam nada suara tidak sekeras tadi.
     “Abang Azmi ada di bawah tu. Tengah kumpul nak sarapan dengan kita. Abah yang temankan. Kak Lisa tak ingat?”
     Membesar terus mataku mendengar ayat. Bergegas aku menutup daun pintu dan mencapai tuala yang tersidai. Terus aku bersiram tanpa memikirkan apa-apa. Yang aku tahu, aku terlupa Azmi bermalam di rumah dan tambahan lagi hampir-hampir aku memungkiri janji untuk menghantarnya balik. Lagi, aku tidak tahu hendak katakan apalagi apabila abah sudah mengambil tanggungjawabku yang seharusnya menemankan Azmi.
     Membersihkan diri segegasnya dan terus aku mengenakan pakaian. Mana lagi ambil masa untuk keringkan rambut dengan khidmat hair dryer, mana lagi nak cari jubah lain, mana lagi hendak cari tudung.
     Ah! Kelam-kabut gila!
     Tok tok tok!
     “Lisaa..”
     Alamak! Suara abah!
     Aku menelan liur.
     Aku terkaku berdiri di hadapan cermin dengan tangan yang masih memegang tudung. Aku yang sudah berkira-kira mahu mengenakan tudung menjadi mematikan niat.
     Apalah aku nak jawab dengan abah ni?
     “Lisa?”
     Suara abah kedengaran lagi.
     “Yaa. Yaaa abah..” sahutku dari dalam, teragak-agak. Hendak tak hendak, bersama debaran di dada yang kuat aku melangkah menghampiri muka pintu. Perlahan saja aku membuka dan hanya mampu, berserah pada takdir.
     Habislah kalau muka abah serius.
     “Yaa abah?” soalku, dengan takut-takut dan debar.
     Abah merengus.
     “Tak siap lagi?”
     Aku cuba menggaris sengih.
     “Dahlah, pakai tudung.. Habis tu ambil roti, terus hantar Azmi..” pesan abah sebelum dia berlalu meninggalkan aku menuju ke anak tangga.
     Aku mengetap bibir seraya menutup pintu. Aku bersandar dan menghela nafas lega.
     Alhamdulilah.
     Naga macam aku pun boleh takut kalau jumpa orang macam abah. Mana tak nya, ditembaknya dengan peluru tazkirah, pengsan habis aku.
     Tergelak kecilku jadinya mengenangkan imaginasi khayal tak guna-guna aku. Dari memikirkan yang tidak-tidak ada baiknya aku bersiap lagi. Dengan kembali menuju ke depan cermin di meja solek, aku mengenakan tudung. Kusemburkan minyak wangi macam kurang lebih orang hendak berdating lagakku.Melampau sangat sedangkan tujuku hari ini hanya untuk menghantar Azmi saja di pagi ini. Segera aku keluar dan menuruni anak tangga terus menuju ke ruang makan. Mengambil sekeping roti dan sekotak susu dutch lady berperisa coklat. Kemudian aku menuju ke cabinet berhampiran pintu utama untuk mengambil kunci kereta dan situ aku bertemu dengan Azmi.
     Selamba saja dia melepas tawa kecil sambil tangannya menunjuk-nunjuk tingkahku yang jelas kelam-kabut. Dengan roti yang kugigit dan tangan yang penuh dengan macam barang. Dengan caranya itu aku menghentikan semua pergerakkan dan berdiri tegak menghadap. Kuhabiskan rotiku dan aku meletakkan susu di atas cabinet. Aku bercekak pinggang. Geram benar dengannya yang puas benar mentertawakanku.
     “Lucu sangatlah aku ni?” soalku serius.
     Dia tersengih panjang.
     “Kalau tak, tak adalah aku gelak sakan..”
     “Kau tau tak aku begini sebab kau?”
     Dia mencebik.
     “Kau janji nak hantar aku kan. Kau tahu tak pukul berapa sekarang?” soalnya kembali, kali ini tidak lagi berbaur usikan. Serius saja nadanya seakan ingin menjatuhkan hukuman kepadaku.
     Aku menelan liur.
     Lambat-lambat aku menoleh ke jam dinding.
     9.30 pagi.
     Alamak!
     “Kalau aku masuk kerja pagi ni, agak-agak jam berapa?”
     Aku mengetap bibir. Terasa hilang daya untuk berlawan kata dengannya. Pantas aku menunduk. Tidak sanggup bertentangan dengannya lagi. Tak sangka pulak aku boleh terlajak tidur sehingga aku terlupa yang aku harus menghantar Azmi. Kalaulah aku berfikir lebih bijak, banyak cara untuk mengelak hal kelewatan ini terjadi. Sama ada aku mengunci jam loceng atau memberikan saja kunci kereta kepada Azmi.
     “ ‘Eisy, pandang aku..” tegas dia memanggil tapi aku enggan memandang. Jujur, aku rasa bersalah benar. Kerana akulah pastinya dia tidak dapat datang bekerja pagi ini. Setahu aku, tentera ini kuat benar disiplinnya. Pastilah kalau melanggar peraturan, tindakan tatatertib akan dikenakan. Tapi, bukankah ini baru pertama kali? Melainkan kalau dia pernah lakukanlah.
     “Sorry..” pintaku perlahan. Bagai hendak menangis pun ada. Memilih untuk mengalah lebih baik padaku.
     Azmi tiba-tiba meraih tanganku.
     “dah lah.. aku tak masuk kerja hari ni sebab aku nak cuti balik kampong..”ujarnya kemudian.
     Aku mendongak.
     “Kenapa tak bagitahu awal-awal?” soalku tidak berpuas hati. Habis seluruh rasaku luruh pada mulanya memikirkan rasa bersalah gara-gara terlewat bangun hari ini.
     Dia tergelak kecil.
     Aku memukul manja lengannya.
     “Habis tu, ni jadi tak nak balik ni?”
     Dia mengangguk.
     “Okaylah. Kau panaskan enjin kereta dulu, kemudian aku menyusul. Aku nak bagitahu mama aku nak pergi hantar kau ni..” pesanku sebelum berlalu meninggalkannya.
     “Mama pergi dah dengan abah ..”
     Aku menoleh dan memandang bagai tidak percaya dia membahasakan abah dan mamaku sebagai abah dan mama juga padanya.
     Dia mengangkat bahu.
     “What did you just say?” soalku.
     Dia tersenyum nakal.
     “Do I have to repeat?”
     Aku menarik muka. Tidak sangka sama sekali bersahaja saja riaknya dengan pertanyaanku itu. tanpa menunggu lama, aku terus keluar rumah dan menuju ke kereta. Aku berpeluk tubuh menunggunya sebagai tanda protes.
     “Nak merajuk pagi-pagi buta ni, kenapa?” soalnya seraya menekan punat alarm kereta. Tanpa menunggunya, aku masuk ke bahagian penumpang dan menutup pintu kereta Nissan Murano merahku dengan kuat.
     Dia menghidupkan enjin.
     “Pasanglah safety belt tu..”
     Aku enggan.
     “ ‘Eisy..”
     Aku mengeluh dan menurut kata. Tidak tahu aku kenapa terganggu emosi dengan caranya. Kupandang dari hujung mata, Azmi hanya menggeleng. Aku membuang pandangan ke luar tingkap. Rasa meluat ada hendak memandang dia di sebelah. Kalau tak kenang jasanya menolong aku semalam, rasa nak tumbuk saja dia ni.
     Persoalannya, kenapa dengan tiba-tiba rasa meluap betul marah aku padanya? Dia silap masa agaknya usik aku yang sedang dalam period ni!
     “Tuan puteri, minta izin pandu kereta yaa..” usiknya di sebelah.
     “Perlukah tanya izin begitu?” soalku kasar.
     Senyumannya mati.
     “Kau marah dengan tiba-tiba ni kenapa?” tanyanya.
Aku senang memilih untuk tidak menjawab. Jujur saja, aku terasa hati benar dia mengusik aku yang tadinya tergesa-gesa bersiap semata-mata untuk dia. Habis hampir ditazkirah abah gara-gara aku terlewat hari ini.
Azmi kemudian menggerakkan kereta. Dipandu dengan kelajuan sederhana namun aku tahu dia menahan rasa kerana di wajahnya menggaris tegang saja.
Dalam keadaan ‘jauh’ dan bisu itu, kami dikejutkan dengan nada deringan telefon bimbitnya yang diletaknya berhampiran dashboard. Azmi hanya selamba saja memandu terus seolah-olah tidak mendengar. Berulang kali berbunyi sehingga aku menoleh kepadanya.
Aku mengetap bibir.
Dia mengangkat kening kirinya.
“Jawablah. Manalah tahu penting..”
Dia tidak membalas malahan berpura-pura fokus memandu. Geram dengan tindak balasnya, aku berani saja menjawab panggilan itu. Peduli apa kalau dia nak marah selepas ini.
Mengapa berani benar menguji sabarku?
“Assalammualaikum..” sapaku.
“aa.. walaikumsalam. Aikkk… Ni bukan nombor abang Azmi?” teragak-agak saja si pemanggil bertanya dan menjawab salamku. Pastilah dia keliru kerana yang menjawab ini suara perempuan sedangkan yang didialnya nombor Azmi.
Aku tergelak kecil.
“ Memang, tapi abang Azmi tak mahu jawab..” jawabku sinis dan menjeling Azmi.
Azmi menjengilkan mata.
“eih tapi, tunggu. Betul abang Azmi jalan sama dengan Kak Mukhleesa?”soalnya ingin tahu.
Aku tersentak.
Bagaimana boleh dia tahu aku sedang bersama Azmi?
“Kak.. ni Khadijah lah kak..” tambahnya, sekaligus memperkenalkan diri gerangan yang membuat panggilan.
Aku mengerutkan dahi, cuba mengingat.
Oh ya!
Kebetulan juga adik Azmi ini junior zaman sekolah dulu. Dia dikira super juniorlah sebab jauh sangat dibandingkan dengan intake kami.
“ ‘A’aah.. Kak Lisa ni..” jawabku akhirnya.
Khadijah tergelak kecil.
Azmi di sebelah menggaris senyum namun dia sengaja terus memandu tanpa menyampuk walau sedikit. Seolah-olah cerita aku dan Khadijah tidak menarik minatnya sama sekali sedang aku tahu dia menyembunyikan senyumnya saat bertembung pandang.
“Dah couple eih akak dan abang?”
Aku menelan liur.
Soalan jenis apa tu?
“Yang, guna loud speakerlah. Nak juga dengar sembang apa tu..” Azmi di sebelah mula bersuara dan aku yakin, Khadijah juga mendengar kerana Azmi sengaja menyaringkan suaranya. Tergelak sakan, bahagia suara Khadijah dari corong telefon itu. Mahu tak mahu, aku menurut kata jua.
“Kenapa Ija?”soal Azmi sedang aku yang masih memegang telefonnya.
“Bila abang balik? Mak dah bising tau. Majlis abang Azizul kan esok lusaa..” soal Khadijah lebar apabila sudah mendengar suara abangnya. Belum pun sempat Azmi menjawab, suara lain pulak yang bertanya.
“Azmi..”
Aku dan Azmi berpandangan.
“Assalammualaikum, mak..”
“Waalaikumsalam…” perlahan saja suara ibunya.
“Bila nak balik ni, Mi? siapa nak tolong ayah kau urus majlis abang kau ni? Khemah belum habis pasang lagi, makan minum orang lagi. Bila kau nak datang ni?”
“err..” Azmi masih ingin menyusun ayat namun kata-katanya dipintas lagi.
“Kau driving ni?”
“Ya mak..”
“Habis tu kenapa jawab call ni?” tanya ibunya sedikit gusar.
“Mukhleesa yang pegangkan handphone, mak..”
Ibunya tergelak kecil.
“Laa.. ada Mukhleesa rupanya..”
Aku memandang Azmi sedikit hairan namun dia hanya mengangkat bahu. Bagaimanalah ibunya boleh kenal dengan aku sedangkan muncul ke rumahnya sejak zaman sekolah dulu pun belum lagi.
“Ya mak cik..” sahutku sedikit teragak-agak.
“Lisa setuju nak ikut Azmi balik kampong hari ni?”
Aku tersentak.
Aii.. bila pulak Azmi ajak aku ikut balik ni?
“Azmi tak ajak pun mak cik. Jemput pun tak.. seganlah..” jawabku jujur seraya menjeling Azmi manja. Memang sah-sah kena marah Azmi oleh ibunya ni.
Aku menyimpan tawa di hati. Suka benar mengenakan Azmi.
“Haii.. Belum sampaikan pesan mak lagi, Mi?”soal ibunya.
Azmi diam.
“Tak sampaikan pesanan tu boleh dikira tak amanah tu, Mi. kalau mak tak redha, tak berkat hari-hari mendatang..” tambah ibunya bagaikan kecewa.
Aku menggigit bibir.
“Maaf mak.. belum ada kesempatan..” balas Azmi bersungguh-sungguhnya sehingga menusuk jauh ke dasar hatiku. Aku jadi rasa bersalah pula kerana menjadi punca dia dimarah oleh ibunya.
“Eih mak cik, tak adalah. Kalau Lisa free, insya Allah Lisa datanglah majlis nanti..”sampukku pula kerana tidak mahu Azmi terus dibebel ibunya.
“Eih.. kalau Lisa tak keberatan, jemputlah bermalam sampai habis majlis.. ikut baliklah Azmi hari ini sebab Lisa boleh tengok adat kami.. itupun kalau Lisa sudilah..” tambah ibunya lagi namun bernada bagai memohon dan mengharap.
Aku mengetap bibir dan memandang Azmi.
“Lisa minta izin mama dan abah dululah ya. Kalau okay, Insya Allah Lisa ikut..” putusku akhirnya dan mengalah. Sempat ibunya berpesan kepada Azmi untuk dia yang bersuara meminta izin kepada mama dan abah. Pakej dengan pesanan pandu baik-baik dan jaga anak dara orang baik-baik.
Aku menekan punat merah dan meletakkan semula telefon bimbit Azmi. Aku membuang pandangan ke luar jendela. Terasa bagai terlanjur berjanji pun ada.
“Kalau keberatan, tak apalah ‘Eisy. Mak fahamlah nanti tu..”
Aku menunduk memandang jemari. Menggamit perasaan resah dan bersalah. Kalau aku ikut Azmi, aku akan mengiyakan banyak benda kerana aku juga perlu menjaga airmuka Azmi dan keluarganya. Kalau aku ikut dia pun, abah dan mama apatah lagi Soleha pasti inginkan kepastian atas hubungan yang kami bina.
Ah! Susahnya.
“Tak apalah. Dah diundangkan. Yang penting, kau minta izinlah pada abah dan mama. Kalau mereka okay, insya Allah aku ikut kau balik. Aku pun teringin juga rasa suasana kampong dan tengok adat yang mak kau maksudkan tu..” balasku lebar. Nekad dan sudah sebulat hati ingin mencuba.
Apa daya, TUHAN pasti sedang rancang sesuatu.

BAB 25- SETIA PADA DIA

BAB 25
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Penantian hujan teduh yang cukup lama. Makin menunggu bagai semakin lebat hujan yang menimpa bumi. Aku hanya tahu diam dan tidak berbuat apa. Hendak salahkan hujan berhenti aku menolak turunnya rezeki. Kalau hendak hubungi abah, mungkin abah sudah lena. Kalau hendak hubungi Soleha, kasihan juga kerana dia juga perempuan sepertiku.
     Tok tok tok!
     Terkejut aku dengan ketukan di cermin sebelahku yang bertalu-talu. Ternampak Azmi yang kebasahan, segera aku membuka pintu yang kukunci dan beralih ke tempat penumpang sebelah lalu membiarkan dia masuk. Tidak sangka juga dia akan datang lantaran aku yang bagai jual mahal dan tidak bersungguh-sungguh meminta tolong kepadanya. Dia sempat melambaikan tangan kepada kereta yang menghantarnya kepadaku sebelum dia mencapai tisu dan mengelap mukanya yang tertimpa hujan.
     Habislah kerusiku!
     Dia memandangku dan aku membuang pandangan. Tidak rela mata saling bertentangan kerana aku bimbang tidak dapat menyimpan marah yang ada atas rasa terkilan yang aku sendiri tidak mengerti mengapa tiba-tiba saja menguji kesabaran diri. Jelasnya, aku masih terasa dengan tegurannya. Aneh, dia tidak memujuk tapi terus memandu keretaku menuju terus ke rumah tanpa banyak bicara. Dia segera memakirkan kereta dan keluar. Hanya aku yang termangu di dalam sehinggalah akhirnya aku keluar jua dan berkira-kira mahu menuju ke pintu utama.
     “Sampai bila nak diam ni?” soalnya akhirnya.
     Aku mematikan langkah tapi enggan menoleh.
     “Masuklah dulu. Pergi mandi..”jawabku dan terus berlalu. Azmi pantas mengekoriku dan menarik lenganku.
Dia memaksaku memandangnya.
     Mataku berkaca.
     “’Eisy,. Tak ada niat pun aku nak buat kau sedih..” Azmi mula memujuk perlahan. Sayangnya, nadanya semakin membuat aku sedih pula.
Tanpa isyarat, aku menangis lagi.
     Azmi diam.
     Dia menarik tanganku dan mengajak masuk ke dalam rumah. Untung saja abah dan mama tidak menungguiku. Dia mengunci pintu rumah dan kembali memandangku.
     “Im sorry sayang. Please..”
     Aku menarik lenganku dan mengesat airmata.
     “ Masuk tidurlah. Esok aku hantar kau..” bicaraku mendatar dan terus menuju ke tangga.
     Azmi hanya mengeluh.
Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk kerana dia memang gagal kalau dalam bab begini. Sumpah tidak ada niatnya walau sedikit pun untuk melukakan hati ‘Eisy. Dia hanya bimbang.
     Salahkah?
     Dia hanya memandang sepi gadis yang sedang menaiki anak tangga itu.Dia kedinginan dan hendak tak hendak dia berlalu juga menuju ke bilik yang menjadi tempatnya beradu semalam. Hari ini, dia bermalam lagi di sini. Mungkin ada penentuan takdir yang sedang terancang buatnya. Dia mencapai tuala yang tersidai dan segera membersihkan diri seperti yang dipinta oleh gadis itu. usai membersihkan diri, Azmi berbaring sepi dengan telefon bimbit di tangannya.
     Sudah ke pukul 1 pagi.
     Dipandangnya status aplikasi Whatsapp ‘Eisy yang masih lagi aktif. Dikuatkan niat untuk menyapa.
     ‘sayang’
     Click!
     Masuk pesanan lagi lewat tengah malam ini. Baru saja hendak melayan kehendak mata, aku memeriksa telefon bimbit lagi. Aku bimbang sebenarnya dengan keadaan esok walaupun aku sudah diberi kebenaran menyambung cuti yang telah aku pohonkan.
     Azmi rupanya.
     Terkenang akan kesungguhannya membantuku, aku terus berlembut hati. Apalah salahnya aku menerima saja tegurannya sebagai peringatan buat diriku. Lagipun, itukan nasihat kawan yang paling aku sayang.
     Segera aku mendial nombornya.
     “Assalammualaikum..” sapaku, membuka bicara.
     Azmi di talian kudengar berdehem.
     Aku tergelak kecil kerana aku tahu pasti Azmi terkejut dengan aku yang tiba-tiba saja menelefonnya. Kalau aku mahu berbicara, apa salahnya aku membalas saja teksnya dan terus saja bertemu dengannya yang hanya berada di tingkat bawah?
     “Dah mandi? Tak dingin? Tak ada tanda nak demam?” soalku bertalu-talu tanpa henti.
     “ ‘Eisy, mana satu nak jawab dulu ni?” tanyanya kembali.
     Aku sekadar tergelak manja.
     “Alhamdulilah, okay. Cuma kalaulah ada minuman panas, elok lagi nii..” balasnya bersahaja namun ada maksud lain di situ.
     Aku memandang jam di dinding. Sudah lewat benar kalau aku hendak turun ke tingkat bawah lagi. Tambahan lagi, aku sudah selesa benar dengan baju tidurku ni. Rasa malam hendak menyarung jubah. Nasib jugalah baju tidurku berlengan panjang kerana cuaca bagai dingin benar.
     “nak juga malam ni?” soalku yang sudah berkira-kira hendak mengambil tudung.
     Dia menggumam.
     “tunggu aku di bawah yaa..” pesanku sebelum mematikan talian dan berniat untuk menunaikan saja kemahuannya yang kecil saja itu. Usai mengenakan tudung, segera aku menuruni anak tangga dan mendekati dia yang sudah menungguku. Aku mengajaknya ke dapur dan menjemputnya duduk dulu untuk menunggu aku yang baru saja hendak membancuh milo buatnya.
     Aku meletakkan cawan sederhana besar di depannya dan duduk bertentangan dengannya. Dia segera meneguk minuman yang suam-suam panas itu dengan sedikit cepat. Dia meletakkan semula di atas meja dan bersandar.
     Dia memandangku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan. Sesekali mengusik rasa di hatiku yang sudah lama tidak berkocak.
     Mengapa dengan Azmiku ini?
     “Comel ‘Eisy. Pertama kali aku tengok kau sesimple ini..”luahnya, sekadar kedengaran bicara aku dan dia.
     Aku tersenyum kecil.
     “Sebab nak tolong buatkan kau milo saja pun dan dah nak naik semula ni..” balasku dan segera berdiri untuk melintasi dia dulu.
     Dia menarik lenganku dan membuatkan aku terpaksa berhenti melangkah. Deru nafasnya jelas di sisi, dekat dan membuai rasa. Tidak mampu untukku menafsir rasa yang aku ada dek pendekatannya ini.
     “Maafkan aku ‘Eisy..”
     Aku mengigit bibir.
     Perlukah dia ulangi permintaan ini?
     Aku beranikan diri memandangnya. Anak mata yang memancarkan kesungguhan di balik suramnya cahaya di malam hari. Aku tersentuh.
     “Tak apalah..” balasku perlahan.
     Dia melepaskan lenganku.
     “ dahlah, masuk tidur..”
     Aku mengangguk seraya beriringan dengannya sehingga masing-masing langkah mati di depan tangga. Dia masih memandang sehingga aku yang terpaksa membuang pandangan kerana terasa agak canggung dengan situasi itu.
     “ Esok aku hantar kau yaa..”
     Dia mengangguk.
     “uniform tak ada ‘Eisy..” adunya manja-manja, tapi berbisik saja.
     Ah.. Azmi!
     “Pukul berapa esok?” soalku.
     “Ermm.. esok aku tak masuk kerjalah pagi nanti..” putusnya bersahaja.
     “Kenapa?”
     “Saja..”
     Aku menjeling mendengar jawapan selambanya.
     “dahlah, dah lewat sangat. jumpa esok yaa..” ucapku dan segera menaiki anak tangga tanpa menunggu dia membalas kata-kataku. Aku rimas sebenarnya dengan perasaanku sendiri. Aku tidak mahu salah menilai. Aku memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke bilikku dengan perlahan.
     Aku bersandar setelah pintu kututup rapat.
     Mengapa semakin dekat aku dan Azmi?

BAB 24- SETIA PADA DIA

BAB 24
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Azmi tersentak saat talian tiba-tiba dimatikan. Dia rasa bersalah kerana tidak menyangka ‘Eisy akan berjauh hati dengan tegurannya. Sebenarnya dia bimbang dengan keselamatan gadis itu. dia takut di balik kegelapan malam bersama gerimis kuat itu akan mengundang musibah kepadanya. Memikirkan akan hal itu, Azmi bergegas menukar pakaian dan menuju ke bilik sebelah. Dia tinggal serumah dengan kawan-kawan kerjanya berhampiran dengan markas. Bersungguh-sungguh dia mengejutkan kawannya agar segera bangun dan menghantar kepada ‘Eisy.
     ‘Eisy ni pun satu juga. Kenapalah dia tidak terfikir untuk siapkan saja tugasan selebihnya dan di rumah dan menghantar saja esok di awal pagi. lagi memudahkan dirinya daripada dia terperangkap di tengah malam begini. Bukan dia tidak mahu menolong ‘Eisy Cuma hatinya kuat berdegup kerana bimbang dengan keadaan ‘Eisy yang sudah menaruh rajuk kepadanya.
     Azmi mengetuk pintu dan mendekati kawannya yang lena tidur. Cuaca hujan sebegini pastilah boleh membuai rasa dan mimpi.
     “Takkan tengah malam ni kau nak aku hantar..” rungut Azhar yang masih lagi mamai.
     “Yalah. Kasihan sayang aku tu..” jawab Azmi seraya menarik tangan Azhar untuk membawanya keluar dari situ. Hendak tak hendak Azhar menurut jua kerana dia tahu Azmi seorang kawan yang baik perlu ditolong. Berulangkali juga Azmi meminta Azhar memandu dengan cepat namun Azhar tetap memintanya bersabar. Dia sekadar ingin mengusik Azmi yang sudah resah benar itu kerana tidak pernah dia melihat Azmi sebegini bimbang.
     “Special sangat dia ni pada kau, Mi?” soal Azhar ketika membelok ke jalan yang dimaksudkan Azmi.
     “Lebih dari segalanya, Har..”
     Azhar mati kata. Tidak mampu lagi meneruskan bicara apabila Azmi begitu serius. Selama ini jarang benar Azmi bercerita tentang perempuan apatah lagi mengambil berat. Hairanlah juga mengapa dengan tiba-tiba, mala mini Azmi begitu jelas kerisauannya akan seseorang.
Istimewa benarkah gadis itu padanya?
Mengerti akan perasaan Azmi, Azhar mencuba sedayanya yang mungkin mempercepatkan pemanduan walaupun hujan masih lebat. Lewat beberapa minit, kereta ‘Eisy sudah kelihatan.
Azmi sudah mahu membuka pintu kereta.
“Kau tak guna payung ni?” soal Azhar yang sudah mahu mencapai payung di tempat duduk belakang.
Azmi menolak.
     “Thanks buddy. Aku hutang kau nanti yaa..”ucap Azmi yang sudah berkira-kira mahu keluar.
     “Eih tak apalah. Tu gunanya kawan..”
     Azmi mengangguk dan dia segera keluar dari perut kereta walaupun tanpa hujan masih belum reda. Walaupun harus basah, keselamatan si dia lagi utama.
     Eisy lagi penting dari dirinya. Apalah sangat hujan yang ada kerana dia sudah terbiasa dengan cuaca yang lasak sebegini.
     Kalau sesuatu yang tidak kena pada ‘Eisy, dia juga yang akan menyesal seumur hidup. kawan jenis apalah dia kalau meminta bantuan sedikit, dia menolak dan keberatan?

BAB 23- SETIA PADA DIA

BAB 23
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Aku menghela nafas berat.
     Tekaan abah menjadi kenyataan apabila aku dipaksa juga untuk masuk ke pejabat hari ini lantaran perlu menyiapkan banyak kerja yang dihendaki serta-merta. Rasa hendak menangis pun ada kerana masih banyak lagi yang belum dikemaskinikan dan masih ada beberapa dokumen lagi yang perlu disemak.
     “Maaf ya ‘Eisy. Kebetulan juga banyak yang cuti minggu ini. Akak harap sangat boleh kita siapkan hari ini jugaa..”Puan Zalikha mula berkata yang duduk di sebelahku.
     Aku hanya mampu menggaris senyuman saja kerana ternyata memang aku penat kerana hampir seharian aku menghadap laptop saja. Aku lebih selesa menggunakan harta peribadiku kerana aku sudah terbiasa dengan fungsinya. Bolehlah aku melakukan tugasan dengan lancar.
     “ Lepas ni nanti, kalau ‘Eisy nak pergi solat, pergilah yaa..”
     “Cuti..” jawabku ringkas namun masih mampu tergelak kecil.
     Puan Zalikha mengangguk-angguk.
     “Taka pa ya malam ni sampai siap kita stay?” tanyanya, inginkan kepastian yang entah kali ke berapa dia mengatakannya kepadaku. Katanya, dia rasa bersalah kerana terpaksa memanggilku untuk ke pejabat sedangkan cutiku masih berbaki lagi beberapa hari. Puan Zalikha juga menawarkanku akan diganti cuti hari ini dengan 3 hari extra cuti.
     Rezeki rehatkan diri.
     Alhamdulilah. Aku hanya rela dan redhakan saja. Siapa tahu nanti aku dipermudahkan atas urusan yang lain. Malas hendak berfikir banyak dan membantah atas arahan ketua, aku lebih senang mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Ringkasnya, masih ada 7 orang yang tinggal bertungkus-lumus di pejabat menyiapkan tugasan akhir ini dengan daya yang ada. Meriahnya, makan kami tetap terjaga kerana sememangnya sudah dipesan oleh Puan Zalikha untuk bekal kami hari ini. Tidak sangka juga hingga meniti ke senja hari sudah dan kami masih ada tugasan berbaki belum tersentuh.
     Aku bersandar seketika di kerusiku setelah Puan Zalikha meninggalkanku sekejap, katanya. Mungkin dia ingin memeriksa rakan yang lain dengan tugasan yang sudah diagih-agihkannya untuk kami siapkan hari ini.
     Aaa.. penat jelas terasa!
     Terdetik terus fikiranku untuk mengambil telefon bimbit dan mencuri sedikit masa untuk melihat pesanan yang ada. Rupanya ada miscalled dari mama 5 minit yang lalu.
     Sudah pasti mama bimbang dengan kelewatanku. Mama sudah terbiasa begitu walaupun aku ini sudah melewati usia remaja. Bagi mama, aku anak kecilnya. Hinggakan mama selalu mengatakan yang aku ini will always be her little girl.
     Mama memang tabah dengan kasih sayang yang dia berikan kepada kami dua beradik. Mama yang garangnya bererti pengasih dan ingin mendidik kami untuk menjadi dewasa yang berguna. Walau kadang mama mengusik kami dengan macam-macam kisah, adakalanya dia serius bagai hinggakan kalau dikenang semula, kami mampu tergelak sakan.
     Mama tu bukan sesuai pun saat dia serius!
     “Assalammualaiku maa..” sapaku, saat salam di hujung talian bersahut.
     “Lama lagi Lisa?”
     Aku menggumam.
     “Insya Allah jam 9 lebih paling lewatlah maa..”
     “Hmm.. okaylah. Jangan kerja lebih sangat..”
     “okay darling..” balasku manja.
     “Darling konon, Azmi nak letak mana?”
     “mama ni..” aku sudah mula manja-manja. Terasa segan pun ada dengan gurauan mama.
     Tawa mama kedengaran di hujung talian.
     “Yalah.. betulkan..”
     “Entah..” rajukku, menjeruk rasa. Malas aku hendak membalas lagi apatah lagi ingin menegaskan tentang keakraban aku dan Azmi. Puas sudah kuberterus-terang. Mungkin hanya mereka yang berharap ada kelainan pada keakraban kami itu.
     Tok tok tok!
     “Maaa.. nanti lagi Lisa call.. kerja banyak lagi ni..” ucapku, menyudah bicara bersama mama lantaran aku mendengar bunyi ketukan di pintu bilikku. Aku segera memutuskan dengan salam kepada mama sebelum aku memberi arahan untuk membenarkan masuk menemuiku.
     Oh, Husni rupanya!
     “Ustazah Mukleesa.., boleh masuk ni?” soalnya sekadar berbasa-basi. Mungkin dia rasa segan kerana mengganggu perbualanku tadi.
     Aku mengangguk bersama senyuman.
     “Kenapa Husni?” soalku, kepada rakan pejabatku yang baik hati dan peramah ini. Dia sebenarnya ditugaskan di bahagian penyusunan penilaian peperiksaan. Selalu saja dia diarahkan untuk mengemaskinikan peratus pencapaian pelajar di semua daerah setiap 3 bulan sekali. Berat sebenarnya tugasan Husni ini. Sesuailah juga dengan kudratnya sebagai seorang lelaki dan bertepatan jua dengan kelulusan yang dia ada.
     “Sebenarnya nak minta tolong ustazah periksa bahasa arab saya untuk sebagai title ni. Guna khidmat google saja sebab dah berhabuk bahasa arab saya..” bicaranya panjang lebar kepadaku dengan sedikit jenaka di situ.
     “Insya Allah lah ya sebab saya pun tak lah macam kamus At-tulab..” selorohku pula.
     Dia juga tertawa kecil sambil meletakkan beberapa helai kertas yang sudah penuh dengan cetakan jawi dan melayu. Kamus At-tulab ini sangat popular digunakan untuk pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama yang menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pengantar. Sempat dia berpesan bahawa dia memerlukannya dengan segera sebelum dia kembali meminta izin untuk keluar dan meninggalkan aku sendiri menyiapkan tugasan yang bersisa di bilikku.
     Aku menghela nafas berat.
     Kadang kuragui juga keikhlasanku untuk sudi menyiapkan semua tugasan saat akhir ini kerana ada sebahagian rakan yang memilih yang masih bujang untuk menyelesaikan. Seolah-olah hanya mereka yang tahu penat dan memiliki keluarga. Mentang-mentanglah kami ini ada yang masih hidup solo, dijadikan sasaran utama pulak sehingga dipesan untuk bertugas lewat malam. Lantaran rasa hormatlah kami diamkan saja. Malas juga kami hendak mempertikaikan melainkan memilih untuk memendam dan menjeruk rasa. Aku meneliti kemudian isi kertas yang diberikan. Melilau mata membaca kesemuanya sehingga akhirnya aku mengambil pen merah untuk membetulkan qawaid(kaedah) yang kurang tepat. Terimbau pula masa praktik mengajar dan mengajar dulu. Rindu pulak untuk menanda buku pelajar yang kebanyakkannya menggunakan pen merah. Puas memerah otak dengan jawapan pelajar yang kadang boleh menguji kesabaran seorang pendidik. Apa daya sudah tanggungjawab untuk membetulkan yang salah.
     Hmmmm..
     Syukur jugalah aku kerana tidak banyak yang perlu dibetulkan. Husni itu pun kadang jangan tidak menjalankan pesanan Puan Zalikha saja yang selalu meminta aku memeriksa sebelum dicetak rasmi. Husni itu bagiku lebih hebat ilmunya daripadaku. Ringkasnya, dia hanya merendah diri saja dengan apa yang ada. Beruntunglah nanti jika dia memimpin keluarga yang dibinanya. Pasti nanti bijak-bijak belaka. Bermula dari muka surat pertama, aku terus memeriksa dengan berhati-hati kerana tidak mahu berlaku kesilapan lantaran ia benar-benar perlu diselesaikan segera. Usai memeriksa, aku kembali menyerahkan kepada Husni yang sudah menunggu di mejanya di luar dan menyambut dengan ucapan terima kasih.
     Aku sekadar tersenyum saja sebelum aku berlalu menuju ke pantry untuk membuat secawan Nescafe panas. Memang sesuai minum di waktu dingin begini. Tambahan lagi hari baru saja mulai dituruni hujan. Mungkin bermula maghrib ini hingga ke lewat malam. Harap-haraplah tidak selebat mana kerana masih banyak lagi yang hendak aku siapkan. Kalau hingga lewat malam, mana mungkin aku mahu abah yang menjemputku walaupun sememangnya itu masih tanggungjawab abah untuk anak perempuannya.
     “Puan Mukhlisa..”sapa Sufiyah yang sudah ada di sebelahku.
     “Ya?”
     “Nescafe saja?” soalnya.
     Aku mengangguk.
     “ Kalau ustazah nak, kita order pizzalah yaa.. lapar betul ni. Banyak sangat kerja kitakan..” adunya kemudian yang tangannya sibuk menyediakan minumannya jua. Sempat juga dia mencadangkan pengalas perut. Mungkin kerana kantin pejabat yang sudah ditutup kerana waktu pun menjangkau ke angka 7 malam sudah.
     “Boleh juga. Pesanlah..” jawabku yang sudah duduk di sofa yang  disediakan tidak jauh dari situ. Sufiyah mengangguk dan mula membuat pesanan melalui panggilan telefon. Dia juga turut sama duduk di sebelahku. Sufiyah ini rakan pejabatku dibahagian kertas peperiksaan. Dia sebenarnya seniorku Cuma dia lebih menghormati aku kerana jawatanku di sini. Puas sudahku minta dia memanggil namaku saja tapi dia tetap juga memanggil aku dengan gelaran ‘puan’ yang bagiku kedengaran seperti sudah berumur.
     “Bukan sebetulnya ustazah masih bercuti ni?” soalnya memecah kesunyian. Kami sengaja mahu berehat sekejap sebelum menyambung tugasan yang setia menunggu kami.
     “Biasalah..” balasku ringkas. Rasanya cukup memberi jawapan mengapa aku perlu turut-serta hari ini walaupun aku masih lagi bercuti sebenarnya.
     Sufiyah mengeluh.
     “Suka sangat last minute. Kelam-kabut kita jadinya..”rungutnya lagi.
     Aku tergelak kecil.
     “ Nak buat macamanakan..”
     Dia sekadar mengangkat bahu.
     “Tapi yang tak puas hatinya, hanya kita-kita saja yang kena siapkan hingga lewat. Yang lain lepas tangan..” tambahnya lagi dengan muncung sedepanya.
     Aku memukul lengannya perlahan.
     “Dahlah Sufiyah. Nanti pahala kurang. Kita harapkan sajalah di masa akan datang, segala kesulitan kita akan dipermudahkan Allah. Kalau kita dizalimi, Allah lebih layak menghukum. Kita redha sajalah, yaa..” balasku memujuk, bagai berceramah pun ada.
     Sufiyah tergelak.
     “Ni yang suka duduk sembang dengan ustazah ni. Boleh sejuk hati..”pujinya bersahaja.
     “Biasa saja pun. Kira sekaligus pujuk diri sendiri..” sahutku. Usai minum itu, kami kembali ke meja masing-masing sambil-sambil menanti pizza yang kami order datang. Tidak terasa bertungkus-lumus kami mengerjakan tugasan itu dan akhirnya, siap juga semuanya hampir ke pukul 11 malam. Aku melangkah keluar untuk melihat hasil kerja yang lain.mereka masing-masing sudah berkemas.
     “Ustazah, kerja kita semua dah selesaikan?” soal Husni.
     Aku mengangguk.    
     “Jomlah kita sama-sama turun ke basement..” ajak Sufiyah kepadaku yang kelihatan termangu pula. aku mengiyakan saja dan kembali ke bilik untuk mengambil beg tangan dan juga beg laptopku. Bersegera kami menuju ke lif setelah segala peralatan eletrik kami matikan suisnya.
     “Tak pernah-pernah kita kerja lebih sampai lewat ni, kan?”Saiful memecah kebisuan. Dia sempat juga meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan bahagian pentadbiran kerana membiarkan kami saja yang menyiapkan. Terkadang lelah juga aku mendengar aduan mereka namun aku hanya mendengar sahaja. Mereka begitu selesa begitu kerana aku bagaikan pihak atasan yang mengerti keadaan mereka. Aku seperti mereka kerana aku juga merasakan hal yang sama. Itu lantaran aku yang masih junior lagi tetapi sudah menjawat jawatan penting. Sebab itulah terlebih kepercayaan pula kepadaku sehingga hampir sebahagian tugasan diserahkan bulat-bulat kepadaku.
     Ting!
     Lif berhenti di tingkat lantai bawah. Kami masing-masing beriringan menuju ke kereta sebelum aku berpisah setelah semua masuk ke dalam kereta. Rakan pejabat lelaki mengutamakan kami yang perempuan pergi dulu dari parking basement itu sebelum mereka mengikut di belakang. Begitulah yang baiknya dan prihatin sebahagian rakan pejabatku yang lain. Kami masing-masing berpisah di jalan utama dengan suasana malam yang sudah pekat, dingin dan hujan yang masih renyai-renyai.
Aku terus fokus dalam pemanduan sehinggalah hatiku diamuk resah apabila jalan utama menuju ke rumah ditimpa hujan yang maha lebat. Sedaya upaya aku memujuk keberanian untuk melalui jalan itu namun hampa. Cermin depan bagaikan berkabus dek hujan yang turun lebat itu. sesanggupnya aku memandu hanya 20 km/h saja. Hendak tak hendak aku berhenti di bahu jalan. Kalau dikira-kira, sudah boleh sampai ke rumah dalam 7-10 minit lagi melalui jalan ini tapi aku tidak sanggup kerana merasa takut pun ada. Ditambah lagi dengan kilat dan bunyi petir.
     Aku beristighfar di dalam hati.
     Hanya mampu bersandar kebuntuan.
     Bagaimana lagi caranya hendak pulang?
Keluhanku kedengaran. Aku mencapai telefon bimbit dan ingin memaklumkan kepada mama bahawa aku mungkin akan lewat sampai ke rumah lantaran aku memilih untuk berhenti dulu di bahu jalan. Walaupun lebuhraya itu diterangi lampu-lampu jalan namun itu belum cukup melerai keresahan meredahi malam.
     Mataku ternampak mesej dari Azmi.
     Tiba-tiba saja akal inginkan pertolongannya darinya namun masih jua kuteragak-agak. Lagipun sudah jauh malam. Bimbang kalau-kalau dia sudah tidur. Tambahan lagi esok dia akan bekerja. Tetapi, masih mahu mencuba nasib.
     Aku menanti talian dengan debar dan segan. Bercampur-baur rasaku saat ini. Lama telefon bordering sebelum gemersik suaranya kedengaran di hujung talian.
     “Kenapa ‘Eisy?” tanyanya segera namun suaranya seperti orang baru bangun tidur.
     Aku mengigit bibir. terasa bersalah pun ada tapi memikirkan aku semakin takut dengan keadaan cuaca yang semakin memburuk, aku teruskan juga niat meminta tolong kepadanya.
     “Err.. aku berhenti di bahu jalan ni. Takut nak drive sampai rumah sebab hujan lebat sangat..” aduku perlahan, mengharap benar dia akan memahami maksudku.
     Bingkas Azmi bangun dari tempatnya berbaring mendengar keadaan ‘Eisy di tengah-tengah malam begini dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
     “Tengah malam ni?”
     Aku mengiyakan.
     “Dimana?”
     “Hampir bus stop sebelum jalan utama ke rumah.. tak boleh nampak lagi sebab tu nak minta kau hantarkan balik..”jawabku dan mengharapkan dia memahami.
     “Kenapa lewat sangat balik? Dah tahu hari hujan lebat ni. Sekurang-kurangnya maklumkanlah abah atau mama..”sambungnya lagi tapi kali ini menegur kealpaanku tentang perihal keselamatan sebenarnya. Namun, aku terasa hati. Aku mahu dia saat ini bukan untuk meruntuhkan rasa.
     “Tak nak tolong tak apalah. Terima kasih..” balasku dan terus menutup talian. Tidak sanggup menerima tegurannya dengan terbuka sedangkan apa yang disampaikannya itu merupakan kenyataan yang perlu aku terima.
     Yang aku rasa, secara tiba-tiba diundang sebak dan sedih yang melampau.
     Tiba-tiba saja aku menangis semahuku.
     Salahkah aku mahukan perhatian?