BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 15 Jun 2012


Bab 4
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

            “ Ummi Auni…”
Aku terkejut kecil dengan panggilan Zaqwan yang masih berdiri di atas anak tangga teratas berhampiran dengan bilik tidurku. Aku terkejut bukan kerana laungannya yang kedengaran dari tingkat atas tetapi kerana frasa yang digunakannya untuk memanggilku. Pasti ini ajaran Amirul kerana sebelum kuturun ke bawah untuk menyediakan sarapan si kecil, Amirul sempat menghubungi Zaqwan dan aku tinggalkan mereka untuk berbual.
            Aku saling berpandangan dengan ummi sebelum menggaris senyuman kelat. Ummi pula tidak membalas. Mungkin ummi hairan namun dia tidak jua menyanggah apa-apa.
            “ Ummi…”
Sekali lagi Zaqwan memanggilku.
Dengan pantas aku menaiki anak tangga dan menghampirinya yang sudah tersenyum manja menantiku.
            “ Ya sayang..” sahutku seraya mengucup pipinya.
Zaqwan sempat tertawa kecil.
Aku menuntunnya menuruni anak tangga dan menghampiri ummi yang sedang sibuk menyediakan sarapan. Zaqwan tanpaku duga menghulur tangan bersalam dengan ummi. Tersentuh hatiku melihat kepandaian Zaqwan yang satu ini.
Ummi kulihat tersenyum.
“ Wan nak makan ni?” soal ummi perlahan.
Zaqwan mengangguk dan tersenyum manja. Ummi segera menaruh sekeping roti yang sudah ummi sapu dengan coklat Nutella.
“ Ummi Auni tak nak comot-comot ya..” pesanku pada Zaqwan sambil menuang milo sejuk ke dalam cawan kecil. Abah yang sedari tadi jadi pemerhati hanya tersenyum melihat telatah Zaqwan yang bukannya nakal benar pun. Dia sekadar ingin mencuit hati kami semua.
Aku kemudian mendekati Zaqwan yang sentiasa mencuit hatiku dan membuat aku geram padanya. Aku sempat menghadiahkannya ciuman ke pipinya dan Zaqwan tersenyum manja. aku melabuhkan punggung di sebelahnya dan menyambut pinggan yang sudah berisi mee goreng masakan ummi. Aku sekali menoleh pada Zaqwan dan membersihkan bekas coklet yang ada dihujung bibirnya.
“ Ayahnya ada niat nak ambil Zaqwan?” soal abah yang sedang menghirup kopi panas.
Aku sekadar mengangkat bahu.
“ Tak pasti lagi, bah…” balasku. Aku kembali semula menghadap sarapanku sebelum suasana hening kami dipecah dengan nada deringan loceng rumah. Kami sekeluarga saling berpandangan.
“Assalammualaikum… “
Suara yang mengucap salam seperti biasa didengar.
“Waalaikumsalam…” sahut kami serentak namun hanya ummi yang bergerak menuju ke muka pintu. Riuh rendah kedengaran di sana. Dengan tawa dan suara riang.
“ Jazilah!” seru Kak Syazy apabila kami saling berpandangan. Aku pada awalnya terkejut kecil dengan panggilan itu namun pantas saja aku mendekati Kak Syazy dan terus bersalaman dan berpelukan seketika. Hamper terlerai seluruh rindu yang terpendam.
Kulihat sesekali Kak Syazy tertoleh-toleh ke ruangan makan. Aku yakin, kelibat Zaqwan yang mencuri perhatiannya.
“ Siapa tu?” soal Kak Syazy. Wajahnya penuh tanda Tanya yang terlalu. Aku sempat tertawa kecil seraya menarik tangannya menghampiri si kecil yang sibuk berceloteh dengan abah.
“ Anak-anak dah sarapan, Kak?” soalku sopan.
Kak Syazy mengangguk.
Aku mengisyaratkan Zaqwan untuk bersalaman dengan Kak Syazy meskipun teka-teki di riak wajahnya masih belum berjawab.
“ Anak Amirul..” bisikku perlahan.
Kusempat mengerling Kak Syazy yang nampaknya kaget dengan bisikan itu. Aku tahu nampak itu memberi kesan kepada Kak Syazy kerana wajahnya jelas berubah keruh. Aku bimbang juga kalau abah perasan suasana yang hadir antara aku dan kak Syazy itu. Takut abah terhidu ada persengketaan antara anak-anaknya dengan orang lain. Abah memang pantang benar jika tahu. Pasti kami akan ditegur abah dengan ceramah yang panjang.
Kak syazy menarik tanganku dan mengarahkan aku mengikutnya ke ruang tamu pulak. Kulihat wajahnya masih seperti terkejut dengan kenyataan yang kusampaikan tadi.
Sampai begitu sekalikah kesan nama itu pada diri kakakku itu?
Kak Syazy pantas melabuhkan punggung di sebelahku dan duduk dekat denganku. Dia masih belum berbicara namun kerutan di wajahnya mengundang gundah di hatiku.
“ Auni tahu apa yang terjadi antara akak dan abang Mirul tu?” soal Kak syazy akhirnya, dalam nada resah dan gelisah.
Aku menelan liur sebelum mengangguk perlahan-lahan.
“ Setakat, dia cerita ada perkara masa lalu yang dia nak minta maaf pada kakak.. itu saja..” balasku perlahan.
Kak Syazy kulihat diam.
Aku jadi susah hati pulak jadinya.
Apakah yang sebenarnya sudah terjadi antara mereka?
Perbualan kami terganggu dengan kehadiran Zaqwan yang tiba-tiba saja mahu duduk di pangkuanku. Kak Syazy sekadar tersenyum saat dia berbalas pandang bersama si kecil itu. Anak-anak Kak Syazy pulak entah kemana. Aku masih belum bertemu dengan mereka lagi. Pasti mereke berada di bilik khas untuk cucu-cucu abah dan ummi yang penuh dengan mainan itu.
“ Dah lama rapat dengan Amirul?” soal Kak Syazy akhirnya saat wajahnya kupandang berubah tenang. Tangannya mengusap kepala Zaqwan dengan lembut.
“ Tak juga…” jawabku sopan.
Kak Syazy tertawa kecil.
“ Macamana boleh kenal dia?” soal Kak Syazy lagi. Kali ini nampak benar dia ingin tahu kisah perkenalanku dengan Ustaz Amirul Moaz itu.
“ Alah kak… Auni kenal masa program Ukhwah Mukmin masa tu..” balasku bersahaja.
“Eh, dah jadi serapat ni?” soal Kak Syazy pulak, dengan kehairanan.
“ Rapat?”
Kak Syazy mengangguk.
“ Maksud akak?”
Kak Syazy tersenyum kecil. Disentuhnya tanganku dan dibiarnya jatuh di sisi Zaqwan. Lama aku memahami maksudnya sebelum aku termalu sendiri.
“ Heheehee… Auni rindu dengan princess akaklah… rindu pada anak buah Auni.. so, kebetulan family Amirul datang dan bawa Zaqwan sekali. Zaqwan pula tertidur masa semalam di sini, so Auni pun pelawa diri jaga si kecil ni…” lebar aku bercerita sebelum aku menghadiahkan ciuman pada Zaqwan yang seakan-akan cuba memahami butir bicara aku dan Kak Syazy ini.
“ Oh…”
Kusempat melihat Kak Syazy terangguk-angguk. Bahuku kemudiannya disentuh lembut.
“Hati-hati bila berkawan dengan Amirul…”
“ Maksud akak?”
Kupandang Kak Syazy menggaris senyuman pahit.
“ Hati Auni… Jangan retak lagi…”
Aku tersentak dengan pesanan Kak Syazy yang kulihat segera meninggalkanku untuk menemui ummi yang berulang kali memanggil Kak Syazy. Aku yang tinggal di situ termangu.
Apa sebenarnya yang terjadi antara Kak Syazy dan pemuda itu?

Sabtu, 9 Jun 2012

Bab 3 Aku, isterimu…


Bab 3
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

            “ Sayang… tunggu sini ya.. Auntie nak mandi, nak solat..” khabarku pada si kecil yang comel sekali dengan baju melayunya.  Dia duduk dengan senyuman manjanya di atas katilku sebelum aku memberinya sebungkus coklat dan beberapa buah kereta sport mainan koleksiku sebagai menarik perhatiannya untuk tidak berkeliaran di sekitar bilikku.
            Sebenarnya aku rindu pada anak-anak kak Syazy. Makanya, aku ingin meluangkan masa bersama Zaqwan yang kurang lebih comel macam anak-anak buahku juga. Yang comelnya, Zaqwan ada lesung pipit di kedua belah pipinya. Aku sempat mencium pipinya yang comel itu dengan sepuasnya sebelum aku beredar ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Selang beberapa minit, aku segera bersiap untuk menunaikan solat. Sempat kupandang Zaqwan yang tadinya sibuk bermain terlelap di atas katilku. Aku merasa kasihan benar melihat wajah yang polos itu lena di situ.
Aku sekadar menghela nafas.
Usai berniat, aku mula mengangkat takbir. Bacaan penting dalam solat kubaca di dalam hati. Aku benar-benar ingin mencari ketenangan saat bertemu Sang Pencipta. Di sujud terakhir aku mencium tikar dengan lama. Aku sempat memohon ampun dan tertitis airmata saat terkenang hatiku yang terluka atas kenangan lama. Usai memberi salam ke kanan dan ke kiri, aku menadah tangan. Aku bermunajat kepada Ilahi memohon rahmatNya dan kesejahteraan sepanjang DIA mengirim nikmat hidup kepadaku.
Aku melipat telkung dan sejadah dan menyidainya di tempat penyidaian. Aku menghampiri Zaqwan yang masih lena di situ.
Aku tersentak saat pintu diketuk perlahan. Segeraku bangun, mengambil anak tudung dan menghampiri pintu.
Nyata ummi sudah menapak di situ.
“ Kenapa ummi?” soalku separuh berbisik. Bimbang benarku suaraku menganggu tidur si kecil itu.
“ Nenek Zaqwan dah nak balik tu.. Zaqwannya mana?” soal ummi lebar sambil menjenguk ke bilikku. Kulihat ummi hanya mendiamkan diri.
“ Boleh tak Zaqwan temani Auni malam ni?” soalku kepada ummi penuh mengharap.
Ummi sekadar mengangkat bahu.
“ Auni tanyalah pada Auntie Maya dan uncle Zamri..” sahut ummi seraya menarik tanganku untuk mengekorinya. Aku sempat menutup pintu dengan perlahan sebelum menuruti langkah ummi.
Sesampainya di ruang tamu aku jadinya serba salah. Nak minta izin macam nampak sangat aku ni tak sesuai jaga Zaqwan walaupun niatku hanya malam ini sahaja.
“ Zaqwan dah tidur auntie…” khabarku teragak-agak.
Suasana berubah diam.
Aku menyiku ummi yang masih berdiri di sebelahku.
“ Auni ni.. nak jaga Zaqwan.. lagipun esok tak kerja.. boleh tak Maya?” soal ummi bagi pihakku pulak.
Aku di sebelah sekadar tersengih.
Kulihat auntie Maya dan uncle Zamri sedang berbisik-bisik.
“ Auntie bukannya tak benarkan tapi tak menyusahkan Auni nanti? Zaqwan tu nakal sikit…” sambung Auntie Maya lagi.
Aku tersenyum gembira. Nampak sudah cahaya di wajah auntie Maya seakan memberiku keizinan.
“ Saya okey… sebab saya memang suka sangat dengan kanak-kanak ni..” balasku penuh yakin.
Aku sendiri memandang ummi, berharap ummi akan membantuku. Lagipun, aku kasihan pada Zaqwan yang sudah tidur lena di bilikku itu.
Auntie Maya menggumam sekejap.
“ Auntie beri nombor ayah Zaqwan, Auni minta izin dia dulu..” sambung auntie Maya.
Mendengar kenyataan itu, aku terus menguncikan mulut. Tidak berani lagi aku melawan kata. Aku bukannya apa, aku seakan lupa bahawa Zaqwan itu masih ada orang tua yang lebih ada hak menjaganya.
Aku tersenyum kelat dan teragak-agak menyambut kad yang dihulur oleh Auntie Maya. Dalam hatiku mula berdolak-dalik jadinya. Teragak-agak pula untuk meneruskan niat menjaga Zaqwan dan membiarkannya bermalam di sini.
Aku memandang nama pada sekeping kad yang dihulur. Bagai terkena renjatan elektrik hatiku saat terpandang sebaris nama itu.
Aku menelan liur dengan payah.
“ Pergilah telefon… biar auntie ambil barang-barang Zaqwan di dalam kereta..” pinta auntie Maya, seakan memaksaku menghubungi si ayah. Dengan berat hati aku melangkah ke meja telefon.
Tak sangka benar.
Zaqwan anak kepada pengerusi tadi.
Amirul Zaqwan bin Amirul Moaz.
Lambat-lambat aku mendial nombor yang tertera pada kad itu. Lama benar juga aku menanti ia berdering dan seiring itu juga jantungku berdebar dengan kuat tidak henti-henti.
“ Assalammualaikum…” sapa satu suara yang kedengaran garau namun mempesona pada pendengaranku.
Lama aku membisu.
Sesekali menggigit bibir.
Tiba-tiba saja lidah yang tadinya lancar meminta keizinan pada ibubapanya, kelu seribu bahasa.
Aku sempat berdehem sebelum membalas salamnya.
“ Ni Auni Jazilah…” perkenalku perlahan walaupun aku sedar suaraku seakan berbisik-bisik pula.
Aku terdengar tawa kecil di hujung sana.
“ Kenapa?” soalnya.
“ Saya nak minta izin pada awak…” sepatah-sepatah aku berkata lantaran aku sendiri kekok berkata padanya meskipun melalui telefon.
“ Pasal apa tu?” soalnya lagi dalam nada mengusik.
Lamaku diam di situ sebelum aku menyambung kata kerana gusar pada pandangan banyak mata yang menanti kesudahan keinginanku itu.
“ Boleh Zaqwan tinggal dengan saya malam ni?” soalku perlahan namun rasaku seakan merayu pulak padanya.
Si gerangan yang berada di sana pulak diam. Mungkin dia hairan bagaimana mungkin Zaqwan ada di rumahku.
“ Mak ayah saya ada di sana?” soalnya inginkan kepastian.
Aku sekadar menggumam, tanda mengiakan pertanyaan itu.
“ Saya bukannya tak benarkan tapi tak menyusahkan Auni nanti?” balasnya lagi.
“ Eh tak apa.. Saya okey.. Tapi kalau awak tak benarkan tak apalah…” balasku perlahan, mengalah walaupun nada suaraku bagaikan kecewa.
“ Betul ni?” soal Amirul.
Aku tidak menjawab.
 Tidak lama kemudian dia tertawa.
“ Kenapa macam kecewa saja?” soalnya dalam gurauan.
Aku di sini tersipu malu pada pertanyaannya. Seolah-olah dia tahu apa yang kurasa.
“ Baiklah tapi kalau Zaqwan nakal.. beritahu saya..” putus Amirul akhirnya sebelum aku mematikan panggilan.
“ Auni…” panggilnya perlahan.
Aku berdebar-debar. Lain sekali nadanya pada pendengaranku.
“ Teks saya nombor handphone awak ya…” pesannya sebelum memutuskan panggilan dengan salamnya. Aku yang belum sempat berkata apa-apa hanya terdiam.
Aku meletakkan gagang telefon dan kembali menghampiri ibubapa ustaz Amirul itu.
“ Dia izinkan?” soal auntie Maya tidak sabar.
Aku tersenyum dan mengangguk.
“ Alhamdulilah… jarang benar Amirul benarkan ya bang…” balas auntie Maya dalam kiasan dan sempat jua dia menjeling uncle Zamri. Aku yang tidak mengerti hanya terpinga-pinga dengan situasi itu. Aku menyambut huluran barangan Zaqwan yang tersimpan pada beg kecil dan pantas aku menghulur tangan bersalaman dengan auntie Maya. Aku bimbang dengan keadaan Zaqwan yang aku tinggalkan bersendirian di bilik.
Aku dengan bergegas menaiki anak tangga. Aku memulas tombol pintu dengan perlahan. Hatiku lega, Zaqwan masih lena. Dia tidur begitu pun sudah kelihatan comel. Aku pantas mendekati si kecil itu dan membetulkan caranya tidur. Aku mengambil selimut kecil di dalam almari dan pantas saja menyelimutkan dirinya. Aku sempat mencium dahi Zaqwan sebelum aku terkenang pada ustaz muda itu pula.
Aku menggeleng dalam senyuman.
Kenapa terkenang dia pulak ni?
Aku duduk di birai katil bersama barangan Zaqwan. Aku ingin membancuh susunya agar dia bertambah lena tidur malam ini. Aku membuka anak tudung dan mula memanaskan heater yang ada di hujung meja studiku. Begitulah rutinku sejak di bangku sekolah. Bilikku semuanya lengkap. Cuma tambak gas saja belum ada. Aku ada peti sejuk kecil. Semuanya kusediakan kerana masaku banyak kuhabiskan dengan menelaah buku-buku pelajaran lantaran dulu aku pernah bertugas sebagai pensyarah agama di sebuah universiti. Hanya setelah aku dipindah ke pejabat, aku banyak berehat dan sekadar membaca buku saja sebagai panduan hidup.
Setelah air panas yang kumasak mendidih, aku segera membancuh susu si kecil. Aku merasanya dengan telapak tangan kerana bimbang terlalu panas. Sesudah berpuas hati, aku segera menghampiri Zaqwan dan menyuakannya walaupun matanya berat untuk dibuka namun dia tetap menyambut dan meminum susu yang kubancuh di dalam botol itu.
Terkenang pada ayahnya yang mungkin risau itu, aku pantas mengambil telefon bimbitku. Aku sempat mengambil gambar Zaqwan yang sedang tidur lena dan menghantar gambar itu Via MMS kepada Amirul. Aku sempat menambah kata-kata untuknya bersama senyuman terlukis di bibir.
‘ Anak awak comel…’
Aku tertawa kecil kerana bimbang akan membuat Zaqwan bangun. Aku menyuramkan cahaya lampu tidur dan mula melabuhkan badan di sebelah Zaqwan. Aku sempat mengambil botol susunya yang sudah kosong. Aku terus membelai pipi montel yang menghadirkan rasa geram padaku. Sesekali kukucup pipinya. Sesekali kupeluk dia dan sesekali kubelai rambutnya.
Aneh.. aku tiba-tiba jatuh sayang pada Zaqwan. Mungkin kerana aku kasihan padanya yang nyatanya di usia sekecil ini, dia tidak diasuh dengan baik oleh ibunya.
Aku terkejut tiba-tiba saat telefon bimbitku bergegar. Aku pantas mencapai telefon bimbitku yang tadinya kusimpan di sisi. Ada satu pesanan ringkas kuterima.
‘ Hmm… anak saya nakal tak?’
Aku tersenyum membaca pesanan itu.
‘Tak.. mana nak nakal.. dia tidur ni…’
Lantas aku membalas pesanan itu. Tidak lama berbunyi lagi.
‘ Pesan pada Zaqwan bila dah bangun.. Jangan nakal kat ummi Auni.., hehee’
Aku tersentak membaca ayat di hujung itu walaupun niatnya sekadar bergurau. Lamaku mengambil masa membalas pesanannya kerana aku buntu mencari akal.
‘Maaf.. tak ada niat lain…’
Pesanannya sampai lagi sebelum aku sempat membalas.
‘ Tak apa.. Insya Allah, esok ummi Auni sampaikan.. hehee’
Sahutku membalas usikannya kerana tidak ingin mencipta sengketa. Rasanya tak salah kalau aku berniat mahu mengambil Zaqwan sebagai anak angkat pula. Ustaz muda ini yang membuatkan idea itu datang dengan tiba-tiba.
‘ Dah lewat ni ummi Auni.. tidurlah, nanti Zaqwan bangun dia buat bising’
Aku tersenyum membaca pesanan itu. Dipanggil begitu, aku terasa dekat pula dengan keluarga Zaqwan walaupun yang nyatakan aku baru saja kenal dia meskipun abah dan ummi yang kenal lama pada keluarga itu.
‘ Yalah.. Assalammualaikum..’
Balasku sebelum aku menyimpan semula telefon bimbitku ke meja yang terletak di sisi katilku. Aku menoleh semula kepada si kecil yang tidur dengan nafas teratur itu.
Aku mengucup pipinya sekali lagi.
“ Bismikallahhumma nayha wa namuut..” bisikku perlahan di telinganya.

Bab 2 Aku, isterimu…


Bab 2
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

Malam sudah mula melabuhkan tirainya. Sejak petang tadi, aku tidak dapat lari dari memikirkan kisah Kak Syazy dengan Amirul.
Aah.. mungkin abang Amirul.
Sepanjang pemanduan juga beberapa kali aku kehilangan tumpuan. Nasib baik jalan raya lengang saja. Kalau tidak, pasti tersasar. Di hadapan rumah besar milik keluargaku ini, aku masih termangu.
‘Ya Allah… sesungguhnya aku telah berjanji padanya..’
Aku menghela nafas berat sebelum mematikan enjin dan keluar dari perut kereta. Pintu utama masih terbuka luas. Mungkin ada tetamu yang datang malam-malam begini.
“Assalammualaikum..” sapaku saat menjejak kaki ke dalam rumah. Pandanganku pantas tertancap pada abah dan ummi serta tetamu yang hadir itu. Sudahku teka, pasti ada yang datang berkunjung. Aku pantas menghampiri abah dan ummi serta tetamu perempuan untuk bersalaman.
“Ini anak saya yang bongsu.. Auni Jazilah..” perkenal ummi kepada tetamu yang telah memperkenalkan dirinya terlebih dahulu sebagai Uncle Zamri dan Auntie Maya itu. Aku yang masih berdiri di situ sekadar mengangguk. Di sebelah Auntie Maya ada seorang budak lelaki yang nampak sungguh comel.
“ Zaqwan.. salam auntie..” arah Auntie Maya. Seraya, anak kecil itu menghampiriku dan bersalaman denganku. Dia nampak sungguh comel dan kacak.
“ Ni cucu kami..” perkenalnya lagi kepadaku. Tanpaku duga anak kecil itu terus memelukku.
Aku terkaku di situ.
Tidak menyangka benar begitu sekali responnya melihatku. Aku yang tersedar pantas saja membalas dakapannya tapi tidak lama kerana aku kurang selesa lantaran masih belum membersihkan diri lagi.
“ Comel.. berapa umurnya, auntie?” soalku, sekadar beramah saja.
“ Empat tahun..”
Aku mengangguk-angguk saja.
“ Saya minta diri naik dulu yaa..” pintaku kepada mereka kemudian. Zaqwan pula dengan tiba-tiba menarik tanganku.
Lantas langkahku mati.
“ Kenapa sayang?” soalku dengan mesra padanya.
“ Wan nak ikut…” adunya dengan muka kasihan. Aku yang jenis tidak tahan dengan rayuan anak kecil itu pantas bersetuju.
“ Eeh.. tak apalah Auni. Nanti dia menganggu pulak..” sampuk Auntie Maya.
Aku menggaris senyuman.
“ Tak apa… Biarlah… Siap saya di atas, saya bawa Zaqwan turun semula..” balasku sambil memimpin tangan si kecil menuju ke bilikku.

Suasana di ruang tamu itu sesekali meriah dengan gelak tawa kawan lama yang baru bersua itu. Bukannya apa, lama tidak jumpa kerana terputus hubungan. Ini pun terjumpa kerana majlis perkahwinan kawan mereka minggu lalu. Dan kali ini, baru berkesempatan bertemu lagi.
“ cantik anak bongsu awak tu…” puji Maya.
“Alhamdulilah.. rezeki Allah…” sahut Haji Rahim dan Hjh Rahmah serentak.
“ Dah berpunya dia?” soal Zamri pula, kedengaran dalam nada mengusik.
Tawa mereka berpadu.
“ Anak-anak Maya… berahsialah tentang soal hati dan perasaan ni..” balas Hjh Rahmah lagi.
“ Kalau ada jodoh, teringin juga kita berbesan…” balas Zamri.
Hj Rahim dan Hjh Rahmah berpandangan.
“ Betul tak ni?”
“Eh.. apa salahnya…” sampuk Maya lagi.
Dari cerita gurauan hinggalah bual bicara yang serius, akhirnya mereka nekad membuat satu keputusan.
Mungkin persetujuan antara dua keluarga itu akan merubah sesuatu.

Bab 1 Aku, isterimu…


Bab 1
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

“ Hujjah bernas… “
Aku yang sedang sibuk memilih makanan itu, terkejut kecil pada teguran itu. Aku pantas menoleh si gerangan yang tiba-tiba saja menegurku itu. Aku sekadar menggaris senyuman saja dan tidak pula berniat mahu menyahut pujiannya. Kami baru saja menikmati makan petang setelah majlis forum perdana berakhir. Hidangan banyak disediakan sebagai jamuan para hadirin di senja yang masih gerimis itu.
“ Makanlah..” pelawaku kerana tidak ingin nampak kekok di situ. Dia sekadar mengangguk bersama senyuman. Aku tercari-cari kelibat Aleya yang sedari majlis berakhir masih belum menampakkan dirinya. Resah hatiku sebenarnya. Bukan kerana situasi kami hanya berdua tapi kerana aku merasakan hanya dia yang hadir di situ dan seakan aku buta memandang kehadiran mereka yang lain.
Apakah, aku saja yang merasakannya?
 “ Awak mengajar dimana?” soal Amirul sambil dia mempelawa duduk pada sofa tidak jauh dari meja yang terhidang banyak makanan itu.
“ Saya tak mengajar..” balasku ringkas.
Kemudian aku sengaja lama-lama menghirup teh tarik panas. Bimbang benar dia akan menjadi terlalu peramah menanyakan soalan yang banyak kepadaku. Kukerling sedikit, dia hanya meneruskan makan sebelum kerlinganku tertangkap oleh pandangan matanya.
Pantas, aku mengalihkan pandangan. Jujur saja, aku memang kekok benar dengan situasi ini. Bukan kerana aku tidak biasa berhadapan dengan orang lain tetapi kerana lelaki di hadapanku ini seakan-akan menyimpan rahsia di bening matanya yang nampak redup itu. Seperti dia ingin menanyakan sesuatu tapi tidak terluahkan.
Atau, hanya aku yang merasakan begitu?
“ Dah tu, awak bertugas dimana?”
“ Pejabat agama, bahagian kaunseling..” balasku lagi.
Aduhai.. resah semacamku pulak jadinya lantaran Aleya masih belum menghampiriku.
“ Patutlah bijak berkata-kata..” pujinya dengan nakal.
Aku sekadar menjeling.
“ Awak dah kenal saya?” soalnya lagi.
Aku sekadar mengangkat bahu. Kiranya jual mahal atau hipokrit, itu aku tidak pasti. Yang penting, aku belum bersedia mengakui bahawa aku sudah tahu tentang dirinya serba sedikit daripada ustazah-ustazahku tadi.
“ Amirul Moaz…”
Aku sekadar mengangguk. Tidak berniat mahu menyahut. Lagipun, aku tidak tahu menjawab apa.
“ Tak nak ambil tahu pasal diri saya?” soalnya lagi, kali ini kedengaran lebih kepada usikan. Laluku pandang, dia tertawa dengan barisan gigi putihnya yang cantik.
Aku sekadar tersenyum kecil.
“ Kalau awak nak bercerita, saya mendengar…” balasku menyahut usikannya. Saat itu juga, dia mula bercerita tentang dirinya. Seolah-olah, kami adalah kawan lama yang baru bertemu setelah sekian lama berpisah dan berjauhan. Bermula dari zaman sekolah rendah, sekolah menengah, peringkat university dan hinggalah ke cerita peribadi yang akhirnya membuatkan dia terdiam seketika.
Aku pantas memandangnya, ingin tahu reaksi saat dia mula bercerita kisah peribadinya itu.
“ Saya bukan bujang lagi…”
Aku tidak menjawab.
“ Dan… saya dah ada anak seorang…” sambungnya sambil memandang tepat ke anak mataku. Aku segera melarikan anak mata. Hatiku berdebar-debar bila dia sengaja memanahkan pandangan itu ke dalam mata.
Kenapa dia ingin memberitahuku begitu?
“ Berapa umur anak awak?” soalku sekadar ingin dia tahu bahawa aku mendengar segala ceritanya.
“ Empat tahun dan mamanya dah tinggalkan kami kerana lelaki lain…”
Saat itu juga, suasana berubah hening. Kupandang dia yang nampak tenang sedangkan aku seakan dipukul dengan 1001 rasa bersalah.
“ Maaf…” pintaku padanya walaupun kedengaran canggung sekali.
Dia sekadar menggaris senyuman walaupun nampak kelat.
“ Jodoh kami tak panjang..”
Aku sekadar tersenyum.
Kemudian, lama kami tenggelam dalam suasana bisu walaupun sekeliling kami bising dengan pelbagai butir bicara yang tidak diketahui pangkal tajuknya.
Tanpaku sedar, bahuku disentuh perlahan. Aku hamper terjerit kecil dengan tingkah Aleya yang sengaja mengusikku itu. Kalaulah aku terjerit, malulah aku sepanjang masa berhadapanan dengan Amirul itu.
“ Mana awak menghilang Aleya?” soalku saat Aleya sudah melabuhkan punggung di sebelahku.
“ Saya di depan pintu utama tadi. Mengiring beberapa tetamu kehormat masuk ke bilik VIP untuk jamuan petang..” khabarnya kepadaku. Sempat juga dia berkenalan dengan Amirul yang sesekali menjeling kami.
“Pengerusi tadikan?” soal Aleya.
Amirul mengangguk bersama senyumannya yang selalu saja kelihatan manis pada pandanganku.
“ Kalau saya tak silap, awak ni satu intake dengan Auni Syazilah, betul?” soal Aleya lagi dengan lenggok orang bagai nak bergosip saja lagaknya.
Amirul tertawa tampan.
Aku mengetap bibir.
Dia intake kakak Syazy?
“ A’aah.. betul..” balasnya bersahaja.
Demi saja Amirul menjawab, terus saja Aleya membuka cerita. Katanya, akulah adik kepada kakak Syazy. Aleya sebenarnya satu intake juga dengan kakakku. Kira Aleya seniorku. Aku tidak memanggilnya dengan gelaran kakak kerana umur kami sebaya.
“Patutlah saya macam nampak bayangan seseorang dalam diri Auni..” balasnya bersahaja.
Aku sengaja mengangkat kening. Menanti dia menghabiskan kata-katanya yang kedengaran tergantung.
“ Kakak awak itu kawan baik saya..” sambungnya setelah mungkin dia sedar aku masih dalam reaksi menantinya menghabiskan bicara tergantung itu.
“ Saya tak pernah dengar Kak Syazy sebut nama awak..” balasku kehairanan. Setahuku, Kak Syazy bukan jenis perahsia. Banyak kisahnya di dalam kocekku. Kami senang berkongsi suka duka bersama.
“ Saya tinggalkan dia kerana bekas isteri saya…”
Lantas aku tidak lagi berkutik.
“ Ada kisah yang menyebabkan kakak awak itu menyimpan rasa marah pada saya…” sambungnya lagi.
Aku dan Aleya saling berpandangan. Kulihat dia bangkit untuk menyimpan bekas cawannya ke atas meja sebelum dia berniat untuk menjauh.
Aku sendiri dapat lihat perubahan pada wajahnya itu.
“ Kiranya suatu hari nanti, boleh awak aturkan pertemuan saya dan kakak awak?” soalnya perlahan.
Aku mengigit bibir.
“ Lama saya tunggu.. untuk meminta maaf padanya…”
Aku termangu.
Spontan saja dia menghulurkan kad namanya kepadaku.
“ Hubungi saya jika Syazy setuju…”

Prolog Aku, isterimu…


Prolog
Aku, isterimu…
“ Demi Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”

            Gerimis di senja hari semakin lebat, membasahi bumi ciptaan Ilahi. Alhamdulilah, inilah tandanya TUHAN masih sayang pada hamba-hambaNya untuk terus menikmati nikmatNya yang tidak terhitung. Walaupun menggusarkan sekeping hati dengan keadaan cuaca yang tidak baik ini namun bersyukurlah. TUHAN masih ingin memberi kita rezeki yang melimpah ruah.
            “ Pukul berapa majlisnya mula, Ustazah?” soal salah seorang peserta program Akhawat Mukmin di petang yang redup itu.
Aleya di sebelah menyikuku.
            Aku tersedar dari terus membaca teks forum perdana yang akan kubentang dalam beberapa minit saja lagi. Aku kurang pasti pulak siapa yang akan menjadi panel dua orang lagi selain aku, termasuk pengerusi juga. Aku resah sebenarnya kerana kami semua tidak dipertemukan terlebih awal untuk membincangkan tajuk petang ini melainkan hanya dikirim soalan-soalan yang perlu dijawab melalui emel sahaja.
            “ Kenapa?” soalku separuh berbisik.
            “ Peserta kita bertanya tu.. bila majlis nak mula..” sambungnya perlahan.
Aku mengalih pandangan kepada peserta perempuan yang nampak manis dengan baju kurung dan bertudung litup itu.
            “ Maaf ya… lebih kurang jam dua petang kita mula…” balasku sopan.
            Dia sekadar mengangguk-angguk dan kembali semula ke tempat duduknya.
Sebenarnya, program Akhawat Mukmin ini adalah anjuran masjid kampong sebelah dan kerjasama dengan beberapa buah sekolah agama berasrama serta sokongan pejabat daerah. Lantaran itu, beberapa pegawai ugama dan juga guru-guru ugama telah dilantik dan diundang untuk turut sama menjayakan program ini. Menurut kertas kerja yang dikirim, program ini bakal berlangsung selama empat hari. Banyak aktiviti sudah dirancang dan program ini memilih masjid besar ini sebagai lokasi ia dilaksanakan. Di antara objektifnya pula adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama mukmin-mukminat dan memantapkan pegangan agama.
“ Assalammualaikum ustazah..” sapa seseorang yang sedang menghampiri kami.
Aku dan Aleya serentak mendongak.
Senyuman di wajah itu mencoret debar di dada. Cepat-cepat aku beristighfar dan membuang pandangan sekilas.
“ Boleh saya tahu yang mana satu Ustazah Auni Jazilah?” soal lelaki yang segak berbaju cara Melayu biru muda itu dengan sopan.
“ Saya..” balasku pendek.
“ Majlis nak mula tapi semua panel diminta berkumpul sekejap…” khabarnya. Aku pantas berdiri dari tempatku duduk. Aku sempat meminta diri dari Aleya untuk mengikut lelaki itu menuju ke tempat khas di dalam masjid itu. Sesampainya bertemu dengan panel-panel yang lain, aku bersalaman dengan pegawai ugama yang lain. Aku merasa segan pulak kerana dua orang panel itu adalah bekas guruku di sekolah dulu.
“ Dah besar Jazilah… Ikut macam kita juga…” puji Ustazah Suhana seraya menarik tanganku untuk duduk di sebelahnya.
Aku sekadar tersipu diusik ustazah-ustazahku itu. Aku sempat mengerling lelaki yang sedari tadi menggaris senyuman tidak jauh dari kami itu.
“ Kira kita bertiga ni panel lah ya..” sambung ustazah Marliani pula.
Aku mengangguk saja. Rasa segan sangat bila duduk sebaris pulak dengan bekas-bekas guru yang pernah mengajarku dulu. Terasa kerdil sedangkan mereka adalah ilmuan yang banyak menyimpan pengetahuan berbanding aku.
“ Dah kahwin, Jazilah?” soal ustazah Suhana.
Aku tersentak. Pantas aku menggeleng.
“ Belum sampai seru…” sahutku, membalas usikan. Jujur saja, aku memang sudah lali dengan soalan cepu emas itu kerana bukan setakat ustazah-ustazah yang kutemui ini bertanya tetapi banyak juga kawan-kawan seintake yang kini menyandang jawatan pegawai ugama, turut serta terlibat dengan program ini menanyakan soalan yang sama.
“ Kenal tak pengerusi kita tu?” soal ustazah Marliani berbisik padaku. Aku memandang kepada si gerangan yang dimaksudkan ustazah itu. Dengan pantas aku menggeleng saat anak mata dia menusuk jauh ke dasar hatiku.
“ Tak kenal…”
Ustazah Suhana dan Ustazah Marliani serentak tertawa.
“ Mana nak kenal, sebab dia dah berubah handsome…”
Aku sekadar diam, tidak menyahut usikan mereka.
“ Itu Amirul Moaz…”
Dahiku berkerut.
Pernahkah aku seintake dengannya?