BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

koleksi CERPEN HANI

Cerpen: Pesona restoran cinta kita.

            “Unik.. seunik orangnya..”
Kata-kata itu tidak henti-henti bermain di dalam fikiranku. Masih terngiang-ngiang di dalam minda. Meski hatiku saat ini sudah tenang, tapi ia pernah mendidih panas. Mulut lelaki itu macam tidak ada insurans! Mengata orang sesedap rasa! Kalau bukan kerana terdesak mahu mencari wang, aku tidak akan menebalkan muka ditemuduga untuk memohon jawatan itu. Lelah fikiran memainkan memori siang tadi, aku memilih untuk melelapkan mata. Berharap esok akan menjadi permulaan hari kerjaya yang terbaik untukku.
******************************************************************
Hatiku menyumpah kebodohan. Jam sudah semakin gagah menentangku dengan menggerakkan jarumnya ke angka sembilan pagi. Gara-gara terlewat bangun, aku dikurung di kesesakan lalu lintas. Memang keterlaluan! Bukankah ini permulaan hariku bekerja? Nada deringan telefon bimbitku kedengaran mematikan omelan hatiku. Tertera nombor yang tidak pernah tersimpan dalam memori telefonku. Aku menekan punat hijau meski otak sudah dibelasah rasa stress!
            “ Dah beli bateri jam?” soal si pemanggil sinis.
Aku agak tersentap. Suaranya kedengaran seperti pernah masuk ke gegendang pendengaranku.
            Bos!!
Alamak…
Aku menepuk dahi. Tidak henti-henti mengomel didalam hati.
            “ Maaf bos, traffic jam” itu alasan yang aku ada sekarang. Bosku itu sudah mula melancarkan perang dingin. Pakej dengan amaran pertama. Memang aku akui, tidak wajar aku lewat di hari pertama aku bekerja tapi aku bukannya sengaja! Hatiku menjerit.
            “Semalam berlagak dengan motor.. Hari ini pandai pula pandu kereta…”
Kata-kata itu yang kudengar sebelum panggilan berakhir.  Aku menghempas stering dengan marah.
Tit..tit..tit..tit…
Satu pesanan masuk.
            Terus sja dtg ke tpk pembinaan
Aku mengeluh. Kalau aku tahu, tak usahlah menderitakan diri diamuk traffic jam! Lebih baik dari rumah tadi aku terus ke sana! Membuang masa betul Encik Syed Adam Irsyad El’ Ameer itu.  Aku bila sudah marah, habis dengan segala nama penuh aku sebut. Kalau aku tahu nama neneknya, datuknya sekalipun akan aku sebut.
Geram sungguh!
******************************************************************
Aku memandang siling sepi. Sudah hampir tiga bulan aku memegang jawatan sebagai pembantu peribadi Encik Syed Adam. Meski terbeban dibahuku segala kerja yang menggunung, aku seronok memberi kerjasama. Tambahan lagi gaji yang ditawarkan sungguh lumayan walaupun kadang-kadang aku hampir-hampir menyerah kalah kerana tidak tahan dengan sikapnya yang terlalu mengarah dan kebudak-budakan itu. Namun, demi cita-citaku untuk menyambung pengajian ke New Zealand, aku tegarkan semangat.
Tit…tit…tit…tit..
Aku mengeluh. Siapa pulak yang menganggu rehat malam minggu yang menyenangkan ini?
Aku pantas mencapai telefon bimbitku di atas meja belajar.
1 message received
            Eren, tgk dlm kreta ada kotak.mbil n pakai. 10 minit g sya dtg jmput!
Hatiku menjerit marah. Memprotes!Bukankah masa bekerja sudah berlalu?
Namun, hatiku  diterpa rasa ingin tahu. Kotak apa pula yang dimaksudkannya? Bila masa ada kotak dalam kereta? Tanpa lengah berteka-teki sendiri, aku pantas turun ke garaj. Puasku geledah isi kereta, dari depan,belakang, tengah tapi kotak itu tidak kutemui.Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
Dimana kotak itu?  Dia pula jenis yang menepati kata dan masa. Kalau dia kata 10 minit, ertinya 10 minitlah dia akan muncul. Aku hampir saja berputus asa mencari kotak itu. Lantas, terdetik di fikiranku kemungkinan kotak itu ada di bahagian kaki, tempat duduk belakang.
Sah!
Kotak biru berbentuk hati sudah aku jumpai. Tanganku sedikit menggeletar membukanya. Membuak rasa ingin tahuku.
Lama mataku terpaku. Sehelai gaun labuh berwarna ungu muda menjawab pertanyaanku.
Cantik!
 Ia dihiasi dengan manik-manik kecil berwarna merah dan membentuk bunga mawar di bahagian bahu. Sekeping kad telah jatuh saat kumengambilnya.
Mak cik.. pakailah aku..
Aku tersenyum membaca kad itu. Meski coretannya agak keterlaluan, namun ia agak romantik!
            “ Agaknya, bos aku ni buang tabiat” bisik hati kecilku dalam senyuman.
Aku pantas berlalu naik ke rumah sambil membimbit kotak itu. Aku meletakkan baju itu di atas katil. Masih berkira-kira mahu memakainya ataupun tidak. Aku bukan jenis yang melaram dengan baju gaya feminin begini. Lagipun, aku sendiri kadang-kadang ke pejabat menaiki motor. Aku hanya akan memandu kereta apabila cuaca mogok menitiskan air dari langit. Kata bosku itu, aku tomboy meski bertudung! Sebenarnya, aku selesa dengan gaya ranggi walau kadang-kadang sepatutnya aku berpakaian formal untuk majlis-majlis rasmi dipejabat. Tapi, masalah aku sekarang, aku tidak tahu menggayakan baju gaun ini!
Hon kereta sudah kedengaran. Aku menjadi risau.
Ah..lantaklah!
Aku tidak mahu gaji dipotong lagi gara-gara pernah menolak dari menemaninya menghadiri majlis jamuan makan malam lantaran tidak mahu memakai baju gaya feminin. Lagipun, aku bukannya ada baju sebegitu.
            “Eren.. driver kau sudah datang!” laung Maya, kakakku dari bawah.
Aku menggigit bibir. Aku tahu siapa yang dimaksudkannya. Aku kaku berdiri. Masih berkira-kira mahu mengenakannya. Malas memenatkan otak, aku pantas mengenakan baju itu ke tubuhku. Aku memandang diriku ke dalam cermin. Aku ketawa sendiri. Tak selesa langsung.
Tidak lama pintuku dikuak. Kakakku Maya tersenyum.
            “ Lawanya adik aku ni. Sejak bila ni?” katanya seraya menghampiriku. Aku hanya menjelingnya. Aku tahu itu gurauan yang berbentuk perlian. Tangannya pantas membongkar kotak yang tersimpan alat-alat solekku yang kusimpan di dalam almari. Ligat tangannya mencalit sesuatu ke wajahku meski telefonku menjerit minta dijawab.      
“ Janganlah over, kak..”  pintaku walau banyak kali aku cuba menolak-nolak tangannya yang semakin nakal merubah penampilanku.
Aku keluar rumah menuju ke kereta yang sudah hidup enjinnya. Pemuda itu berpeluk tubuh mempamer bahagian belakang badannya. Aku menggigit bibir. Seram dingin tanganku meski lidah enggan bersuara mahu menegurnya. Kemudian, dia berpaling.
            “Kenapa lama sa…” kata-katanya mati di situ.
Aku menelan liur saat matanya tidak berkelip memandang dan tertanya-tanya hatiku mengapa dia tidak menyudahi kata-katanya. Debar di hati usah ditanya. Semakin kuat! Pandangannya benar-benar sampai ke jantung. Pintu kereta dibuka. Memberi ruang aku membolosinya ke dalam. Tiada kata-kata yang terluah dari mulutnya. Sepanjang perjalanan itu aku dilanda resah. Kebisuannya punca segalanya. Selalunya, mulutnya akan membebel. Marah itu dan ini. Tapi, waktu ini dia diam pula. Hanya sesekali kerlingannya singgah di ekor mataku.
            “Kemana?” soalku akhirnya.
Dia kulihat mengetap bibir. Berkali-kali kunampak dia menelan liur. Kenapa pula dengan mamat ni? Akhirnya aku hanya mendiamkan diri  dan berpeluk tubuh.
            “Awak lain malam ini…” suaranya mula kedengaran. Aneh sekali kata-kata itu nadanya.
            “Memang lain, sebab bos suruh saya pakai baju begini!” jawabku agak keras.
Dia ketawa. Ketawa yang kedengaran ikhlas dari biasa. Makin tertanya-tanyaku dibuatnya. Aku memberanikan diri meletakkan tangan ke dahinya. Tidak panas pun! Ataupun kena sampuk? Tanganku pantas diraihnya dan digenggam erat. Tersentakku jadinya.
            “Saya nak bawa awak ke restoranlah..” jawabnya dalam nada yang meremangkan bulu roma. Aku pantas menarik tanganku.
Keretanya berhenti di sebuah rumah banglo yang indah. Banyak kereta dan orang ada di sana. Pantas tangannya menarikku masuk ke dalamnya.
            “Di dalam ini, ada secawan kasih.. ada semangkuk sayang, ada segenggam janji, ada beberapa helai daun bahagia dan ramuannya melazatkan ikatan antara kita. Saya lamar awak, Eren.. Jangan tanya mengapa sebab hati saya enggan menjawabnya…” bisiknya perlahan sambil mempersembah sebentuk cincin di hadapan perempuan berumur yang  dipanggilnya bonda. Hampir semput nafasku mendengar pengakuannya. Tidak ada alasanku menolak sebenarnya tambahan pula aku sebenarnya pernah menaruh minat padanya. Patutlah gerak-gerinya semakin berubah kebelakangan ini. Pandangan juga semakin berbeza. Semakin hari hanya tahu menggoda dan menarik hati.
            “Sejak bila?” soalku sambil membiarkan tangannya menyarung cincin ke jariku.
            “Sejak mula awak muncul depan mata..” jawapan yang cukup ringkas dan menjelaskan semuanya.
Katanya, pesona restoran cinta kita. Entah, pepatah mana yang dia dapat untuk memikat hatiku.
Lazatlah tu.. pesona restoran cinta kita…
Aku tersenyum sendiri.