BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 24 Oktober 2015

BAB 29- SETIA PADA DIA

BAB 29
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     Senja yang tadinya indah, beransur pulang. Bersilih ganti bersama malam. Keindahan dan keriuhan di kampong itu jelas terdengar dan dirasai terutama sekali rumah yang akan melangsungkan majlis ini. Ramai keluarga yang datang, ramai lagi jiran-jiran yang bertandang untuk memeriahkan malam berjaga-jaga sempena perkahwinan abang Azmi ini. Rumah memang meriah dan tidak sunyi dengan bunyi orang bersembang dan ditambah lagi dengan bunyi karoke sakan. Sejak datang tadi, belum aku bertemu dengan pengantin lelaki atau disebut namanya Abang Azizul. Mungkin dia dikurung di dalam bilik agaknya.
     “Kak Lisa, jomlah sini..” laung Khadijah di belakang rumah ketika aku baru saja menuruni anak tangga dari dapur. Menariknya lagi rumah Azmi ini, di belakang rumahnya sudah terbina sebuah teratak antik yang dihiasi sama dengan gaya eropah klasik. Memang berbakat benar keluarganya dalam bab hiasan rumah.
     Aku menghampiri Khadijah bersama tunangnya yang sedang sibuk mengacau minuman panas. Katanya, ibu yang memesan untuk menyediakan minuman panas sebanyak 3 warmer. Banyak benar bagiku walaupun majlis sebenar belum berlangsung lagi.
     “Abang Azmi mana ya, Ija?” soalku yang sudah mengambil senduk besar untuk membantu Khadijah menyediakan minuman untuk tetamu di malam itu. aku tertanya-tanya jadinya dengan kehilangan Azmi sejak senja tadi kerana belum aku ternampak kelibatnya.
     Tidak tahu penatkah dia atau lupakah sudah dia akan kewujudanku di sini? Aku bimbang tidak pandai membawa diri kalau terus-terusan ditinggalkannya sendirian. Bukannya aku ini jenis yang peramah dan boleh membawa orang sembarangan berbual melainkan mereka yang dulu mesra, barulah aku mencuba menyesuaikan diri.
     “Kalau Ija tak salah, abang Azmi masih di surau..” balasnya.
     Aku mengetap bibir.
     Itu pun Azmi susah nak maklumkan.
     “Kak Lisa dah makan?”
     Aku menggeleng bersama senyuman. Aku akui, aku memang lapar. Sebab itulah juga aku tercari-cari akan Azmi. Segan juga kalau aku memandai saja menumpang makan di sini. Khadijah kemudian bersuara untuk meminta aku membantunya menyediakan cawan di meja depan rumah. Aku beriringan dengannya sehinggalah aku terpandang Azmi dan kelompok anak muda bersamanya di halaman rumah. Menawan dia dengan gaya orang kampungnya yang sudah lengkap dengan topi hajinya. Kalau tidak kenal nakalnya bagaimana, rasa hendak bagi ruang stok lelaki macam ini dijadikan teman hidup.
     Aku menyimpan angan nakal.
     “Tu pun abang Azmi..” tunjuk Khadijah.
     Aku sebenarnya sudah perasan kedatangannya, cuma sengaja aku tidak berkata-kata seolah-olah tidak tahu dia sudah tiba. Nanti perasan habis Azmi kalau-kalau dia berfikir aku terlalu bergantung harap kepadanya.
     Tanpa kuduga, sudah berdiri di sebelahku rupanya dia!
     “ Sorry, jumpa kawan masa kecil dulu.. sembang lamalah di surau..” ucapnya membuka bicara seraya dia menemani sama aku yang berpura-pura seakan sibuk menyusun cawan di meja utama. Sebenarnya, sudah hampir siap kerana sepupu-sepupu Azmi dan emak-emak saudara serta jiran-jirannya yang sudah bertungkus-lumus dari awal tadi menyediakan. Riuh-rendah bunyi mereka. Pakej dengan dendangan karoke bagai sebelum suasana kembali sunyi sementara menunggu Isya’ tadi.
     “Yang, dah makan tadi?” bisiknya dekat.
     Mungkin kerana aku yang masih belum memberi respon. Khadijah di depanku sekadar tersengih-sengih. Menambah rasa geram pulak kepada Azmi yang kian galak menyakat.
     “Nak makan?” soalku semula.
     “Nak teman?”
     Aku hampir tergelak juga bilamana soalanku dijawabnya dengan soalan juga. Benci betul aku dengannya bilamana dia senang-senang saja mengubah moodku yang tadinya ingin melayan rajuk kerana ditinggalkan sendiri.
     “Jomlah. Ibu pesan tadi makanan untuk beh ibu dah sediakan di dapur..”ajakku pula.
     Dia tiba-tiba mengerutkan dahinya.
     Aku mengetap bibir.
     Aku ada tersilap cakap tak ni?
     “Ibu?”
     Aku mengangguk kemudian menepuk dahi. Aku lupa yang Azmi memanggil ibunya, mak. Bukannya ibu seperti yang aku gunakan.
     Aku tergelak kecil.
     “Tahu tak yang panggilan ibu tu untuk menantu mak, tau..”
     Aku menjeling.
     Dia mengajakku beriringan dengannya menaiki tangga rumah dan menuju ke dapur. Kami membasuh tangan dulu sebelum duduk ke meja makan. Aku menyendukkan nasi kosong ke dalam piring yang berwarna merah. Yang aku tahu, itulah piring kesayangan Azmi sejak kecil lagi. Ibunya yang bercerita kepadaku sewaktu aku hanya duduk menemani ibunya menyusun tart telur tadi.
     Comel Azmi, kan?
     “Kenapa sayang senyum?” soalnya tiba-tiba seraya dia menyambut huluran piringnya yang kusuakan kepadanya.
     Aku menyimpan senyum dan menggeleng-geleng. Teringat pesan abah untuk hormati rezeki lebih utama walaupun ada niat hendak usik-mengusik. Kemudian aku pula menyenduk nasi buatku dan lauk-pauk istimewa kegemaran Azmi kata ibunya. Azmi mengisyaratkan untuk menadah tangan sama sebelum kami memulakan makan. Setelah doa dibaca dan diaminkan, kami mulai menjamah makanan. Hanya sunyi dan sepi di meja makan kecuali suasana di halaman rumah yang sudah mula riuh dengan bunyi-bunyi.
     Mereka hendak mula berkaroke ni!
     Tidak sangka, tiba-tiba di muka pintu dapur ada lelaki memakai pakaian melayu berwarna putih. Dia sedikit terkejut melihat aku dan Azmi hanya berdua makan di dapur itu. kemudian dia menghampiri Azmi dan menepuk-nepuk bahunya.
     “Bila kau sampai, bro?”
     Azmi terbatuk-batuk dengan sergahan yang tiba-tiba itu. mungkin dia tidak perasan akan kehadiran lelaki itu. segera aku menghulurkan kepadanya air kosong untuk membantu dia redakan sedakannya.
     “ Bang Aji ni..”
     Oh, inilah agaknya Abang Azizul.
     “Tadi dah, petang lah jugak..”sambung Azmi kemudiannya setelah reda dengan batuk kecilnya.
     Abang Azizul menarik kerusi dan duduk di sebelah Azmi. Azmi mengisyaratkan aku untuk menuangkan segelas air lagi untuk diberikan kepada Abang Azizul. Dia menyambut dengan senyuman.
     “Makanlah..”
     Aku mengangguk saja.
Segan pun ada kerana aku takut jadi perhatian pula.
     “Ni Mukhleesa yang kau ceritakan dulu, Mi?” soal abang Azizul dengan tidak diduga.
     Aku berhenti mengunyah dan menunggu jawapan Azmi. Sengaja aku memandangnya, menanti dia menjawabnya. Namun, tanpa suara Azmi hanya mengangguk.
     Kenapa ya keluarga Azmi rata-rata memanggil aku dengan Mukhleesa dan seolah-olah aku memang sudah dikenali di dalam kelompok keluarganya?
     Aku mempercepatkan makan kerana tidak selesa dengan tiba-tiba. Kebetulan juga Azmi menyudahkan makan malamnya. Aku secara suka rela mengemas bekas kami makan dan hanya mengisyaratkan dia duduk bersama abangnya. Mungkin juga abangnya ada banyak yang ingin dikongsikannya bersama Azmi kerana yang aku tahu Azmi sangat jarang balik berjumpa keluarganya. Lagipun bukannya banyak benar hendak dikemas dan tambahan lagi aku hanya perlu menyimpan ke dalam sinki saja kerana ada pembantu rumahnya yang akan membersihkan dan mengemaskan. Seronok betul kerana di rumahnya sampai ada 3 orang pembantu rumah. Mungkin kerana mereka mengadakan majlis segah ini yang menyebabkan mereka mengupah sehingga 3 orang.
     “Aku turun ya..” khabar Azmi sebelum dia berlalu meninggalkan aku di dapur yang masih lagi mengemas bekas yang tersisa. Dia juga sempat berpesan untuk ikut-serta ke halaman rumah nanti setelah aku selesai di atas. Sempat saja kumengangguk sebelum dia hilang dari pandangan. Setelah segalanya kemas, barulah aku menuju ke pintu utama.
     Wah.. ramai keluarganya!
     Seronok juga melihat keriuhan sanak-saudara Azmi yang memeriahkan malam berjaga-jaga ini. Riuh dengan gelak ketawa dan usik-mengusik pun ada. Apatah lagi, tidak lari mataku memandang kumpulan kanak-kanak berlari riang. Rasa terpanggil jugaku untuk ikut sama makanya aku menghampiri Khadijah yang sedang bersembang-sembang bersama sepupu-sepupunya. Khadijah yang kebetulan menolehku terus melambai-lambaiku untuk dekat kepadanya dan duduk di sebelahnya pula.
     “Ini Kak Lisa…” perkenalkan Khadijah kepada mereka. Terasa segan pun ada. Yang menghulurkan tanganku sambut dan yang bukan mahram, aku sekadar mengangguk saja.
     “Kak Lisa ni tinggal di bandar, ya?” soal Ayuni, perempuan yang duduk bertentangan denganku. Awalnya, dia sudah memperkenalkan diri.
     Aku tersenyum dan mengangguk. Sesekali aku membetulkan selendang yang hampir jatuh ke bahuku. Malam ini sengaja aku mengenakan selendang penuh kerana lebih mudah dan ringkas. Aku malas untuk menyarung tudung express kerana tidak sempat aku menggosoknya tadi. Lagipun jenis kain tudung expressku itu mudah berkedut.
     “Sukalah tengok kak Lisa ni.. sopan..” usik adik Ayuni, Amarna yang sebaya saja umurnya pada tekaanku dengan usia Khadijah. Dia tertawa kecil dan seolah-olah teruja dengan pujian yang lebih berbentuk usikan nakal itu..
     “nak tahu tak bagaimana Kak Lisa kenal dengan abang Azmi?” soal Khadijah kepada sepupu-sepupunya. Bernada nakal saja di pendengaranku. Masing-masing mereka teruja dengan soalan nakal Khadijah.
     Adik dan abang ini, sama saja tingkahnya.
     “Nak tahu, kena tanya abang Azmilah..” jawabku, membalas usikan Khadijah. Aku sebenarnya malas hendak berkongsi. Kisah itu sudah lama tersimpan. Nanti tergelak sakan mereka, aku juga yang susah. Lebih parah lagi kalau-kalau kami berdua jadi bahan sindiran pulak kerana berpunca dari peristiwa itulah, aku dan Azmi seakrab begini!
     “Alaaaa….”
     Terlukis garis-garis kecewa di wajah mereka. Namun, masih nakal dan bersahaja.
     “Nama penuh Kak Lisa, apa ya?” tanya Ayuni lagi.
     Aku memandang Khadijah.
     “Eiii, tak boleh bagitahu. Abang Azmi marah nanti..”
     Aku tergelak.
     “Kenapa nak marah?”soalku dalam tawa yang masih bersisa. Hairan juga dengan jawapan Khadijah yang bersahaja itu. kata Khadijah, awal lagi abang Azminya sudah memberi amaran untuk tidak dikongsikan nama sebenarku. Cukup saja dikenali dengan nama Lisa saja.
     Aku mencebik.
     Melampau betul Azmi ni, kan?
     “Hah tu, panjang umur..” khabar Khadijah seraya menunjukkan ke arah sesuatu tidak jauh dari kami. Walaupun bunyi karoke cukup kuat di sebelah depan sana, namun masih boleh jelas lagi kami bercerita sakan waktu itu. mungkin kerana kawasan yang lapang dan luas, maka bunyi tidak tersekat di satu arah saja.
     Aku menoleh.
     Azmi rupanya yang dimaksudkannya.
     “aaah.. tepi.. abang nak duduk ni..” pinta Azmi selamba seraya menarik tangan Khadijah yang duduk di sebelahku. Terlopongku jadinya dengan cara Azmi yang selamba itu menyuruh adiknya beralih tempat. Sepupu-sepupunya hanya melepas tawa. Khadijah sudah menarik muka. Aku pula, spontan saja memukul lengan Azmi.
     “Kesian Ija, tau..” tegurku.
     Azmi sekadar tersengih.
     “Bro, try skill akustik laa.. dah lama tak dengar ni..” cadang sepupunya Kamal, yang berada tidak jauh dari Ayuni. Dia yang sedari tadi memetik-metik tali gitarnya mengajak Azmi. Sebenarnya cukup ramai juga kelompok anak-anak muda ini. Hendak mengingat nama mereka, susah jugak.
     “Boleh jugak,.”
     Azmi menyambut huluran gitar kapok itu dengan penuh keyakinan. Seolah-olah permintaan itu sesuatu yang sudah biasa baginya.
     Tak sangka pulak Azmi boleh bermain gitar selama ini. Lagipun, dia belum pernah bercerita selama aku kenal dengannya.
     “ Duduk depanku, ‘Eisy..” pintanya perlahan, yang bagiku hanya aku yang mendengar permintaan itu. Tidak membantahnya, aku membetulkan kerusi dan duduk bertentangan dengannya.
     Gitarnya mula dipetik.
     “ Just for you..” ucapnya, separuh berbisik. Seolah-olah dia lupa, bukan hanya ada aku dan dia di sini. Aku jadi malu pulak dengan ‘charming’nya dia di hadapan mereka.
     Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi..
     Aku mati kata.
     Baris lirik pertama itu menikam hatiku lebih dalam. Dalam renungannya, dengan gaya dan gemersik suaranya.
     Ya TUHAN, mempesona!
     Tingkah Azmi mengetuk hati wanitaku. Aku menunduk dan menyembunyikan syahdu. Terbawa rasa ingin kembali mengejar bahagia.
     Tak semudah yang kita janjikan,
yang kita janjikan..
kerana kau isteriku..
     Aku akhirnya menyeka airmata. Kalau benar Azmi menujukannya kepadaku, tidak tahu lagi aku mahu mengatakan apa-apa. Walaupun aku bukan isterinya, namun kalaulah aku benar seorang isteri sudah lama untuk dia kusimpan janji bersama setia sepanjang hayat. Tak mungkin untuk aku kecewakan dirinya apatah lagi memungkiri segala yang dijanji.
     Bukankah bagi seorang isteri, redha TUHAN itu atas redha suaminya?
     Padaku, bait terakhir itu bukan menceritakan tentang aku kerana statusku ketika ini bukanlah bergelar seorang isteri.
     Pandangan Azmi dan aku, saling berbalas. Dia menghantar isyarat untuk aku jangan bersedih namun aku menarik muka. Salah dia yang membuat aku begini!
     “Sweet gila abang Mi!” sorak mereka riang. Yang mungkin tidak sedar aku yang dipukul rasa terharu. Spontan saja babak begitu antara aku dan Azmi, hilang.
     “Masih legend tak?”soal Azmi bangga.
     Kamal mengangguk-angguk.
     “Romantik habis. Kalau cara tu kak Lisa tak semakin sayang abang Mi, tak taulah Yuni, bang..” sampuk Ayuni pula bersahaja namun jelas ditujukan kepadaku.
     Aku hanya memandang Azmi.
     Dihatiku, mula bertanya.
     Kau mahu aku sayang kau, Azmi?

     Seriuskah dia dengan ajakannya kahwinnya sebelum-sebelum ini?

BAB 28- SETIA PADA DIA

BAB 28
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

Lebih kurang 2 jam perjalanan, kami akhirnya tiba lebih kurang jam 5 petang. Cantik benar pemandangan kampong Azmi ini. Walaupun jalannya kecil saja dan hanya sebuah kereta saja yang boleh lalui ke rumahnya namun aku sangat suka dengan panoramanya. Tambahan lagi senja begini. Lalang-lalang dan padi-padi yang tumbuh di sepanjang jalan tadi cukup melambai menggamit panggilan selamat datang.
     Perasan betul aku, kan?
     “Senja sikit nanti, pemandangan sunsetnya lagi cantik. Kalau ada rezeki, boleh kita tengok..” khabarnya di sebelahku sedang aku di sisinya bagai rusa masuk kampong. Sangat-sangat kosong melihat keindahan kampong yang jauh dari Bandar dan masih lagi terpelihara kehijauannya. Pemandanganku terhenti melihat sekeliling bilamana keretanya sudah berhenti tidak jauh dari khemah-khemah yang terpasang. Banyak jugalah yang sudah berdiri teguh dan paling menakutkan aku, keluarga Azmi juga sudah ramai yang bertandang!
     Aku keluar dari perut kereta dengan rasa yang pelbagai. Tidakku tahu lagi bagaimana untuk menerangkan apa yang bermain di akal dan hatiku. Yang aku tahu, aku entah berani entah tidak berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
     “Beh, aku tunggu kaulah.. temanlah aku ke situ..” ucapku, menghampiri Azmi yang sudah memunggah barang keluar dari kereta. Dia menunjukkan kepadaku seseorang yang sedang bersembang berhampiran surambi rumahnya dan memintaku mengikutnya.
Mataku terarah kepada seorang wanita yang sudah lanjut usia tapi masih cantik lagi rupanya. Azmi sempat berbisik yang wanita sedang bersembang bahagia tidak jauh dari kami ini adalah ibunya. Sebaik saja ibunya menoleh, aku mempercepatkan langkah tanpa menyaingi Azmi lagi untuk mendekati ibunya yang sudah tersenyum lebar.
Aku menyambut tangan yang dihulurkannya sebelum aku ditarik ke dalam pelukannya. Jauh di sudut hati, naluriku bagai disentuh. Lain benar rasaku saat dekat dengan keluarganya.
“Sudi-sudilah bertandang ya, Lisa..”
Aku tersenyum dan mengangguk.
Segan juga apabila masing-masing bagai janggal menerima kedatanganku kerana bimbang mereka aku tidak selesa. Apa yang hendak mereka risaukan, sedangkan aku pun biasa-biasa saja. Aku mengikuti ibunya yang sudah membawa aku naik ke rumah setelah aku bersalaman dengan ibu-ibu saudaranya yang duduk berhampiran tangga utama. Macam-macam jenis pandangan yang aku terima namun tidak ada seorang pun yang memulakan kata atau menyapa melainkan berbalas senyum dan mengajak aku masuk ke dalam. Ibu Azmi sempat mengarahkan Azmi untuk menyimpan barangku ke dalam bilik Khadijah sebelum dia menghilang disuruh ibunya untuk menemani kaum lelaki yang sibuk di perkarangan rumah.
“Biasa-biasakanlah diri ya, Lisa..” ucap ibunya lagi.
Aku menggaris senyum saja. Terasa kekok pun ada apabila ibunya terlalu berhati-hati kepadaku. Tidak selesa sebenarnya apabila aku dijadikan keutamaan pula sedangkan aku lebih senang dilayan biasa-biasa saja. Dengan menghantar ibunya yang sudah mahu turun semula ke bawah dengan pandangan mata, aku memilih untuk melihat seluruh isi rumahnya. Ibunya yang mahukan aku kenal isi rumah terlebih dahulu sementara menunggu Khadijah pulang dari pekan utama setelah dipesan oleh ibunya untuk membeli barang-barang runcit untuk malam berjaga-jaga katanya. Tidak sangka pula yang Khadijah sudah mengikat pertunangan dan sempat juga ibunya bercerita yang anak perempuannya itu akan berkahwin kalau tiada halangan pada tahun berikutnya. Maju benar Khadijah.
Aku kemudian memerhati sekeliling.
Cantik dan luas!
Rekaan rumah kayu bertemakan eropah klasik ini menarik minatku. Jarang sekali aku berpeluang berlegar bebas di dalam rumah seperti ini. Jujur saja, bagiku rumah Azmi ini terlalu gah untuk kukuh di kampong ini. Berjalan dari satu sudut ke sudut yang lain, aku mendekati jendela pula.
Indah benar senja itu.
Azmi kulihat begitu gigih menemani sanak-saudaranya yang begitu rajin benar menguruskan khemah dan kerusi-kerusi yang sudah tersedia untuk disusun-suai. Sesekali aku bertemu pandang dia yang ada di perkarangan rumah dan saling berbalas senyum. Malu juga dengan tingkahnya yang terang-terangan menunjukkan seolah-olah aku dan dia adalah pasangan yang saling berkongsi rasa hati sehinggakan usikan sanak-saudaranya mengundang segan kepadaku.    Dia kemudian berlari-lari anak dan menuju ke arahku, berhampiran jendela.
“Boleh tolong tak, yang?”
Aku menanti dia meneruskan kata setelah setuju untuk menunaikan permintaannya.
“Air sejuk yaa..”
Aku menjeling manja namun aku menurut jua kerana bagiku, kasihan benar dia. Baru saja sampai tapi giat sudah dia membantu ayahnya dan juga keluarga yang lain demi perkahwinan abangnya. Hingga nampak peluh di bajunya cukup menunjukkan dia sudah terbiasa berpenat-lelah. Sedangkan perjalanan ke sini saja sudah mengambil masa yang lama dan pastilah memenatkan.
Ah.. perwira itu bagai tidak kenal penat saja!   

BAB 27- SETIA PADA DIA

BAB 27
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Serius Kak Lisa nak pergi ni?” soal Soleha yang berbisik di sebelahku sedang Azmi sibuk menyimpan segala begku ke dalam keretanya. Tak sangka pula senang saja abah dan mama membenarkan aku ikut Azmi balik ke kampungnya. Walaupun pesanan abah dan mama seribu satu padaku, namun aku tahu mereka suka dengan perubahanku yang bagai sudah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupku.
     3 hari pulak tu!
     Ah, hatiku.. bukan ada yang tahu!
     “Kak!” Soleha memanggil seraya menyikuku. Tersedar terus aku dari pelbagai macam yang aku fikir. Jawapanku hanya dengan anggukan. Malas sebetulnya aku hendak melayan Soleha yang sejak lewat ini suka sangat menyakat.
     Aku menghulurkan tangan kepada Soleha di sebelah untuk bersalam sebelum aku mendekati abah dan mama yang berdiri tidak jauh dari kereta Azmi. Kemudian aku mendekati mereka berdua dan bersalaman. Aku memeluk mama erat, bagai orang hendak pergi jauh.
     “Jaga diri Lisa baik-baik..” pesan mama lagi.
     Aku mengangguk. Kemudian aku berlalu menuju ke pintu kereta Azmi dan sempat kulihat Azmi pula yang bersalaman dengan mereka. Makin lama, Azmi makin mengusik hati wanitaku. Suka benarku dengan caranya yang menghargai dan menghormati kedua ibubapaku. Kami sempat melambai mereka sebelum kami meninggalkan perkarangan rumah.
     Aku berpura-pura melihat telefon bimbitku sedang hatiku penuh dengan keresahan dan segala macam yang aku fikirkan. Entahlah. Apalah yang akan aku lakukan nanti. Dimanalah aku hendak tidur. Bagaimana aku nak hadapi keluarganya?  Aku ni bukannya peramah pun. Perlu masa dan waktu untuk bergaul mesra melainkan orang yang dulu mesra kepadaku. Barulah aku boleh ikut rentak suasana.
     “Sayang fikir apa?” soal Azmi, mengusik nakal.
     Aku menarik muka. Aku tahu Azmi perasan dengan resahku itu. Aku kemudiannya duduk menghadapnya. Rasa ingin mengatakan sesuatu pun ada namun tidak mampu untukku meluahkannya.
     “Yang, jangan lah pandang macam tu..” tegur Azmi kemudiannya. Bersama senyum nakalnya. Bagai mengerti maksudnya yang kononnya caraku memandang begitu, menggodanya membuatkan aku geram pulak dengannya. Tanpa berfikir lama, aku mencubit lengannya.
     “Eh, drive lah ni!”
     Aku tergelak. Aku tahu sakit dengan cubitanku itu namun salahnya juga.
Siapa suruh dia tegar benar mengusik aku yang sudah resah ini?
Walaupun perjalanan kami untuk sampai ke kampungnya masih jauh lagi namun resahku ini tidak dapat kusimpan. Tidak mampuku sembunyikan lagi kerana aku belum menemui jalan keluar atas kebuntuan yang mengujiku.
     “ Nak kata apa nanti kalau dah sampai ni, beh?” luahku akhirnya dan kembali membetulkan dudukku.
     “Sayang fikir apa?”
     Aku menghela nafas.
     “Banyak..”
     “Dah lah. Jangan fikir berat. Nanti kau akan okay jugak. Insya Allah. Aku yakin kau boleh bawa diri..”
     Aku mengangguk perlahan.
     “Kau jangan jauh nanti. Kau tahukan aku bukannya peramah sangat..” tambahku.
     Dia tertawa kecil.
     “Pernahkah aku jauh dari kau selama ini ‘Eisy?” soalnya, bernada lain.
     Aku menjeling.
     “Kau jangan nak loyar buruk dengan aku yaa.. aku tambah cubit tangan tu nanti, hah… padan mukaa..”
     Azmi tersengih.
     “Kau tu yang resah lebih. Entah-entah bila dah kenal, tak nak berhenti bersembang..”
     Aku menjeling namun itu memang kenyataan. Kalau aku sudah kenal benar dan orang itu senang dibawa bercerita, spontan saja aku akan mesra.
     “Lagipun, Khadijahkan ada. Dulu, bukan tak pernah rapat waktu asrama dulukan..”
     Aku mengangguk saja.    
     “Tapi, ni kan dah lama tak jumpa..” balasku perlahan dan membuang pandangan. Entah kenapa, aku tidak tahu bagaimana caranya hendak membawa diri lagi dalam kelompok keluarga kawan-kawanku yang terpaksa bermalam pula. tambahan lagi, Azmi lelaki dan masih bujang. Tidak mustahil nanti adanya yang akan tersalah tafsir keakraban kami kerana pada masa kini susah benar orang hendak percaya adanya hubungan lelaki dan perempuan hanya sebagai kawan baik sahaja tanpa bersentuhan hati.
     Tidak bolehkah kalau mereka terimaa saja kenyataan sebegitu?
     “beh…” panggilku dan memandangnya yang duduk tenang memandu di sebelahku. Aku tidak akan hilang resah selagi tidak menanyakan kepadanya apa yang bermain di fikiranku ini.
     Dia menggumam saja.
     “ Kalau orang rasa kita ada hubungan istimewa nanti, bagaimana ya?” soalku teragak-agak sedikit.
     Azmi tersengih.
     “Iyakan sajalah..”
     “Beh!” marahku manja dan memukul lengannya.
     “Tak apalah ‘Eisy. Manalah tau berkat jadi doa pula..” balasnya sambil tertawa mengusik.
Aku yang di sebelahnya sudah menarik muka. Aku tak terima pun perkara itu untuk dijadikannya bahan gurauan.
     “Aku nak kau jawab jujur ‘Eisy. Sebenarnya kau ni keberatan ikut aku?”soalnya tiba-tiba.
     Aku menelan liur.
     Aku menggeleng.
     Jujur, aku ikhlas.
     “Untuk 3 hari saja ‘Eisy…” pujuknya.
     Aku menghela nafas dan berpeluk tubuh. Tidak mampu untuk berkata apa lagi kerana aku pun belum boleh menjangka apa yang akan terjadi apabila sudah sampai di rumahnya nanti. Yang aku tahu, aku hanya perlu pasrah dan tidak memikirkan apa-apa. Lebih baik aku tunggu dan lihat. Yang penting, aku tidak mahu berpura-pura.

     Azmi di situ mengambil peluang memandang gadis di sebelahnya yang sudah menggaris kerisauan. Entah apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan kepadanya namun dia tahu dan mengerti maksud ‘Eisy. Dia malas sebenarnya hendak memikirkan perkara yang dibangkitkan ‘Eisy kerana baginya, segalanya ditentukan Allah. Kalau DIA mahukan mereka rapat dan berjodoh, dia akan setia!

Ahad, 31 Mei 2015

BAB 26- SETIA PADA DIA

BAB 26
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Kak Lisaa…”
Suara Soleha kedengaran sedikit kuat di luar bilik, mengganggu lenaku. Aku terus mencapai bantal kecil dan menutup telingaku demi meneruskan tidur. Aku merasa penat yang teramat sangat. masih kurasa aku enggan untuk bangun walaupun hari sudah beransur pagi.
     Tok tok tok!
     Aku mengeluh.
     Tidak mahu berputus asa betul adikku ini!
     “Kenapa?” jeritku dari dalam bilik.
     “bangunlah.. dah pukul berapa ni?” suara Soleha menjawab pertanyaanku.
     Aku merengus kasar.
Kalau bab diganggu waktu tidur inilah yang menyebabkan aku rasa hendak marah. Pantang benar aku apabila diganggu. Tambahan lagi waktu-waktu period begini, memang rasa macam nak jadi naga dan menghembus nafas api!
     Aku membuang selimut dan bingkas bangun menuju ke muka pintu. Dengan malas aku membuka pintu. Terpacak sudah Soleha di depanku.
     “Kenapa?” soalku dalam nada suara tidak sekeras tadi.
     “Abang Azmi ada di bawah tu. Tengah kumpul nak sarapan dengan kita. Abah yang temankan. Kak Lisa tak ingat?”
     Membesar terus mataku mendengar ayat. Bergegas aku menutup daun pintu dan mencapai tuala yang tersidai. Terus aku bersiram tanpa memikirkan apa-apa. Yang aku tahu, aku terlupa Azmi bermalam di rumah dan tambahan lagi hampir-hampir aku memungkiri janji untuk menghantarnya balik. Lagi, aku tidak tahu hendak katakan apalagi apabila abah sudah mengambil tanggungjawabku yang seharusnya menemankan Azmi.
     Membersihkan diri segegasnya dan terus aku mengenakan pakaian. Mana lagi ambil masa untuk keringkan rambut dengan khidmat hair dryer, mana lagi nak cari jubah lain, mana lagi hendak cari tudung.
     Ah! Kelam-kabut gila!
     Tok tok tok!
     “Lisaa..”
     Alamak! Suara abah!
     Aku menelan liur.
     Aku terkaku berdiri di hadapan cermin dengan tangan yang masih memegang tudung. Aku yang sudah berkira-kira mahu mengenakan tudung menjadi mematikan niat.
     Apalah aku nak jawab dengan abah ni?
     “Lisa?”
     Suara abah kedengaran lagi.
     “Yaa. Yaaa abah..” sahutku dari dalam, teragak-agak. Hendak tak hendak, bersama debaran di dada yang kuat aku melangkah menghampiri muka pintu. Perlahan saja aku membuka dan hanya mampu, berserah pada takdir.
     Habislah kalau muka abah serius.
     “Yaa abah?” soalku, dengan takut-takut dan debar.
     Abah merengus.
     “Tak siap lagi?”
     Aku cuba menggaris sengih.
     “Dahlah, pakai tudung.. Habis tu ambil roti, terus hantar Azmi..” pesan abah sebelum dia berlalu meninggalkan aku menuju ke anak tangga.
     Aku mengetap bibir seraya menutup pintu. Aku bersandar dan menghela nafas lega.
     Alhamdulilah.
     Naga macam aku pun boleh takut kalau jumpa orang macam abah. Mana tak nya, ditembaknya dengan peluru tazkirah, pengsan habis aku.
     Tergelak kecilku jadinya mengenangkan imaginasi khayal tak guna-guna aku. Dari memikirkan yang tidak-tidak ada baiknya aku bersiap lagi. Dengan kembali menuju ke depan cermin di meja solek, aku mengenakan tudung. Kusemburkan minyak wangi macam kurang lebih orang hendak berdating lagakku.Melampau sangat sedangkan tujuku hari ini hanya untuk menghantar Azmi saja di pagi ini. Segera aku keluar dan menuruni anak tangga terus menuju ke ruang makan. Mengambil sekeping roti dan sekotak susu dutch lady berperisa coklat. Kemudian aku menuju ke cabinet berhampiran pintu utama untuk mengambil kunci kereta dan situ aku bertemu dengan Azmi.
     Selamba saja dia melepas tawa kecil sambil tangannya menunjuk-nunjuk tingkahku yang jelas kelam-kabut. Dengan roti yang kugigit dan tangan yang penuh dengan macam barang. Dengan caranya itu aku menghentikan semua pergerakkan dan berdiri tegak menghadap. Kuhabiskan rotiku dan aku meletakkan susu di atas cabinet. Aku bercekak pinggang. Geram benar dengannya yang puas benar mentertawakanku.
     “Lucu sangatlah aku ni?” soalku serius.
     Dia tersengih panjang.
     “Kalau tak, tak adalah aku gelak sakan..”
     “Kau tau tak aku begini sebab kau?”
     Dia mencebik.
     “Kau janji nak hantar aku kan. Kau tahu tak pukul berapa sekarang?” soalnya kembali, kali ini tidak lagi berbaur usikan. Serius saja nadanya seakan ingin menjatuhkan hukuman kepadaku.
     Aku menelan liur.
     Lambat-lambat aku menoleh ke jam dinding.
     9.30 pagi.
     Alamak!
     “Kalau aku masuk kerja pagi ni, agak-agak jam berapa?”
     Aku mengetap bibir. Terasa hilang daya untuk berlawan kata dengannya. Pantas aku menunduk. Tidak sanggup bertentangan dengannya lagi. Tak sangka pulak aku boleh terlajak tidur sehingga aku terlupa yang aku harus menghantar Azmi. Kalaulah aku berfikir lebih bijak, banyak cara untuk mengelak hal kelewatan ini terjadi. Sama ada aku mengunci jam loceng atau memberikan saja kunci kereta kepada Azmi.
     “ ‘Eisy, pandang aku..” tegas dia memanggil tapi aku enggan memandang. Jujur, aku rasa bersalah benar. Kerana akulah pastinya dia tidak dapat datang bekerja pagi ini. Setahu aku, tentera ini kuat benar disiplinnya. Pastilah kalau melanggar peraturan, tindakan tatatertib akan dikenakan. Tapi, bukankah ini baru pertama kali? Melainkan kalau dia pernah lakukanlah.
     “Sorry..” pintaku perlahan. Bagai hendak menangis pun ada. Memilih untuk mengalah lebih baik padaku.
     Azmi tiba-tiba meraih tanganku.
     “dah lah.. aku tak masuk kerja hari ni sebab aku nak cuti balik kampong..”ujarnya kemudian.
     Aku mendongak.
     “Kenapa tak bagitahu awal-awal?” soalku tidak berpuas hati. Habis seluruh rasaku luruh pada mulanya memikirkan rasa bersalah gara-gara terlewat bangun hari ini.
     Dia tergelak kecil.
     Aku memukul manja lengannya.
     “Habis tu, ni jadi tak nak balik ni?”
     Dia mengangguk.
     “Okaylah. Kau panaskan enjin kereta dulu, kemudian aku menyusul. Aku nak bagitahu mama aku nak pergi hantar kau ni..” pesanku sebelum berlalu meninggalkannya.
     “Mama pergi dah dengan abah ..”
     Aku menoleh dan memandang bagai tidak percaya dia membahasakan abah dan mamaku sebagai abah dan mama juga padanya.
     Dia mengangkat bahu.
     “What did you just say?” soalku.
     Dia tersenyum nakal.
     “Do I have to repeat?”
     Aku menarik muka. Tidak sangka sama sekali bersahaja saja riaknya dengan pertanyaanku itu. tanpa menunggu lama, aku terus keluar rumah dan menuju ke kereta. Aku berpeluk tubuh menunggunya sebagai tanda protes.
     “Nak merajuk pagi-pagi buta ni, kenapa?” soalnya seraya menekan punat alarm kereta. Tanpa menunggunya, aku masuk ke bahagian penumpang dan menutup pintu kereta Nissan Murano merahku dengan kuat.
     Dia menghidupkan enjin.
     “Pasanglah safety belt tu..”
     Aku enggan.
     “ ‘Eisy..”
     Aku mengeluh dan menurut kata. Tidak tahu aku kenapa terganggu emosi dengan caranya. Kupandang dari hujung mata, Azmi hanya menggeleng. Aku membuang pandangan ke luar tingkap. Rasa meluat ada hendak memandang dia di sebelah. Kalau tak kenang jasanya menolong aku semalam, rasa nak tumbuk saja dia ni.
     Persoalannya, kenapa dengan tiba-tiba rasa meluap betul marah aku padanya? Dia silap masa agaknya usik aku yang sedang dalam period ni!
     “Tuan puteri, minta izin pandu kereta yaa..” usiknya di sebelah.
     “Perlukah tanya izin begitu?” soalku kasar.
     Senyumannya mati.
     “Kau marah dengan tiba-tiba ni kenapa?” tanyanya.
Aku senang memilih untuk tidak menjawab. Jujur saja, aku terasa hati benar dia mengusik aku yang tadinya tergesa-gesa bersiap semata-mata untuk dia. Habis hampir ditazkirah abah gara-gara aku terlewat hari ini.
Azmi kemudian menggerakkan kereta. Dipandu dengan kelajuan sederhana namun aku tahu dia menahan rasa kerana di wajahnya menggaris tegang saja.
Dalam keadaan ‘jauh’ dan bisu itu, kami dikejutkan dengan nada deringan telefon bimbitnya yang diletaknya berhampiran dashboard. Azmi hanya selamba saja memandu terus seolah-olah tidak mendengar. Berulang kali berbunyi sehingga aku menoleh kepadanya.
Aku mengetap bibir.
Dia mengangkat kening kirinya.
“Jawablah. Manalah tahu penting..”
Dia tidak membalas malahan berpura-pura fokus memandu. Geram dengan tindak balasnya, aku berani saja menjawab panggilan itu. Peduli apa kalau dia nak marah selepas ini.
Mengapa berani benar menguji sabarku?
“Assalammualaikum..” sapaku.
“aa.. walaikumsalam. Aikkk… Ni bukan nombor abang Azmi?” teragak-agak saja si pemanggil bertanya dan menjawab salamku. Pastilah dia keliru kerana yang menjawab ini suara perempuan sedangkan yang didialnya nombor Azmi.
Aku tergelak kecil.
“ Memang, tapi abang Azmi tak mahu jawab..” jawabku sinis dan menjeling Azmi.
Azmi menjengilkan mata.
“eih tapi, tunggu. Betul abang Azmi jalan sama dengan Kak Mukhleesa?”soalnya ingin tahu.
Aku tersentak.
Bagaimana boleh dia tahu aku sedang bersama Azmi?
“Kak.. ni Khadijah lah kak..” tambahnya, sekaligus memperkenalkan diri gerangan yang membuat panggilan.
Aku mengerutkan dahi, cuba mengingat.
Oh ya!
Kebetulan juga adik Azmi ini junior zaman sekolah dulu. Dia dikira super juniorlah sebab jauh sangat dibandingkan dengan intake kami.
“ ‘A’aah.. Kak Lisa ni..” jawabku akhirnya.
Khadijah tergelak kecil.
Azmi di sebelah menggaris senyum namun dia sengaja terus memandu tanpa menyampuk walau sedikit. Seolah-olah cerita aku dan Khadijah tidak menarik minatnya sama sekali sedang aku tahu dia menyembunyikan senyumnya saat bertembung pandang.
“Dah couple eih akak dan abang?”
Aku menelan liur.
Soalan jenis apa tu?
“Yang, guna loud speakerlah. Nak juga dengar sembang apa tu..” Azmi di sebelah mula bersuara dan aku yakin, Khadijah juga mendengar kerana Azmi sengaja menyaringkan suaranya. Tergelak sakan, bahagia suara Khadijah dari corong telefon itu. Mahu tak mahu, aku menurut kata jua.
“Kenapa Ija?”soal Azmi sedang aku yang masih memegang telefonnya.
“Bila abang balik? Mak dah bising tau. Majlis abang Azizul kan esok lusaa..” soal Khadijah lebar apabila sudah mendengar suara abangnya. Belum pun sempat Azmi menjawab, suara lain pulak yang bertanya.
“Azmi..”
Aku dan Azmi berpandangan.
“Assalammualaikum, mak..”
“Waalaikumsalam…” perlahan saja suara ibunya.
“Bila nak balik ni, Mi? siapa nak tolong ayah kau urus majlis abang kau ni? Khemah belum habis pasang lagi, makan minum orang lagi. Bila kau nak datang ni?”
“err..” Azmi masih ingin menyusun ayat namun kata-katanya dipintas lagi.
“Kau driving ni?”
“Ya mak..”
“Habis tu kenapa jawab call ni?” tanya ibunya sedikit gusar.
“Mukhleesa yang pegangkan handphone, mak..”
Ibunya tergelak kecil.
“Laa.. ada Mukhleesa rupanya..”
Aku memandang Azmi sedikit hairan namun dia hanya mengangkat bahu. Bagaimanalah ibunya boleh kenal dengan aku sedangkan muncul ke rumahnya sejak zaman sekolah dulu pun belum lagi.
“Ya mak cik..” sahutku sedikit teragak-agak.
“Lisa setuju nak ikut Azmi balik kampong hari ni?”
Aku tersentak.
Aii.. bila pulak Azmi ajak aku ikut balik ni?
“Azmi tak ajak pun mak cik. Jemput pun tak.. seganlah..” jawabku jujur seraya menjeling Azmi manja. Memang sah-sah kena marah Azmi oleh ibunya ni.
Aku menyimpan tawa di hati. Suka benar mengenakan Azmi.
“Haii.. Belum sampaikan pesan mak lagi, Mi?”soal ibunya.
Azmi diam.
“Tak sampaikan pesanan tu boleh dikira tak amanah tu, Mi. kalau mak tak redha, tak berkat hari-hari mendatang..” tambah ibunya bagaikan kecewa.
Aku menggigit bibir.
“Maaf mak.. belum ada kesempatan..” balas Azmi bersungguh-sungguhnya sehingga menusuk jauh ke dasar hatiku. Aku jadi rasa bersalah pula kerana menjadi punca dia dimarah oleh ibunya.
“Eih mak cik, tak adalah. Kalau Lisa free, insya Allah Lisa datanglah majlis nanti..”sampukku pula kerana tidak mahu Azmi terus dibebel ibunya.
“Eih.. kalau Lisa tak keberatan, jemputlah bermalam sampai habis majlis.. ikut baliklah Azmi hari ini sebab Lisa boleh tengok adat kami.. itupun kalau Lisa sudilah..” tambah ibunya lagi namun bernada bagai memohon dan mengharap.
Aku mengetap bibir dan memandang Azmi.
“Lisa minta izin mama dan abah dululah ya. Kalau okay, Insya Allah Lisa ikut..” putusku akhirnya dan mengalah. Sempat ibunya berpesan kepada Azmi untuk dia yang bersuara meminta izin kepada mama dan abah. Pakej dengan pesanan pandu baik-baik dan jaga anak dara orang baik-baik.
Aku menekan punat merah dan meletakkan semula telefon bimbit Azmi. Aku membuang pandangan ke luar jendela. Terasa bagai terlanjur berjanji pun ada.
“Kalau keberatan, tak apalah ‘Eisy. Mak fahamlah nanti tu..”
Aku menunduk memandang jemari. Menggamit perasaan resah dan bersalah. Kalau aku ikut Azmi, aku akan mengiyakan banyak benda kerana aku juga perlu menjaga airmuka Azmi dan keluarganya. Kalau aku ikut dia pun, abah dan mama apatah lagi Soleha pasti inginkan kepastian atas hubungan yang kami bina.
Ah! Susahnya.
“Tak apalah. Dah diundangkan. Yang penting, kau minta izinlah pada abah dan mama. Kalau mereka okay, insya Allah aku ikut kau balik. Aku pun teringin juga rasa suasana kampong dan tengok adat yang mak kau maksudkan tu..” balasku lebar. Nekad dan sudah sebulat hati ingin mencuba.
Apa daya, TUHAN pasti sedang rancang sesuatu.