BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Februari 2011

bab 4-selendang biru


           “ Banyak sangatlah barang kau borong ni, Izzah..” tegurku pada Izzah yang tangannya masih lagi sibuk mengambil itu dan ini.
         Dia menolak tanganku yang menghalangnya berbuat demikian.     
         “ Stok sebulanlah ni..” jawab Izzah membela diri.
         Syahazri hanya menggeleng-geleng melihat perlakuan dua sahabat yang baru dikenalinya semalam.
         “ Cakap kau ni bukan boleh pakai pun..” perliku.
         Dia sudah bercekak pinggang. Aku sedia maklum dengan perangai Izzah. Dia memang suka membeli-belah. Katanya sayang sekali bila semuanya ditaja baik oleh bos kami. Tapi, apabila dia sudah beraksi begitu, aku lebih baik melarikan diri sebelum dia melancarkan perang mulut dan aku pula yang jadi mangsanya pula nanti.
         “ Awak nak kemana?” soal Syah kepadaku kerana Izzah sudah jauh di hadapan bersama trolinya.
         Aku tersenyum.
         “ Tak tahu..”
         Dia ketawa kecil.
         “ Berbanding dengan Izzah, awak lebih banyak diam bila bercakap dengan saya..” dia mula membuat kenyataan.
         Aku tersentak.
         “ Memang begitu. Lama untuk mesra dan ramah. Maaf kalau terasa..” jawabku serius, terasa hati dengan teguran itu.
         “ Janganlah salah faham. Saya tak bermaksud untuk menyinggung perasaan awak..” pintanya tulus.
         Aku mengangguk perlahan. Kalah pada kesungguhan itu. Lantaran dihurungi rasa kurang selesa aku melangkah perlahan dari satu ruangan ke ruangan yang lain. Resah juga bila dia masih lagi mengekori walaupun agak jauh jaraknya dariku. Masalahnya, macamana aku nak beli pad? Takkan nak beli depannya pula?
         “ Kenapa?” tanyanya di belakang.
         Aku menoleh.
         “ Err.. saya.. boleh tak awak pergi tempat lain?” tanyaku teragak-agak. Aku benar-benar rasa kurang selesa kalau dia tahu aku berniat ingin membeli tuala wanita di hadapannya. Aku memang kurang senang dan memang tidak suka kalau orang lain tahu aku sedang datang bulan. Hanya akan membuatkan aku menjadi pemarah dengan tiba-tiba saja.
         “ Hmm.. okey..” jawabnya dengan senyuman.
         Aku membalasnya dengan senyuman kelat. Bagaikan gaya pencuri, aku masih menoleh ke kiri kanan untuk mengambil tuala wanita berjenama Kotex itu. Takut pula kalau dia ada di sebelahku atau sedang mengintip.
         Aku mengambil sekotak tapi, eh apa ni? Aku tak suka yang ada sayap. Susah nak gunakan kalau bergegas. Aku meletakkan kembali ke tempat asalnya. Dari satu ke satu yang lain, hampir kesemuanya tertulis perkataan wing.
         Aku mengeluh. Kedai apalah macam ini? Takkan tak ada langsung yang tak ada sayap?
         “ Kenapa?”
         Aku terkejut dengan sapaan itu. Lantaran rasa terkejut itulah aku mengurut-ngurut dadaku. Si gerangan itu hanya ketawa dengan tingkahku itu.
         Aku mengetap gigi.
         “ Janganlah suka kejutkan orang!” tegurku dalam nada seakan merajuk.
         Dia masih bersama sisa tawanya.
         “ Kenapa awak nampak membebel semacam? Kenapa tak jadi ambil pad itu?” soalnya berterus-terang tanpa segan.
         Aku sudah mula terasa membahang di wajah. Sangat malu dengan pertanyaan yang benar-benar berkaitan dengan peribadiku itu.
         “ Erm.. saya..” kata-kataku mati di situ. Ingin mencari idea lain lagi untuk menjawab pertanyaan dan demi menutup rasa malu yang sudah mula bermain dengan perasaanku saat ini.
         Dia berpeluk tubuh dengan senyum mesranya. Aku hampir saja terpesona dengan reaksi selamba itu.
         “ Biar saya pilih untuk awak..” pelawanya seraya mengambil pad yang tadinya kuletakkan dan dengan selamba juga dia ke kaunter pembayaran.
         Aku menelan liur. Rasa serba salah dengan tingkahnya itu. Dengan langkah yang berat aku mendapatkannya di depanku.
         “ Hai.. kedekut betul lah awak ni, Khal..” perli Izzah yang sudah ada di sebelahku setelah melangsaikan barang yang dibelinya.
         Aku menarik muka.
         “ Mana ada..” belaku.
         Syah ketawa kecil.
         “ Dia pilih lama sangatlah Cik Izzah.. Lagipun dah masuk waktu, sebab tu saya tolong pilihkan..” jawabnya bagaikan memujuk hatiku saat ini. Bagaikan dibuai-buai perasaanku saat itu. Tanpa memandangnya aku meneruskan langkah menuju ke pintu utama di pasaraya itu untuk kembali semula ke rumah penginapan kami daripada terus-terusan aku membuai angan dan mencipta harapan.

bab 3-selendang biru


“ Cantik betul rumah kita ni..” puji Izzah dengan bangga. Pagi itu, aku dan Izzah menapak di rumah sementara kami seperti yang diceritakan oleh Tok Salim dan Mak Siah semalam. Memang sangat cantik seni binanya. Tak juga besar dan tak juga kecil. Memadainya untuk keluarga kecil yang inginkan suasana sederhana, berdiam di dalamnya.
“ Terima kasih..” ucapku pada lelaki yang menemani kami ke sini.
Dia sekadar tersenyum.
“ Ustaz, kalau tak jadi masalah, boleh temankan kami ke pekan petang nanti?” tanya Izzah tanpa segan. Aku pula yang rasa serba-salah dan kurang senang dengan permintaan Izzah. Padahal, Ustaz Syahazri itu sudah banyak menolong kami hari ini.
“ Insya Allah, kalau saya tak ada halangan..” jawabnya bersahaja.
Tanpa membuang waktu, aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Saat pintu kukuak, wajahku tiba-tiba disapa angin sepintas.
Aku tersentak. Mati seketika segala perjalanan pemikiranku. Berdebar rasa dan tak tentu halanya.
Apa itu?
“ Kenapa Khal?” soal Izzah yang sudah ada di belakangku.
Aku menggeleng.
“ Beri salam dulu. Setiap rumah, ada malaikat yang menjaga di dalamnya..” Syah bersuara yang sedang membantu Izzah membawa barang-barang kami.
Aku terdiam kaku. Ternyata aku lupa pada yang pernah aku pelajari dulu di sekolah agama. Kerana rasa kurang senang, aku mempercepatkan diri masuk ke dalam rumah dan meneliti isi dan ruang yang ada.
Bingkai potret sebuah keluarga yang tergantung sepi itu kupandang. Suram sekali lakarannya dan bagaikan ada terpendam rahsia pedih di baliknya.
“ Kau pandang apa Khal?” soal Izzah.
“ Tu..” tunjukku di satu arah.
Dahi Izzah berkerut.
“ Apa?” tanyanya lagi.
“ Gambar..”
Izzah menggeleng.
Gambar apa yang Khalilah lihat? Ruangan itukan kosong tanpa sebarang benda?
“ Kalau pun kau nak buat lawak, jangan waktu macam ni. Okey?” perli Izzah lantas dia berlalu menuju ke biliknya.
Bibir kuketap kuat. Izzah ingat aku main-main ke?
“ Khalilah..” suara lelaki muda di belakangku kedengaran.
Aku menoleh.
“ Ya?” soalku dalam pandangan yang sekejap saja bertamu pada anak matanya.
“ Kalau rasa kurang selesa, ingatlah.. Allah dan rasul sebagai pembela..”
Aku menelan liur.
Apakah dia juga merasakan kelainan yang baru saja aku rasai saat ini?
“ Sejauh ini, tempat ini selamat untuk awak dan Izzah berteduh..” sambungnya.
Aku mengangguk, menghormati kenyataan yang disampaikannya. Dimataku, dia memang baik. Biarpun baru beberapa hari mengenalinya, tapi tingkahnya membuatkan aku segan dan hormat kepadanya. Jarang sekali aku merasakan tingkah lelaki begitu bila bersapa denganku. Contohnya saja, Affendy kekasih hati zaman universiti. Hingga sekarang, dia masih belum menghubungiku. Entah out station atau sedang melaram ke kelab malam. Bukanlah niatku berburuk sangka, tapi baru-baru ini saja dia ketahuan curang di belakangku. Untuk saat ini, aku diamkan saja. Tapi kalau ia berulang lagi, aku tidak akan memaafkannya. Berbeza dengan Ustaz muda ini, dia lebih cenderung kepada menasihati dan aku terasa dilindungi. Baru aku tahu bahawa dia adalah anak angkat Tok Salim dan Mak Siah. Dan dari cerita yang Izzah beritahu, dia mengajar di sekolah hujung kampung.
Alahai.. menyesal juga aku masuk bilik awal semalam.
“ Selalu awak termenungkan?” usik Syah tiba-tiba.
Aku yang tersedar dari lamunan, menunduk malu kerna ditegur begitu.
“ Jangan biarkan jiwa kosong, Khalilah..” pesannya sambil meneliti ruangan rumah itu. Mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Sekejap dia mempamer wajah keras dan kemudian beralih tenang. Di ruangan yang tadinya aku terlihat bingkat gambar itu dilewatinya dengan lama dan tiba-tiba saja pandanganku kepada objek itu hilang.
Aku tersentak. Meremang dengan tiba-tiba bulu romaku dengan kejadian itu. Bermimpikah aku sedangkan matahari sudah melewati?
“ Isi hati dengan zikir. Ingatlah, zikir itu pohon ibadah..” pesannya lagi dalam senyuman.

bab 2-selendang biru


Di dalam bilik tidur itu, aku berbaring sepi. Memandang kosong kipas yang sedang berputar perlahan. Hendak kata panas, tak juga. Angin malam dapat kurasakan masuk melalui celah-celah dinding kayu. Izzah pula sudah lama berdengkur. Keletihan benar riaknya. Aku juga yang terkebil-kebil sendiri di tengah malam buta keseorangan. Aku bukan apa. Beginilah keadaanku setiap kali aku menerima persekitaran yang baru. Amat susah untuk lelap meskipun keletihan.
Aku mengiring ke kanan. Sekejap ke kiri. Fikiranku tiba-tiba menerawang teringatkan lelaki yang bernama Syah itu. Tanganku yang tadi tersentuh jemarinya kugenggam. Lama aku berfikir. Makin lama makin membuatkan aku tersengih.
Aku mengetuk kepalaku sendiri. Kebingungan kerana tiba-tiba saja aku bagaikan suka diperlakukan begitu.
“ Eh, kau kenapa?” sergah Izzah tiba-tiba.
Aku yang tadinya berangan sendiri terkejut dengan sergahan itu.
“ Kau ni kan, suka sangat kejutkan oranglah!” marahku sambil memukul tangannya kuat.
Izzah hanya mempamer wajah selamba. Geram pula rasanya melihat reaksinya sebegitu. Bagai orang tak bersalah, dia menarik selimut hingga hampir menutupi seluruh tubuhnya dan menyambung semula tidurnya.
“ Lampu tu, lama lagi tak nak padam?” sempat lagi dia memerliku.
Aku merengus kuat.
“ Kejaplah..” jawabku sedikit keras.
“ Jangan lupa mesej ummi kau..” pesannya lagi lantas hanyut dalam kesayupan suaranya.
Aku hampir saja terlupa untuk memberitahu ummi akan keadaanku yang sudah selamat sampai ke tempat kerja. Aku bergegas mencari telefon bimbitku di dalam tas tangan.
Aik? Mana pula perginya?
Aku menggoyang-goyangkan tubuh Izzah berharap dia akan bangun sekejap untuk memberitahuku keberadaan telefon bimbitku. Susah pula hati ummi nanti apabila sudah lewat benar aku belum lagi memaklumkannya.
“ Kau ni, dalam kereta agaknya..” marah Izzah padaku.
Aku termangu.
Memang padanlah Izzah marah kepadaku kerana aku mengganggu lenanya. Dengan rasa yang sedikit berani dan tidak, aku mencapai kunci kereta dan berlalu keluar untuk menuju ke halaman rumah. Kedinginan angin malam menerjah garang menyapa tubuhku.
Aku memberanikan diri menghampiri kereta.
Jantungku berdegup kencang. Seolah-olah ada seseorang yang sedang berdiri di belakangku. Seram dingin rasanya. Dalam hati tidak henti-henti aku memohon pertolongan. Menyesal juga kerana keluar seorang diri di tengah-tengah malam ini. Manalah tahu ada ha…
“ Assalammualaikum..”
Satu suara kedengaran.
Hantu beri salam?
Aku masih belum menoleh. Takut sekiranya itu hanya gurauan di tengah malam saja. Dari cerita-cerita seram yang kubaca, memang ada gurauan sebegitu di tengah-tengah malam, di kawasan kampung dan ketika bersendirian. Aku tidak mengharapkan ianya terjadi. Tambahan lagi mulutku yang celupar, selalu mengandaikan yang tidak-tidak.
“ Tak jawab salam, berdosa..” sambung suara itu.
Aku menelan liur. Nada itu seperti pernah aku dengar sebelum ini. Lantaran rasa ingin tahu membalut jiwa, aku memberanikan diri berpaling memandang si gerangan yang bersuara.
Hampir tercopot jantungku dari badan saat terpandang dia di hadapanku! Senyuman di bibirnya merungkai sejuta resah yang kurasakan sudah mula menghempas badan menggila di pinggir hatiku.
“ Awak…” hanya itu yang terluah dari bibirku.
Dia senyum lagi.
Aku membuang pandangan.
“ Kenapa tak tidur lagi?” soalnya sopan.
Aku mati kata.
Dia berpeluk tubuh, menanti jawapan.
“ Kenapa tak balik lagi?” soalku pula.
Dia ketawa kecil. Tawanya begitu indah dipandang mataku. Perwatakan yang sederhana, menarik dan bijak. Mungkin dia seorang guru agama. Dari caranya berpakaian, aku yakin dia seorang yang kuat pegangan agama. Untunglah kekasih hatinya, pasti dia dapat membimbing.
Ah.. lain pula yang aku fikir.
“ Saya bermalam di sini..” jawabnya ringkas bersama senyuman.
Aku mengangguk-angguk perlahan. Rasanya, sudah hilang bahan untuk dibincangkan. Lantaran itu, aku mempercepatkan usaha mengambil telefon bimbit di dalam kereta.
Aku sudah berkira-kira mahu kembali masuk ke dalam rumah.
“ Kalau tak keberatan, boleh saya tahu nama saudari?” tanyanya mengetar jiwa.
Aku mematikan langkah. Tanpa berpaling, aku masih berkira-kira mahu memberitahu namaku padanya. Tapi, apa salahnya aku memulakan perkenalan inikan?
“ Siti Noor Khalilah..”

bab 1- selendang biru


Malam menjengah tiba setelah beberapa jam sudah melewati gerakan masa. Walaupun malam melabuhkan tirai, kepenatan masih terasa penangan perjalanan yang jauh ini. Sungguhpun ini bukan kali pertama kami menjalankan tugas luar daerah tapi kali ini lebih terasa rumit dari yang biasa.
“ Jemputlah makan Lilah, Ummi..” pelawa Mak Siah kepadaku dan Izzah.
Aku mengangguk perlahan bersama senyuman dengan pelawaan itu. Malam ini kami diminta bermalam di rumah Tok Salim dulu dan esok pagi barulah kami dihantar ke rumah yang disediakan khas untuk kami menginap sepanjang menjalankan tugas.
Aku menarik tangan Izzah yang masih lagi leka melayan karenah kucing peliharaan Tok Salim dan Mak Siah.
Adakah patut bermain dengan kucing?
Eeee… meremang bulu roma rasanya!
Aku bukan apa, memang lapar benar rasanya. Lantaran rasa itulah, aku mempercepatkan langkah menuju ke meja makan di ruang dapur. Aromanya memikat hati. Sungguhpun aku belum pernah merasa langsung masakan kampung tapi kali ini aku sudah tidak lagi ambil peduli.
Aku menahan liur.
Ayam kampung masak kicap, ada nasi lemak, sayur pucuk bersantan dan yang membuatkan liurku semakin kegersangan, sambal Mak Siah!
Aku tanpa lengah lagi menyeduk nasi ke pingganku. Habis semua lauk-pauk kusenduk. Ingin rasanya merasa masakan yang baru dalam hidupku dan sangat baru bagi seleraku.
Aku hampir saja tersedak dan mengalirkan airmata saat menjamah sambal Mak Siah.
Pedas sungguh.
Bagai terbakar lidahku merasa sambal buatannya. Cepat-cepat Mak Siah menghulurkan segelas air. Dengan rakus aku menyambut dan meneguknya sepuasnya.
Tawa Tok Salim kedengaran masuk ke gegendang telingaku berpadu dengan tawa Izzah. Aku sengaja mempamer wajah selamba sedangkan dalam hati terasa betapa kerdil dan bodohnya tingkahku itu di hadapan mereka.
“ Sedaplah Mak Siah walaupun pedas..” aku bersuara untuk mematikan tawa mereka.
Mak Siah masih mengorak senyuman di wajah tuanya.
“ Masakan kampung saja nak..” jawabnya lembut menyentuh segenap ruang pelusuk hati kecilku.
Aku tersenyum kecil. Tidak berniat mahu memberi sebarang ulasan untuk kenyataan itu. Lagipun, ini kali pertama aku merasa masakan ini dan bagiku diawal peringkat permulaan ini, rasanya sudah mula memikat seleraku. Aku harus membiasakan diri makan masakan kampung selama satu bulan ini. Saja nak ambil feel jadi orang kampung!
“ Pagi tadi ada apa ya Mak?” soal Izzah yang sudah mula beramah. Kata Mak Siah, lebih mesra baginya memanggilnya dengan panggilan Mak saja. Lagipun, kami berdua memang sebaya dengan umur anak-anaknya yang berada di bandar. Tambahnya lagi, kami bagaikan mengubat rindu dendamnya terhadap anak-anaknya lantaran mereka hanya pulang pada acara tertentu dan hari raya sahaja.
“ Ada yang meninggal..” khabar Mak Siah tenang.
Aku terkedu. Suram jadinya suasana makan malam rasaku.
“ Kenapa Lilah? Pucat semacam saja rupa kamu Tok lihat?” soal Tok Salim yang masih lagi menyuap sisa makanannya yang tertinggal.
Aku tersenyum kelat memandang Tok Salim.
“ Lilah ni penakut. Pantang sangat dengar soal kematian ini..” khabar Izzah di sebelahku.
Aku mencubit tangannya di balik meja dan menghadiahkannya dengan jelingan.
“ Nak takut apa?”
Aku menelan liur.
“ Ingatlah.. kalau kita takut, banyak benda yang akan mempengaruhi kita..” sambung Tok Salim lagi dengan tekun.
Aku terkebil-kebil memandang mereka.
“ Assalammualaikum…” sapa seseorang di muka pintu.
Bicara kami yang baru saja bermula, terhenti demi saja mendengar sapa salam yang diucap. Bergegas Mak Siah ke dapur menuju ke muka pintu. Mujur saja dia belum lagi memulakan makannya.
“ Eh.. kamu? Masuklah..” pelawa Mak Siah mesra.
Kamu?
Siapa?
Bagai digaru hati ini saat ingin tahu gerangan yang datang. Tidak sabar rasanya mahu melihat tetamu yang berkunjung di malam-malam begini. Tanpa dipelawa berulang kali, seorang lelaki masuk ke dalam  dengan sopan. Tersentak seluruh perasaanku terpandangkan dia lagi. Lelaki yang tadinya mempamer pandangan aneh saat pandangan mataku dan matanya bertaut.
Aku menundukkan wajah dan terus menikmati makan malam sedang hatiku berdebar tidak terkata iramanya.
Tanganku disiku. Hampir tersedak lagi aku jadinya dengan tingkah Izzah yang selalu membuatkan aku terkejut. Tambahan lagi aku sedang menikmati makan dengan hati yang dilanda getaran.
“ Jemputlah Syah..” pelawa Tok Salim mesra.
Aku melihat reaksinya dan nyata dia melangkah menuju ke ruang makan. Ruang yang kosong hanya ada di depanku.
Aku menelan liur.
Alamak….
Lantaran rasa kurang senang itulah aku mempercepatkan suapanku dan berlalu ke dapur bersama piringku untuk melarikan diri dari pandangan yang besinar tanda tanya itu.
“ Bawakan piring ya Lilah..” pesan Mak Siah saat dia terpandang aku berlalu ke dapur. Hendak tak hendak, aku mengangguk jua. Pastilah kurang sopan bila aku menolak permintaan itu sedangkan Mak Siah sudah banyak menolong sejak mula menjejakkan kaki kemari lagi.
Aku menghulurkan piring kepada Mak Siah beberapa detik kemudian tapi dia sedang menyuap makanan. Dengan berat hati aku mendekati lelaki muda yang kelihatan warak bernama Syah itu.
Tanganku dan tangannya tersentuh. Sepantas kilat aku menarik tanganku kerana bagaikan ada terkena renjatan elektrik menyalur ke seluruh urat saraf dan nadiku.
“ Maaf..” pintanya dengan serius.
Aku termangu. Dalam sedar dan tidak, bagai terpukau suara itu menusuk ruang hatiku.
Ah!
Tanpa suara aku berlalu. Makin lama aku rasa semakin gila dan hilang rasa.
Mengapa saat anak mata ingin bertaut, dia mengalihkannya?