BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 23 Jun 2014

O.R.K.I.D 48

Bab 48
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Dedaunan berjatuhan. Usang dan tidak berdaya. Terkadang terbang mengikut arah angin. Sekejap beralih ke kanan. Sekejap terbangnya ke kiri. Semuanya menggangu keadaanku. Bukan kerana aku tidak menerima hukum alam begitu namun aku terganggu dek keinginan Dhani agar aku berdamai dengan bekas tunanganku. Yang lebih mencemaskan, tempat inilah menjadi saksi terputusnya ikatan pertunanganku. Sesungguhnya tiada lagi apa yang ingin aku harapkan. Cukup sudah bahagiaku bersama Dhani. Aku percaya setelah melalui kesedihan, aku juga akan punyai kebahagiaan. Kali ini, lebih baik dari sebelumnya. Sayangnya, tidak pernah kusangka aku perlu lagi berdepan dengan dugaan hati dan perasaan. Sebegini hebat. Sebegini kuat.
          Tidak yakinkah aku dengan perasaanku sendiri?
          “ Lama awak diam… “
          Aku mendongak ke wajah yang berdiri tegar di hadapanku. Lama sebenarnya aku diam. Masih berkira-kira mahu meleraikan segala yang terkusut selama ini. Sepatutnya Dhani ada di sini menemaniku. Bukannya menantiku di kereta. Aku tahu pertemuanku ini akan menentukan segalanya namun aku mahu Dhani ada sebagai menambah keyakinan dan ketabahanku berdepan dengan si dia.
          Aku menghela nafas.
          “ Saya tidak tahu untuk mulakan semuanya…” akhirnya aku bersuara memecah kesunyian.
Fahrin kembali berpeluk tubuh.
          “ Susah sangatkah untuk kita jernihkan semuanya? Kembalilah Sara. Berat untuk saya hadapi semuanya sendiri.. Saya perlu awak. Saya menyesal…”
          Aku menelan liur.
Nadanya kini berubah sayu dan merayu. Ini yang aku bimbang. Bimbang kerana aku tahu Fahrin memang benar-benar menyesali. Kutahu bila dia berlaku jujur dan benar-benar memaksudkan apa yang dia inginkan. Aku bukan kenal dia dalam tempoh yang lama. Kalau aku tidak yakin dengan kesungguhannya aku tidak akan membuat keputusan untuk membina hidup dengannya dulu. Namun segala impian terlerai kerana hatinya yang berubah. Tapi aku tertanya-tanya juga mengapa dia tidak meneruskan hubungannya dengan perempuan yang telah menghancurkan ikatan pertunangan aku dan dia dulu.
          “ Apa yang terjadi antara awak dan dia?” soalku. Aku benar-benar ingin tahu.
          “ Dia tipu saya Sara. Dia hanya inginkan harta saya. Sejak saya tahu dia hanya mainkan hati dan perasaan saya, saya nekad tinggalkan dia. Benar dia cantik. Sayangnya dia tidak seperti awak. Awak jujur. Awak setia. Awak tahu jaga diri. Awak memahami. Awak tidak memaksa. Tapi, saya tidak tahu rajuk awak sebegini lama. Bahkan, awak sanggup pilih orang lain untuk menggantikan saya…” sambung Fahrin. Wajahnya tergambar rasa sedih yang terlalu.
          Aku turut berduka. Sesungguhnya, aku tidak mahu beralah. Bukan simpati yang aku cari.
          “ Tapi Fahrin, segalanya sudah terlambat. Saya bahagia. Dulu, saya menangis Fahrin. Saat awak katakan hubungan kita di situ saja. Hanya di situ. Dapat tak awak bayangkan pedihnya hati saya? Kita hampir membina rumahtangga. Awak biarkan keluarga saya menyimpan malu sendiri. Awak yang buat semua ini. Awak Fahrin. Bukan saya…” sambungku lebar. Kali ini mendatar dan bercampur baur dengan marah dan kesal. Aku kecewa benar. Dia mengakui silapnya tapi segalanya sudah terlewat.
          “ Awak pernah tak rasakan bagaimana pedih hati saya?”
          Fahrin diam.
          “ Awak tahu tak sakitnya saya lalui semua? Jangan kejar bayang-bayang saya lagi. Saya penat. Saya tidak mahu kenang semuanya. Lepaskan saya Fahrin. Kali ini saya merayu. Izinkan saya bahagia dengan insan yang lebih memahami saya dan menyayangi saya seadanya. Sesanggupnya dia dan saya mohon. Pergi jauhlah Fahrin. Saya maafkan semuanya. Saya hanya harap, kita berdamai….” balasku. Kali ini, nada suaraku yang kedengaran merayu. Jujur saja. Aku penat lalui semuanya. Aku mahu Fahrin mengerti yang sudah tiada lagi ruang di hati ini buatnya. Hidupku sudah terisi dengan satu hati.
          Dimana lagi ruang untuknya?
          “ Sara, betulkah segalanya sudah berakhir?”
          Aku mengangguk. Aku tidak mahu melengahkan jawapan. Aku selalu berharap keteguhan rasa cinta yang ada buat Dhani akan membatasi kekecewaanku dengan kenangan lalu.
          “ Betulkah awak ingin tinggalkan saya selama-lamanya?” tanyanya lagi dengan wajah yang penuh mengharap.
          Aku mengangguk lagi.
          “ Tiadakah lagi ruang di hati itu?”
          Aku mengangguk.
          “ Jangan rumitkan lagi keadaan. Carilah bahagia awak Fahrin. Saya tidak mampu lagi memberi kebahagiaan untuk awak…” balasku. Tegas dan tiada kompromi.
          “ Ini pun atas permintaan seseorang yang begitu inginkan bahagia ada dalam hidup saya makanya dia mahu saya bertemu awak. Belum cukupkah lagi kenyataan ini untuk awak terima dan hentikan semuanya?” tanyaku lagi dalam nada suara yang seakan memujuk, cuba menjernihkan keadaan.
          Fahrin meraup wajahnya. Nampak kusut dan tiada daya lagi. Memang benar tergaris kekesalan di wajah yang suatu ketika dulu kupuja itu namun aku tidak ada alasan lagi kembali memilihnya. Sungguh! Aku tidak mahu berpaling.
          “ Telah lama saya berhenti berharap. Telah lama saya lupakan hasrat. Sudah terlalu lama. Tiada lagi yang saya harap…” sambungku.
          Fahrin menunduk.
          Aku tahu mengapa. Pasti hancur luluh hatinya. Aku jua merasakan suasana dan rasa itu tapi aku ada kebahagiaan menantiku. Tiada apa yang perlu aku kesalkan. Cinta memang ada meskipun kadangkala hanya perlu disimpan di dalam hati.
          “ Jodoh kita nampaknya memang tiada…” akhirnya Fahrin bersuara. Lirih dan mendatar.
          Aku sekadar membuang pandangan. Aku tidak mahu terpedaya dengan reaksi itu.
          “ Sudah lama Fahrin. Awak saja yang tidak sedari hakikat itu..” tambahku.
          Kali ini dia menghela nafas. Seperti dia, aku juga penat. Penat menyimpan segalanya. Aku kemudian berdiri dari bangku tempatku duduk.
          “ Maafkan saya dari mula kita kenal hingga ke akhirnya. Saya tidak berdaya membahagiakan.. Hati saya milik orang lain. Bukan lagi kepunyaan awak. Saya bahagia. Begitu kuat saya meminta agar awak lepaskan saya dari hati dan hidup awak. Biarkan saya cari bahagia saya sendiri. Please Fahrin. Let me go…” rayuku bersungguh-sungguh. Kurenung jauh ke dalam anak matanya bersama seribu satu macam harapan. Terluka sama hatiku melihat dia menangis. Menangis sesal. Namun aku tidak berdaya.
          “ Sara, semakin jauh bayang-bayang dari saya. Tak bolehkah saya sekadar memuja awak bersama kenangan kita?”
          Aku menggeleng. Sungguh aku tidak rela walau sekadar kenangan dan bayang-bayangku.
          “ Janganlah begini Fahrin. Tak ada gunanya…” sambungku lagi berharap dia akan mengalah saja dan tidak berusaha mengusik ketenangan hatiku.
          “ Saya lihat awak tabah Sara..”
          Aku tersenyum kecil.
          “ Cintanya yang membuatkan saya begini..”
          Fahrin kembali memandangku.
          “ Awak nampak bahagia…”
          Aku mengangguk dengan penuh yakin.
          “ Cintanya menjanjikan saya sejuta kebahagiaan. Atas alasan itu, mengapa saya perlu khianati dia?” tambahku. Kali ini aku mahu Fahrin mengerti mengapa aku mahu dia damaikan segalanya.
          Keluhannya jelas terdengar.
          “ Saya bersumpah dengan nama TUHAN. Hari ini, kita berdamai. Maafkan saya kerana memaksa….” Akhirnya Fahrin bersuara, seperti yang aku harapkan. Dia tersenyum untuk kali yang terakhir walau maksud senyumannya itu meruntun jiwaku pilu.
          “ Saya akan selalu doakan awak bahagia.. Maafkan saya. Maafkan. Semoga dia jaga awak….” Sambungnya dan kini dia berlalu meninggalkanku. Jauh dan semakin jauh. Tidak menoleh lagi walau sekadar memberiku senyum kerelaan untuk yang terakhir kali.
          Ya TUHAN. Mengapa hatiku ini?
Tanpa kusedari, ada tangan menarik jemariku. Aku menoleh di sisi kananku. Pantas aku memeluknya. Luar biasa sungguh kehangatan cinta suamiku ini hinggakan kepiluan atas pertemuan terakhir dengan seseorang yang pernah mengisi hatiku itu, jernih begitu saja.
“ Sudahlah. Jangan menangis lagi…”
Aku mengeratkan pelukan. Kata-katanya yang kedengaran perlahan menggamit sayu di hatiku. Tidakku sangka dia datang pada saat aku benar-benar inginkan. Entah berapa lamakah dia berdiri di belakangku selama kubertelagah dengan Fahrin tadi pun, tidak aku ketahui.
“ Abang tidak akan tinggalkan Sara.. walau apapun dugaannya. Ingat tak? Abang pernah coretkan suatu ketika dulu?”
Aku mengesat airmata.
“ Kalau ada peluang, abang mahu mencintai Sara. Disebabkan abang berpeluanglah abang akan terus cintakan Sara. Cinta abang bukan beri sayang airmata tapi cinta abang cinta janjikan kebahgiaan selagi TUHAN izinkan…”
Aku kelu dengan ikrar janjinya itu. Sungguh aku bersyukur dengan apa yang TUHAN gantikan. Aku percaya. Pada saat hambanya redha dengan sesuatu yang mengecewakan, ALLAH pasti akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Sesungguhnya Dhani bukan saja lebih baik. Namun, dia hebat dalam segalanya bagiku. Doaku kepada TUHAN, jangan ambil dia. Biar hati kecil berkorban memberinya kasih sayang yang besar. Paling penting, tidak ragu-ragu lagi.

orkid BAB 47

Bab 47
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
         
          “ Sayang… bangun…”
Suara itu sayup-sayup kedengaran di pendengaranku. Badanku digoyang perlahan agar aku memberi tindak balas atas arahan itu. Lama aku berusaha membuka kelopak mata. Sinar terang di ruangan itu memberiku tanda bahawa sudah masanya untukku mencari dari mana arah suara itu dan siapa yang bersuara. Pantas sungguh pandanganku tertumpu pada insan di hadapanku. Wajahnya begitu bimbang dan penuh kerisauan.
“ Abang..” suaraku terluah lantas kupeluk erat dia. Begitu kuat syukurku kepada TUHAN bahawa sesedarnya aku saat itu, Dhani bukan seperti yang kulihat sebelumnya. Sudah seperti biasa dan aku selesa dengan keadaan itu.
Belakangku diusap-usap perlahan. Aku sayu dalam pelukan itu.
Hatiku berbelah-bagi.
Kubalas erat sama pelukan itu seakan-akan begitu kudamba berlindung di sebalik kegagahan suamiku itu.
There is nothing happen, sayang..” pujuk Dhani lagi. Kali ini dia begitu berusaha sekali mengembalikan ketenanganku. Aku memandangnya bersama harapan baru. Berharap semuanya bukan seperti yang kulihat.
“Sayang, we are home now. No longer di kampong…”
Aku mengangguk. Tidak ingin kelihatan terlalu manja apabila bersama Dhani. Aku mahu berusaha menjadi kuat bila berhadapan dengan keadaan ini.
“ Apa yang terjadi sebenarnya?”
Dhani sekadar menggaris senyuman. Dia bagai tidak berniat mahu menceritakan. Mungkin dia bimbang akan responku. Dhani meminta Kak Shila dan ibu untuk berehat setelah dikhabarkan Dhani yang mereka begitu setia menemaniku sepanjang aku tidak sedarkan diri. Sejak dibawa pulang ke rumah semula, mereka masih menemaniku hinggalah kini aku sudah sedar kembali. Mereka sempat berpesan agar aku berhati-hati dan tabah berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Walaupun kata-kata mereka mengusik ketenangan hatiku namun aku masih risau dengan sikap Dhani.
Benarkah dia sekadar ingin menjaga perasaanku agar tidak ketakutan lagi?
Kini, hanya aku dan Dhani saja di bilik itu.
“ Sayang, do you have something to talk or share?”
Aku sekadar membalas pandangannya. Mulanya aku tidak mengerti dengan apa yang ingin dia sampaikan namun lama kelamaan, mungkin ini masanya untuk aku berterus-terang.
Perihal aku bertemu Fahrin di Paris.
Ya… ini masanya untuk aku terangkan segala yang terjadi. Tidak selesa rasanya berahsia walaupun setelah insiden itu, aku tidak lagi bertemu dengannya.
“Actually abang. Pertamanya… Maafkan Sara..” ucapku perlahan sambil menggengam kedua belah tangan suamiku itu. Aku merenung jauh ke dalam matanya, berharap agar dia tetap rasai kehangatan kasihku dan juga keinginanku untuk selalu mencintai dia.
Dhani hanya menunggu aku meneruskan kata. Tiada sebarang riak namun aku tahu dia begitu ingin tahu.
“ Fahrin pernah temui Sara di Paris..”
Dhani hanya diam. Perlahan-lahan dia melepaskan genggaman tanganku. Dia sengaja membuang pandangan. Aku tahu, dia terasa. Sekeping hatiku terguris sama dengan tingkahnya. Aku tahu, dia berhak rasainya. Tapi, aku juga perlu diberi peluang bercerita.
“Tapi abang perlu percaya pada Sara. Dengar dulu semuanya. Please….” pintaku seraya menarik kembali tangan kanannya dan kugenggam erat.
Sungguh, tiada niatku membuatnya begitu.
“ Apapun yang abang fikir tentang Sara selepas ini, Sara akan terima.. Sara akan cuba faham..”
Dhani kembali memandangku.
“Ceritalah. Abang bersedia mendengar…”
Aku menghela nafas panjang sebelum kembali membawa ingatan lampau lama untuk dikongsikan kepada suamiku itu. Bermula dari kisah aku bertemu Fahrin tanpa sengaja hinggalah berlakunya peristiwa yang hampir meragut nyawaku dan anak kukandung.
“Sayang, walau hendak lari dari kenyataan sekalipun tolonglah jangan bahayakan diri. Abang tak boleh hidup tanpa Sara..” pintas Dhani sebelum aku meneruskan cerita. Luahan rasanya begitu tajam menikam hatiku. Begitu kuat rasanya buatku. Kucupan hangat di dahiku itu menyerap sejuta rasa cinta.
“ Sara tahu…” balasku.
Kini, kukembali sayu.
“ Sara sudah cuba sedayanya lari dari masa silam Sara. Sara cuba buang dia dari hidup Sara. Sara hanya mahu abang. Bukan dia. Bahagia Sara apabila ada abang, bukan dia…” sambungku lagi mendatar.
Kali ini, aku menangis.
Aku memeluk lengannya dan melepas tangis di situ.
Aku tahu.
Sudah masanya aku luahkan apa yang selama ini dipendam. Aku terasa seksa menanggung segalanya sendiri.
“ Dia mainkan hati Sara. Dia hancurkan masa depan Sara dan juga kebahagiaan Sara. Dia tidak tahu bagaimana Sara cuba buang segalanya. Dia tidak tahu bagaimana susahnya Sara mencuba untuk sayangi orang lain selain dia. Dia tidak tahu bagaimana sengsaranya Sara…”
Dhani diam.
“Terlalu dalam dia lukai hati Sara. Sara sudah cuba untuk tidak menyimpan dendam. Tapi, kalau dia terusan memburu dan menggangu kebahagiaan Sara, Sara tak boleh haling lagi perasaan ini untuk membenci dia…”
Dhani menarik aku ke dalam pelukannya. Kali ini lebih erat.
“Abang tahu bagaimana susahnya Sara mulakan kehidupan dengan abang. Segalanya abang rasakan sama. Tapi sayang, berdendam tak akan selesaikan semuanya…”
“Abang tahu tak, hati Sara ni sakit. Dia malukan Sara. Dia hancurkan hati Sara. Dia buat Sara bodoh mengemis cintanya!” sambungku lagi. Tanpa sedar, nada suaraku meninggi. Begitu dalam benci dan dendamku kepada bekas tunanganku itu.
“Tapi sayang, TUHAN temukan dulu dengan seseorang yang salah sebelum temukan dengan seseorang yang betul agar kita lebih tahu menghargai cinta dan menilai ketulusan hati…”
Aku mengesat airmata. Kata-kata itu menyejukkan hatiku. Namun aku tidak berniat menjawabnya.
Dia menyentuh wajahku dan memintaku memandangnya.
“ Sayang.. abang izinkan kalau Sara berniat hendak jernihkan segalanya…”
Aku mengetap bibir.
Dhani berniat apa?
Agaknya, dia mahu kami berpisah?
“ Betulkanlah fikiran negative sayang tu dulu..” balas Dhani dalam nada mengusik.
Aku mengerut dahi.
“ Abang tak maksud apa-apa yang tidak baik dalam hubungan kita…”
Aku tersengih manja.
“ Abang mahu Sara kosong-kosong dengan admire Sara tu..” sambungnya lagi namun nadanya bagai berbaur cemburu.
Aku menyimpan senyum.
“Haa… ni kenapa senyum ni?” soal Dhani.
Aku mengangkat bahu namun sempat menjelingnya.
“ Memang abang cemburu tapi tidak bermaksud tidak ada toleransi dengan Sara. Abang cuma harap, Sara dan dia sudah tiada dendam. Tak guna semua tu sayang…” tambah Dhani. Kali ini, bagai memberi nasihat.
Aku menghela nafas berat. Mula memikirkan sesuatu. Bukan aku tidak pernah mencuba berdamai dengan Fahrin tapi kesudahannya, dia mahu aku kembali bersama. Dia bagai memaksa kembali hatiku untuk memilih dia. Aku takut hatiku berubah. Aku takut cinta masih ada untuknya. Aku takut kenangan akan menghasut aku kembali padanya. Aku takut dengan pelbagai kemungkinan. Terkenang saja saat di jemarinya masih tersarung cincin pertunangan aku dan dia dulu membuat aku bertambah takut. Aku tidak mahu kembali kepada dia yang merosak segalanya. Kalau dia benar-benar mahu aku kembali, pasti dia akan berusaha untuk aku mengenang kenangan antara aku dan dia. Aku tahu bagaimana dia bersungguh apabila berkehendak akan sesuatu. Hilangnya Fahrin bukan kerana berputus asa tapi sedang merancang sesuatu yang lebih baik. Aku tahu Fahrin bukan jenis yang suka gunakan kekerasan untuk lakukan sesuatu yang menyentuh hatiku.
Aku sungguh begitu tahu.
Kalau Dhani tahu Fahrin nekad begitu, mahukah dia menyuruh aku berdamai dengan Fahrin?
Untuk seketika, aku memandang Dhani.
Dia hanya tersenyum sebelum mengangguk. Perlahan-lahan aku menarik tanganku yang ada dalam genggamannya. Sungguh aku berbelah bagi hatiku jadinya ketika itu untuk tunaikan kemahuan Dhani agar aku bertemu Fahrin dan berdamai. Semua itu bukan semudah yang Dhani fikirkan.
Sungguh, bukan!
Sejujurnya, aku benar-benar keberatan. Namun, mata yang penuh dengan pengharapan itu membuat aku serba-salah.
Aku mengeluh.
Abang belum kenal Fahrin.

Selasa, 3 Jun 2014

O.R.K.I.D BAB 46

Bab 46
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

         “ Abang, Sara takutlah…” aduku dalam suara berbisik. Berdebar hati kuat benar di dada lantaran petang itu aku dipaksa ibu dan Kak Shila untuk pergi berurut pada ibu kak Shila. Kata ibu, supaya aku nanti senang melahirkan dan tidak ada apa-apa masalah dengan anakku nanti. Aku bukannya apa, aku tidak tahan dengan bau minyak angin apatah lagi bila disentuh lama-lama dengan tenaga urutan yang tidak dapat kujangka bagaimana.
         “Taka pa tu. Abang support..” pujuknya lagi dalam berbisik. Bimbang juga kalau ibu dan Kak Shila mendengar. Ini pun kerana aku terpaksa menurut kerana khuatir juga kalau berlaku perkara yang tidak aku ingini waktu melahirkan nanti. Tambahan lagi, nasihat ibu mertua dan Kak shila adalah antara orang-orang yang berpengalaman.
Apalah salahnya aku cuba menurut kata, kan?
Cuma masalahku, aku takut!
Petang itu kami berempat memilih untuk pulang ke kampong kak Shila. Ibu kak Shila memang pandai mengurut terutama sekali untuk ibu-ibu yang hendak bersalin atau lepas bersalin. Untuk masalah kesihatan lain pun memang boleh juga. Memang ibu kak Shila terkenal di kampong ini.
“Yang nak berurut duduk atas tikar mengkuang ni. Tukar baju dulu ya. Guna kain Mak Nah tu..” pinta ibu kak Shila.
Aku teragak-agak untuk menurut namun aku tiada pilihan. Tanpa menunggu lama, aku menurut jua. Kemudian aku duduk di tempat yang dimaksudkan. Kak shila dan ibu duduk di kiri dan kananku sementara Mak Nah di belakangku. Katanya, ingin memulakan dari belakang. Dhani pula duduk di hujung kakiku dengan sengihan.
Gerakan bibirnya jelas memaksudkan aku kelihatan seksi dengan berkain batik di situ. Aku pantas menunjukkan isyarat penumbuk padanya sebelum suara ibu menegur perlahan kedengaran.
“Mai…”
Aku sekadar tersenyum. Aku tahu memang tidak boleh Dhani diperlakukan sebegitu dariku seorang isteri. Kalau-kalaulah Dhani terasa hati, bagaimana? Namun, itulah cara kami bergurau manja.
“Dhani, kalau terus kacau Mai.. ibu persilakan keluar ya..” tegur ibu, memihak kepadaku.
Aku tersenyum manja kepada Dhani sebagai tanda mengusiknya apabila ibunya lebih berpihak kepadaku. Dia kemudian memberi isyarat ingin keluar selepas mendengar kata-kata ibu, namun aku jelas menolak agar dia terus menungguku. Aku perlukan dia setiap saat. Walau sekadar untuk perkara yang biasa-biasa saja.
‘ I need you here…’ gerakkan bibirku tanpa suara.
Dhani mengangguk bersama senyuman. Aku tahu dia tidak akan menghampakan aku walaupun sekadar permintaan kecil. Aksi pandang-pandang antara aku dan Dhani disedari Kak Shila. Pantas Kak Shila menyentuh lengan kiriku sambil mengangguk.
“Insya Allah, semua baik-baik saja nanti..” ucapnya bagai memujuk.
Aku mengangguk. Aku begitu bersyukur kerana mempunyai keluarga yang cukup memahami. Walaupun aku seakan kelihatan meragam tak ada faedahnya namun mereka tetap sabar dengan karenahku itu. Mereka faham bahawa itulah ragam yang akan dikenang kerana mengandung.
Sportingkan familyku itu!
“ Ni anak pertamakah Shila?” soal Mak Nah kepada Kak Shila.
“Ya mak.. isteri adik ipar Shila ni..”
Mak Nah mengangguk sambil tangannya mula mengurut. Nasibku memang baik kerana Mak Nah tidak menggunakan minyak angin. Dia hanya menggunakan minyak bunga matahari. Dia seakan tahu pulak yang aku alah dengan minyak angin.
“ Nama kamu siapa?” soal Mak Nah lagi, kepadaku pulak.
“ Maisaraa..” jawabku perlahan namun bagai suara tertahan kerana menahan sakit dengan urutan Mak Nah.
“ Tahan ya. Bukan apa. Kamu ni banyak angin…” sambung Mak Nah lagi. Aku tidak menjawab apatah lagi menyahut kerana sememangnya aku tidak pernah berurut kerana aku memang tidak suka diurut.
“ Kak Nah, tolong periksa sekali kandungannya ya. Takut songsang apa nanti..” ibu pula menyampuk. Begitu jelas bimbang dan prihatin ibu mertuaku yang kasihnya bagai kembali ada mengganti kasih ibuku yang telah tiada.
“Insya Allah..”
Kata-kata itu bagai terdengar dan tidak di pendengaranku kerana kenikmatan urutan itu mengusik rasaku. Hampir satu jam berlalu sampailah akhirnya aku disuruh berbaring untuk diperiksa oleh Mak Nah.
“Kandungan tak apa-apa ni…” khabar Mak Nah, menyuntik ketenangan kepada semua apatah lagi aku. Khuatir juga kalau songsang. Bukan apa. Takut terpaksa dibedah pulak nanti.
Penakutnya aku kan?
“ Dahlah. Lepas ni, pakai baju semula. Kita minum petang. Adik akak dah sediakan kuih dan minuman petang tu..” sampuk Kak Shila lagi sedang Mak Nah dan ibu sudah berangkat punggung dari situ. Yang tinggal hanya aku dan Dhani.
Dhani kemudiannya menarik tanganku. Membantu aku untuk bangun dan duduk setelah berbaring. Terasa segan pun ada bila berduaan dan berdepan dengan Dhani dalam keadaan begitu walaupun sudah lama kami bersama. Perasaan itu masih lagi kurasa. Mungkin kerana lirikan yang bagai mengusik itu yang membuatkan aku rasa begitu.
“ Jangan buat kami menunggu lama ya Dhani..” pesan ibu dalam usikan sebelum dia menghilang dari situ. Aku sekadar membalas senyuman saja kerana tidak tahu mahu menjawab apa. Ibu memang terkadang begitu. Sengaja menegur begitu sekadar mahu mengusik kerana kenakalan anak lelakinya itu.
Dhani duduk di sebelahku.
Dekat. Sehingga hembus nafas hangatnya jelas terasa di sisi telinga kananku.
“ Ibukan dan pesan…” ucapku perlahan namun terbuai indah dengan keadaan itu.
Dia sekadar menggumam. Kucupan kasihnya singgah ke pipiku.
“ Seksi..” balasnya bersahaja.
Aku tertawa kecil.
“ Begini pun abang kata seksi? Perut dah besarlah. Sara pun dah berisi ni…” jawabku seraya memberi isyarat agar dia membantuku berdiri. Memang kali ini susah untukku berdiri sendiri jika aku sudah duduk di lantai. Sebab itulah aku selalu memilih untuk duduk di atas kerusi. Perutku sudah membesar.
“ Eh.. isteri abang hot lagi ya. Sara nampak berisi sedikit ni pun sebab sayang bawak baby. Cuba dah beranak nanti. Mesti macam Jennifer Lopez..” sambung Dhani lagi.
Aku melepas tawa di situ.
“ Abang ni mengarut…” sanggahku sambil menolak perlahan dirinya menuju ke muka pintu.
“ Kenapa macam menghalau ni? Biarlah abang teman…”
Aku menggeleng.
“ Ingat tak pesan ibu?”
Dhani membuat muka.
“ Nanti Sara berkepit dengan abang 24 jam. Sara janji. Jangan abang yang senak dengan Sara, sudah…” sambungku lagi kali ini dalam nada memujuk. Dhani antara mahu tak mahu, mula beralah denganku. Dia kemudian berlalu dari situ meninggalkanku sendirian. Pantas aku mula menukar pakaianku kepada pakaianku ketika kudatang ke sini tadi. Bukannya susah pun kerana Dhani memang berpesan sedari awal agar aku mengenakan jubah sahaja. Katanya, lebih mudah untukku. Dia bimbang benar dengan keselamatanku memandangkan usia kandungan pun makin matang. Dalam kiraan doktor, Insya Allah awal bulan depan aku akan melahirkan. Tidak terasa masa begitu pantas melewati hari-hari kami.
Selesai mengenakan jubah, aku melihat diriku ke dalam cermin. Penampilan kelihatan memuaskan dan aku mula berkira-kira mahu berlalu. Akan tetapi, langkahku tiba-tiba terpaksa kuhentikan kerana gerakan langsir tidak jauh dari tempatku berdiri itu mengangguku.
Lain benar senja itu.
Kemudian aku memberanikan diri menghampiri jendela itu kerana gerakan itu sekejap saja. Perasaan ingin tahuku begitu kuat. Perlahan-lahan aku menghampiri jendela itu. Aku antara berani dan takut cuba mencapai langsir itu.
Tiada ada apa-apa.
Hari sudah semakin senja. Kelihatan hari menguning, ada memerah kerana senja sudah tiba. Tiada angin pun yang meniup di situ kerana keadaan tenang sahaja. Namun pandanganku jelas terganggu di salah sebuah pohon besar tidak jauh dari kawasan rimba kecil di situ. Seakan-akan ada susuk tubuh berdiri, menghala pandangan ke arahku.
Dari jauh kupandang, memang susuk manusia. Namun, mengapa bagai lain saja? Bulu romaku mula meremang tetapi pandanganku tidak beralih dari situ.
Mengapa seakan Fahrin?
Matanya bersinar merah, dengan jelas dapat kulihat dari situ. Senyuman anehnya membayangkan aku kepada seseorang yang kukenal tapi masih berbayang-bayang lain di fikiran meskipun kuat hatiku mengatakan itulah Fahrin. Genggaman tangan seakan memberi petanda lain.
Aku berdebar kuat.
Sekali lagi ada angin perlahan menyapa tepat ke wajahku. Aku terundur ke belakang tanpa kuduga. Bagai ada sesuatu yang diutus kepadaku senja itu.
“ Sayang, kenapa lama sangat?”
Suara itu membuatkan aku menoleh ke muka pintu. Suara itu suara Dhani tapi kenapa wajah yang ada di depanku itu buruk benar? Berdarah dan bernanah di pandanganku dan membuatkan aku gerun sungguh.
“ jangan dekat!” seruku.
Aku berundur ke belakang hinggalah dinding menghentikan gerakan.
“ Sayang, kenapa? Abang ni…” sambung insan di depanku sambil dia menghampiriku.
Aku pantas menangis.
“ Jangan! Kau bukan suamiku,..” sambungku dalam suara tersekat-sekat kerana aku sudah mula menangis. Penglihatanku berubah. Di sekelilingku kelihatan luar biasa. Suara yang kudengar memang milik Dhani tapi wajah yang kulihat itu bukan. Itu yang menyebabkan aku semakin menguatkan tangisan. Mungkin kerana itulah kulihat Kak Shila dan ibu pantas meluru mendekatiku yang sememangnya sudah tersandar, duduk di situ. Ibu mengisyaratkan kepada insan di depanku itu untuk keluar meskipun suaranya seakan ingin membantah.
“ Keluar sajalah dulu Dhani. Sebelum perkara tidak baik berlaku..” sambung Ibu lagi dalam nada memujuk.
Benarkah dia itu adalah Dhani sedang pada pandanganku dia makhluk lain?
Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata bagaimana takutnya aku saat itu melihatnya di depanku. Aku pantas memeluk Kak Shila dan melepas tangis di situ. Aku yakin kak Shila dapat rasakan ketakutanku saat itu kerana kedinginan di kedua belah tapak tanganku jelas terasa.
Debar di hati, usah ditanya.
“ Sara, sudah sayang. Jangan nangis. Dia dah keluar tu..” pujuk ibu. Pujukan ibu jelas macam angin lalu bilamana aku masih terus menangis. Aku semakin melemah dengan tiba-tiba. Dengan raungan tangisan dan dengan pelbagai rasa yang kualami saat ini membuatkan aku bagai orang gila dengan tiba-tiba.
Kemudian Mak Nah mula bersuara,

“ Nampaknya, ada yang ‘ganggu’ budak ni…”
Kemudian, segalanya menjadi suram dan sepi.
Aku hilang daya lagi.

Ahad, 1 Jun 2014

O.R.K.I.D BAB 45

Bab 45
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Kedinginan di ruang tidur itu membuatkan lenaku terganggu. Kamar ini kembali kuhuni setelah dua hari pulang ke tanahairku. Rindu benar dengan rumah ini. Rumah pertama yang menjadi tempatku berteduh setelah memilih untuk terus kekal di samping Dhani, suami kesayanganku. Sempat kukerling jam dinding yang tergantung kemas itu. Baru pukul 2 pagi. Kakiku terasa kebas dan bagai ingin beku. Sedikit senak terasa di perutku. Ingin kukejutkan suami di sisi terasa tidak senang pulak. Kulihat dia begitu nyenyak sekali.Kemudian aku memilih untuk bersandar saja sambil sesekali mengusap perlahan perutku. Aku memejam mata cuba menahan rasa yang perlahan-lahan membawa keselesaan. Kupujuk hati untuk bertahan dan bersabar dengan keadaan itu. Berulangkali kumenyebut nama Allah dalam bisikan. Lain benar rasanya saat ini. Tanpa kuduga, ada tangan menyentuh tanganku.
          “ Sayang kenapa?” Tanya Dhani antara dengar dan tidak. Kelihatan dia masih mamai namun tetap berusaha bersandar jua di sisiku. Dia memisat-misat kedua-dua matanya. Rasa bersalah timbul di hatiku.
          “ Sara buat abang terjaga tak?” soalku perlahan.
          Dhani tidak menjawab pertanyaanku yang itu.
          “ Sayang kenapa? Okay tak ni?” soalnya bertalu-talu.
          Aku mengetap bibir. Jadi sayu dengan keprihatinan suamiku.
          “ Sayang tak selesa. Senak…” balasku seakan ingin menangis. Entah manja atau apa aku sendiri tidak pasti. Sungguh aku tidak selesa dengan apa yang kurasa. Sebelum ini tidak pernah aku rasakan sebegini.
          Dhani kulihat bangun dari sebelahku. Dia mengetik suis lampu, maka terang-benderanglah bilik kami. Kemudian dia menghampiri aku.
          “ Nak abang tolong urut?” pelawanya bersungguh-sungguh. Semakin kuat pulak rasa bersalahku.
          “ Abang tidurlah..” jawabku.
          Dhani pantas duduk kembali di hujung katil. Dia menyuruh aku berbaring di pangkuannya. Dia menyelak bajuku dan menyentuh perutku. Diurut-urutnya perlahan sedang mulutnya bergerak-gerak membawa beberapa kalimah ayat Al-Quran. Jujurnya, aku sungguh terkesan dan terharu dengan responnya. Tanpa kusedari, airmataku menitis sedikit demi sedikit.
          “ Sayang.. Sakit sangat tak ni?” soal Dhani bertambah risau.
          Aku menggeleng sambil mengesat airmata.
          “ Dah kurang sikit..” jawabku mendatar.
          “ Tapi kenapa sayang menangis?”
          Aku cuba menggaris senyuman.
          “ Tiba-tiba saja..” jawabku kedengaran manja.
          Dhani kudengar tertawa kecil. Dia terus mengusap dan mengurut perlahan perutku sehingga rasa itu lama-lama hilang.
          “Abang.. dah okay…” beritahuku sambil menolak tangannya.
          “Betul ni?”
          Aku mengangguk. Kemudian aku bangun dari pangkuannya dan melentok manja ke bahu kanannya.
          “ Kalau Sara minta sesuatu boleh tak?” tanyaku.
          Dhani menarik aku ke dalam pelukannya.
          “ Apa yang tidak buat isteri abang?”
          Aku tertawa.
          “ Sara nak makan laksa johor…” bisikku.
          Dhani terdiam. Mungkin dia tidak menyangka dengan permintaanku itu. Barangkali juga, dia tidak menduga aku sedang lapar. Bayangkan saja, waktu itu sekitar 2 pagi.
          “ Abang memang tak mahu kecewakan sayang tapi jam ni kan pukul dua pagi?” balas Dhani bagai memujuk. Mendengar jawapannya pasti aku menolak pelukannya.
Terasa hati.
Memang sepatutnya aku sedar yang tidak mungkin Dhani akan memperolehinya pada jam sebegini. Secara logiknya pun tapi aku tidak tahu kenapa aku tidak mahu menafikannya.
“ Abang tak kasihan? Sara lapar…” aduku manja.
Lama Dhani diam sebelum dia kembali memberi respon. Dia menarik tanganku dan mengajak untuk turun ke tingkat bawah rumah kami. Dia menyuruh aku duduk di sisi, di ruang tamu sedang dia sibuk membuka laptopnya.
Rupanya dia sedang mencari resepi laksa johor itu.
“ Abang tu memang lapar juga. Pilihan tak ada, kita masak bersama saja ya..”
Aku terkaku.
“Jomlah…” sambungnya sambil menarik tanganku. Berat untukku menurut langkahnya namun kuturuti jua bila matanya bersinar, bersungguh-sungguh mengajakku.
Laptop diletaknya di atas meja makan di dapur itu dan dia mula mencari bahan. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan yang dia perlukan. Dia merebus air panas untuk laksa yang sememangnya ada berhampiran kabinet di situ. Segala bahan yang lain dipotongnya dengan teliti. Aku pula seakan terkaku tidak tahu mahu berbuat apa. Lama-lama aku tersenyum sendiri melihat keadaan itu. Pantas aku menghampiri Dhani yang seakan teragak-agak meneruskan kerjanya.
Aku menyentuh tangannya dan mengambil pisau yang ada di tangannya.
“ Tak apalah. Sara buat..”
Dhani tersengih.
“Teruk sangatkah cara abang sampai mem turun padang ni?”
Aku tertawa kecil dengan pertanyaannya.
“ bukan begitu cik abang… Sayang tolonglah ni…”
“ kita sama-sama masaklah…” sambungnya tapi sempat mengucup pipiku. Reaksinya itu tidak kuduga.
“ kita nak memasaklah ni. Abang janganlah main-main…” tegurku dengan rasa geram. Aku tahu dia sengaja mengusikku. Tawanya lepas bebas di situ.
“ suka sangatlah tu usik orang begitu..” sambungku lagi sambil tangan ligat melakukan kerja. Mulut tak henti kata itu ini sampai Dhani mula bersuara.
“ Sayang, membebel tu tak baik…” usiknya.
Aku mengetap bibir dan menjelingnya.
Tawanya kedengaran lagi.
“ Tolonglah abang, bangkit laksa tu…” pintaku mengubah suasana agar dia tidak terusan mengusik meskiku tahu niatnya sekadar ingin menceriakan suasana antara kami. Memang patut dipuji suamiku ini kerana ringan tulang membantuku. Setelah berusaha bersungguh-sungguh akhirnya menjadi juga masakan kami saat itu. Dhani pantas mengajakku untuk makan bersama setelah kami selesai mengemas bekas kami memasak.
Aroma laksa itu mengusikku.
Aku dan Dhani duduk bertentangan.
Wap panas berkepul-kepul. Liur sudah bagai tak tertahan lagi. Aku bergegas mengambil sudu dan garpu.
“ Sayang?” panggil Dhani seraya mengisyaratkan untuk menadah tangan.
Aku tersengih.
Tangan ditadah dan doa dibaca. Tanpa menunggu lama, aku menghirup kuahnya.
Ya TUHAN…. Sempurna!
Dhani mengisyaratkan ibu jari kanannya kepadaku. Aku sekadar membalas senyuman.
“Tak pernah dibuat dek orang kerja kita ni kan sayang..”
Aku mengangguk. Tidak terkata lagi kerana begitu asyik menikmati laksa itu.
I love you…”

Dan aku terus menghirup makanan itu walau hujung mataku Nampak Dhani bagai tidak menyangka dengan ungkapanku saat itu.