BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 24 Oktober 2015

BAB 27- SETIA PADA DIA

BAB 27
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”

     “Serius Kak Lisa nak pergi ni?” soal Soleha yang berbisik di sebelahku sedang Azmi sibuk menyimpan segala begku ke dalam keretanya. Tak sangka pula senang saja abah dan mama membenarkan aku ikut Azmi balik ke kampungnya. Walaupun pesanan abah dan mama seribu satu padaku, namun aku tahu mereka suka dengan perubahanku yang bagai sudah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupku.
     3 hari pulak tu!
     Ah, hatiku.. bukan ada yang tahu!
     “Kak!” Soleha memanggil seraya menyikuku. Tersedar terus aku dari pelbagai macam yang aku fikir. Jawapanku hanya dengan anggukan. Malas sebetulnya aku hendak melayan Soleha yang sejak lewat ini suka sangat menyakat.
     Aku menghulurkan tangan kepada Soleha di sebelah untuk bersalam sebelum aku mendekati abah dan mama yang berdiri tidak jauh dari kereta Azmi. Kemudian aku mendekati mereka berdua dan bersalaman. Aku memeluk mama erat, bagai orang hendak pergi jauh.
     “Jaga diri Lisa baik-baik..” pesan mama lagi.
     Aku mengangguk. Kemudian aku berlalu menuju ke pintu kereta Azmi dan sempat kulihat Azmi pula yang bersalaman dengan mereka. Makin lama, Azmi makin mengusik hati wanitaku. Suka benarku dengan caranya yang menghargai dan menghormati kedua ibubapaku. Kami sempat melambai mereka sebelum kami meninggalkan perkarangan rumah.
     Aku berpura-pura melihat telefon bimbitku sedang hatiku penuh dengan keresahan dan segala macam yang aku fikirkan. Entahlah. Apalah yang akan aku lakukan nanti. Dimanalah aku hendak tidur. Bagaimana aku nak hadapi keluarganya?  Aku ni bukannya peramah pun. Perlu masa dan waktu untuk bergaul mesra melainkan orang yang dulu mesra kepadaku. Barulah aku boleh ikut rentak suasana.
     “Sayang fikir apa?” soal Azmi, mengusik nakal.
     Aku menarik muka. Aku tahu Azmi perasan dengan resahku itu. Aku kemudiannya duduk menghadapnya. Rasa ingin mengatakan sesuatu pun ada namun tidak mampu untukku meluahkannya.
     “Yang, jangan lah pandang macam tu..” tegur Azmi kemudiannya. Bersama senyum nakalnya. Bagai mengerti maksudnya yang kononnya caraku memandang begitu, menggodanya membuatkan aku geram pulak dengannya. Tanpa berfikir lama, aku mencubit lengannya.
     “Eh, drive lah ni!”
     Aku tergelak. Aku tahu sakit dengan cubitanku itu namun salahnya juga.
Siapa suruh dia tegar benar mengusik aku yang sudah resah ini?
Walaupun perjalanan kami untuk sampai ke kampungnya masih jauh lagi namun resahku ini tidak dapat kusimpan. Tidak mampuku sembunyikan lagi kerana aku belum menemui jalan keluar atas kebuntuan yang mengujiku.
     “ Nak kata apa nanti kalau dah sampai ni, beh?” luahku akhirnya dan kembali membetulkan dudukku.
     “Sayang fikir apa?”
     Aku menghela nafas.
     “Banyak..”
     “Dah lah. Jangan fikir berat. Nanti kau akan okay jugak. Insya Allah. Aku yakin kau boleh bawa diri..”
     Aku mengangguk perlahan.
     “Kau jangan jauh nanti. Kau tahukan aku bukannya peramah sangat..” tambahku.
     Dia tertawa kecil.
     “Pernahkah aku jauh dari kau selama ini ‘Eisy?” soalnya, bernada lain.
     Aku menjeling.
     “Kau jangan nak loyar buruk dengan aku yaa.. aku tambah cubit tangan tu nanti, hah… padan mukaa..”
     Azmi tersengih.
     “Kau tu yang resah lebih. Entah-entah bila dah kenal, tak nak berhenti bersembang..”
     Aku menjeling namun itu memang kenyataan. Kalau aku sudah kenal benar dan orang itu senang dibawa bercerita, spontan saja aku akan mesra.
     “Lagipun, Khadijahkan ada. Dulu, bukan tak pernah rapat waktu asrama dulukan..”
     Aku mengangguk saja.    
     “Tapi, ni kan dah lama tak jumpa..” balasku perlahan dan membuang pandangan. Entah kenapa, aku tidak tahu bagaimana caranya hendak membawa diri lagi dalam kelompok keluarga kawan-kawanku yang terpaksa bermalam pula. tambahan lagi, Azmi lelaki dan masih bujang. Tidak mustahil nanti adanya yang akan tersalah tafsir keakraban kami kerana pada masa kini susah benar orang hendak percaya adanya hubungan lelaki dan perempuan hanya sebagai kawan baik sahaja tanpa bersentuhan hati.
     Tidak bolehkah kalau mereka terimaa saja kenyataan sebegitu?
     “beh…” panggilku dan memandangnya yang duduk tenang memandu di sebelahku. Aku tidak akan hilang resah selagi tidak menanyakan kepadanya apa yang bermain di fikiranku ini.
     Dia menggumam saja.
     “ Kalau orang rasa kita ada hubungan istimewa nanti, bagaimana ya?” soalku teragak-agak sedikit.
     Azmi tersengih.
     “Iyakan sajalah..”
     “Beh!” marahku manja dan memukul lengannya.
     “Tak apalah ‘Eisy. Manalah tau berkat jadi doa pula..” balasnya sambil tertawa mengusik.
Aku yang di sebelahnya sudah menarik muka. Aku tak terima pun perkara itu untuk dijadikannya bahan gurauan.
     “Aku nak kau jawab jujur ‘Eisy. Sebenarnya kau ni keberatan ikut aku?”soalnya tiba-tiba.
     Aku menelan liur.
     Aku menggeleng.
     Jujur, aku ikhlas.
     “Untuk 3 hari saja ‘Eisy…” pujuknya.
     Aku menghela nafas dan berpeluk tubuh. Tidak mampu untuk berkata apa lagi kerana aku pun belum boleh menjangka apa yang akan terjadi apabila sudah sampai di rumahnya nanti. Yang aku tahu, aku hanya perlu pasrah dan tidak memikirkan apa-apa. Lebih baik aku tunggu dan lihat. Yang penting, aku tidak mahu berpura-pura.

     Azmi di situ mengambil peluang memandang gadis di sebelahnya yang sudah menggaris kerisauan. Entah apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan kepadanya namun dia tahu dan mengerti maksud ‘Eisy. Dia malas sebenarnya hendak memikirkan perkara yang dibangkitkan ‘Eisy kerana baginya, segalanya ditentukan Allah. Kalau DIA mahukan mereka rapat dan berjodoh, dia akan setia!

0 ulasan: