BAB 26
SETIA PADA DIA
“Suatu saat nanti akan kaurasai sepi rinduku ini….”
“Kak Lisaa…”
Suara
Soleha kedengaran sedikit kuat di luar bilik, mengganggu lenaku. Aku terus
mencapai bantal kecil dan menutup telingaku demi meneruskan tidur. Aku merasa
penat yang teramat sangat. masih kurasa aku enggan untuk bangun walaupun hari
sudah beransur pagi.
Tok tok tok!
Aku mengeluh.
Tidak mahu berputus asa betul adikku ini!
“Kenapa?” jeritku dari dalam bilik.
“bangunlah.. dah pukul berapa ni?” suara
Soleha menjawab pertanyaanku.
Aku merengus kasar.
Kalau bab diganggu waktu tidur inilah yang menyebabkan
aku rasa hendak marah. Pantang benar aku apabila diganggu. Tambahan lagi
waktu-waktu period begini, memang rasa macam nak jadi naga dan menghembus nafas
api!
Aku membuang selimut dan bingkas bangun
menuju ke muka pintu. Dengan malas aku membuka pintu. Terpacak sudah Soleha di
depanku.
“Kenapa?” soalku dalam nada suara tidak
sekeras tadi.
“Abang Azmi ada di bawah tu. Tengah kumpul
nak sarapan dengan kita. Abah yang temankan. Kak Lisa tak ingat?”
Membesar terus mataku mendengar ayat.
Bergegas aku menutup daun pintu dan mencapai tuala yang tersidai. Terus aku
bersiram tanpa memikirkan apa-apa. Yang aku tahu, aku terlupa Azmi bermalam di
rumah dan tambahan lagi hampir-hampir aku memungkiri janji untuk menghantarnya
balik. Lagi, aku tidak tahu hendak katakan apalagi apabila abah sudah mengambil
tanggungjawabku yang seharusnya menemankan Azmi.
Membersihkan diri segegasnya dan terus aku
mengenakan pakaian. Mana lagi ambil masa untuk keringkan rambut dengan khidmat hair
dryer, mana lagi nak cari jubah lain, mana lagi hendak cari tudung.
Ah! Kelam-kabut gila!
Tok tok tok!
“Lisaa..”
Alamak! Suara abah!
Aku menelan liur.
Aku terkaku berdiri di hadapan cermin
dengan tangan yang masih memegang tudung. Aku yang sudah berkira-kira mahu
mengenakan tudung menjadi mematikan niat.
Apalah aku nak jawab dengan abah ni?
“Lisa?”
Suara abah kedengaran lagi.
“Yaa. Yaaa abah..” sahutku dari dalam,
teragak-agak. Hendak tak hendak, bersama debaran di dada yang kuat aku
melangkah menghampiri muka pintu. Perlahan saja aku membuka dan hanya mampu,
berserah pada takdir.
Habislah kalau muka abah serius.
“Yaa abah?” soalku, dengan takut-takut dan
debar.
Abah merengus.
“Tak siap lagi?”
Aku cuba menggaris sengih.
“Dahlah, pakai tudung.. Habis tu ambil
roti, terus hantar Azmi..” pesan abah sebelum dia berlalu meninggalkan aku
menuju ke anak tangga.
Aku mengetap bibir seraya menutup pintu.
Aku bersandar dan menghela nafas lega.
Alhamdulilah.
Naga macam aku pun boleh takut kalau jumpa
orang macam abah. Mana tak nya, ditembaknya dengan peluru tazkirah, pengsan
habis aku.
Tergelak kecilku jadinya mengenangkan
imaginasi khayal tak guna-guna aku. Dari memikirkan yang tidak-tidak ada
baiknya aku bersiap lagi. Dengan kembali menuju ke depan cermin di meja solek,
aku mengenakan tudung. Kusemburkan minyak wangi macam kurang lebih orang hendak
berdating lagakku.Melampau sangat sedangkan tujuku hari ini hanya untuk
menghantar Azmi saja di pagi ini. Segera aku keluar dan menuruni anak tangga
terus menuju ke ruang makan. Mengambil sekeping roti dan sekotak susu dutch
lady berperisa coklat. Kemudian aku menuju ke cabinet berhampiran pintu utama
untuk mengambil kunci kereta dan situ aku bertemu dengan Azmi.
Selamba saja dia melepas tawa kecil sambil
tangannya menunjuk-nunjuk tingkahku yang jelas kelam-kabut. Dengan roti yang
kugigit dan tangan yang penuh dengan macam barang. Dengan caranya itu aku
menghentikan semua pergerakkan dan berdiri tegak menghadap. Kuhabiskan rotiku
dan aku meletakkan susu di atas cabinet. Aku bercekak pinggang. Geram benar
dengannya yang puas benar mentertawakanku.
“Lucu sangatlah aku ni?” soalku serius.
Dia tersengih panjang.
“Kalau tak, tak adalah aku gelak sakan..”
“Kau tau tak aku begini sebab kau?”
Dia mencebik.
“Kau janji nak hantar aku kan. Kau tahu tak
pukul berapa sekarang?” soalnya kembali, kali ini tidak lagi berbaur usikan.
Serius saja nadanya seakan ingin menjatuhkan hukuman kepadaku.
Aku menelan liur.
Lambat-lambat aku menoleh ke jam dinding.
9.30 pagi.
Alamak!
“Kalau aku masuk kerja pagi ni, agak-agak
jam berapa?”
Aku mengetap bibir. Terasa hilang daya
untuk berlawan kata dengannya. Pantas aku menunduk. Tidak sanggup bertentangan dengannya
lagi. Tak sangka pulak aku boleh terlajak tidur sehingga aku terlupa yang aku
harus menghantar Azmi. Kalaulah aku berfikir lebih bijak, banyak cara untuk
mengelak hal kelewatan ini terjadi. Sama ada aku mengunci jam loceng atau
memberikan saja kunci kereta kepada Azmi.
“ ‘Eisy, pandang aku..” tegas dia memanggil
tapi aku enggan memandang. Jujur, aku rasa bersalah benar. Kerana akulah
pastinya dia tidak dapat datang bekerja pagi ini. Setahu aku, tentera ini kuat
benar disiplinnya. Pastilah kalau melanggar peraturan, tindakan tatatertib akan
dikenakan. Tapi, bukankah ini baru pertama kali? Melainkan kalau dia pernah
lakukanlah.
“Sorry..” pintaku perlahan. Bagai
hendak menangis pun ada. Memilih untuk mengalah lebih baik padaku.
Azmi tiba-tiba meraih tanganku.
“dah lah.. aku tak masuk kerja hari ni
sebab aku nak cuti balik kampong..”ujarnya kemudian.
Aku mendongak.
“Kenapa tak bagitahu awal-awal?” soalku
tidak berpuas hati. Habis seluruh rasaku luruh pada mulanya memikirkan rasa
bersalah gara-gara terlewat bangun hari ini.
Dia tergelak kecil.
Aku memukul manja lengannya.
“Habis tu, ni jadi tak nak balik ni?”
Dia mengangguk.
“Okaylah. Kau panaskan enjin kereta dulu,
kemudian aku menyusul. Aku nak bagitahu mama aku nak pergi hantar kau ni..”
pesanku sebelum berlalu meninggalkannya.
“Mama pergi dah dengan abah ..”
Aku menoleh dan memandang bagai tidak
percaya dia membahasakan abah dan mamaku sebagai abah dan mama juga padanya.
Dia mengangkat bahu.
“What did you just say?” soalku.
Dia tersenyum nakal.
“Do I have to repeat?”
Aku menarik muka. Tidak sangka sama sekali
bersahaja saja riaknya dengan pertanyaanku itu. tanpa menunggu lama, aku terus
keluar rumah dan menuju ke kereta. Aku berpeluk tubuh menunggunya sebagai tanda
protes.
“Nak merajuk pagi-pagi buta ni, kenapa?”
soalnya seraya menekan punat alarm kereta. Tanpa menunggunya, aku masuk
ke bahagian penumpang dan menutup pintu kereta Nissan Murano merahku dengan
kuat.
Dia menghidupkan enjin.
“Pasanglah safety belt tu..”
Aku enggan.
“ ‘Eisy..”
Aku mengeluh dan menurut kata. Tidak tahu
aku kenapa terganggu emosi dengan caranya. Kupandang dari hujung mata, Azmi
hanya menggeleng. Aku membuang pandangan ke luar tingkap. Rasa meluat ada
hendak memandang dia di sebelah. Kalau tak kenang jasanya menolong aku semalam,
rasa nak tumbuk saja dia ni.
Persoalannya, kenapa dengan tiba-tiba rasa
meluap betul marah aku padanya? Dia silap masa agaknya usik aku yang sedang
dalam period ni!
“Tuan puteri, minta izin pandu kereta
yaa..” usiknya di sebelah.
“Perlukah tanya izin begitu?” soalku kasar.
Senyumannya mati.
“Kau marah dengan tiba-tiba ni kenapa?”
tanyanya.
Aku senang memilih untuk tidak menjawab. Jujur saja,
aku terasa hati benar dia mengusik aku yang tadinya tergesa-gesa bersiap semata-mata
untuk dia. Habis hampir ditazkirah abah gara-gara aku terlewat hari ini.
Azmi kemudian menggerakkan kereta. Dipandu dengan
kelajuan sederhana namun aku tahu dia menahan rasa kerana di wajahnya menggaris
tegang saja.
Dalam keadaan ‘jauh’ dan bisu itu, kami dikejutkan
dengan nada deringan telefon bimbitnya yang diletaknya berhampiran dashboard.
Azmi hanya selamba saja memandu terus seolah-olah tidak mendengar. Berulang
kali berbunyi sehingga aku menoleh kepadanya.
Aku mengetap bibir.
Dia mengangkat kening kirinya.
“Jawablah. Manalah tahu penting..”
Dia tidak membalas malahan berpura-pura fokus memandu.
Geram dengan tindak balasnya, aku berani saja menjawab panggilan itu. Peduli
apa kalau dia nak marah selepas ini.
Mengapa berani benar menguji sabarku?
“Assalammualaikum..” sapaku.
“aa.. walaikumsalam. Aikkk… Ni bukan nombor abang
Azmi?” teragak-agak saja si pemanggil bertanya dan menjawab salamku. Pastilah
dia keliru kerana yang menjawab ini suara perempuan sedangkan yang didialnya
nombor Azmi.
Aku tergelak kecil.
“ Memang, tapi abang Azmi tak mahu jawab..” jawabku
sinis dan menjeling Azmi.
Azmi menjengilkan mata.
“eih tapi, tunggu. Betul abang Azmi jalan sama dengan
Kak Mukhleesa?”soalnya ingin tahu.
Aku tersentak.
Bagaimana boleh dia tahu aku sedang bersama Azmi?
“Kak.. ni Khadijah lah kak..” tambahnya, sekaligus
memperkenalkan diri gerangan yang membuat panggilan.
Aku mengerutkan dahi, cuba mengingat.
Oh ya!
Kebetulan juga adik Azmi ini junior zaman sekolah
dulu. Dia dikira super juniorlah sebab jauh sangat dibandingkan dengan
intake kami.
“ ‘A’aah.. Kak Lisa ni..” jawabku akhirnya.
Khadijah tergelak kecil.
Azmi di sebelah menggaris senyum namun dia sengaja
terus memandu tanpa menyampuk walau sedikit. Seolah-olah cerita aku dan
Khadijah tidak menarik minatnya sama sekali sedang aku tahu dia menyembunyikan
senyumnya saat bertembung pandang.
“Dah couple eih akak dan abang?”
Aku menelan liur.
Soalan jenis apa tu?
“Yang, guna loud speakerlah. Nak juga dengar
sembang apa tu..” Azmi di sebelah mula bersuara dan aku yakin, Khadijah juga
mendengar kerana Azmi sengaja menyaringkan suaranya. Tergelak sakan, bahagia
suara Khadijah dari corong telefon itu. Mahu tak mahu, aku menurut kata jua.
“Kenapa Ija?”soal Azmi sedang aku yang masih memegang
telefonnya.
“Bila abang balik? Mak dah bising tau. Majlis abang
Azizul kan esok lusaa..” soal Khadijah lebar apabila sudah mendengar suara
abangnya. Belum pun sempat Azmi menjawab, suara lain pulak yang bertanya.
“Azmi..”
Aku dan Azmi berpandangan.
“Assalammualaikum, mak..”
“Waalaikumsalam…” perlahan saja suara ibunya.
“Bila nak balik ni, Mi? siapa nak tolong ayah kau urus
majlis abang kau ni? Khemah belum habis pasang lagi, makan minum orang lagi.
Bila kau nak datang ni?”
“err..” Azmi masih ingin menyusun ayat namun
kata-katanya dipintas lagi.
“Kau driving ni?”
“Ya mak..”
“Habis tu kenapa jawab call ni?” tanya ibunya
sedikit gusar.
“Mukhleesa yang pegangkan handphone, mak..”
Ibunya tergelak kecil.
“Laa.. ada Mukhleesa rupanya..”
Aku memandang Azmi sedikit hairan namun dia hanya
mengangkat bahu. Bagaimanalah ibunya boleh kenal dengan aku sedangkan muncul ke
rumahnya sejak zaman sekolah dulu pun belum lagi.
“Ya mak cik..” sahutku sedikit teragak-agak.
“Lisa setuju nak ikut Azmi balik kampong hari ni?”
Aku tersentak.
Aii.. bila pulak Azmi ajak aku ikut balik ni?
“Azmi tak ajak pun mak cik. Jemput pun tak..
seganlah..” jawabku jujur seraya menjeling Azmi manja. Memang sah-sah kena
marah Azmi oleh ibunya ni.
Aku menyimpan tawa di hati. Suka benar mengenakan
Azmi.
“Haii.. Belum sampaikan pesan mak lagi, Mi?”soal
ibunya.
Azmi diam.
“Tak sampaikan pesanan tu boleh dikira tak amanah tu,
Mi. kalau mak tak redha, tak berkat hari-hari mendatang..” tambah ibunya
bagaikan kecewa.
Aku menggigit bibir.
“Maaf mak.. belum ada kesempatan..” balas Azmi
bersungguh-sungguhnya sehingga menusuk jauh ke dasar hatiku. Aku jadi rasa
bersalah pula kerana menjadi punca dia dimarah oleh ibunya.
“Eih mak cik, tak adalah. Kalau Lisa free,
insya Allah Lisa datanglah majlis nanti..”sampukku pula kerana tidak mahu Azmi
terus dibebel ibunya.
“Eih.. kalau Lisa tak keberatan, jemputlah bermalam
sampai habis majlis.. ikut baliklah Azmi hari ini sebab Lisa boleh tengok adat
kami.. itupun kalau Lisa sudilah..” tambah ibunya lagi namun bernada bagai
memohon dan mengharap.
Aku mengetap bibir dan memandang Azmi.
“Lisa minta izin mama dan abah dululah ya. Kalau okay,
Insya Allah Lisa ikut..” putusku akhirnya dan mengalah. Sempat ibunya berpesan
kepada Azmi untuk dia yang bersuara meminta izin kepada mama dan abah. Pakej
dengan pesanan pandu baik-baik dan jaga anak dara orang baik-baik.
Aku menekan punat merah dan meletakkan semula telefon
bimbit Azmi. Aku membuang pandangan ke luar jendela. Terasa bagai terlanjur
berjanji pun ada.
“Kalau keberatan, tak apalah ‘Eisy. Mak fahamlah nanti
tu..”
Aku menunduk memandang jemari. Menggamit perasaan
resah dan bersalah. Kalau aku ikut Azmi, aku akan mengiyakan banyak benda
kerana aku juga perlu menjaga airmuka Azmi dan keluarganya. Kalau aku ikut dia
pun, abah dan mama apatah lagi Soleha pasti inginkan kepastian atas hubungan
yang kami bina.
Ah! Susahnya.
“Tak apalah. Dah diundangkan. Yang penting, kau minta
izinlah pada abah dan mama. Kalau mereka okay, insya Allah aku ikut kau balik.
Aku pun teringin juga rasa suasana kampong dan tengok adat yang mak kau
maksudkan tu..” balasku lebar. Nekad dan sudah sebulat hati ingin mencuba.
Apa daya, TUHAN pasti
sedang rancang sesuatu.
2 ulasan:
Assalamualaikum.Akak. Bila nak sambung ccita ni??? Hem. Tak sabaq nak tau ending dia. He he. ^_~
Sis looking foward for the rest ... hopefully boleh baca dlm masa terdekat ni .. xsabar dah nk tahu .. beh was soo romantic to eisy .. dh la soljar .. hihiii .. tough tuhh
Catat Ulasan