BAB 7
SETIA PADA DIA
“ Suatu saat nanti akan
kaurasai sepi rinduku ini….”
Suasana di dalam dewan
persidangan itu sedikit riuh dengan kehadiran beberapa pegawai pelajaran dan
juga ahli jawatankuasa yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus dan seminar
pendek ini. Kebanyakan mereka sudah pernah aku bersapa sewaktu mula-mula hadir
kursus ini ketika seminarnya diadakan di hotel yang sama pada tahun lepas.
Tidak kurang juga ada beberapa wajah baru. Mungkin tahun demi tahun setiap
jawatan yang ada mula dirombak dan disusun atur semula sesuai dengan kebolehan
dan kehendak semasa pihak kerajaan dalam sesebuah organisasi pendidikan.
Setelah kehadiran dicatit, kami dipersilakan untuk duduk di kerusi yang telah
disimpan nama kami di hadapan meja. Segannya duduk separa dengan
pegawai-pegawai yang senior. Meskipun mereka ini cukup peramah dan baik hati,
hanya aku saja yang masih kekok dan malu-malu.
“ ‘Eisy Mukhlisa, kan?”
sapa seseorang yang duduk di sebelahku.
Aku tersenyum dan
mengangguk. Wajahnya memang pernah kulihat. Sayangnya, akalku masih belum
memberi bayangan dan gambaran tentang cikgu yang menegurku itu. Lama aku
mengambil masa sebelum akalku memberi jawapan.
Rupanya Ustazah Latifah!
“ Apa khabar ustazah?”
soalku seraya menghulur tangan bersalaman. Rasanya sudah lebih 7 tahun aku
tidak bertemu dengannya setelah aku meninggalkan sekolah menengah dulu.
“Baik… Alhamdulilah..”
balasnya mesra. Masih seperti dulu. Sopan dan menarik. Hanya wajahnya saja
sedikit dimamah usia.
“Dah kahwin, ‘Eisy?”
Aku menggeleng.
“ Bukan tahun lepas dah
tunang?”
Aku menelan liur.
“ Betul ustazah. Jodoh
hanya di situ saja..” jawabku cuba bertenang sedang di dalam hatiku berperang
hebat dengan bermacam-macam perasaan. Aku tahu berita pertunanganku sudah ramai
yang tahu. Tambahan lagi sebenarnya aku hampir mendirikan rumahtangga tahun
ini. Tapi, hanya mampu merancang. Selebihnya sesuai dengan kehendakNYA.
“ Tak apalah.. tentu ada
yang lebih baik lagi..”
Aku sekadar membalas
dengan senyuman.
“ Tapi, seingat ustazah
dulu ‘Eisy pernah gaduh dengan budak lelakikan. Siapa tu, Azmi ya, ‘Eisy?” soal
ustazah Latifah lagi dengan berkerut-kerut saja dahinya mengingatkan nama itu.
aku pula spontan tergelak. Kalau dikenang kisah itu, memang takkan tidak untuk
jadi bahan gelakan.
“ Betul ustazah.. Azmi
namanya..”
“ Apa khabar dia
sekarang?”
“ Alhamdulilah… baik..”
Kisah pergaduhan aku dan
Azmi dulu memang menjadi buah mulut di sekolah. Itupun kerana itu adalah kes
pertama yang tersebar kerana adanya pergaduhan antara pelajar lelaki dan
perempuan di hari kedua persekolahan. Nasib kami memang baik sebab tidak
disabitkan sebagai kesalahan besar. Kalau tidak, memang nama kami percuma saja
masuk buku disiplin.
“ Dah bebaik dengan
dia?”
Aku mengangguk bersama
senyuman.
“Dah lama sebenarnya
ustazah. Cuma, kami malas nak tunjuk sebab.. yalahkan.. ustazah mesti faham
maksud saya…” jawabku dalam tawa kecil.
Ustazah Latifah
mengangguk.
Perbicaraan kami
terhenti apabila ketua kursus mula memberikan mukadimah penerangan di petang
itu. Pertamanya dia mengalu-alukan kedatangan kami yang seramai 24 orang
itu. Bermula dari penerangan agenda
aktiviti hinggalah dia memberikan pesanan terakhir bahawa seminar hanya 4 hari
dan selebihnya adalah aktiviti bebas. Seminggu tempohnya hanyalah sebagai
syarat sekiranya dalam tempoh 4 hari ada permasalahan, maka hari selebihnya
sebagai timbal-ganti saja. Penerangan memakan masa lebih kurang 30 minit
sebelum diminta setiap yang hadir untuk memperkenalkan diri.
Inilah saat yang paling
aku tidak suka.
“ Saya harap, semua
peserta seminar akan memperkenalkan diri. Bermula dengan nama dan jawatan
sahaja..” pinta ketua kursus kami yang memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Saad
itu. maka bermulalah seorang demi seorang memperkenalkan diri. Aku pula hanya
menunggu giliran. Tanganku ini sudah seram sejuk saat menunggu giliran untuk
memperkenalkan diri. Aku bukannya takut sebenarnya, cuma aku tidak selesa
menjadi tumpuan dan fokus orang-orang.
Tanganku dicuit ustazah
Latifah.
Aku pantas berdiri
kerana sudah tiba giliranku.
“ Assalammualaikum
semua.. Saya ‘Eish Mukhlisa binti Hj Yusof. Saya memegang jawatan Pengarah
Kokurikulum Agama I..”
Aku
terus duduk setelah memperkenalkan diri. Aku memerhati sedikit sebanyak ramai
yang berbisik-bisik. Mungkin kurang percaya dengan apa yang aku kongsikan.
“
Boleh tambah soalan tak tuan Hj Saad?” soal salah seorang peserta kursus lelaki
sambil dia mengangkat tangan kanannya.
Tuan
Hj Saad mengangguk.
Aku
sudah berdebar kuat apabila dia yang meminta izin itu memandangku.
“
Umur cik ‘Eisy berapa?” soalnya dengan senyuman yang sukar aku mengertikan. Aku
hanya menahan rasa apabila semua yang ada menanti sama jawapan dariku. Aku
sekilas menoleh kepada ustazah Latifah. Senyumannya memberiku semangat untuk
kembali berdiri.
“
25 tahun..”
Tepukan
mula kedengaran yang dimulai oleh lelaki itu. kemudian, masing-masing ikut
sama.
“
Satu pencapaian yang cukup dibanggakan untuk cik ‘Eisy..” tambah tuan Hj Saad.
Aku
sekadar mengangguk dan memilih untuk kembali duduk. Aku terus fokus pandang ke
arah lelaki muda yang berani menjadikan aku topik utama petang itu. Aku ingin
tahu juga namanya. Aku ingin tahu apa jawatannya dan aku juga ingin tahu
jawatannya. Aku tiba-tiba merasa geram pulak dengan caranya itu. seakan tidak
menghormati privasiku kerana masing-masing peserta hanya memperkenalkan nama
dan jawatan saja. Terkecuali aku gara-gara dia menambah soalan!
Aku
bersandar dan berpeluk tubuh menanti gilirannya tiba.
“
Nama saya Dzul Ikhwani Dato Hj Ahmad.. dan jawatan saya Pengarah Kanan
Penyelidikan Ugama..”
Aku
tersentak. Tidak sangka sama sekali dia sebenarnya lebih senior. Rasa bersalah
aku jadinya kerana berburuk sangka. Mungkin dia inilah yang dimaksudkan puan
Zalikha yang akan menilai prestasi kerja kami untuk dikekalkan dalam jawatan.
Awalnya aku tersalah sangka kerana dia kelihatan sedikit nakal.
Aku
tersenyum sendiri.
“
mungkin cik Mukhlisa ingin menambah soalan pulak..”
Aku tersentak saat namaku disebut oleh tuan Hj
Saad. Aku terus jadi panik dengan usikan yang tidak kujangka itu. Tambahan lagi
semua orang menanti aku bersuara dengan senyuman mereka masing-masing yang
sukar aku mengerti. Mungkin kerana aku kelihatan masih muda ini maka mereka
lebih senang mengusikku pula.
“
tak apalah tuan Hj, rasanya saya boleh agak apa yang cik Mukhlisa ingin
tanyakan..” balas lelaki itu.
Aku mengangkat kening
dan merenungnya. Sengaja aku tersenyum, menunggu dia meneruskan kata.
“ yaa.. saya masih
single…”
Mukaku serta merta
merona. Sebegitu berani dia mengusikku dan menggamatkan suasana dewan
persidangan dengan perkongsian selambanya. Masing-masing peserta yang ada
ketawa riang. Sebetulnya, aku tidak berniat mahu bertanya apa-apa soalan kerana
aku bukanlah peramah benar.
Dia duduk semula dan
tersengih nakal.
Aku hanya menjeling.
Pandanganku jatuh ke sisi, ke arah ustazah Latifah yang sedang menguntum
senyuman.
“ Hmm.. masih banyak
masa lagi ‘Eisy kalau nak kenal-kenal..” ucap ustazah Latifah dengan maksud
yang senang aku fahami. Aku mengetap bibir mendengarnya. Beberapa minit
kemudian, kami diminta bersurai. Sempat dititip pesan yang makan malam
disediakan jam 8 malam nanti. Aku terus mengambil giliran keluar dari dewan itu
setelah bersalaman dengan ustazah Latifah. Kata ustazah, dia tidak bermalam di
hotel ini kerana dia datang ke sini bersama dengan suami dan juga anak-anaknya
yang kebetulan juga kursus ini diadakan pada musim cuti persekolah. Aku sempat
mengiakan sebelum kami berpisah di pintu utama. Aku kemudian menuju ke lif.
Serentak tanganku dan tangan seseorang menekan punat atas. Bersentuhan dan
menggetarkan.
Aku menoleh ke kanan.
Dzul Ikhwani.
“ Maaf..”
Aku sekadar mengangguk.
Aku tidak berniat mahu berbual apatah lagi bertegur sapa walaupun sedikit lama
menanti pintu lif terbuka.
Ting!
Pintu lif terbuka dan
aku menapak masuk. Kulihat Dzul hanya berdiri di depan pintu lif. Tidak juga
dia bergerak untuk masuk sehinggalah aku bersuara mengajaknya.
“ Tak nak masuk sekali?”
Dia menggeleng.
“Tak apalah..”
Aku mengangguk. Dia
sempat melemparkan senyuman di balik pintu lif yang hampir tertutup. Aku
sebetulnya hanya ajak-ajak ayam saja. Bukan benar. Tidak sanggup aku berdepan
dengannya berdua saja. Tambahan lagi bilikku berada di tingkat 6. Bimbangku
sekiranya dia menghuni bilik di tingkat yang lebih dariku. Entah apalah yang
akan dibualkan kalau hanya berdua.
Aku bersangka baik.
Mungkin dia menghormati
situasi antara aku dan dia tidak sesuai berdua-duaan. Walaupun dia kelihatan
nakal tapi mungkin dia juga mahu menjadi reputasi.
Ah!
Aku sudah pandai membuat
kesimpulan sendiri.
Ting!
Monolog sendiriku
terhenti dek bunyi itu. Aku menapak keluar dan mempercepatkan langkah menuju ke
bilik. Fikiranku masih memikirkan lelaki itu. Sampai saat berdiri di depan
pintu bilik pun aku masih memikirkan dia.
Kuat juga penangannya.
Aku mengeluarkan kad
yang kusimpan di card holderku. Tertancap mataku di tanganku. Tangan ini yang
tersentuhnya tanpa sengaja. Gara-gara depan pintu lif. Berdendang riang rasa
tapi bercampur baur rasa.
Aku tersengih sendiri
dan mengusap tangan itu. aku masuk ke bilik dan cepat-cepat mencapai tisu di
atas meja solek. Aku merenung diriku di balik refleksi cermin. Sedang mengelap tangan
yang disentuh.
Aku mengeluh lantas beristighfar.
Ini bukan mainan rasa!
0 ulasan:
Catat Ulasan