Bab 3
Aku,
isterimu…
“ Demi
Allah.. aku bahagia menjadi isterimu..”
“
Sayang… tunggu sini ya.. Auntie nak mandi, nak solat..” khabarku pada si kecil
yang comel sekali dengan baju melayunya.
Dia duduk dengan senyuman manjanya di atas katilku sebelum aku
memberinya sebungkus coklat dan beberapa buah kereta sport mainan koleksiku
sebagai menarik perhatiannya untuk tidak berkeliaran di sekitar bilikku.
Sebenarnya
aku rindu pada anak-anak kak Syazy. Makanya, aku ingin meluangkan masa bersama
Zaqwan yang kurang lebih comel macam anak-anak buahku juga. Yang comelnya,
Zaqwan ada lesung pipit di kedua belah pipinya. Aku sempat mencium pipinya yang
comel itu dengan sepuasnya sebelum aku beredar ke bilik mandi untuk
membersihkan diri.
Selang
beberapa minit, aku segera bersiap untuk menunaikan solat. Sempat kupandang
Zaqwan yang tadinya sibuk bermain terlelap di atas katilku. Aku merasa kasihan
benar melihat wajah yang polos itu lena di situ.
Aku sekadar
menghela nafas.
Usai
berniat, aku mula mengangkat takbir. Bacaan penting dalam solat kubaca di dalam
hati. Aku benar-benar ingin mencari ketenangan saat bertemu Sang Pencipta. Di
sujud terakhir aku mencium tikar dengan lama. Aku sempat memohon ampun dan
tertitis airmata saat terkenang hatiku yang terluka atas kenangan lama. Usai
memberi salam ke kanan dan ke kiri, aku menadah tangan. Aku bermunajat kepada
Ilahi memohon rahmatNya dan kesejahteraan sepanjang DIA mengirim nikmat hidup
kepadaku.
Aku melipat
telkung dan sejadah dan menyidainya di tempat penyidaian. Aku menghampiri
Zaqwan yang masih lena di situ.
Aku
tersentak saat pintu diketuk perlahan. Segeraku bangun, mengambil anak tudung
dan menghampiri pintu.
Nyata ummi
sudah menapak di situ.
“ Kenapa
ummi?” soalku separuh berbisik. Bimbang benarku suaraku menganggu tidur si
kecil itu.
“ Nenek
Zaqwan dah nak balik tu.. Zaqwannya mana?” soal ummi lebar sambil menjenguk ke
bilikku. Kulihat ummi hanya mendiamkan diri.
“ Boleh tak
Zaqwan temani Auni malam ni?” soalku kepada ummi penuh mengharap.
Ummi
sekadar mengangkat bahu.
“ Auni
tanyalah pada Auntie Maya dan uncle Zamri..” sahut ummi seraya menarik tanganku
untuk mengekorinya. Aku sempat menutup pintu dengan perlahan sebelum menuruti
langkah ummi.
Sesampainya
di ruang tamu aku jadinya serba salah. Nak minta izin macam nampak sangat aku
ni tak sesuai jaga Zaqwan walaupun niatku hanya malam ini sahaja.
“ Zaqwan
dah tidur auntie…” khabarku teragak-agak.
Suasana
berubah diam.
Aku menyiku
ummi yang masih berdiri di sebelahku.
“ Auni ni..
nak jaga Zaqwan.. lagipun esok tak kerja.. boleh tak Maya?” soal ummi bagi
pihakku pulak.
Aku di
sebelah sekadar tersengih.
Kulihat
auntie Maya dan uncle Zamri sedang berbisik-bisik.
“ Auntie
bukannya tak benarkan tapi tak menyusahkan Auni nanti? Zaqwan tu nakal sikit…”
sambung Auntie Maya lagi.
Aku
tersenyum gembira. Nampak sudah cahaya di wajah auntie Maya seakan memberiku
keizinan.
“ Saya
okey… sebab saya memang suka sangat dengan kanak-kanak ni..” balasku penuh
yakin.
Aku sendiri
memandang ummi, berharap ummi akan membantuku. Lagipun, aku kasihan pada Zaqwan
yang sudah tidur lena di bilikku itu.
Auntie Maya
menggumam sekejap.
“ Auntie beri
nombor ayah Zaqwan, Auni minta izin dia dulu..” sambung auntie Maya.
Mendengar
kenyataan itu, aku terus menguncikan mulut. Tidak berani lagi aku melawan kata.
Aku bukannya apa, aku seakan lupa bahawa Zaqwan itu masih ada orang tua yang
lebih ada hak menjaganya.
Aku
tersenyum kelat dan teragak-agak menyambut kad yang dihulur oleh Auntie Maya.
Dalam hatiku mula berdolak-dalik jadinya. Teragak-agak pula untuk meneruskan
niat menjaga Zaqwan dan membiarkannya bermalam di sini.
Aku
memandang nama pada sekeping kad yang dihulur. Bagai terkena renjatan elektrik
hatiku saat terpandang sebaris nama itu.
Aku menelan
liur dengan payah.
“ Pergilah
telefon… biar auntie ambil barang-barang Zaqwan di dalam kereta..” pinta auntie
Maya, seakan memaksaku menghubungi si ayah. Dengan berat hati aku melangkah ke
meja telefon.
Tak sangka
benar.
Zaqwan anak
kepada pengerusi tadi.
Amirul
Zaqwan bin Amirul Moaz.
Lambat-lambat
aku mendial nombor yang tertera pada kad itu. Lama benar juga aku menanti ia berdering
dan seiring itu juga jantungku berdebar dengan kuat tidak henti-henti.
“
Assalammualaikum…” sapa satu suara yang kedengaran garau namun mempesona pada
pendengaranku.
Lama aku
membisu.
Sesekali
menggigit bibir.
Tiba-tiba
saja lidah yang tadinya lancar meminta keizinan pada ibubapanya, kelu seribu
bahasa.
Aku sempat
berdehem sebelum membalas salamnya.
“ Ni Auni
Jazilah…” perkenalku perlahan walaupun aku sedar suaraku seakan berbisik-bisik
pula.
Aku
terdengar tawa kecil di hujung sana.
“ Kenapa?”
soalnya.
“ Saya nak
minta izin pada awak…” sepatah-sepatah aku berkata lantaran aku sendiri kekok
berkata padanya meskipun melalui telefon.
“ Pasal apa
tu?” soalnya lagi dalam nada mengusik.
Lamaku diam
di situ sebelum aku menyambung kata kerana gusar pada pandangan banyak mata
yang menanti kesudahan keinginanku itu.
“ Boleh
Zaqwan tinggal dengan saya malam ni?” soalku perlahan namun rasaku seakan
merayu pulak padanya.
Si gerangan
yang berada di sana pulak diam. Mungkin dia hairan bagaimana mungkin Zaqwan ada
di rumahku.
“ Mak ayah
saya ada di sana?” soalnya inginkan kepastian.
Aku sekadar
menggumam, tanda mengiakan pertanyaan itu.
“ Saya
bukannya tak benarkan tapi tak menyusahkan Auni nanti?” balasnya lagi.
“ Eh tak
apa.. Saya okey.. Tapi kalau awak tak benarkan tak apalah…” balasku perlahan,
mengalah walaupun nada suaraku bagaikan kecewa.
“ Betul
ni?” soal Amirul.
Aku tidak
menjawab.
Tidak lama kemudian dia tertawa.
“ Kenapa
macam kecewa saja?” soalnya dalam gurauan.
Aku di sini
tersipu malu pada pertanyaannya. Seolah-olah dia tahu apa yang kurasa.
“ Baiklah
tapi kalau Zaqwan nakal.. beritahu saya..” putus Amirul akhirnya sebelum aku
mematikan panggilan.
“ Auni…”
panggilnya perlahan.
Aku
berdebar-debar. Lain sekali nadanya pada pendengaranku.
“ Teks saya
nombor handphone awak ya…” pesannya sebelum memutuskan panggilan dengan
salamnya. Aku yang belum sempat berkata apa-apa hanya terdiam.
Aku
meletakkan gagang telefon dan kembali menghampiri ibubapa ustaz Amirul itu.
“ Dia
izinkan?” soal auntie Maya tidak sabar.
Aku
tersenyum dan mengangguk.
“
Alhamdulilah… jarang benar Amirul benarkan ya bang…” balas auntie Maya dalam
kiasan dan sempat jua dia menjeling uncle Zamri. Aku yang tidak mengerti hanya
terpinga-pinga dengan situasi itu. Aku menyambut huluran barangan Zaqwan yang
tersimpan pada beg kecil dan pantas aku menghulur tangan bersalaman dengan
auntie Maya. Aku bimbang dengan keadaan Zaqwan yang aku tinggalkan bersendirian
di bilik.
Aku dengan
bergegas menaiki anak tangga. Aku memulas tombol pintu dengan perlahan. Hatiku
lega, Zaqwan masih lena. Dia tidur begitu pun sudah kelihatan comel. Aku pantas
mendekati si kecil itu dan membetulkan caranya tidur. Aku mengambil selimut
kecil di dalam almari dan pantas saja menyelimutkan dirinya. Aku sempat mencium
dahi Zaqwan sebelum aku terkenang pada ustaz muda itu pula.
Aku
menggeleng dalam senyuman.
Kenapa
terkenang dia pulak ni?
Aku duduk
di birai katil bersama barangan Zaqwan. Aku ingin membancuh susunya agar dia
bertambah lena tidur malam ini. Aku membuka anak tudung dan mula memanaskan heater
yang ada di hujung meja studiku. Begitulah rutinku sejak di bangku sekolah.
Bilikku semuanya lengkap. Cuma tambak gas saja belum ada. Aku ada peti sejuk
kecil. Semuanya kusediakan kerana masaku banyak kuhabiskan dengan menelaah
buku-buku pelajaran lantaran dulu aku pernah bertugas sebagai pensyarah agama
di sebuah universiti. Hanya setelah aku dipindah ke pejabat, aku banyak berehat
dan sekadar membaca buku saja sebagai panduan hidup.
Setelah air
panas yang kumasak mendidih, aku segera membancuh susu si kecil. Aku merasanya
dengan telapak tangan kerana bimbang terlalu panas. Sesudah berpuas hati, aku
segera menghampiri Zaqwan dan menyuakannya walaupun matanya berat untuk dibuka
namun dia tetap menyambut dan meminum susu yang kubancuh di dalam botol itu.
Terkenang
pada ayahnya yang mungkin risau itu, aku pantas mengambil telefon bimbitku. Aku
sempat mengambil gambar Zaqwan yang sedang tidur lena dan menghantar gambar itu
Via MMS kepada Amirul. Aku sempat menambah kata-kata untuknya bersama senyuman
terlukis di bibir.
‘ Anak awak
comel…’
Aku tertawa
kecil kerana bimbang akan membuat Zaqwan bangun. Aku menyuramkan cahaya lampu
tidur dan mula melabuhkan badan di sebelah Zaqwan. Aku sempat mengambil botol
susunya yang sudah kosong. Aku terus membelai pipi montel yang menghadirkan
rasa geram padaku. Sesekali kukucup pipinya. Sesekali kupeluk dia dan sesekali
kubelai rambutnya.
Aneh.. aku
tiba-tiba jatuh sayang pada Zaqwan. Mungkin kerana aku kasihan padanya yang
nyatanya di usia sekecil ini, dia tidak diasuh dengan baik oleh ibunya.
Aku
terkejut tiba-tiba saat telefon bimbitku bergegar. Aku pantas mencapai telefon
bimbitku yang tadinya kusimpan di sisi. Ada satu pesanan ringkas kuterima.
‘ Hmm… anak
saya nakal tak?’
Aku
tersenyum membaca pesanan itu.
‘Tak.. mana
nak nakal.. dia tidur ni…’
Lantas aku
membalas pesanan itu. Tidak lama berbunyi lagi.
‘ Pesan
pada Zaqwan bila dah bangun.. Jangan nakal kat ummi Auni.., hehee’
Aku
tersentak membaca ayat di hujung itu walaupun niatnya sekadar bergurau. Lamaku
mengambil masa membalas pesanannya kerana aku buntu mencari akal.
‘Maaf.. tak
ada niat lain…’
Pesanannya
sampai lagi sebelum aku sempat membalas.
‘ Tak apa..
Insya Allah, esok ummi Auni sampaikan.. hehee’
Sahutku
membalas usikannya kerana tidak ingin mencipta sengketa. Rasanya tak salah
kalau aku berniat mahu mengambil Zaqwan sebagai anak angkat pula. Ustaz muda
ini yang membuatkan idea itu datang dengan tiba-tiba.
‘ Dah lewat
ni ummi Auni.. tidurlah, nanti Zaqwan bangun dia buat bising’
Aku
tersenyum membaca pesanan itu. Dipanggil begitu, aku terasa dekat pula dengan
keluarga Zaqwan walaupun yang nyatakan aku baru saja kenal dia meskipun abah
dan ummi yang kenal lama pada keluarga itu.
‘ Yalah.. Assalammualaikum..’
Balasku
sebelum aku menyimpan semula telefon bimbitku ke meja yang terletak di sisi
katilku. Aku menoleh semula kepada si kecil yang tidur dengan nafas teratur
itu.
Aku
mengucup pipinya sekali lagi.
“ Bismikallahhumma nayha wa namuut..” bisikku
perlahan di telinganya.
4 ulasan:
menarik...dpt bygkn kecomelan zaqwan dan keayuan auni...heee...aish...comelnye...
menarik cite. x sabar nk taw cite strusnya...hehe.
bila baca cite mcm best je... nak lagi.
Yeah!!!
Ader citer baru...
Tp citer O.R.K.I.D tu, pls sambung!!!
Catat Ulasan