BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 1 Jun 2014

O.R.K.I.D BAB 45

Bab 45
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Kedinginan di ruang tidur itu membuatkan lenaku terganggu. Kamar ini kembali kuhuni setelah dua hari pulang ke tanahairku. Rindu benar dengan rumah ini. Rumah pertama yang menjadi tempatku berteduh setelah memilih untuk terus kekal di samping Dhani, suami kesayanganku. Sempat kukerling jam dinding yang tergantung kemas itu. Baru pukul 2 pagi. Kakiku terasa kebas dan bagai ingin beku. Sedikit senak terasa di perutku. Ingin kukejutkan suami di sisi terasa tidak senang pulak. Kulihat dia begitu nyenyak sekali.Kemudian aku memilih untuk bersandar saja sambil sesekali mengusap perlahan perutku. Aku memejam mata cuba menahan rasa yang perlahan-lahan membawa keselesaan. Kupujuk hati untuk bertahan dan bersabar dengan keadaan itu. Berulangkali kumenyebut nama Allah dalam bisikan. Lain benar rasanya saat ini. Tanpa kuduga, ada tangan menyentuh tanganku.
          “ Sayang kenapa?” Tanya Dhani antara dengar dan tidak. Kelihatan dia masih mamai namun tetap berusaha bersandar jua di sisiku. Dia memisat-misat kedua-dua matanya. Rasa bersalah timbul di hatiku.
          “ Sara buat abang terjaga tak?” soalku perlahan.
          Dhani tidak menjawab pertanyaanku yang itu.
          “ Sayang kenapa? Okay tak ni?” soalnya bertalu-talu.
          Aku mengetap bibir. Jadi sayu dengan keprihatinan suamiku.
          “ Sayang tak selesa. Senak…” balasku seakan ingin menangis. Entah manja atau apa aku sendiri tidak pasti. Sungguh aku tidak selesa dengan apa yang kurasa. Sebelum ini tidak pernah aku rasakan sebegini.
          Dhani kulihat bangun dari sebelahku. Dia mengetik suis lampu, maka terang-benderanglah bilik kami. Kemudian dia menghampiri aku.
          “ Nak abang tolong urut?” pelawanya bersungguh-sungguh. Semakin kuat pulak rasa bersalahku.
          “ Abang tidurlah..” jawabku.
          Dhani pantas duduk kembali di hujung katil. Dia menyuruh aku berbaring di pangkuannya. Dia menyelak bajuku dan menyentuh perutku. Diurut-urutnya perlahan sedang mulutnya bergerak-gerak membawa beberapa kalimah ayat Al-Quran. Jujurnya, aku sungguh terkesan dan terharu dengan responnya. Tanpa kusedari, airmataku menitis sedikit demi sedikit.
          “ Sayang.. Sakit sangat tak ni?” soal Dhani bertambah risau.
          Aku menggeleng sambil mengesat airmata.
          “ Dah kurang sikit..” jawabku mendatar.
          “ Tapi kenapa sayang menangis?”
          Aku cuba menggaris senyuman.
          “ Tiba-tiba saja..” jawabku kedengaran manja.
          Dhani kudengar tertawa kecil. Dia terus mengusap dan mengurut perlahan perutku sehingga rasa itu lama-lama hilang.
          “Abang.. dah okay…” beritahuku sambil menolak tangannya.
          “Betul ni?”
          Aku mengangguk. Kemudian aku bangun dari pangkuannya dan melentok manja ke bahu kanannya.
          “ Kalau Sara minta sesuatu boleh tak?” tanyaku.
          Dhani menarik aku ke dalam pelukannya.
          “ Apa yang tidak buat isteri abang?”
          Aku tertawa.
          “ Sara nak makan laksa johor…” bisikku.
          Dhani terdiam. Mungkin dia tidak menyangka dengan permintaanku itu. Barangkali juga, dia tidak menduga aku sedang lapar. Bayangkan saja, waktu itu sekitar 2 pagi.
          “ Abang memang tak mahu kecewakan sayang tapi jam ni kan pukul dua pagi?” balas Dhani bagai memujuk. Mendengar jawapannya pasti aku menolak pelukannya.
Terasa hati.
Memang sepatutnya aku sedar yang tidak mungkin Dhani akan memperolehinya pada jam sebegini. Secara logiknya pun tapi aku tidak tahu kenapa aku tidak mahu menafikannya.
“ Abang tak kasihan? Sara lapar…” aduku manja.
Lama Dhani diam sebelum dia kembali memberi respon. Dia menarik tanganku dan mengajak untuk turun ke tingkat bawah rumah kami. Dia menyuruh aku duduk di sisi, di ruang tamu sedang dia sibuk membuka laptopnya.
Rupanya dia sedang mencari resepi laksa johor itu.
“ Abang tu memang lapar juga. Pilihan tak ada, kita masak bersama saja ya..”
Aku terkaku.
“Jomlah…” sambungnya sambil menarik tanganku. Berat untukku menurut langkahnya namun kuturuti jua bila matanya bersinar, bersungguh-sungguh mengajakku.
Laptop diletaknya di atas meja makan di dapur itu dan dia mula mencari bahan. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan yang dia perlukan. Dia merebus air panas untuk laksa yang sememangnya ada berhampiran kabinet di situ. Segala bahan yang lain dipotongnya dengan teliti. Aku pula seakan terkaku tidak tahu mahu berbuat apa. Lama-lama aku tersenyum sendiri melihat keadaan itu. Pantas aku menghampiri Dhani yang seakan teragak-agak meneruskan kerjanya.
Aku menyentuh tangannya dan mengambil pisau yang ada di tangannya.
“ Tak apalah. Sara buat..”
Dhani tersengih.
“Teruk sangatkah cara abang sampai mem turun padang ni?”
Aku tertawa kecil dengan pertanyaannya.
“ bukan begitu cik abang… Sayang tolonglah ni…”
“ kita sama-sama masaklah…” sambungnya tapi sempat mengucup pipiku. Reaksinya itu tidak kuduga.
“ kita nak memasaklah ni. Abang janganlah main-main…” tegurku dengan rasa geram. Aku tahu dia sengaja mengusikku. Tawanya lepas bebas di situ.
“ suka sangatlah tu usik orang begitu..” sambungku lagi sambil tangan ligat melakukan kerja. Mulut tak henti kata itu ini sampai Dhani mula bersuara.
“ Sayang, membebel tu tak baik…” usiknya.
Aku mengetap bibir dan menjelingnya.
Tawanya kedengaran lagi.
“ Tolonglah abang, bangkit laksa tu…” pintaku mengubah suasana agar dia tidak terusan mengusik meskiku tahu niatnya sekadar ingin menceriakan suasana antara kami. Memang patut dipuji suamiku ini kerana ringan tulang membantuku. Setelah berusaha bersungguh-sungguh akhirnya menjadi juga masakan kami saat itu. Dhani pantas mengajakku untuk makan bersama setelah kami selesai mengemas bekas kami memasak.
Aroma laksa itu mengusikku.
Aku dan Dhani duduk bertentangan.
Wap panas berkepul-kepul. Liur sudah bagai tak tertahan lagi. Aku bergegas mengambil sudu dan garpu.
“ Sayang?” panggil Dhani seraya mengisyaratkan untuk menadah tangan.
Aku tersengih.
Tangan ditadah dan doa dibaca. Tanpa menunggu lama, aku menghirup kuahnya.
Ya TUHAN…. Sempurna!
Dhani mengisyaratkan ibu jari kanannya kepadaku. Aku sekadar membalas senyuman.
“Tak pernah dibuat dek orang kerja kita ni kan sayang..”
Aku mengangguk. Tidak terkata lagi kerana begitu asyik menikmati laksa itu.
I love you…”

Dan aku terus menghirup makanan itu walau hujung mataku Nampak Dhani bagai tidak menyangka dengan ungkapanku saat itu.

1 ulasan:

Unknown berkata...

akhirnya.. sara lafazkan kata cinta buat dhani .. love