BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 3 Jun 2014

O.R.K.I.D BAB 46

Bab 46
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

         “ Abang, Sara takutlah…” aduku dalam suara berbisik. Berdebar hati kuat benar di dada lantaran petang itu aku dipaksa ibu dan Kak Shila untuk pergi berurut pada ibu kak Shila. Kata ibu, supaya aku nanti senang melahirkan dan tidak ada apa-apa masalah dengan anakku nanti. Aku bukannya apa, aku tidak tahan dengan bau minyak angin apatah lagi bila disentuh lama-lama dengan tenaga urutan yang tidak dapat kujangka bagaimana.
         “Taka pa tu. Abang support..” pujuknya lagi dalam berbisik. Bimbang juga kalau ibu dan Kak Shila mendengar. Ini pun kerana aku terpaksa menurut kerana khuatir juga kalau berlaku perkara yang tidak aku ingini waktu melahirkan nanti. Tambahan lagi, nasihat ibu mertua dan Kak shila adalah antara orang-orang yang berpengalaman.
Apalah salahnya aku cuba menurut kata, kan?
Cuma masalahku, aku takut!
Petang itu kami berempat memilih untuk pulang ke kampong kak Shila. Ibu kak Shila memang pandai mengurut terutama sekali untuk ibu-ibu yang hendak bersalin atau lepas bersalin. Untuk masalah kesihatan lain pun memang boleh juga. Memang ibu kak Shila terkenal di kampong ini.
“Yang nak berurut duduk atas tikar mengkuang ni. Tukar baju dulu ya. Guna kain Mak Nah tu..” pinta ibu kak Shila.
Aku teragak-agak untuk menurut namun aku tiada pilihan. Tanpa menunggu lama, aku menurut jua. Kemudian aku duduk di tempat yang dimaksudkan. Kak shila dan ibu duduk di kiri dan kananku sementara Mak Nah di belakangku. Katanya, ingin memulakan dari belakang. Dhani pula duduk di hujung kakiku dengan sengihan.
Gerakan bibirnya jelas memaksudkan aku kelihatan seksi dengan berkain batik di situ. Aku pantas menunjukkan isyarat penumbuk padanya sebelum suara ibu menegur perlahan kedengaran.
“Mai…”
Aku sekadar tersenyum. Aku tahu memang tidak boleh Dhani diperlakukan sebegitu dariku seorang isteri. Kalau-kalaulah Dhani terasa hati, bagaimana? Namun, itulah cara kami bergurau manja.
“Dhani, kalau terus kacau Mai.. ibu persilakan keluar ya..” tegur ibu, memihak kepadaku.
Aku tersenyum manja kepada Dhani sebagai tanda mengusiknya apabila ibunya lebih berpihak kepadaku. Dia kemudian memberi isyarat ingin keluar selepas mendengar kata-kata ibu, namun aku jelas menolak agar dia terus menungguku. Aku perlukan dia setiap saat. Walau sekadar untuk perkara yang biasa-biasa saja.
‘ I need you here…’ gerakkan bibirku tanpa suara.
Dhani mengangguk bersama senyuman. Aku tahu dia tidak akan menghampakan aku walaupun sekadar permintaan kecil. Aksi pandang-pandang antara aku dan Dhani disedari Kak Shila. Pantas Kak Shila menyentuh lengan kiriku sambil mengangguk.
“Insya Allah, semua baik-baik saja nanti..” ucapnya bagai memujuk.
Aku mengangguk. Aku begitu bersyukur kerana mempunyai keluarga yang cukup memahami. Walaupun aku seakan kelihatan meragam tak ada faedahnya namun mereka tetap sabar dengan karenahku itu. Mereka faham bahawa itulah ragam yang akan dikenang kerana mengandung.
Sportingkan familyku itu!
“ Ni anak pertamakah Shila?” soal Mak Nah kepada Kak Shila.
“Ya mak.. isteri adik ipar Shila ni..”
Mak Nah mengangguk sambil tangannya mula mengurut. Nasibku memang baik kerana Mak Nah tidak menggunakan minyak angin. Dia hanya menggunakan minyak bunga matahari. Dia seakan tahu pulak yang aku alah dengan minyak angin.
“ Nama kamu siapa?” soal Mak Nah lagi, kepadaku pulak.
“ Maisaraa..” jawabku perlahan namun bagai suara tertahan kerana menahan sakit dengan urutan Mak Nah.
“ Tahan ya. Bukan apa. Kamu ni banyak angin…” sambung Mak Nah lagi. Aku tidak menjawab apatah lagi menyahut kerana sememangnya aku tidak pernah berurut kerana aku memang tidak suka diurut.
“ Kak Nah, tolong periksa sekali kandungannya ya. Takut songsang apa nanti..” ibu pula menyampuk. Begitu jelas bimbang dan prihatin ibu mertuaku yang kasihnya bagai kembali ada mengganti kasih ibuku yang telah tiada.
“Insya Allah..”
Kata-kata itu bagai terdengar dan tidak di pendengaranku kerana kenikmatan urutan itu mengusik rasaku. Hampir satu jam berlalu sampailah akhirnya aku disuruh berbaring untuk diperiksa oleh Mak Nah.
“Kandungan tak apa-apa ni…” khabar Mak Nah, menyuntik ketenangan kepada semua apatah lagi aku. Khuatir juga kalau songsang. Bukan apa. Takut terpaksa dibedah pulak nanti.
Penakutnya aku kan?
“ Dahlah. Lepas ni, pakai baju semula. Kita minum petang. Adik akak dah sediakan kuih dan minuman petang tu..” sampuk Kak Shila lagi sedang Mak Nah dan ibu sudah berangkat punggung dari situ. Yang tinggal hanya aku dan Dhani.
Dhani kemudiannya menarik tanganku. Membantu aku untuk bangun dan duduk setelah berbaring. Terasa segan pun ada bila berduaan dan berdepan dengan Dhani dalam keadaan begitu walaupun sudah lama kami bersama. Perasaan itu masih lagi kurasa. Mungkin kerana lirikan yang bagai mengusik itu yang membuatkan aku rasa begitu.
“ Jangan buat kami menunggu lama ya Dhani..” pesan ibu dalam usikan sebelum dia menghilang dari situ. Aku sekadar membalas senyuman saja kerana tidak tahu mahu menjawab apa. Ibu memang terkadang begitu. Sengaja menegur begitu sekadar mahu mengusik kerana kenakalan anak lelakinya itu.
Dhani duduk di sebelahku.
Dekat. Sehingga hembus nafas hangatnya jelas terasa di sisi telinga kananku.
“ Ibukan dan pesan…” ucapku perlahan namun terbuai indah dengan keadaan itu.
Dia sekadar menggumam. Kucupan kasihnya singgah ke pipiku.
“ Seksi..” balasnya bersahaja.
Aku tertawa kecil.
“ Begini pun abang kata seksi? Perut dah besarlah. Sara pun dah berisi ni…” jawabku seraya memberi isyarat agar dia membantuku berdiri. Memang kali ini susah untukku berdiri sendiri jika aku sudah duduk di lantai. Sebab itulah aku selalu memilih untuk duduk di atas kerusi. Perutku sudah membesar.
“ Eh.. isteri abang hot lagi ya. Sara nampak berisi sedikit ni pun sebab sayang bawak baby. Cuba dah beranak nanti. Mesti macam Jennifer Lopez..” sambung Dhani lagi.
Aku melepas tawa di situ.
“ Abang ni mengarut…” sanggahku sambil menolak perlahan dirinya menuju ke muka pintu.
“ Kenapa macam menghalau ni? Biarlah abang teman…”
Aku menggeleng.
“ Ingat tak pesan ibu?”
Dhani membuat muka.
“ Nanti Sara berkepit dengan abang 24 jam. Sara janji. Jangan abang yang senak dengan Sara, sudah…” sambungku lagi kali ini dalam nada memujuk. Dhani antara mahu tak mahu, mula beralah denganku. Dia kemudian berlalu dari situ meninggalkanku sendirian. Pantas aku mula menukar pakaianku kepada pakaianku ketika kudatang ke sini tadi. Bukannya susah pun kerana Dhani memang berpesan sedari awal agar aku mengenakan jubah sahaja. Katanya, lebih mudah untukku. Dia bimbang benar dengan keselamatanku memandangkan usia kandungan pun makin matang. Dalam kiraan doktor, Insya Allah awal bulan depan aku akan melahirkan. Tidak terasa masa begitu pantas melewati hari-hari kami.
Selesai mengenakan jubah, aku melihat diriku ke dalam cermin. Penampilan kelihatan memuaskan dan aku mula berkira-kira mahu berlalu. Akan tetapi, langkahku tiba-tiba terpaksa kuhentikan kerana gerakan langsir tidak jauh dari tempatku berdiri itu mengangguku.
Lain benar senja itu.
Kemudian aku memberanikan diri menghampiri jendela itu kerana gerakan itu sekejap saja. Perasaan ingin tahuku begitu kuat. Perlahan-lahan aku menghampiri jendela itu. Aku antara berani dan takut cuba mencapai langsir itu.
Tiada ada apa-apa.
Hari sudah semakin senja. Kelihatan hari menguning, ada memerah kerana senja sudah tiba. Tiada angin pun yang meniup di situ kerana keadaan tenang sahaja. Namun pandanganku jelas terganggu di salah sebuah pohon besar tidak jauh dari kawasan rimba kecil di situ. Seakan-akan ada susuk tubuh berdiri, menghala pandangan ke arahku.
Dari jauh kupandang, memang susuk manusia. Namun, mengapa bagai lain saja? Bulu romaku mula meremang tetapi pandanganku tidak beralih dari situ.
Mengapa seakan Fahrin?
Matanya bersinar merah, dengan jelas dapat kulihat dari situ. Senyuman anehnya membayangkan aku kepada seseorang yang kukenal tapi masih berbayang-bayang lain di fikiran meskipun kuat hatiku mengatakan itulah Fahrin. Genggaman tangan seakan memberi petanda lain.
Aku berdebar kuat.
Sekali lagi ada angin perlahan menyapa tepat ke wajahku. Aku terundur ke belakang tanpa kuduga. Bagai ada sesuatu yang diutus kepadaku senja itu.
“ Sayang, kenapa lama sangat?”
Suara itu membuatkan aku menoleh ke muka pintu. Suara itu suara Dhani tapi kenapa wajah yang ada di depanku itu buruk benar? Berdarah dan bernanah di pandanganku dan membuatkan aku gerun sungguh.
“ jangan dekat!” seruku.
Aku berundur ke belakang hinggalah dinding menghentikan gerakan.
“ Sayang, kenapa? Abang ni…” sambung insan di depanku sambil dia menghampiriku.
Aku pantas menangis.
“ Jangan! Kau bukan suamiku,..” sambungku dalam suara tersekat-sekat kerana aku sudah mula menangis. Penglihatanku berubah. Di sekelilingku kelihatan luar biasa. Suara yang kudengar memang milik Dhani tapi wajah yang kulihat itu bukan. Itu yang menyebabkan aku semakin menguatkan tangisan. Mungkin kerana itulah kulihat Kak Shila dan ibu pantas meluru mendekatiku yang sememangnya sudah tersandar, duduk di situ. Ibu mengisyaratkan kepada insan di depanku itu untuk keluar meskipun suaranya seakan ingin membantah.
“ Keluar sajalah dulu Dhani. Sebelum perkara tidak baik berlaku..” sambung Ibu lagi dalam nada memujuk.
Benarkah dia itu adalah Dhani sedang pada pandanganku dia makhluk lain?
Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata bagaimana takutnya aku saat itu melihatnya di depanku. Aku pantas memeluk Kak Shila dan melepas tangis di situ. Aku yakin kak Shila dapat rasakan ketakutanku saat itu kerana kedinginan di kedua belah tapak tanganku jelas terasa.
Debar di hati, usah ditanya.
“ Sara, sudah sayang. Jangan nangis. Dia dah keluar tu..” pujuk ibu. Pujukan ibu jelas macam angin lalu bilamana aku masih terus menangis. Aku semakin melemah dengan tiba-tiba. Dengan raungan tangisan dan dengan pelbagai rasa yang kualami saat ini membuatkan aku bagai orang gila dengan tiba-tiba.
Kemudian Mak Nah mula bersuara,

“ Nampaknya, ada yang ‘ganggu’ budak ni…”
Kemudian, segalanya menjadi suram dan sepi.
Aku hilang daya lagi.

3 ulasan:

Unknown berkata...

BEST.

Anor berkata...

best nak lagi.. buat suspen saja.

Unknown berkata...

Assalamualaikum,
saya adalah salah seorang pembaca di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan novel sendiri dalam bentuk ebook, untuk dijual terus kepada pembaca?
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut