BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 23 Jun 2014

O.R.K.I.D 48

Bab 48
O.R.K.I.D
(Ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali

          Dedaunan berjatuhan. Usang dan tidak berdaya. Terkadang terbang mengikut arah angin. Sekejap beralih ke kanan. Sekejap terbangnya ke kiri. Semuanya menggangu keadaanku. Bukan kerana aku tidak menerima hukum alam begitu namun aku terganggu dek keinginan Dhani agar aku berdamai dengan bekas tunanganku. Yang lebih mencemaskan, tempat inilah menjadi saksi terputusnya ikatan pertunanganku. Sesungguhnya tiada lagi apa yang ingin aku harapkan. Cukup sudah bahagiaku bersama Dhani. Aku percaya setelah melalui kesedihan, aku juga akan punyai kebahagiaan. Kali ini, lebih baik dari sebelumnya. Sayangnya, tidak pernah kusangka aku perlu lagi berdepan dengan dugaan hati dan perasaan. Sebegini hebat. Sebegini kuat.
          Tidak yakinkah aku dengan perasaanku sendiri?
          “ Lama awak diam… “
          Aku mendongak ke wajah yang berdiri tegar di hadapanku. Lama sebenarnya aku diam. Masih berkira-kira mahu meleraikan segala yang terkusut selama ini. Sepatutnya Dhani ada di sini menemaniku. Bukannya menantiku di kereta. Aku tahu pertemuanku ini akan menentukan segalanya namun aku mahu Dhani ada sebagai menambah keyakinan dan ketabahanku berdepan dengan si dia.
          Aku menghela nafas.
          “ Saya tidak tahu untuk mulakan semuanya…” akhirnya aku bersuara memecah kesunyian.
Fahrin kembali berpeluk tubuh.
          “ Susah sangatkah untuk kita jernihkan semuanya? Kembalilah Sara. Berat untuk saya hadapi semuanya sendiri.. Saya perlu awak. Saya menyesal…”
          Aku menelan liur.
Nadanya kini berubah sayu dan merayu. Ini yang aku bimbang. Bimbang kerana aku tahu Fahrin memang benar-benar menyesali. Kutahu bila dia berlaku jujur dan benar-benar memaksudkan apa yang dia inginkan. Aku bukan kenal dia dalam tempoh yang lama. Kalau aku tidak yakin dengan kesungguhannya aku tidak akan membuat keputusan untuk membina hidup dengannya dulu. Namun segala impian terlerai kerana hatinya yang berubah. Tapi aku tertanya-tanya juga mengapa dia tidak meneruskan hubungannya dengan perempuan yang telah menghancurkan ikatan pertunangan aku dan dia dulu.
          “ Apa yang terjadi antara awak dan dia?” soalku. Aku benar-benar ingin tahu.
          “ Dia tipu saya Sara. Dia hanya inginkan harta saya. Sejak saya tahu dia hanya mainkan hati dan perasaan saya, saya nekad tinggalkan dia. Benar dia cantik. Sayangnya dia tidak seperti awak. Awak jujur. Awak setia. Awak tahu jaga diri. Awak memahami. Awak tidak memaksa. Tapi, saya tidak tahu rajuk awak sebegini lama. Bahkan, awak sanggup pilih orang lain untuk menggantikan saya…” sambung Fahrin. Wajahnya tergambar rasa sedih yang terlalu.
          Aku turut berduka. Sesungguhnya, aku tidak mahu beralah. Bukan simpati yang aku cari.
          “ Tapi Fahrin, segalanya sudah terlambat. Saya bahagia. Dulu, saya menangis Fahrin. Saat awak katakan hubungan kita di situ saja. Hanya di situ. Dapat tak awak bayangkan pedihnya hati saya? Kita hampir membina rumahtangga. Awak biarkan keluarga saya menyimpan malu sendiri. Awak yang buat semua ini. Awak Fahrin. Bukan saya…” sambungku lebar. Kali ini mendatar dan bercampur baur dengan marah dan kesal. Aku kecewa benar. Dia mengakui silapnya tapi segalanya sudah terlewat.
          “ Awak pernah tak rasakan bagaimana pedih hati saya?”
          Fahrin diam.
          “ Awak tahu tak sakitnya saya lalui semua? Jangan kejar bayang-bayang saya lagi. Saya penat. Saya tidak mahu kenang semuanya. Lepaskan saya Fahrin. Kali ini saya merayu. Izinkan saya bahagia dengan insan yang lebih memahami saya dan menyayangi saya seadanya. Sesanggupnya dia dan saya mohon. Pergi jauhlah Fahrin. Saya maafkan semuanya. Saya hanya harap, kita berdamai….” balasku. Kali ini, nada suaraku yang kedengaran merayu. Jujur saja. Aku penat lalui semuanya. Aku mahu Fahrin mengerti yang sudah tiada lagi ruang di hati ini buatnya. Hidupku sudah terisi dengan satu hati.
          Dimana lagi ruang untuknya?
          “ Sara, betulkah segalanya sudah berakhir?”
          Aku mengangguk. Aku tidak mahu melengahkan jawapan. Aku selalu berharap keteguhan rasa cinta yang ada buat Dhani akan membatasi kekecewaanku dengan kenangan lalu.
          “ Betulkah awak ingin tinggalkan saya selama-lamanya?” tanyanya lagi dengan wajah yang penuh mengharap.
          Aku mengangguk lagi.
          “ Tiadakah lagi ruang di hati itu?”
          Aku mengangguk.
          “ Jangan rumitkan lagi keadaan. Carilah bahagia awak Fahrin. Saya tidak mampu lagi memberi kebahagiaan untuk awak…” balasku. Tegas dan tiada kompromi.
          “ Ini pun atas permintaan seseorang yang begitu inginkan bahagia ada dalam hidup saya makanya dia mahu saya bertemu awak. Belum cukupkah lagi kenyataan ini untuk awak terima dan hentikan semuanya?” tanyaku lagi dalam nada suara yang seakan memujuk, cuba menjernihkan keadaan.
          Fahrin meraup wajahnya. Nampak kusut dan tiada daya lagi. Memang benar tergaris kekesalan di wajah yang suatu ketika dulu kupuja itu namun aku tidak ada alasan lagi kembali memilihnya. Sungguh! Aku tidak mahu berpaling.
          “ Telah lama saya berhenti berharap. Telah lama saya lupakan hasrat. Sudah terlalu lama. Tiada lagi yang saya harap…” sambungku.
          Fahrin menunduk.
          Aku tahu mengapa. Pasti hancur luluh hatinya. Aku jua merasakan suasana dan rasa itu tapi aku ada kebahagiaan menantiku. Tiada apa yang perlu aku kesalkan. Cinta memang ada meskipun kadangkala hanya perlu disimpan di dalam hati.
          “ Jodoh kita nampaknya memang tiada…” akhirnya Fahrin bersuara. Lirih dan mendatar.
          Aku sekadar membuang pandangan. Aku tidak mahu terpedaya dengan reaksi itu.
          “ Sudah lama Fahrin. Awak saja yang tidak sedari hakikat itu..” tambahku.
          Kali ini dia menghela nafas. Seperti dia, aku juga penat. Penat menyimpan segalanya. Aku kemudian berdiri dari bangku tempatku duduk.
          “ Maafkan saya dari mula kita kenal hingga ke akhirnya. Saya tidak berdaya membahagiakan.. Hati saya milik orang lain. Bukan lagi kepunyaan awak. Saya bahagia. Begitu kuat saya meminta agar awak lepaskan saya dari hati dan hidup awak. Biarkan saya cari bahagia saya sendiri. Please Fahrin. Let me go…” rayuku bersungguh-sungguh. Kurenung jauh ke dalam anak matanya bersama seribu satu macam harapan. Terluka sama hatiku melihat dia menangis. Menangis sesal. Namun aku tidak berdaya.
          “ Sara, semakin jauh bayang-bayang dari saya. Tak bolehkah saya sekadar memuja awak bersama kenangan kita?”
          Aku menggeleng. Sungguh aku tidak rela walau sekadar kenangan dan bayang-bayangku.
          “ Janganlah begini Fahrin. Tak ada gunanya…” sambungku lagi berharap dia akan mengalah saja dan tidak berusaha mengusik ketenangan hatiku.
          “ Saya lihat awak tabah Sara..”
          Aku tersenyum kecil.
          “ Cintanya yang membuatkan saya begini..”
          Fahrin kembali memandangku.
          “ Awak nampak bahagia…”
          Aku mengangguk dengan penuh yakin.
          “ Cintanya menjanjikan saya sejuta kebahagiaan. Atas alasan itu, mengapa saya perlu khianati dia?” tambahku. Kali ini aku mahu Fahrin mengerti mengapa aku mahu dia damaikan segalanya.
          Keluhannya jelas terdengar.
          “ Saya bersumpah dengan nama TUHAN. Hari ini, kita berdamai. Maafkan saya kerana memaksa….” Akhirnya Fahrin bersuara, seperti yang aku harapkan. Dia tersenyum untuk kali yang terakhir walau maksud senyumannya itu meruntun jiwaku pilu.
          “ Saya akan selalu doakan awak bahagia.. Maafkan saya. Maafkan. Semoga dia jaga awak….” Sambungnya dan kini dia berlalu meninggalkanku. Jauh dan semakin jauh. Tidak menoleh lagi walau sekadar memberiku senyum kerelaan untuk yang terakhir kali.
          Ya TUHAN. Mengapa hatiku ini?
Tanpa kusedari, ada tangan menarik jemariku. Aku menoleh di sisi kananku. Pantas aku memeluknya. Luar biasa sungguh kehangatan cinta suamiku ini hinggakan kepiluan atas pertemuan terakhir dengan seseorang yang pernah mengisi hatiku itu, jernih begitu saja.
“ Sudahlah. Jangan menangis lagi…”
Aku mengeratkan pelukan. Kata-katanya yang kedengaran perlahan menggamit sayu di hatiku. Tidakku sangka dia datang pada saat aku benar-benar inginkan. Entah berapa lamakah dia berdiri di belakangku selama kubertelagah dengan Fahrin tadi pun, tidak aku ketahui.
“ Abang tidak akan tinggalkan Sara.. walau apapun dugaannya. Ingat tak? Abang pernah coretkan suatu ketika dulu?”
Aku mengesat airmata.
“ Kalau ada peluang, abang mahu mencintai Sara. Disebabkan abang berpeluanglah abang akan terus cintakan Sara. Cinta abang bukan beri sayang airmata tapi cinta abang cinta janjikan kebahgiaan selagi TUHAN izinkan…”
Aku kelu dengan ikrar janjinya itu. Sungguh aku bersyukur dengan apa yang TUHAN gantikan. Aku percaya. Pada saat hambanya redha dengan sesuatu yang mengecewakan, ALLAH pasti akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Sesungguhnya Dhani bukan saja lebih baik. Namun, dia hebat dalam segalanya bagiku. Doaku kepada TUHAN, jangan ambil dia. Biar hati kecil berkorban memberinya kasih sayang yang besar. Paling penting, tidak ragu-ragu lagi.

1 ulasan:

Unknown berkata...

TQ for entry.. ni last ke?